anak nakal

“Ish, itu kategori anak nakal, siapa mak ayahnya? Tak ‘makan saman’ betul.” Bayangkan anak-anak anda dilemparkan kata-kata itu, apakah perasaan anda agaknya? Nak marahkan orang yang berkata-kata itu, tak boleh juga sebab anak anda memang degil!

Aduh, memang pening kepala memikirkan soal anak-anak yang tak mendengar kata, culas solat, malas belajar, nakal dan macam-macam lagi. Di manakah silapnya didikan yang kita berikan itu? Marah sudah, pukul pun sudah. Tapi anak-anak tetap tak berubah.

Rasulullah s.a.w insan mulia yang tinggi akhlaknya yang sepatutnya kita contohi termasuk cara baginda mendidik anak-anak.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”.

Bermakna, dalam mendidik anak-anak, tidak salah jika kita hendak manjakan mereka atau bergurau senda dengan mereka. Namun, ada ketikanya kita juga kena tegas dan jika perlu, hukum mereka dengan hukuman yang setimpal.

1. Nasihat

Anak yang nakal perlu dinasihati tentang kesalahan mereka sehingga mereka tahu dan sedar akan kesalahan mereka dan tidak akan mengulanginya. Nasihati dengan baik sehingga mereka faham. Gunakan suara yang lembut dan tak perlu menjerit dan berteriak kerana kadangkala cara itu hanya membuatkan anak semakin memberontak.

IKLAN

2. Sediakan Rotan Di rumah

Mungkin tidak ramai yang ada menyimpan rotan di rumah sekarang. Menggantung rotan di rumah bukan bererti kita cuba memberitahu anak-anak bahawa jika mereka melakukan kesalahan atau nakal, maka mereka akan dipukul. Sebaliknya, ia hanya untuk mendidik mereka agar takut jika melakukan perbuatan yang tidak baik. Seperti yang dikatakan Imam Ibnu Anbari:

“Rasulullah s.a.w tidak memaksudkan perintah untuk mengantungkan cambuk (alat pemukul) untuk memukul, kerana Rasulullah s.a.w tidak memerintahkan hal itu pada seorang pun. Akan tetapi yang baginda maksud adalah agar hal itu menjadi pendidikan bagi mereka.”

Jika perlu memukul anak juga kena tahu caranya. Jangan pukul anak dari lutut ke atas dan jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita untuk memukul anak dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. Ini kerana dibimbangkan anak jadi bertambah degil dan nakal.

IKLAN

Sebaliknya, rotan/pukul anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak. Rotan adalah jalan terakhir. Dengan niat untuk mengajar, bukan untuk menyakiti mereka.

3. Wajah Masam

Menampakkan muka masam merupakan salah satu cara Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak yang nakal, dengan menampakkan muka masam. Dengan cara ini diharapkan anak akan sedar akan kesalahannya yang telah membuat orang tuanya kecewa.

Tegur Dengan Tegas

Mula-mula, nasihati anak dengan suara yang lembut namun jika anak tidak mendengar kata, tegurlah dengan nada suara yang lebih kuat dan tegas agar mereka sedar bahawa mereka telah melakukan sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya.

IKLAN

Walau bagaimana pun, tidak perlu marah-marah, cukup anda bertegas. Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai yang suka marah anak tapi tidak tegas. Kadangkala mengugut anak tetapi mereka sendiri tidak kotakan apa yang dikatakan itu. Jadi, anak sendiri hilang rasa percaya pada ibu bapa.

4. Hukuman ringan

Hukuman adalah cara yang paling mudah supaya anak serik dan tidak mengulangi lagi kesalahannya. Namun, jangan melanggar batas syariat.

5. Doa

Doa ibu tanpa hijab. Jadi, jangan sesekali berhenti berdoa supaya anak-anak membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, hebat di dunia dan cemerlang di akhirat. Yang paling penting, didik anak dengan ilmu agama yang secukupnya kerana ia adalah benteng paling mantap untuk menghindari seseorang daripada melakukan sesuatu perkara yang buruk.