
Isi Kandungan
ToggleSemalam, negara digemparkan dengan kes jenayah pembunuhan tragis suami menembak mati isteri. Terbaru, hasil bedah siasat ke atas mayat isteri yang ditembak suami menggunakan senapang angin, mendedahkan penemuan baharu termasuk kesan lebam di beberapa bahagian tubuh wanita malang berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad, berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa selesai dijalankan, semalam.
Kesan Lebam Di Badan Mangsa
Katanya, polis masih menanti laporan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan itu dikeluarkan hospital.
“Laporan awal bedah siasat berkenaan mendedahkan kesan lebam di badan mangsa.
“Turut dikesan adalah beberapa butir logam timah dipercayai peluru dari senapang angin yang ditemui di beberapa bahagian badan termasuk dada dan perut kesan tembakan jarak dekat.
“Hospital juga akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa, berikutan mereka tidak dapat membuat pengecaman terhadap wanita berkenaan susulan keadaan mayat yang sudah membengkak.
“Proses pengambilan DNA akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat Dalam Tong Air
Semalam media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi kelmarin.
Lebih memilukan, suaminya berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.
Baca Lagi Disini:
Kalau Sayang Keluarga, Jangan Sesekali MULAKAN, Elak Wujudnya ORANG KETIGA
MW:Salam takziah buat keluarga mangsa, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Diharap semoga suami yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bentan Igauan Ngeri Mak-Mak Selepas Bersalin, Baca Perkongsian Ilmu Bidan Berpengalaman Ini

Isi Kandungan
ToggleTerkena bentan bagaikan satu igauan ngeri bagi mak-mak yang baru lepas bersalin. Penjagaan diri sewaktu dalam rawatan tempoh berpantang haruslah dititik beratkan dan diambil perhatian untuk mengelakkan diri daripada terkena bentan ini.
Perkongsian ilmu mengenai bentan ini dijelaskan oleh bidan berpengalaman, Kak Engku Bidan Bersalin sebagai rujukan.
Berikut antara perkongsian tersebut.
Bentan? Apa yang dikatakan bentan? Bagaimana hendak kenal pasti dan apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan masalah ini?
Bentan bermaksud sakit semula setelah hampir sembuh semasa dalam proses rawatan selepas bersalin. Ini bermakna, walaupun Mama hampir kembali sihat namun jika Mama culas penjagaan diri dalam tempoh itu, Mama akan mengalami sakit semula.
Oleh sebab itu, ada segelintir ibu mengalaminya pada penghujung atau selepas proses rawatan selepas bersalin. Apa yang pasti, dalam tempoh ini, ibu perlu melakukan penjagaan diri dengan teliti supaya tidak timbul sebarang masalah.
Punca Dan Isyarat Bentan
Mengambil makanan sejuk atau terlanggar benda keras. Kebanyakkannya disusuli badan berasa sejuk dan seakan hendak pitam. Situasi ini terjadi kerana dalaman badan yang masih lemah.
Apabila mengalami masalah ini agak sukar untuk kembali sihat dengan segera. Ada yang mengalaminya berminggu-minggu malah ada yang berbulan-bulan sebelum kembali sembuh.
Terdapat 3 Jenis Bentan
1. Bentan Urat
2. Bentan Urat Peranakan / Urat rahim
3. Bentan Urat Besar (Pinggang)
Untuk memastikan tidak mengalami masalah bentan, penjagaan diri adalah satu kemestian antaranya ialah:
1. Banyakkan Rehat
2. Elakkan Jangkitan Kuman
3. Jaga Pemakanan
Petua Tradisional Elak Bentan
Menyapu minyak panas di seluruh badan. Pakai baju panas, berstoking dan berselimut. Minum air kopi panas untuk panaskan badan dari dalam. Bertungku juga elok jika Mama boleh bangun atau ada seseorang yang boleh membantu ketika itu.
Mesti Tahu!
1. Jaga kebersihan anggota badan
2. Kerap menukar tuala wanita untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman.

3. Melakukan rawatan segera pada jahitan yang terbuka pada tempat peranakan untuk mengelak jangkitan kuman.
4. Tidak mengamalkan diet pemakanan yang betul dan kurang minum air menyebabkan Mama berisiko dijangkiti kuman.
5. Elakkan memakan makanan sejuk misalnya nasi yang sudah sejuk. Sebaliknya makan nasi panas.
6. Badan sentiasa dalam keadaan panas dengan memakai stoking.
Semoga bermanfaat dan kongsikan juga buat mak-mak yang sedang berpantang mahupun bakal-bakal ibu yang akan melalui proses rawatan selepas bersalin ini.
Sumber: Kak Engku Bidan Bersalin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Demi Tanggung Kekasih, Sanggup Diri ‘Disimpan’ Lelaki Kaya

Isi Kandungan
ToggleAssalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.

Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lebih Baik Senyap, Biar Peguam Uruskan “Tak Perlu Tularkan Di Media Sosial” Aliff Syukri

Isi Kandungan
ToggleDatuk Seri Aliff Syukri telah tampil menafikan dakwaan yang dibuat seorang gadis obesiti, Wani Comel berhubung kontrak yang dikatakan menganiayai dirinya.
Terdahulu pada minggu lalu, seorang gadis yang mengalami masalah obesiti iaitu Wani Comel membuat dakwaan telah dianiayai seorang usahawan kosmetik dan membuat tuntutan kepada usahawan tersebut supaya memenuhi apa dijanjikan dalam dalam kontrak membabitkan mereka.
Menerusi satu sidang media khas yang diadakan di kediamannya semalam, Aliff berkata, dakwaan yang dibuat oleh gadis terbabit tidak benar dan tidak termaktub dalam kontrak yang telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.

Aliff Syukri, “Tindakan Meminta Itu Tidak Manis”
Menurut Aliff Syukri lagi, pemberian wang sebanyak RM3,000 sebulan yang dikatakan oleh Wani itu sebenarnya adalah bergantung pada belas ihsan pihaknya.
“Kalau tengok balik perjanjian yang ditandatangani, apakah saya ada kata nak bagi rumah atau nak bantu keluarganya? Saya hanya kata nak bantu dia berjalan.
“Kalau rasa saya tak tunaikan janji, mudah saja, saman. Saya memang tunggu saman daripada Wani dan tunjukkan bukti yang saya menganiayai mereka.
“Saya Minta Maaf”
“Saya minta maaf, benda ini merupakan permintaan di luar jangkauan. Saya malas nak cakap lebih-lebih. Tapi bagi saya, tindakan meminta itu tak manis.
“Kalau betul saya tak bagi, tunjukkan bukti surat peguam yang anda dah terima dan dah sain.
“Jangan main cakap saja sebab semua orang pun boleh cakap. Jadi kena tunjuk bukti,” kata Aliff yang tidak mahu mengulas panjang berkenaan perkara tersebut, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada peguam untuk menguruskan.
Lebih Baik Senyap, Biar Peguam Uruskan
Aliff juga menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan perkara ini dan memiih untuk berdiam diri.
“Biar peguam uruskan dan hakim tentukan siapa betul atau salah. Lebih baik saya senyap sahaja.
“Apa pun, saya memang bersedia 200 peratus jika pihak Wani mengemukakan saman pada saya.
“Bagi saya mudah saja, kalau tak puas hati boleh jumpa atau terus saman saya. Tak perlu nak tularkan di media sosial dan sebagainya.
“Secara jelas saya bagitahu, apa sahaja pemberian saya itu dengan jumlah sekian-sekian itu adalah bergantung kepada belas ehsan saya serta budi bicara dan bukan dalam perjanjian,” sambungnya.
Aliff Syukri Buang Ego, Kembali Kepada Keluarga, Lebih Matang Hargai Isteri

Susah Atau Senang, Aliff Syukri Tunaikan Janji Bawa Isteri Umrah Setiap Tahun
Ini Bukan Gimik
Dalam masa sama, Aliff juga menafikan apa yang berlaku itu sebagai gimik untuk mempromosikan produk pelangsingan badan keluaran syarikatnya sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
“Masyarakat sering nak cari kesalahan saya, tapi akhirnya nanti masyarakat sendiri akan buka mata siapa yang betul dan siapa salah.
“Saya ingin meminta kemaaafan pada semua. Ini bukan gimik tapi ini adalah betul berlaku.
“Ia bukan gimik yang bagus tetapi gimik murahan yang menjatuhkan reputasi saya. Saya dah rugi berjuta ringgit.
“Saya akan ambil tindakan. Bukan pada seorang, tetapi lebih pada tujuh orang yang terlibat dalam perkara ini dan saya tahu siapa mereka,” akhirinya.
Sumber: SinarPlus
Sumber Foto: Instagram Datuk Seri Aliff Syukri
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI