Kata orang semasa bercinta sikap pasangan berbeza. Bila dah berumah tangga, lain pula perangainya. Tapi ada juga wanita yang sebelum dan selepas kahwin tak berubah laku.
Semakin mengenalinya, semakin jatuh kasih. Tapi masa bercinta bukan tiket untuk berbuat satu hal yang berlebih-lebihan. Masa ini anda cuma perlu belajar karakter dirinya. Bila ada ciri-ciri ini pada bakal isteri anda, cepat-cepatlah lamar jadikan isteri yang sah.
5 Ciri Bakal Isteri Idaman Lelaki
1. Bukan Jenis Meminta
Kalau keluar berdua, tak pernah pun dia minta anda belikan emas ke, baju ke, handphone ke. Bermakna dia bukan jenis yang materialistik. Dia memahami diri anda dan menerima kekurangan mahupun kelemahan anda dengan berlapang dada.
2. Bukan Jenis Degil
Setiap kali anda memberikan pandangan, dia tidak membantah. Melawan jauh sekali. Jika tidak bersetuju dengan anda dia akan menyatakan dengan luahan yang bijak. Tanpa emosi mahupun mengada-ngada.
3. Bukan Jenis Mengata
Sepanjang mengenalinya, dia bukan jenis yang sibukkan hal orang lain. Tidak pernah dia membandingkan kehidupannya dengan sepupu atau saudara mara perempuan yang dekat dengannya.
Nak bezakan dirinya dengan kawan-kawan jauh sekali. Itu bermakna dia sangat memahami bahawa kehidupan ini ada bahagian masing-masing. Setiap rezeki orang itu sudah ditentukan oleh Allah.
4. Bukan Jenis Hipokrit
Dia tak sesekali menjadi orang lain. Ketika bersama anda, perangainya sama saja ketika dia bersama mak ayah, adik beradik mahupun kawan baiknya. Jika dia jenis yang tegas, itulah karakternya. Jika dia jenis yang manja, bermakna manjalah dia dengan semua orang.
5. Bukan Jenis Penting Diri
Kalau nak tahu dia penting diri atau tak, tunggu ketika anda sakit atau anda tidak berdaya memenuhi kehendaknya. Adakah dia merentan, merajuk atau memaki hamun. J
ika dia bersabar, mencari solusi setiap permasalahan yang berlaku. Bermakna dia wanita yang baik untuk anda. Dia juga perlu menjadi perancang yang baik untuk kehidupan anda berdua.
Karakter ini hanyalah indikasi untuk anda mencari cinta atau pasangan hidup yang baik. selebihnya tanyalah pada Allah.
Bagaimana? Caranya sebelum meneruskan perhubungan atau ikatan perkahwinan, lakukanlah solat istikharah sekurang-kurangnya 2 rakaat.
Mintalah padaNya agar diberikan tanda adakah si dia wanita paling sesuai untuk anda. Barangkali Allah tidak terus memberikan jawapan, jangan berputus asa. Sebaliknya teruskan lagi solat sampai keputusan itu telah benar-benar bulat.
Ads
Cara Solat Istikharah Langkah Demi Langkah
Ini panduan yang diberikan oleh Saudara Ammar tentang mengerjakan solat Istikharah langkah demi langkah, semoga bermanfaat:
Cara Melakukan Solat Sunat Istikharah. Solat Sunat ini adalah satu solat sunat yang dilakukan bagi mendapat petunjuk daripada-Nya mengenai sesuatu perkara yang diragui.
Solat Sunat Istikharah dilakukan bagi mendapat jawapan atas persoalan yang bermain di minda seorang Muslim.
Disaat mereka mempunyai dua pilihan iaitu pilihan A dan pilihan B. Oleh itu, Solat Sunat Istikharah dapat membantu seseorang Muslim itu mendapat jawapan pasti atas persoalan antara dua pilihan itu.
Memilihan pilihan pertama dan harus melepaskan pilihan kedua. Itulah kehidupan di dunia ini, manusia sering diberi pilihan. Di dalam kita memilih pilihan yang diberi adakah pilihan kita itu tepat atau sebaliknya?
Solat Sunat Istikharah merupakan langkah yang terbaik bagi mendapat jawapan di atas persoalan yang bermain di fikiran seseorang Muslim. Ini dapat membantu seseorang Muslim untuk membuat pilihan tepat.
Dengan Solat Sunat Istikharah Insyaallah kita akan diberi petunjuk oleh-Nya untuk memilih pilihan yang paling terbaik.
Ads
Bagaimanakah cara untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah?
Cara Melakukan Solat Sunat Istikharah
Lafaz niat
Pertama sekali untuk solat adalah lafaz niat. Lafaz niat adalah “Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala”.
(Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala)
Rakaat pertama:
Seterusnya baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun.
Rakaat kedua:
Ads
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas.
Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah
Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah, jika hal ini….(sebutkan namanya)”
Doa Solat Sunat Istikharah (Rumi)
Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika, wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii ‘aajili amrii wa aajilihi fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir
Maksudnya:
“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Membawang atau bergosip memang antara aktiviti yang disukai wanita. Ops! Jangan salah faham. Bukan membawang pasal orang lain pun, tapi membawang tentang kehidupan masing-masing. Bukan membawang mengata orang itu ini ye.
Kadangkala aktiviti ini sebagai satu medan bersosial bagi mak-mak lebih-lebih lagi bila tak bekerja. Waktu petang, dah beres semua kerja, bolehlah duduk bersembang. boleh juga tau hal semasa. Taklah terperap dalam rumah saja kan.
Tak Salah Pun
Tak salah pun bila waktu terluang mak-mak berkumpul bersama berbual-bual. TAPI yang salahnya bila sampai ‘terlupa’ pasal suami dan anak-anak.
Mak Ai, bila balik rumah, tengok dia tak ada. Bila telefon, rupa-rupanya sedang bertandang ke rumah jiran. Bila disuruh balik, barulah terhegeh-hegeh nak balik.
Mungkin ada suami yang pernah mengalami situasi yang sama; pulang kerja isteri tak ada di rumah? Itu belum lagi ketika dia bergayut dengan kawan-kawan atau di grup whatsapp. Sampai lupa anak suami!
Membawang Jangan Sampai Jadi Kaki Gossip!
Isteri sebegini boleh dikatakan kaki gosip atau zaman sekarang ini digelar ‘makcik bawang’. Ada saja topik yang dibualkan dengan rakan-rakan. Sebagai suami, tentu anda tak selesa jika isteri berperangai begini.
Tak kira sama ada yang bergelar suri rumah tangga mahu pun ada karier. Sikap suka ‘membawang’ itu tak terbatas secara bersemuka saja. Dengan SMS atau whatsapp pun boleh!
Tegur Tapi Berhemah
Mungkin ada isteri beranggapan, anda sebagai suami tak patut larang mereka berjumpa dan duduk berbual dengan jiran tetangga pada waktu senggang. Yelah, semua kerja rumah sudah beres. Sambil bawa anak-anak bermain di sekitar kawasan rumah, waktu inilah mereka nak berjumpa dan beramah mesra dengan jiran tetangga. Nanti dicop ‘jiran tak bermasyarakat’ pula kalau asyik memerap dalam r umah.
Jelaskan pada isteri, bukan anda marah dia keluar dan berbual dengan jiran tetangga. Memang tak salah jika niat mereka nak bersilaturahim dengan jiran tetangga. Tapi anda tak suka kalau isteri sibuk bergosip dan ambil tahu hal orang lain. Lainlah kalau berbual dan berkongsi soal anak-anak, okay lah. Ini, balik saja ke rumah, mulalah isteri berkongsi dengan anda ‘cerita panas’ yang baru dia kutip ketika duduk berborak sebelumnya. Macam mana anda tak naik angin kan.
Tak Perlu Membawang Kalau Bukan Hal Penting
Bercakap dan berbual hal penting dan perlu saja. Tak kisah topik semasa atau apa tapi jangan sampai mengumpat perihal orang lain. Paling penting, kena sentiasa ingatkan isteri, berdosa mengumpat dan mengata orang tu besar. Sanggupkah dia pikul dosa mengumpat saban hari?
Tegas
Sebagai suami, anda ada hak untuk melarang isteri untuk bergaul dengan individu yang boleh memberikan pengaruh buruk terhadap isteri anda. Bukan tak boleh berkawan langsung, tapi berpada. Tak perlu rapat. Sebagai isteri pula, kena terima teguran suami dengan hati terbuka. Suami faham kehendak anda untuk berkawan tapi jangan sampai menjadi satu dosa pula.
Suami juga perlu tetapkan had masa yang isteri boleh keluar duduk melepak dengan jiran tetangga. Biasalah, kadangkala asyik sangat berborak, tak sedar berjam-jam sudah berlalu. Begitu juga kalau berbual di telefon atau grup whatsapp. Sentiasa ingatkan isteri agar jangan terlalu leka sangat.
Kena Main Peranan
Kadangkala tak boleh salahkan isteri juga. Ada suami yang balik kerja, hanya duduk di depan TV. Bersembang dengan isteri pun jarang. Suami kena ingat, isteri juga ingin berbual dengan suami setelah seharian suami bekerja. Tak kisah topik apa, tapi ambil masa untuk berbual dengan isteri.
Pasti banyak perkara boleh dibualkan. Ini juga masanya untuk anda menasihatinya jika ada yang tidak kena. Kalau anda dalam dunia anda sendiri, jangan salahkan isteri bila dia juga sibuk menelefon dan berwhatsapp dengan kawan-kawannya.
Sebab hidup ini mudah saja sebenarnya. Tak perlu pun sampai nak merajuk bagai bila suami terlupa atau tak hargai isteri dengan barang kemas atau hadiah bila tiba hari istimewa. Jangan mengharap begitu..
Belajarlah untuk gembirakan hati dengan cara anda sendiri. Bersykur itu pun satu kata kuncinya. Kerana, suami kita itu pun makhluk Allah juga. Ada masanya tak lepas dari sifat pelupa.
Hadamkan penulisan hebat dari wanita ini. Banyak benarnya untuk dihadamkan oleh para isteri. Dan cara yang dibuat ini lebih menjadikan diri lebih tenang dan bahagia.
Dalam Hidup Ni Jangan Mengharap Suami Beri Itu Ini
Dula ada senior..
Setiap kali birthday dia..
Dia akan ambil cuti..
Dia bagitau di hari lahir dia adalah hari dia reward diri dia.
Dia jalan sendiri. Beli apa yang dia nak walaupun mahal. Habis-habisan di hari lahir dia.
So suami nak sambut atau tak dia tak rasa sakit hati sangat.
Dia borak-borak dengan saya..
Dalam hidup nie jangan mengharap suami beri itu ini.
Sampai stress dan bergaduh dengan suami.
Pendapat saya pula..
Kalau suami memang tak mampu dan dapat siapkan yang nafkah wajib pun bersyukurlah.
Ramai lagi orang nak makan pun takde.
Sekurang-kurang cukup makan pakai.
Isu terkini.. Mintak suami belikan emas..
Emas tue buka nafkah wajib ye..
Kalau rasa kita jenis suka berbelanja dan banyak keinginan mintakla izin kerja kalau gitu.
Online pun boleh..
Suami bagi emas sesekali. Pastu yang nafkah wajib tiap-tiap bulan korang kena siapkan..
Nak ke?
Ketenangan, Kecukupan Pun Satu Rezeki
Tetapi Kalau suami mampu tapi tak nak beri kita pun…
biarkan…
Allah kan ada..
Kita ambil hati Allah, Allah ambil hati kita dengan pelbagai rezeki.
Ketenangan pun satu rezeki.
Kecukupan pun satu rezeki.
Rezeki manusia nie pada makhluk nama suami je ke?
Rezeki, Ketenangan dan kecukupan bukan datang dari suami.
Semuanya dari Allah.
Suami pun makhluk Allah.
Kalau background family suami bukan jenis memberi dan menghargai dan suami pun jenis hati keras dan tak nak belajar menghargai, dia tetap akan begitu sampai bila-bila pun.
So tak perlulah nak merentan bagai.
Bagi suami yang mampu tapi kedekut,
Biasanya rezeki suami macam nie berat dan akan ditarik dengan macam-macam kes.
Hidup nie simple.
Orang tak sayang dan tak hargai.
Allah kan ada.
Amalkan ya latif, ya Shakur..
Ada hikmahnya..
Lagi satu tips..
Kalau hati tak kental janganlah dok tengok fb orang yang asik up apa suami bagi tue.
Kang korang plak bergaduh laki bini.
Dah laki korang tercengang-cengang apa salah aku nie.
Semoga Allah kurniakan menantu-menantu perempuan yang ada sifat qannah dan anak-anak lelakiku dikurniakan sikap menghargai pada isteri dan keluarga.
“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.
Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.
Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Budak 9 tahun meninggal akibat sawan, ibu diserang strok ikut jejak anak berselang dua hari. Bagai sehidup semati, janji yang termetrai di luh mahfuz....