Seni melipat kertas atau Origami ini asalnya dari Jepun dan berkembang menjadi satu seni moden. Ada yang diperbuat dari kertas malah kain membentuk flora dan fauna yang bersegi-segi.
Ianya satu hasil kerja yang berseni, tapi ketika mak-mak bermain dengan anak-anak, kita layankan saja bentuk-bentuk yang anak hasilkan. Puan Hayati Nawawi berkongsi 9 kebaikan aktiviti Origami bersama anak-anak.
Ads
Bentuk Perkembangan Anak-anak
Origami adalah seni melipat kertas yang berasal dari negara Matahari Terbit. Seni origami sebenarnya banyak membantu perkembangan anak-anak. Membuat origami bersama anak -anak bukanlah kita mencari kesempurnaan. Tetapi asas kepada proses anak-anak melembut dan melakukan gerak-geri halus.
Ads
Sebagai permulaan membantu ibu bapa melipat kain baju juga adalah latihan awal sebelum di ajar origami. Biasakan anak-anak melipat kain baju seawal umur 3 tahun.
Ads
Kelebihan Origami
Ini antara kelebihan beraktiviti dengan anak dengan melakukan aktiviti origami
Origami mengajar anak untuk mengendalikan bahan yang halus dan rumit dengan berhati-hati. Seni lipatan origami ini memahirkan tangan anak-anak untuk melipat dengan sabar dan berhati-hati bagi membolehkan lipatannya berhasil menjadi objek yang diingininya.
Origami mengajar anak keseimbangan dan simetri. Lipatan-lipatan origami memerlukan latihan agar anak-anak mahir melipat dan memastikan lipatan tersebut betul-betul simetri bagi menghasilkan objek yang sem[urna.
Origami meengajar anak ilmu matematik berkaitan geometri, setengah , seperempat bentuk dan saiz. Sambil kita menjalankan aktiviti ini bersama anak, ringan-ringankanlah mulut kita untuk bersembang dan menerangkan kepada anak-anak akan proses tersebut.
Membuat origami adalah salah satu cara mendidik anak melaksanakan sesuatu tugasan itu dengan tertib dan sempurna. ‘Step by step’ cara lipatan tersebut harus di ikut sehingga sempurna terhasilnya objek tersebut.
Walau macamana jua hasilnya hasil daripada lipatan mereka. Biasanya kita akan lihat keterujaan dan kesungguhan mereka. Hasil yang indah pada pandangan mereka hasil dari lipatan tersebut pasti menjadi keseronokan. Lebih-lebih lagi jika mendapat pujian dan kata-kata semangat darui ibu bapa.
Prosedur, tahap demi tahap dalam membuat lipatan tersebut secara tak langsung mengajar anak disiplin dan mengikut peraturan.
Kreativiti yang terhasil daripada aktiviti lipatan kertas origami ini mampu membentuk ketrampilan, kreativiti dan imaginasi anak-anak.
Origami memiliki bahasa pendidikan yang menyeluruh @ universal, mudah di fahami dan disukai orang diseluruh dunia dari pelbagai budaya, agama dan status sosial.
Origami juga boleh dijadikan aktiviti santai bersama keluarga atau kawan-kawan
Boleh Cari Origami Di..
Aktiviti origami ini tidak memerlukan kos yang mahal.
Saya biasa membeli kertas origami ini di kedai Mr DIY atai Daiso di AEON.
Untuk tutorialnya pula saya biasa lihat di Youtube.
Untuk anak-anak kita mulakan peringkat beginner dahulu dengan lipatan-lipatan yang mudah.
Sumber: Blog Hayati Nawawi via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jangan bergurau bab Talak ye! Talak perkara serius. JANGAN sampai ada yang menyesal seumur hidup kerana tak ambil berat soal ini.
Akhir-akhir ini, saya kerap terima soalan-soalan mudah mengenai talak atau cerai. Antaranya: “Suami saya lafaz menceraikan saya dengan talak tiga tapi katanya dia tak ada niat pun nak ceraikan saya. Dia lafaz cerai masa tengah marah. Jatuhkah talak?”
Ada kes: “Saya cuma taip dalam SMS saja, tak ada niat pun nak ceraikan dia.” Sedangkan ayat tertera di dalam SMS ialah: “Saya (nama suami) menceraikan isteri saya (nama isteri) dengan talak satu.”
Jangan Bergurau, Talak Berlaku Dan Sah!
Hakikatnya, dalam kedua-dua kes disebut di atas, talak telah berlaku. Talak dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan. Dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talak atau seumpamanya.
Seumpamanya yang saya dimaksudkan di sini ialah perkataan yang membawa maksud jelas sebagai talak mengikut bahasa pertuturan masing-masing contohnya cerai di dalam Bahasa Melayu dan ‘divorce’ di dalam Bahasa Inggeris serta lain-lain perkataan yang serupa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Cerai (talak) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (rujuk dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.”- surah al-Baqarah ayat 229.
Talak akan berlaku apabila cukup rukun dan syaratnya. Panjang pula kalau saya nak ceritakan di sini jadi tolong rujuk kepada modul pra perkahwinan yang anda dan pasangan hadiri sebelum pernikahan dulu.
Fokus saya dalam perbincangan kali ini ialah mengenai faktor kerelaan atau keterpaksaan yang sering dijadikan alasan serta bentuk lafaz talak yang diucapkan.
Keterpaksaan yang tidak menjatuhkan talak hanya jika paksaan tersebut meletakkan si suami dalam keadaan membahayakan keselamatan nyawanya sendiri atau nyawa si isteri. Jika paksaan seorang isteri yang mendesak dan terus mendesak agar dirinya diceraikan tanpa melibatkan keselamatan nyawa dan si suami melafazkan cerai tersebut, maka talak tetap jatuh dan dikira sabit.
Talak Dengan Lafaz Soreh
Syarat lafaz ialah perlu ada lafaz atau perkataan yang menunjukkan talak. Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu pertama: lafaz soreh (terang) iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas membawa maksud talak tak kira apa pun penggunaan bahasanya. Contohnya suami melafazkan: “Aku ceraikan engkau talak satu” atau “I divorce you” atau yang seumpamanya.
Talak dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh walaupun tanpa niat. Merangkumi lafaz yang diluahkan melalui SMS atau e-mel atau sekadar tulisan tangan; andai perkataan yang digunakan jelas bermaksud talak, niat tidak perlu dinafikan lagi. Mustahil tiada lintasan di hati untuk menyebut atau menaip atau menulis lafaz talak tersebut andai tiada niat!
Lafaz Kinayah
Lafaz kedua ialah lafaz kinayah atau kiasan iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran contohnya suami berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Bila suami menggunakan lafaz sebegini, niat suami ketika melafazkan perkataan tersebut diambil kira. Jika suami berniat untuk cerai atau talak, maka jatuhlah talak. Sebaliknya jika suami tidak berniat menceraikan, talak tidak akan jatuh.
Berdasarkan kes yang diemelkan kepada saya, lafaz yang disebut ialah “aku akan ceraikan hang talak 3”. Berdasarkan syarat lafaz, jelas sekali talak masih belum jatuh sebab suami menggunakan perkataan ‘akan’.
Belum Berlaku
Semua sedia maklum, perkataan ‘akan’ membawa maksud belum berlaku atau belum dibuat. Analogi mudah, seseorang mengucapkan ‘saya akan makan’, dia sekadar meluahkan hasrat untuk makan tetapi belum makan. Bererti, dalam kes ini, ada kemungkinan si suami akan menceraikan isteri dengan talak tiga tetapi masih belum menceraikan isterinya tika perkataan itu disebut.
Termasuk juga lafaz taklik atau menggantungkan syarat tertentu yang jika syarat berlaku, talak akan jatuh. Lafaz taklik jika soreh, tak boleh ditarik balik atau dibatalkan.
Jangan Risau, Rujuk Mahkamah
Saya ulangi: talak akan jatuh hanya dengan perkataan yang jelas dan terang membawa maksud cerai. Sekiranya anda berdepan dengan suami yang mengucapkan lafaz kinayah seperti yang saya jelaskan tadi, cepatlah mengadu ke pejabat agama, akan ada pihak yang akan membantu anda mendapatkan kesahihan lafaz tersebut.
Undang-undang menetapkan talak hanya boleh diucapkan di Mahkamah Syariah. Namun bukan bererti talak tidak jatuh jika diucap bukan di Mahkamah Syariah. Bagi mereka yang berdepan kes ucapan talak bukan di Mahkamah Syariah, daftarkan kes anda di Mahkamah Syariah berdekatan bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai.
Andai keliru, mohon untuk ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan biar status perkahwinan anda disahkan. Jangan sampai meneruskan hubungan dalam keadaan berzina!
Setiap orang ada rezeki masing-masing, baik besar atau kecil belajarlah untuk menghargainya. Biarpun cuma bawang putih kecil atau pun duit syiling. Sebagaimana yang dikongsikan Dzuriasikim Dzulkefli akan pesanan neneknya ini.
Agar tidak sesekali memandang rendah pada rezeki yang diperoleh setiap hari. Biarpun sekecil-kecil rezeki yang hadir. Hadamkan kisah ini yang penuh mendalam pengajarannya.
Tak Buang Bawang Putih Kecil-kecil Begini
Sedang mengupas bawang…
Bila lihat bawang bawang putih yang kecil-kecil begini, teringat saya akan kisah sewaktu saya sangat susah dahulu. Bawang putih yang sangat kecil begini kadang sukar sedikit untuk dikopek. Jadi, ada orang yang akan buangkan sahaja. Tetapi saya tidak buang.
Pernah ketika mahu memasak dan saya hanya mampu masak apa yang ada sahaja kepada anak-anak. Di rumah waktu itu hanya ada bawang, beras, sedikit ikan bilis dan telor. Itulah bahan masak utama yang boleh dikatakan tidak pernah putus di rumah. Syukur.
Bawangnya tidaklah banyak. Hanya tinggal yang kecil-kecil… bahkan sangat kecil sehingga saya terpaksa menguis-nguis di sebalik kulit-kulit bawang yang ada. Barulah jumpa.
Tak dapat banyak. Sedikit pun jadilah. Sebagai pelengkap rasa. Boleh lah digunakan untuk masak nasi goreng. Asalkan anak-anak kenyang sahaja.
Jika Sedikit Wang Ditangan, Eloklah Duduk Rumah Saja
Bukan tidak mahu ke kedai. Tapi tidak ada kenderaan waktu itu. Dan wang yang ada pun tidak seberapa. Pesan arwah nenek saya, jika wang ada sedikit di tangan, eloklah duduk di rumah sahaja. “Nakhabis hari ni, habis esok…” katanya.
Ia bermaksud, jika kita keluar rumah hari ini, akan habislah duit tu hari ini. Jadi, duduklah di rumah sahaja jika tidak ada kepentingan untuk keluar. Kerana bila keluar rumah, pastilah kita akan berbelanja nanti. Duit yang ada di tangan itu, dari dihabiskan hari ini… dapatlah dipegang atau disimpan sehingga ke esoknya. Begitulah.
Demikianlah juga dengan wang syiling atau seringgit yang pada orang lain jika terjatuh atau terjumpa tidaklah dipandang kerana nilainya yang sangat kecil. Tetapi bagi saya yang pernah perlu mengutip syiling dalam rumah dan dikumpulkan sehingga dapat membeli satu tin susu untuk anak kecil saya, wang syiling tetap bernilai dan berharga.
Jangan Pandang Rendah Nilai Duit Syiling
Untuk wang syiling pun ada juga pesanan dari nenek saya. Katanya dalam loghat Kelantan, “Ore tok jeh ko duit….”.
Bermaksud, jangan sesekali memandang rendah kepada duit atau wang (tanpa mengira nilainya kecil atau besar).
Pengajarannya, harus sentiasa hargai sekecil-kecil rezeki dalam hidup. Cerita bawang dan wang syiling ini hanyalah contoh kecil dari pengalaman hidup saya yang boleh kita amalkan.
Dan banyak petua orang dulu-dulu yang boleh kita contohi. Sebab itu kita lihat orang dulu-dulu hidup mereka sangat rukun dan harmoni, tenang dan bahagia biarpun tidak dalam serba ada. Mereka sangat berjimat cermat dan pandai berbelanja. Mereka sangat menghargai apa sahaja yang mereka miliki.
Jika ada… Adalah.
Tak tiada, mereka berlapang dada.
Mingguan Wanita :Sungguh lah.. jika bersyukur dengan apa yang diperoleh setiap hari. Tentunya tidak mengejar-ngejar apa yang tiada di depan mata.
Pengalaman ibu ini, Cik Puan Ammy dan suami berdepan sekumpulan anak-anak yang berbasikal lajak di tengah malam gelita membuatkan dirinya dilanda kebimbangan.
Mujurlah suami sempat menekan brek, kalau tidak mahu dia pun tergilis kepala anak-anak yang sedang leka bermain basikal lajak di tengah malam hari itu. Yang buat hatinya hairan, kenapa anak bersekolah ini lepas bebas sebegitu.
Terkenang Peristiwa Malam Merdeka
Rata-rata netizen menghentam hak kebebasan amoi yang melanggar mati 8 remaja Basikal Lajak dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, pada 18 Februari 2017 yang lalu. Saya tidak berpihak kepada sesiapa, menghentam pun tidak, menyokong pun jauh sekali… Tetapi terus teringat peristiwa malam merdeka 2019 yang lepas.
Jam 11++ pm, ketika kami suami isteri pulang dari berniaga dengan menaiki lori… Kelihatan sekumpulan budak lelaki dalam lingkungan 5 ke 7 orang, mungkin sebaya dengan anak saya (12 tahun) sedang menolak Basikal Lajak mendaki bukit (jalan raya berbukit) di kawasan Forest Height Seremban.
Apabila kami tiba di atas bukit, ada pula yang bersiap sedia untuk ‘melajak’ basikal nya menuruni bukit… Ada juga yang bersantai – santai baring di bahu-bahu jalan di mana posisi kepala berada di atas jalan raya dan kami hampir menggilis kepala salah seorang daripada mereka kerana kawasan itu agak gelap (tiada lampu jalan).
Mujur Sempat Mengelak Dari Terkena Basikal Lajak
Nasib baik suami sempat mengelak. Jikalau lah suami tidak berhati-hati sudah pasti kami senasib dengan amoi yang melanggar mati 8 orang remaja Basikal Lajak tempohari kerana telah menggilis kepala kanak-kanak tersebut walaupun tidak sengaja… Nauzubillah mohon dijauhi pekara seperti itu berlaku keatas anak-anak saya dan anak-anak para pembaca.
Ikutkan hati suami, ingin sahaja berhenti dan ‘menghalau’ mereka balik. Tetapi saya menghalangnya kerana bimbang suami pasti akan memberi ‘pelempang jepun’ kepada anak-anak tersebut. Pasti ada ibu-bapa yang tidak berpuas hati nanti.
Dengan rasa tanggungjawab… Suami ‘call’ 999 dan minta disambungkan ke balai polis berhampiran minta pihak polis buat rondaan. Apa yang paling terkesan dengan kata-kata suami saya;
“Encik… Tolong segera ya. Anak-anak bangsa kita tu. ”
Di mana ibu dan bapa anak-anak tersebut? Sudah larut malam anak-anak masih tiada di rumah. Tidakkah mereka risau?
Sokong Hobi Anak Ke Saluran Yang Betul
Kepada ibu-bapa yang mendapati anak-anak ada memiliki Basikal Lajak. Tolong lah pantau. Jika berminat untuk berlumba basikal, tolong ke saluran yang betul dan selamat. ‘Support’ hobi anak-anak, luangkan masa melayan minat mereka. Anak-anak kita bakal pemimpin masa depan. Jangan hancurkan masa hadapan mereka dengan kelalaian kita sebagai ibu dan bapa.
Seperti yang saya nyatakan di atas, saya juga mempunyai seorang anak berumur 12 tahun, hampir juga nak ‘custom made’ Basikal Lajak secara rahsia menggunakan rangka-rangka basikal lama miliknya semasa berumur 4 ke 5 tahun yang lalu.
Biasa lah kan… Budak mana yang tidak tertarik dengan Basikal Lajak lebih-lebih lagi anak saya amat meminati sukan yang ‘extreme’ seperti ini. Memandang kan bapanya seorang pomen basikal dan punyai kelengkapan yang mencukupi memang tidak ada masalah untuk dia membina sebuah Basikal Lajak.
Walaupun dia sudah mempunyai sebuah basikal ‘mountain bike’. Namun dia masih tidak berpuas hati kerana hanya berlumba di laluan hutan (off road) sahaja. Dia juga ingin merasai pengalaman berlumba di jalan raya.
Kuasa Veto Mak, Padamkan Niat Anak Berbasikal Lajak
Bila saya selalu gagalkan rancanganya dengan ‘kuasa veto’ seorang ibu, langsung dia tidak berminat lagi dengan Basikal Lajaknya itu dan akhirnya rangka basikal tersebut ‘terkubur’ sepi dibelakang rumah.
Melihat dia bergitu berminat untuk berlumba di jalan raya, suami saya telah membeli sebuah lagi ‘racing bike’ untuknya dan saya sendiri telah mendaftarkan dia ke beberapa ‘event’ berbasikal dan salah satunya adalah daripada anjuran Junior Cycling sebagai tanda sokongan.
Sebagai ibu dan bapa kita haruslah sentiasa memberi galakkan terhadap minat anak-anak. Begitu juga dengan abang dan kakaknya yang punyai minat dan hobi yang berbeza. Minat anak-anak saya tidak sama walaupun lahir daripada benih dan rahim yang sama.
‘Support’ minat anak-anak bukan beerti kita manjakan mereka. Tunaikan kehendak anak-anak juga bukan beerti kita ‘bertuankan’ mereka. Tidak salah jika melayan kehendak dan kerenah mereka asalkan kita mampu tetapi haruslah berpada-pada dan kena pada tempatnya.
Letakkan syarat yang harus mereka patuhi dan ‘harga’ yang harus mereka bayar untuk mendapatkan sesuatu yang mereka idamkan.
Sebagai contoh, mereka perlu menghargai, menjaga dengan baik, menggunakannya dengan cermat dan tidak menyalah gunakan setiap pemberian. Terangkan kepada anak-anak bukan mudah bagi kita sebagai ibu dan bapa memerah keringat untuk mendapatkannya.
Anak-anak Ini Amanah Tuhan Untuk Mak Ayah Jaga
Memiliki anak-anak yang degil dan tidak mendengar kata ibarat igauan ngeri kepada ibu dan bapa. Tetapi ianya bukanlah satu alasan untuk kita mengabaikan mereka. Mereka amanah tuhan untuk kita jaga.
Setiap masalah ada jalan penyelesainya. Cuba cari di mana puncanya sehingga anak-anak kita menjadi tidak bermoral. Mungkin kurang kasih sayang, terlalu dimanjakan atau cara didikan yang salah.
Saya tidak menafikan, anak-anak saya juga kadangkala bermasalah. Alhamdulillah suami saya bijak menangani setiap masalah anak-anak dengan baik. Kami akan mencari puncanya dan akan berbincang apakah cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Kami tidak akan segan silu untuk meminta pandangan dan pendapat daripada para sahabat yang lebih berpengalaman.
Jadi Kawan Dan Dekati Anak-anak
Cuba jadi ‘kawan’ yang baik kepada anak-anak supaya senang mendekati mereka… Fahami perasaan mereka supaya senang mereka berkongsi masalah dengan kita dan cuba kenali diri mereka.
Ramai ibu dan bapa gagal mengenali sikap dan emosi anak-anak sendiri sehingga apabila belakunya sesuatu pekara yang buruk baru mereka sedar selama ini sikap dan tingkah laku anak mereka tidak bermoral, emosi anak terganggu dan jangan menyesal jika saat kita mula menyedarinya ianya sudah terlewat.
Semoga dewasanya anak-anak kita di bawah naungan keluarga yang bahagia. Keluarga bahagia akan melahirkan anak-anak yang cemerlang.
MW : Basikal lajak akan jadi tidak berbahaya jika di pandu anak-anak di kawasan dan masa yang betul. Ada salurannya untuk mak ayah layan hobi anak-anak ini.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.