Sesungguhnya kasih ibu memang sepanjang hayat, selagi nyawa dikandung badan. Meskipun sudah berusia 84 tahun, namun warga emas ini dilihat masih gagah menguruskan anak lelakinya yang sakit dan hanya terlantar di katil hampir 21 tahun.

Uruskan Anak Seperti Bayi

Zainun Marto berkata, dia menguruskan Azman Othman, 50, seperti seorang bayi disebabkan anaknya itu sudah hilang keupayaan untuk bergerak akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1999.

Selepas tragedi hitam itu, katanya, tanggungjawab menjaga anak ke-11 daripada 12 beradik terpaksa dipikul sendirian kerana anak-anaknya yang lain tidak dapat menjaga Azman disebabkan mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.

“Saya reda dengan ketentuan ALLAH, saya bersyukur kerana masih beri kesihatan, umur panjang untuk menguruskan Azman.

“Menjaga Azman bukan satu bebanan. Selagi bernafas, saya akan menjaganya dan tidak akan sesekali mengabaikannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya di sini pada Sabtu.

Keupayaan Bergerak Hilang

Bercerita lanjut, Zainun berkata, Azman terbabit kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah pada kepala dan terpaksa melakukan pembedahan bagi membuang darah beku.

“Doktor sudah memaklumkan pada saya, jika Azman hidup, keupayaannya untuk bergerak akan hilang. Malah, Azman juga tidak dapat mendengar dan melihat, sebaliknya hanya mampu terbaring.

IKLAN

“Pada waktu itu, saya sudah pasrah. Ini mungkin ujian untuk uji kesabaran makcik sebagai ibu,” katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Harap Ihsan Anak-Anak Lain

Zainun berkata, setiap bulan dia terpaksa membelanjakan hampir RM600 untuk membeli susu formula khas.Bagaimanapun, katanya, bagi membeli lampin pakai buang bagi keperluan Azman, dia mengharap ihsan daripada anak-anak untuk membantu.

“Anak-anak lain banyak membantu dan itu sudah menggembirakan saya dan sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Proses Keluarkan Wang KWSP

Sementara itu, Zainun berkata, dia kini dalam proses mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Azman yang pernah bekerja sebagai penghantar barang sebelum ini.

IKLAN

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan dengan beberapa kekangan termasuk untuk menukar kad pengenalan Azman yang masih menggunakan kad pengenalan lama.

“Saya tidak boleh membawa Azman ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menukar kad pengenalan baharu. Dia terbaring dan kalau hendak ke JPN, saya kena sewa ambulans.

“Jadi, saya sudah minta bantuan cucu untuk menguruskan perkara ini dengan JPN pada Disember lalu. Namun sehingga hari ini masih tiada maklum balas mengenai perkara itu. Tiada wakil JPN yang datang untuk memudahkan perkara ini,” katanya.

IKLAN

Dalam pada itu, nasib menimpa Zainun mendapat perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan/Pekan yang diketuai pengerusinya, Jamilah Aziz.

NGO berkenaan hadir melawat dan menyampaikan barangan keperluan harian kepada Zainun di rumahnya pada Sabtu.Jamilah berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan masalah dihadapi keluarga berkenaan.

Baca Lagi Di Sini:
Suami, Madu Meninggal Sakit, Ibu Tunggal Rela Hati Sara Anak Kandung & Tiri

Mak Tu, TIADA GANTINYA Walau Berapa Harta Yang Kita Ada

MW:Begitulah besarnya kasih dan pengorbanan ibu, sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan.Meskipun sudah berusia 84 tahun, namun warga emas ini dilihat masih ‘gagah’ menguruskan anak lelakinya yang sakit dan hanya terlantar di katil hampir 21 tahun. Semoga ganjaran syurga hendaknya buat wanita ini.

Sumber: Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI