Kehamilan merupakan suatu proses yang sangat mengujakan terutamanya kepada wanita yang pertama kali melaluinya kerana fisiologi badan wanita berubah secara drastik. Perubahan yang berlaku semasa wanita hamil boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran kencing (urinary tract infection- UTI). Dr. Nooranisah Mohd Razali, Pegawai Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Kuala Lumpur mengupas lebih lanjut tentang bahaya jangkitan saluran kencing semasa hamil.
Menurut Dr. Nooranisah, perubahan hormon dan proses mekanikalnya menggalakkan air kencing menjadi kurang lancar dan refluks vesicouretral. Ditambah pula wanita hamil yang mengalami kesukaran untuk menjaga kebersihan asbab terhalang oleh perut yang makin membesar dan juga faktor semulajadi wanita yang mempunyai urethra (salur kencing) yang pendek berbanding lelaki iaitu lebih kurang 3-4cm panjang sahaja.
Tambahnya juga bagi wanita hamil yang mengalami masalah jangkitan saluran kencing, terdapat beberapa tanda yang biasanya akan dialami oleh ibu-ibu hamil. Berikut merupakan tanda-tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing:
Rasa panas (burning sensation) ketika kencing
Kencing tidak lawas
Kencing berdarah
Sakit di bahagian bawah abdomen, kadang-kadang disalahtafsirkan sebagai ‘contraction pain’
Jelasnya lagi, ada juga ibu mengandung yang tiada tanda jangkitan seperti yang disebutkan di atas. Hal tersebut dinamakan “asymptomatic UTI”. Namun, biasanya ia dapat dikenalpasti melalui ujian air kencing yang dihantar ke makmal.
Saluran kencing (urinary tract) dan juga vagina sememangnya mempunyai normal flora yang mendiami kawasan tersebut. Namun, ada beberapa bakteria yang boleh menyebabkan UTI, iaitu:
Escherichia Coli (E. Coli) (80-90%)
Ads
Klebsiella pneumoniae (5%)
Proteus mirabilis (5%)
Enterobacter species (3%)
Ads
Proteus species (2%)
Staphylococcus saprophyticus (2%)
Group B beta-hemolytic Streptococcus (GBS; 1%)
Ads
Jangkitan semasa proses kelahiran (intrapartum transmission) boleh menyebabkan kesan yang serius kepada bayi seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), meningitis (jangkitan pada otak), kuman dalam darah (sepsis) dan seterusnya menyebabkan kematian.
“Kebanyakan UTI tidak berbahaya dan jarang sekali membawa kesan yang serius kepada bayi mahupun ibu. Namun sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan pada buah pinggang (pyelonephrithis), bacteria dalam darah (sepsis) yang boleh meragut nyawa ibu, kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan seterusnya memerlukan penjagaan di NICU (neonatal intensive care unit).”
Cara rawatan UTI
UTI boleh dirawat dengan antibiotik, perlu dihabiskan mengikut tempoh preskripsi yang diberikan oleh doktor. Sekiranya tidak dihabiskan, risau boleh menyebabkan ‘resistance’ dimana badan memerlukan antibiotik yang lebih kuat untuk melawan bakteria tersebut. Selain daripada itu, teruskan minum air putih yang secukupnya dan pengambilan makanan yang berkhasiat sepanjang tempoh kehamilan.
“Selamat menikmati kesihatan yang baik sepanjang tempoh kehamilan anda. Semoga anak yang bakal lahir menjadi penyejuk mata hati ibu ayah!”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Pernah tak mak ayah di luar sana ambil tahu tentang anak autisme? Ya, mungkin masih ramai lagi mak ayah tertanya-tanya macam mana nak detect anak-anak ada ciri-ciri autisme atau tidak.
Ini bukan satu masalah sebab kehadiran mereka di dunia juga satu amanah, sejauh mana kita mampu telan ujian dan macam mana kita menghargai apa yang Allah bagi.
Jadi sempena bulan kesedaran Autisme pada April ini, mak ayah boleh luaskan ilmu tentang ciri-ciri anak autisme dengan membaca perkongsian hati daripada ibu muda yang membesarkan anak syurga, Puan Naim Ain Aina.
Kalau ada yang kata, beruntungnya kau Norlia dapat anak yang kuat daya ingatan. Baru 4 tahun tapi anak kau dah pandai baca, dah hafal banyak hadis dan surah.
31 Mei depan, umur Naim 5 tahun. Jadi pada waktu tu saya baru je 5 tahun menjadi ibu. Saya tahu pengalaman saya tak sehebat dan sebanyak ibu ayah yang anaknya dah besar, yang dah remaja atau pun yang dah dewasa.
Izinkan saya kongsi pengalaman saya bersama suami ketika menjaga Naim semasa kecil..
Sehari Lepas Lahir…
Saya boleh dikatakan ibu muda masa lahirkan Naim dulu, yang pada ketika itu umur saya baru 23 tahun. Saya perasan ada 3 orang je rakan sebaya saya (yang saya kenal) yang kahwin pada umur 22-23. Jika dicampurkan dengan saya, ada 4 orang. 3 perempuan, yang sorang lagi kawan lelaki.
Jadi masa Naim ada tunjukkan ciri-ciri Autism dulu, saya sendiri tak tahu pun yang itu adalah ciri-ciri Autism. Sebab kawan-kawan saya ramai yang tak kahwin lagi, dan yang dah kahwin tu pun anak mereka tak Autism. Tak nampak pun kat FB kawan-kawan share pasal Autism jadi dulu saya memang tak tahu apa-apa pasal Autism, Speech Delay mahupun Sensory Processing Disorder sekalipun. Zero.
Lepas saya lahirkan Naim dan masa Naim dah sedikit besar, saya perasan Naim sangat takut bila nak potong rambut, potong kuku dan korek telinga. Dia bukan takat tak nak, tapi dia takut dan macam trauma.
Saya ingat masa dia kecil dulu, saya pernah potongkan rambut dia kat bilik mandi. Gaya potongan ala-ala tempurung. Punyalah dia meraung. Tapi saya paksa jugak dan amazing betul sebab secara tiba-tiba je kekuatan Naim lagi kuat dari saya. Memang saya geram sangat masa tu dengan Naim. Dengan saya-saya sekali stress dibuatnya.
So lepas adegan tu, saya suruh suami pulak potongkan rambut Naim bila-bila nanti. Tapi sama jugak tindakbalas Naim.
At the end, kami terpaksa tunggu Naim tidur. Saya tolak kepala Naim ke kiri atau kanan, dan suami potong rambut Naim. Ya, atas tilam. Kalau dia tersedar sebelum siap suami saya potong, so biorkanlah. Haha. Kami tunggu dia tidur balik baru kami sambung mission impossible tu.
Sama jugak bila nak potong kuku Naim. Kuatnya lah si Naim ni meronta sampai merah-merah muka dia menangis. Rambut panjang takpe lagi, ni tak kan nak biarkan je kuku dia panjang. Bila nak potong kuku masa Naim tidur pun payah sebab Naim cepat tersedar bila kami gunting rambut ke, potong kuku ke atau korek telinga dia walaupun masa tu dia tengah tidur dengan lelehan air liur.
Sama jugak masa Naim tak boleh bercakap dulu dan yang keluar dari mulut dia cuma Mba ba ba je (walaupun umur dia dah 2 tahun lebih). Malam-malam bila Naim nangis dan dah minum susu tapi dia still nangis lagi, haa time ni memang boleh buat saya dan suami gaduh besar. Yela, dahlah tengah ngantuk. Lepas tu kena main teka-teki dengan Naim pulak. Kena cari punca kenapa dia nangis walaupun dah pujuk pun tak layan. Tapi selalunya kami fikir Naim mungkin sakit perut, jadi kami akan sapu ubat kat perut Naim. Sama jugak ada satu malam tu Naim menangis lama tak berhenti. Rasanya umur dia 2 tahun lebih masa kejadian. Kami suami isteri tak tahu nak pujuk macam mana sebab segalanya tak menjadi. Jadi akhirnya saya usulkan suami supaya bawa Naim ke Emergency.
Kat Hospital doktor tanya kenapa anak awak? Saya jawab tak tahu. Tak demam pun tapi dia asyik nangis je tak berhenti-henti. Sakit perut kot saya kata. Macam bersalah pulak rasanya jawab macam tu. Lepas tu dia suruh bawa Naim pergi X-Ray perut.
Lagi satu, Naim tak takut bahaya. Saya ingat dulu ayah dan mak saya pernah bawa Naim pergi Family Day tempat kerja. Saya tak pergi. Esoknya masa saya masuk kerja (saya kerja part time), kawan saya yang turut sama pergi Family Day tu cakap kat saya.
“Aah, semalam Naim ada. Tapi dia asyik pergi kat tasik je. Nasib baik ada kakak tu perasan.”
Naim pun dulu kalau kita pergi shopping mall, dia lari melulu ikut suka dia je. Dia pernah “hilang”. Rupanya dia menyorok dan mendiamkan diri dalam seluar-seluar yang bergantung. Saya panggil dia tapi dia tak nak keluar pun. Nak menyahut apatah lagi sebab masa ni Naim tak pandai cakap lagi.
Jadi sampai sekarang saya takut nak bagi Naim ikut siapa-siapa pergi jalan tanpa saya atau suami. Sebab Naim ni kena betul-betul dipantau.
Dan bila saya ceritakan kisah Naim masa kecil ni dulu, tiba-tiba saya teringat satu kisah.
Dulu saya selalu jugak bawa Naim turun taman setiap petang. Ada sorang makcik ni, dia pun kadang-kadang bawa turun taman anak angkat dia yang lagi muda dari Naim masa tu.
Dia cerita kat saya, anak angkat dia si YZ ni dah tak pakai pampers. Mulut keletah. Banyak cakap. Masa umur setahun lebih dah tak pakai pampers. Dia sendiri tak nak pakai pampers. Banyak lagi dia cerita pasal YZ ni.
Bila dia tanya saya pasal Naim, saya cakaplah Naim pakai pampers lagi. Tak boleh bercakap lagi cuma cakap Mba ba ba je. Masa ni memang ada banyak soal-siasat dari makcik ni. Rimas aku. Haha.
Hari kemudiannya bila makcik ni nampak saya dengan Naim kat taman, pelik betul lah aku kenapa perbualan yang sama berulang kembali. Ciss tension betul nak turun taman lagi lepas ni. Tapi nasib baiklah Naim kecil lagi masa tu dan tak faham yang makcik ni tengah nak buat perbandingan antara Naim dengan anak angkat dia.
Jauh di sudut hati, saya sebenarnya sedih dan agak berkecil hati. Dan sikap makcik ni jugak hampir berjaya membantutkan niat saya nak bawa Naim turun taman lagi lepas tu. Tapi bila kita pandang negatif dengan apa yang orang cakap, negatif jugaklah kita dapat. So saya bawa jugak Naim pergi taman cuma kalau nampak makcik tu je saya lari dan main cak cak.
Dulu saya rasa tahap stress saya agak teruk. Cepat nak marah, cepat sentap, cepat nak naik tangan. Anak-anak selalu jadi mangsa tengking saya.
Pernah satu hari saya menjerit kat Naim dan adik dia sebab keduanya tak nak makan nasi walaupun saya dah pujuk. Lepas tu dua-dua menangis tak berhenti. Saya jadi stress. Stress sangat. Saya pun menangis sekali dalam bilik, bertiga dengan anak-anak saya. Sampai satu tahap saya tak boleh tahan dan akhirnya saya call suami suruh suami balik rumah sekarang jugak.
Suami balik rumah dan take over handle anak-anak pulak. Mujurlah. Thank you suami.
Bersempena dengan April iaitu Bulan Kesedaran Autisme Sedunia ini, nasihat saya marilah kita sama-sama fahami dan sayangi anak-anak Autism ini dan tolonglah fahami jugak hati kami mak ayah yang ada anak istimewa ini sekali.
Jangan lupa jugak 6 April ni hari lahir saya.
Last but not least, “Acceptance is the first step in recovery.”
-Mama Naim- ❤️
Sila tengok buku biru/pink yg diberi semasa kelahiran dan carik page 18 bulan. Ada jadual MCHAT, baca soalan-soalan kat mchat tu then jawab ya/tidak.
Kalau banyak “tidak” please refer kepada doc di KKIA secepat yang mungkin, saringan autisme 2x. Sekali umur 18 bulan, sekali lagi umur 3 tahun.
Please sebarkan benda ni supaya ramai orang tahu macam mana nak detect anak ada ciri-ciri autisme atau tidak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap kali anak buat perangai, kebanyakan mak ayah akan terus muntahkan maki hamun, tengkin dan pukul anak. Ya, kadang bukan tak sayang anak tetapi rasa tercabar dan geram bila anak asyik buat masalah yang sama!
Namun berbeza dengan lelaki berstatus ayah ini, Muhammad Ahmad berusaha tidak tengking, pukul anak atau adik yang kecil sekiranya mereka buat ‘perangai’.
Kenapa? Haaa… ini alasannya.
Mula-mula tengking kita harap mereka akan berubah, kali kedua kita tengking kita anggap mereka sudah degil sebab ulang kesilapan yang sama,ketiga kita tengking perasaan benci mula akan wujud dan kita akan mula bersikap ganas.
Sebab itu ada yang tengking dan sepak terajang anak. Kita akan mula jadi stess dan hilang kawalan emosi. Tengking dah la kuat,terkejut anak. Ada yang sampai menggigil sebab terlalu takut. Akhirnya kita akan menyesal tengok mereka,ketakutan,menderita,luka.
Mereka mula tersangat takut kepada kita. Tiada keyakinan diri, akan mula tidak respect kita. Akan sembunyikan kesalahan mereka. Dan paling bahaya mereka akan mula memberontak dan bertindak kasar terhadap orang lain. Sebab itu kalau kita tanya budak kaki buli kebanyakkan dari mereka memang pernah ditengking, sering dipukul oleh ibu bapa.
Mereka yang dibesarkan dalam suasana sering ditengking, dipukul, tidak pernah dihargai, sentiasa dihukum, boleh jadi mereka akan lakukan perkara yang sama terhadap isteri dan anak-anak. Boleh jadi mereka akan alami penyakit Major Depressive disorder (MDD) Pasti isteri akan terkejut kenapa suami tiba-tiba berubah. Terkejut tiba-tiba suami senang gila naik tangan, naik kaki ketika marah. Suami lagi terkejut kenapa isteri yang sebelum ini nampak pendiam, romantik, peramah akhirnya jadi ganas dalam mendidik anak-anak.
Nampak tak kesan jika kita sering tengking,pukul anak-anak. Sebenarnya kita perlu selami jiwa anak-anak. Jiwa mereka sangat sensitif dari perbuatan dan percakapan kita. Sangat kurang bertindak dari arahan. Jangan kita fikir anak-anak akan mudah ikut apa sahaja arahan kita, sebaliknya tunjukkan AKHLAK dan PERCAKAPAN yang baik ketika bersama mereka. Anak-anak mudah terdidik dari pemerhatian mereka terhadap kita.
Betapa hari ini masyarakat perlu didikan cara Nabi muhammad s.a.w. Lihat hadith ini,Nabi s.a.w tidak pernah pukul atau tengking kanak-kanak (hadith ini saya belajar dari guru yang saya sayangi).
Apa kata annas bin Malik R.hu. Waktu ini umur beliau antara 10-11 tahun.
“Pernah suatu hari Rasulullah menyuruh saya ke pasar, Sebelum berangkat saya bermain dulu dengan anak anak lain dijalanan. Ketika sedang asyik bermain, saya merasakan ada seseorang yang berdiri dibelakangku sambil memperhatikanku dan menyentuh bajuku dengan lembut, lantas saya menoleh kearahnya, dan ternyata Rasulullah saw.
Sambil tersenyum beliau bertanya “kenapa belum berangkat lagi, wahai Unais?. Maka sambil tergopoh gopoh akupun menjawab,”Ya, saya akan berangkat sekarang wahai Rasulullah”,
Demi Allah, selama sepuluh tahun saya berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w, tidak pernah sekalipun beliau memarahiku”.
Moga bermanfaat dan SEBARKAN.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu buli di asrama semakin membimbangkan apabila ramai pelajar memilih memendam trauma. Pakar psikiatri kongsi tanda anak menjadi mangsa buli dan kesan emosi yang boleh berpanjangan hingga dewasa.