Maklum ibu saudara allahyarham, Zarina Shuib, 53 wajah anak saudaranya kelihatan berseri-seri, tersenyum seperti sedang tidur.
Inilah yang disampaikan oleh adiknya, Mariani Shuib, 49 yang merupakan ibu Haziq dalam perbualan mereka pagi tadi.
Sekitar jam 8 pagi tadi, adiknya menghubungi maklumkan yang Haziq sudah tiada. Cuma belum ada pengesahan lanjut. Sejam selepas itu, dia dihubungi semula adiknya.
Kali ini, mengesahkan yang anak saudaranya itu telah pun meninggal dunia.
Ibu Kucup Wajah Arwah Haziq, Berseri-seri
Menerusi perbualan itu, maklum adiknya, “Mereka semua dapat kucup Haziq sebelum dibawa ke kubur. Wajah Haziq berseri-seri, tersenyum seperti sedang tidur.”
Ads
Jenazah anak saudaranya itu dipercayai terkena dua tembakan di badan. Namun wajahnya tidak cedera malah kelihatan bersih.
“Keadaan jenazah tidak terjejas sedikit pun. Walaupun sudah meninggal dunia hampir seminggu.” Arwah juga meninggal dalam keadaan berwudhu ketika menunaikan solat.
“Kami sekeluarga sangat lega, akhirnya semua sudah selesai. Memanglah kami sangat sedih dengan ketiadaan Haziq. Tambahan pula dah lama tak jumpa Haziq.”
“Tapi kami bersyukur akhirnya dia ditemui.” Kongsinya malah memaklumkan adiknya itu dapat berbual dengan tenang saat menceritakan keadaan anak kedua yang terkorban.
Ads
Adik Masih Belum Tahu Abang Sudah Meninggal
Bagaimana pun, berita kematian Haziq masih belum diketahui oleh adiknya, Mohd Haris, 12 yang turut berada di dalam masjid ketika serangan pengganas.
Ibu saudaranya ini tak dapat membayangkan bagaimana kelak reaksi Haris sebaik mengetahui pemergian abangnya. Dia juga gagal bercakap dengan anak saudaranya itu.
Semasa berbual dengan Mariani, anak saudaranya seakan mengelak untuk berbual. “Dia pergi ke lain.” Sebaik telefon bimbit diberikan kepadanya. Ujarnya, Haris masih trauma.
Ads
Zarina juga memaklumkan mereka sekeluarga bercadang untuk mengadakan solat ghaib untuk arwah selain majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah bermula malam ini.
Dia bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia. Yang membantu dan memudahkan urusan adiknya, Mohd Tarmizi dan keluarga sepanjang menempuh dugaan di New Zealand.
Sumber/Foto : Mstar, Sinar Harian, Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ada sesetengah penduduk Pasir Gudang sudah menghantar anak-anak pulang ke kampung halaman. Ada juga yang masih bertahan di sana. Apa pun pilihan mereka, keselamatan diri itu yang perlu diutamakan.
Malah orang awam perlu berada sejauh 5km dari Sungai Kim Kim yang sudah terdedah dengan tumpahan kimia beracun.
Ini nasihat Dr Rosli Abd Jalil, Doktor Kesihatan Pekerjaan agar memilih topenggas yang betul. Terutama kepada petugas dan orang awam yang terdedah dengan pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Topeng muka (Ties on 3Ply mask)
dan Topeng muka N95
BUKAN untuk kegunaan ketika berlaku kebocoran gas atau pencemaran gas.
Topeng tersebut hanya untuk mengelakkan habuk dan sesetengah kuman di udara.
Tetapi TIDAK DAPAT MENAPIS UDARA BERACUN!
Maka sebab itulah petugas dan mangsa kejadian terus-menerus menghidapi gejala keracunan gas!
Sila gunakan TOPENG GAS seperti dalam gambar untuk berhadapan dengan bencana ini. TOPENG GAS hanya boleh didapati di unit Bomba dan Penyelamat (HAZMART Team) dan beberapa kilang kimia Benzene dan bahan kimia.
Kepada semua penyelamat, anda WAJIB menggunakan Topeng gas ini. Manakala orang awam yang tiada Topeng Gas ini, inilah masanya anda patut keluar dari kawasan bencana secepat mungkin!
Sebanyak 13 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup. Lebih 260 mangsa pencemaran gas metana dirawat di hospital, malah ada yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Sungguh, pencemaran udara ini kali ini serius melibatkan orang awam dan anak-anak sekolah. Penjelasan Azam Abu Bakar tentang gas metana ini buat kita lebih faham.
Betapa gas metana itu sendiri beri kesan yang berbahaya, sebab bila ia terbebas kita tak sedar pun sedang hirup udara beracun dari gas metana.
Jumlah mangsa yang terlibat dengan keracunan gas metana dekat Johor makin bertambah dari hari ke hari. Petang tadi pun aku ada baca pasal pelajar sekolah pengsan akibat terhidu gas metana.
Gas metana ni, dia takdak bau. Gas metana ni pun takda warna. Jadi bila dia terbebas ke udara, orang awam tak tahu dia sedang hidu udara yang mengandungi metana.
Metana ni dalam kuantiti yang sikit, kandungan oksigen lebih tinggi tak membawa bahaya. Bahayanya datang bila konsentrasi (kepekatan) metana dalam udara sekeliling lebih tinggi dari oksigen.
Contoh gas berwarna ni macam klorin, warna hijau pekat atau nitrogen dioksida warna merah oren. Jadi gas berwarna macam ni kita tahu yang kandungan udara sekeliling ni tercemar. Itu pun bila bila gas tu dalam konsentrasi yang tinggi.
Metana ni bahan mudah terbakar. Dalam tangki gas memasak kat rumah pun ada peratus kandungan metana, selain propane, butane dan beberapa jenis bahan untuk menghasilkan silinder LPG tu.
Ada juga bandar yang guna gas metana untuk disalurkan ke rumah sebagai gas kegunaan memasak.
Tapi bila gas ni dekat kawasan terbuka, tak terbakar pun. Takde lah sampai gas tu dekat udara terbuka, kau cucuh lighter terus menyala.
Metana dalam bentuk cecair kalau terkena pada kulit menyebabkan keradangan (frost bite). Kalau terkena pada mata boleh menyebabkan kerengsaan, mata pedih.
Kalau melalui pernafasan atau terhidu gas metana ni dalam kuantiti yang banyak. Boleh menyebabkan pengsan, pening dan pitam, mual dan muntah.
Badan jadi lemah. Gas ni juga meningkatkan kadar degupan jantung, disebabkan dari gas tu berada dalam paru-paru. Ini dipanggil asphyxiation atau kelemasan.
Aku terbaca juga khabar angin seorang pelajar meninggal disebabkan terhidu gas metana ni, lepas tu Kementerian Kesihatan keluarkan kenyataan jangan buat khabar angin palsu.
Untuk membuatkan seseorang mati disebabkan gas metana, perlukan konsentrasi yang betul-betul tinggi ditambah dengan masa pendedahan yang panjang.
Metana ni tak bertoksik, menghidu dalam konsentrasi yang rendah dan pendedahan masa (exposure limit) yang singkat tak membawa bahaya hingga menyebabkan kematian.
Tapi kandungan metana dalam paru-paru perlu dikeluarkan untuk menyelamatkan mangsa.
Metana adalah gas asli yang terhasil dari pereputan sisa pepejal yang tercampur, kilang pemprosesan sisa pepejal misalnya. Baca kenyataan Jabatan Alam Sekitar pun dah dapat kesan lebih 30 kilang yang menghasilkan sisa buangan metana.
Bila kejadian macam ni berlaku, Jabatan Alam Sekitar akan periksa semua kilang yang menghasilkan bahan sisa yang mengandungi metana.
Buang (dumping) sisa terjadual tanpa prosedur yang betul dibawah akta alam sekeliling, siap lah denda maksima RM500k dan 5 tahun penjara. Menyebabkan bahaya kepada penduduk sekitar, dakwa bawah kanun keseksaan pula.
Benda tak bertanggungjawab macam ni sepatutnya tak berlaku kalau pihak kilang ni sedar pasal bahaya yang datang dekat penduduk sekitar sekiranya terhidu udara tercemar.
Nak mudah, buang jer kat sungai. Untuk buang sisa terjadual ni dengan cara yang betul memang guna kos yang agak mahal.
Kontraktor yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar akan ambil dari kilang, kilang kena bayar servis kontraktor (biasanya Kualiti Alam, lori warna hijau. Tapak pelupusan dia dekat Seremban).
Tapi impak dari pelupusan /membuang sisa buangan tanpa ikut prosedur yang betul lagi mahal. Nyawa penduduk pula jadi bahaya.
Kalau sisa kimia tu dekat sungai, dalam bentuk cecair, empangan menggunakan alat penyerap untuk asingkan bahan ni daripada air. Aku baca juga sisa ni belum sampai ke laut sebab tersangkut dekat kawasan paya bakau.
Sungai Kim Kim ni hujung sekali ialah laut. Bahan metana ni ringan, jadi kalau dalam bentuk cecair dia akan terapung. Menyebabkan hidupan akuatik mati sebab udara tak sampai ke dasar. Air jadi tercemar. Kan dah menyusahkan abang bomba nak buat kerja pembersihan.
Topeng muka boleh digunakan untuk mengurangkan kadar metana yang dihidu. Kalau kita terdedah kepada udara tercemar, mandi dengan kerap dan basuh tangan sebelum makan.
Kandungan udara bukan sahaja mengandungi metana tetapi campuran bahan kimia lain.
Kalau metana + oksigen, kesan maksimum ialah kelemasan atau asphyxiation.
Kesan campuran metana dan bahan lain seperti xylene, butane atau hidrogen chloride memberi kesan jangka masa panjang kepada orang yang terdedah kepada udara tercemar. Belum ada kenyataan penuh dari kementerian kesihatan.
Topeng muka berwarna putih tu tak sesuai dipakai, clinical mask yang biasa tu. Nipis sangat. Topeng muka yang sebetulnya ialah N95, tebal dan lebih sesuai dengan udara tercemar campuran kimia.
MW : Khabarnya topeng N95 pula banyak dah kehabisan stok di sesetengah farmasi Pasir Gudang. Allahu.. moga usaha membantu mangsa pencemaran udara di sana dipermudahkanNya.
15 March 2019, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48 berada jauh dari Malaysia. Ketika itu, dia mendapat berita suaminya, Mohd Nazril Hisham Omar, 46 ditembak ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.
Debaran di hati usah cerita. Mahu saja dia terbang ke bumi kiwi, New Zealand secepatnya. Apakan daya, ketika itu dia berada di Thailand.
Nak tak nak, dia perlu berkejaran ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Agar dia dapat masuk ke Malaysia dengan segera.
Perlu packing, cari tiket penerbangan dan terbang ke New Zealand bersama anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19 bagi mendapatkan suami yang ketika itu ditimpa musibah.
Berbelas jam perlu ditempuh untuknya sampai kepada suami yang ketika itu sedang terlantar di hospital.
“Masa kejadian itu, saya tak rasa marah. Lebih kepada panik, kalau jadi benda-benda di luar jangkaan yang akan berlaku. Tapi saya redha.”
“Hari itu, hari Jumaat dan suami saya dalam wudhu, di dalam masjid pula. Jika ditakdirkan ‘pergi’. Insya-Allah jannah untuknya.”
“Dan jika ditakdirkan tidak bertemunya, saya redha dan dah maafkan apa jua kesalahannya selama kami hidup bersama.” Itulah doanya sepanjang menantikan detik mahu bertemu suami.
Di dasar hati, sukar untuknya melihat wajah pengganas yang telah menembak suaminya. “Tapi siapa kita untuk benci dan marah orang. Apa yang Allah jadikan ini pasti ada hikmah. Dan ia berlaku sebab izin Allah.”
“Tanpa izinNya ia takkan berlaku.”
Perjalanan berbelas jam akhirnya menemukan isteri ini dengan suami yang telah pun terlantar di hospital dengan kesan tembakan pada jari jemari kaki serta bahagian belakang.
Sepanjang berada di sana, Zurinawati menghabiskan masa dari pagi hingga malam menemankan suami di hospital. Sekitar jam 9 malam baru dia akan sampai ke rumah.
Anak-anaknya pula meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Namun, kesan luka tembakan memberi impak kepada anak yang bongsu. Apabila si bongsu itu jadi takut untuk dekat dengan ayahnya. Takut dengan kesan darah yang ada pada tubuh ayah.
“Yang bongsu jadi rindu dekat ayahnya. Semalam (21hb) first time jumpa, dia menangis sampai tertidur.” Selepas enam hari barulah anak bongsu ini berpeluang bertemu ayah.
Di hospital, isteri ini menjadi peneman yang paling setia.
Ketika suami diganggu igauan ngeri, dia di sisi untuk menenangkan. Begitu juga ketika terpaksa menelan pil yang pahit, tangan isteri digenggam erat sebagai sokongan emosi dan kekuatan buat suami.
Zurinawati dan anak sulungnya ber’PJJ’ dengan suami dan anak-anak yang lain. Di Malaysia, dia meneruskan bakti menjadi Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Hatinya bebelah bagi saat ditebak soalan mahu berapa lama berada di New Zealand.
“Susah untuk saya jelaskan. Saya masih lagi pensyarah. Hakikatnya, saya perlu berada di sana (UiTM) untuk pelajar saya. Macam-macam kerja tapi keluarga saya perlukan saya.”
“Untuk saya berada di hospital ini dari pagi sampai ke malam. Ketika suami sakit, atau perlu menelan ubat yang pahit. Suami akan pegang saya.”
Sungguh kesan serangan pengganas di Christchurch turut memberi kesan kepada keluarga kecil ini. Di New Zealand, suaminya bekerja sambil menjaga tiga orang anaknya yang lain, Muhammad Hazieq Daniel, 13, dan Muhammad Hazriq Daniel, 9.
Zurinawati melihat kesan kecintaan masyarakat New Zealand dengan mana-mana keluarga mangsa. Ketika hari Mingguan Wanita menghubunginya, iaitu pada 22 March lalu, ini yang beliau maklumkan.
“Di sini suasananya kebanyakan kawasan masih ditimbuni bunga-bungaan. Kerana peristiwa itu masih baru.
“Di sekolah anak saya, masih ada kawan-kawan meletakkan bunga untuk mana-mana mangsa. Dan dua tiga hari ini, hampir semua orang yang saya jumpa akan memberi salam.”
“Kalau ada yang naik motor ke basikal, mereka akan berhenti. Kami sambung bersedih dan saling memberi kata semangat. Alhamdulillah saya tak lapar di sini.”
“Ada yang memasak malah tolong masakkan sepanjang masa. Sumbang duit pun ada.”
“Majikan suami malah sekolah anak saya tak putus bertanya khabar. Mereka akan minta tolong pelajar-pelajar di sini tolong hantarkan ke mana-mana. Sebab kita masih dalam kawasan masjid dan tak boleh keluar lagi.”
“Segalanya senang, macam berada di negara sendiri.”
Selama terlantar di hospital itu, Nazril mendapat kunjungan daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. “Sebelum ini, beliau melawat di tingkat bawah, tak berkesempatan naik sampai ke tingkat tiga.”
“Hari ini beliau naik ke atas dan kami sempat berjumpa. Sempatlah bergambar, berpeluk.”
“Dia sangat berkarisma, cantik dan hebat. Ketika berbual dengan suami saya, dia sebut ‘kalau lah boleh u-turn kan masa’. Prihatinnya dia sehingga jumpa seorang demi seorang. Bercakap, dan memang nampak wajah empatinya.”
Begitulah, sungguh kejadian tragis ini cukup menyayat hati umat Islam di seluruh dunia. Namun, hikmahnya cukup besar buat umat Islam sejagat.
Islam mula diterima di bumi New Zealand. Ramai yang mengucapkan kalimah syahadah. Bersatunya hati masyarakat muslim dan non muslim yang sangat hebat berlaku di bumi kiwi itu.