Siapa kata dah sepuluh sebelas tahun berkahwin, hubungan romantik suami isteri makin pudar? Hambar dan pudar itu kerana dari awal perkahwinan kita tak menjaga dan menyuburkan amalan romantik yang dapat mengikat pasangan.
Rasulullah S.A.W sendiri tetap romantik dengan isteri-isterinya. Romantik itu juga sunnah. “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah shallallau ‘alaihi wasallam berasabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR. At Tirmidzi).
Nah, masih ada lagi yang mahu mempertikaikan. Betapa setiap pasangan suami isteri itu perlu mempertahankan, menyuburkan perasaan kasih sayang dalam membina keluarga yang harmoni. Bukan susah pun nak pupuk rasa kasih pada suami mahupun isteri.
Sayangnya, ramai yang dah seakan melupakan. Sebab terlalu banyak prasangka, ketidakpuasan hati malah dendam dalam diam dengan pasangan. Jom buat hubungan suami isteri kekal mesra seperti baru-baru mendirikan rumah tangga.
Bak kata Fazura ketika ditebak rasa hatinya selepas bergelar isteri Fattah Amin, ‘Pergi toilet pun rindu’. Anda pun waktu awal perkahwinan tentu merasakan emosi yang sama terhadap suami. Dan momen rindu itu, tetap akan ada andai tahu bagaimana menyuburkannya.
Seharusnya bila dah berumah tangga, kena buang jauh rasa ‘malu anak tengok’, ‘pelik-pelik perangai manja awak ni’. Biarlah pun anak lihat sikap romantik ibu dan ayahnya, nanti bila dia dewasa dia tahu bagaimana untuk meromantikkan pasangannya.
Ads
Anda yang masih belum faham macam mana nak beromantik-romantik dengan suami atau isteri, cuba lakukan panduan yang MW kongsikan ini.
6 Amalan Romantik Buat Suami Isteri Saling Merindu
1. Sebelum Pergi Kerja, Peluk 10 Saat Dan Kucup Pasangan
Sebab apa kena buat semua itu. Pelukan 10 saat bukan saja buatkan anda panjang umur, tapi mendorong semangat positif dan yakin diri pasangan untuk melangkah mencari rezeki. Kucuplah pipi atau tangan pasangan, biar sentuhan itu kekal mesra dan jadi rutin.
Bayangkan anda lakukan hal ini selama berkahwin, tidakkah ia akan jadi satu amalan yang anda dan pasangan rindukan jika ditinggalkan? Bayangkan suami perlu bertugas di luar daerah. Pasti bertambah rutin harian anda. Sekarang lebih mudah, jika rindu video call boleh dilakukan.
2. Berselisih Faham Jangan Lebih 3 Hari
Cepat-cepatlah berbaik sekiranya berlaku perselisihan faham. Usah biar berlarutan walau untuk satu jam apatah lagi lebih 3 hari. Ibu bapa yang rasional tidak akan bertengkar depan anak. Mereka tahu bagaimana mahu mengawal emosi.
Dalam bilik tidur boleh sambung rasa tak puas hati dengan pasangan. Luahkan dan selesaikan segera. Sebab itu, bila anak masuk 7 tahun kena pisahkan tempat tidurnya dengan mak ayah. Jadi mak ayah ada masa untuk beromantik berdua.
Ads
3. Jangan Sesekali Berpisah Tempat Tidur
Jangan sekali-sekali berpisah tempat tidur dengan pasangan walau anak telah berderet atau usia kian meningkat. Tip ini harus dipraktikkan bagi mengeratkan hubungan kasih sayang sekali gus menyemarakkan lagi rasa cinta antara pasangan.
Jangan mengambil remeh saranan ini, sebab impaknya besar. Tidur bersama pasangan antara hal yang buatkan pasangan semakin sayang dan sentiasa saling merindui jika terpaksa berpisah tempat tidur.
Bayangkan anda biarkan isteri tidur dengan anak-anak atau sendirian tanpa pelukan setiap malam. Apa akan jadi dengan emosi isteri? Anda akan lihat sendiri kesannya dengan cara pasangan melayan anda. Sebenarnya dalam diam, isteri makan hati.
4. Kongsi Bekas Makan Minum
Amalkan solat berjemaah ketika kalian berada di rumah. Ucapan doa yang dilafazkan serta hulurkan tangan tatkala bersalaman diyakini mampu menyemarakkan keharmonian rumah tangga.
Ads
Begitu juga pada waktu makan. Biasakan minum pada bekas bibir gelas yang digunakan pasangan sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Jangan segan atau geli untuk menggunakan gelas atau pinggan yang pasangan gunakan.
5. Jangan Pernah Berhenti Ucapkan Kata Sayang
Seorang isteri amat berbesar hati jika suaminya tahu bagaimana mahu memanjakan dirinya. Bukan semata-mata dengan wang ringgit, tapi kata-kata yang buat jiwanya berbunga-bunga. Tapi kalau memanjakan dengan wang ringgit pun isteri takkan tolak. Double berbunga-bunga lagi.
Bukan semua lelaki mudah nak ucapkan ‘I Love You’. Macam ada besi berat dalam mulut kalau minta mereka ungkapkan. Tapi percayalah, bila suami sudah cinta ‘body language’nya pun kita tahu betapa besar rasa cinta itu.
Jadi, nak bagi isteri lebih lembut hati, suami panggillah isteri dengan panggilan ‘Sayang’ ‘Manja’. Jangan pula panggil ‘ibu’ ‘oii’ atau ‘awak’. Panggilan yang manis-manis semacam itu pun boleh buatkan hubungan terus romantis. Walau tengah marah pun, lama-lama boleh lega semula.
6. Kejutan Yang Luar Biasa
Sekali-sekali lakukan kejutan buat pasangan sama ada membeli hadiah atau kad bagi mengingati peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku dalam alam rumah tangga anda. Kejutan itu, boleh jadi bawa dia pergi berjalan dan berikan dia hadiah yang selalu dia idam-idamkan.
Sebagai pasangan tentu dia ada meluahkan apa keinginannya. Kumpullah duit untuk membahagiakan mereka. Bila dah cukup, berikan kejutan yang pasangan idamkan. Rasa-rasa, isteri atau suami hatinya kembang setaman tak? Mahu rasa bahagia itu terserlah di wajah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masih ada lagi tak, suami isteri yang tinggal dengan ibu bapa atau sebumbung dengan mentua. Faktor ekonomi boleh menjadi sebab sssuami isteri tinggal bersama orang tua. Atau mungkin baru berkahwin dan masih mencari rumah yang sesuai.
Namun, ada juga yang selesa tinggal dengan orang tua, mahupun mentua. Ada baik buruknya. Mungkin untuk bermesra suami isteri tidak bolehlah keterlaluan. Segan. Berbanding dengan rumah sendiri, apa benda nak buat pun tak kisah.
Ini ada pandangan daripada Hayat Muhamad tentang pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung dengan orang tua dan ingin tinggal asing. Boleh dijadikan panduan buat suami isteri.
Isteri aku dia mintak nak duduk rumah sendiri, asing dari mak ayah aku. Apa aku nak buat?
Jawapan:
Kalau isteri tak selesa duduk dengan kita bersama mak ayah kita, pindah terus rumah sendiri.
Tak salah isteri nak rumah asing.
Faktor Utama
1- Susah sebab aurat. Kau ada adik beradik kau. Pada setiap masa, isteri kau kena bertudung litup. Kalau rumah sendiri, tak kisan nak buat dan pakai apa pun.
2- Dapur. Keputusan nak makan apa hari ini tidak dapat dibuat oleh isteri. Tekak lain- lain. Kalau duduk rumah mentua, isteri kau akan makan apa yang ada pada hari tersebut. Kalau rumah sendiri, nak makan apa- apa pun terpulang . Periuk Noxxa kan ada. Apa susah.
3- Isteri dia ada naluri ingin memiliki. Nak ada dapur sendiri. Nak ada air fryer Amway, nak ada set pisau, Pinggan corelle. Barang- barang ni pulak dia nak letak dalam kabinet kaca. Pastu dia nak ada bilik dia deco sendiri. Benda tu kan tak leh nak buat kat rumah mak ayah kau.
4- Kebebasan masa. Ada rumah yang dia nak semua orang ada sebelum maghrib. itu contoh. Jadi banyak lagi peraturan rumah kau, ayah kau dah set. benda tu isteri kau payah nak ikut. Maybe famili dia suka shopping malam.
Jadi kalau duduk rumah asing, mak ayah macammana?
1- Duduk asing, bukan bermaksud tinggalkan mak ayah. Kita boleh melawat dia, boleh je kita dan isteri set makan sekali lunch atau dinner. Siap boleh beli ayam pusing beli lauk tambahan.
2- Sebenarnya tiada yang berubah. Ketaatan pada ayah dan mak tak lari. Sama sahaja. Kecualilah kalau mak ayah kita dah tak boleh bangun, itu lain cerita.
3- Isteri kita, orang yang menyokong hidup kita, berilah apa yg dia nak setakat mana mampu.
4- Apa yang isteri nak, sebenarnya itulah yang mak nak dari ayah kita. Kebahagian bermula dari situ.
5- Bayangkan kehidupan seorang isteri yang semua benda kita tak bagi dan halang. Kita gelapkan kehidupan dia. Lepas tu kalau dia lawan, kita ingatkan tentang ketaatan pada suami. Isteri mesti tak best. Hidup dia macam dalam Oven.
6- Teliti dan fikirlah setiap apa yang isteri mahu. Allah beri dia kat kita, untuk kita gembirakan dia. Bukan nak suruh dia jadi hamba abdi.
Esok kau cari rumah sewa lain ok. Perabot beli slow- slow. Beli katil dulu. Pastu siapkan dapur. Yang lain pelan- pelan ok.
MW: Kalau ada rumah sendiri, pandailah kita nak hidup suami isteri. Seronok. Sebab inilah kebahagiaan yang kita idam-idamkan.
Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis.
Hidup berumahtangga memang tak semudah disangka. Suami isteri ada egonya yang tersendiri. Namun paling penting sedar dan mengakui kesalahan diri sendiri serta berubah ke arah lebih baik. Barulah rumahtangga harmoni dan bahagia. Tidaklah orang perempuan kata letih jadi isteri, hanya dipersalahkan dan terpaksa hadap ego tak bertempat suami. Malah isteri kena diam dan tiada hak nak bertanya mahupun menegur tentang apa yang suami lakukan.
Untuk faham lebih lanjut, hadam perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
Kita tetap tak salah. Isteri tak masak, dia salah. Suami berkasih, bermesra dengan janda, tak salah. Isteri buat tak tahu kat suami, dia salah. Suami tengok lucah, tak salah. Isteri tak hormat suami, dia salah. Suami tak solat, dia tak salah. Isteri berubah, dia salah. Suami berubah, dia tak salah.
Isteri tag suami pada posting agama dan ilmiah, isteri buka aib suami, isteri salah. Suami cerita tentang isteri kat kawan-kawan, suami tak salah.
Gunakan Agama Tundukkan Isteri
Adakalanya kita yang jadi suami ni banyak menggunakan agama untuk menundukkan isteri, untuk bagi isteri hormat kita. Sedangkan perbuatan seharian kita langsung tidak mencerminkan seperti apa yang keluar dari mulut kita.
“Perempuan ramai di neraka…”
Ya, perempuan memang ramai di Neraka, tapi tiada satu pun hadis dan dalil yang mengatakan lelaki ramai di syurga. Setiap perempuan itu boleh menarik lelaki masuk ke neraka andainya lelaki itu tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ke atas diri mereka.
Letih Jadi Isteri
Sebab tu orang perempuan kata LETIH jadi isteri. Masa susah boleh hidup dengan suami, bila senang, suami dengan “senangnya” cari lain. Masa suami tiada apa-apa dan bukan siapa-siapa, isterilah orang yang dia selalu jaga. Bila dia dah ada nama dan harta, isterilah orang yang dia lupa.
Bila isteri buat yang terbaik dalam rumahtangga, bila isteri pikul beban lebih dari yang sepatutnya, nak dihargai pun susah, apatah lagi difahami sehingga ke dalam lubuk hati.
Penat, letih.
Sebut ja penat, sebut ja letih, terus ‘dicop’ tak ikhlas dalam menjalankan tugas. Tak nak syurga ke? taknak jadi solehah ke? walhal sebenarnya itu adalah satu bentuk S.O.S isteri untuk mintak bantuan dan diringankan bebanan yang ditanggungnya. Kalau tak boleh tolong, takkan hargai pun tak boleh? Dah tu, apa yang kita boleh?
Kita tetap tak salah sampai bila-bila sebab kita tak mahu sedar dan mengakui akan kesalahan diri sendiri.
Suami Hilang Kawalan Bila Isteri Tuntut Cerai
Bila isteri tuntut cerai, kenapa kita hilang kawal?
Sebab kita tak boleh terima, kita rasa tindakan isteri tu dah melampau.
Tapi fikir la balik, sepanjang kita hidup dengan dia, dia pernah tak tegur kita? apa respon kita? sepanjang kita hidup dengan dia, dia pernah tak nasihat kita? kita dengar tak?
Kadang-kadang kita ni terlalu ego untuk menerima teguran dan nasihat isteri sendiri. Orang perempuan, takde saja-saja nak tegur, nak nasihat kalau bukan untuk kebaikan kita sendiri.
Bawa kereta laju, isteri cakap, “Abang, slow skit…”, kita balas, “diamlah…”, kita tekan lagi paddle minyak pastu eksiden. Kita cedera ringan, isteri meninggal.Boleh hidupkan isteri balik untuk cakap minta maaf sebab tak dengar teguran dia? Dah terlambat..boleh menyesal je la dengan perbuatan tu, yang mati tetap dah mati.
Perempuan sabarnya tinggi, ketabahannya kuat tapi bila kita selalu menguji, maka dia sendiri pun tak tahan. Semua orang ada limit masing-masing dan limit seorang isteri ialah apabila dia menuntut untuk dilepaskan setelah percubaan dia untuk mengubah keadaan tidak berjalan seperti yang dia mahukan.
Belajar daripada apa yg berlaku di sekeliling, hidup berlandaskan ego akan menjahanamkan diri sendiri.
MW: Memang terdapat mentaliti segelintir suami di Malaysia sebegini. Isteri kena diam dan tiada hak nak bertanya mahupun menegur tentang apa yang suami lakukan.Semoga semua isteri yang menerima nasib sebegini diberikan kesabaran yang sangat tinggi dan ikhlaskan segala perbuatan suami pada kita. Semoga dikurniakan darjat yang tinggi di sana kelak.
Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan hanya memiliki anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki.Rupanya ia ada hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana terdapat kajian daripada aspek biologi mendedahkan bahawa melahirkan ramai anak lelaki boleh memendekkan jangka hayat si ibu.
Perkara ini dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy sebagai rujukan;
ANAK LELAKI MEMENDEKKAN USIA IBU. BENARKAH?
Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan.
Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.
Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.
3 Punca Utama
Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang keputusan ini adalah
1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.
2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.
3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.
Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.
‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.
Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.
Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya. Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.
Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti. Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.
Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Sesungguhnya urusan jodoh, anak dan ajal kematian merupakan ketentuan daripadaNya.Bersyukurlah dikurniakan anak tak kira lelaki mahupun perempuan, persiapkanlah diri mereka agar menjadi anak yang soleh, solehah agar mampu menjadi ‘bekalan’ dan saham akhirat buat kita bila telah tiada nanti.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...