Catatan pilu ini ditulis oleh Nadia Hazmi iaitu 8 bulan selepas anak keduanya, Putera Ryfael Shah meninggal dunia. Sejak lahir Ryfael ada penyakit jantung ’tetralogy of fallot’. Ketika umurnya 2 tahun 10 bulan, Ryfael menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat kesilapan waktu pembedahan.
Sesungguhnya, ibu yang pernah merasai sebuah kehilangan akan mengalami emosi yang sama. Biarpun jauh dibatasi bumi, cinta kasih ini takkan pernah mati. Ingatan terus subur biar bertahun lamanya. Wajah si kecil tetap bersemadi di ruang hati ibu yang paling dalam.
Kesabaran Yang Teragung
(Tulisan bertarikh 27 Mei 2014)
Lama dah mama tak mencoret kat sini kan. Rindu pula rasanya. Kali ni ‘curi’ peluang sekejap lunch hour ni untuk mengisi ‘kekosongan’ hati yang dirasai hujung minggu kali ini.
Hari ini.. genap 8 bulan dah mama tak mendengar suara kecil itu. Tak melihat lagi wajah comel itu. Tak mampu mendakap lagi tubuh montel yang kali terakhir mama dakap sepuasnya sebelum ‘menghantarnya’ ke liang lahad pada 10.10.2013. Itulah perpisahan yang abadi antara ibu dan anak kecil ini.
Hujung minggu kali ini berbeza dari biasa sebab mama telah cuba ‘merehatkan diri’ untuk menjalani hidup seperti dulu walau tanpa Adek dengan kembalinya mama dan abang Rayyan ke rumah kami sendiri. Tempat Adek & abang membesar dalam tempoh yang agak lama kali ini.
5 hari.. selepas Adek pergi, hanya papa sahaja yang tinggal di sini sebab abang Rayyan bersekolah di Kuching & mama juga bekerja di Kuching. 20km dari ‘rumah Adek’ di Kota Samarahan.
Sungguh lain keadaannya. Terngiang-ngiang suara halusnya memanggil-manggil mama di balik langsir.. di pintu dapur.. di hujung tikar sejadah.. saat hayatnya pantang sekalipun Adek berenggang dari mama hatta ke toilet sekalipun.
Aaktu memasak pun Adek dalam dukungan mama. Mama rasa kalau Adek ‘sempat membesar’. Adek mesti dah pandai masak. Adek kan baby chef.
Kalau Adek Ada..
Bilik mainan Adek & abang yang Adek panggil ‘bilik acap’ = bilik asyraf nama Pak Ngahnya., satu ketika dulu semakin sepi. Apa yang pernah Adek tinggalkan dulu kali terakhir adek bermain di sini masih begitu.
Sedikit pun mama tidak ubah. Mama tak sentuh kerana tiap kali melihat uncang-uncang kecil yang Adek suka isikan dengan mainan kegemaran Adek dan Adek bawa merata, pasti bergenang air mata ini.
Tapi harus kuat menahannya demi abang Rayyan yang pasti tak mahu lagi melihat mama menangis. Sejak balik ni, ayat-ayat abang tak ada yang lain.
Ads
“Kalau Adek ada mesti best kan ma…”
“Maa.. Ayen nak sayang Adek.. “
“Adek dulu suka main yang ni maa dengan abang..”
“Ciaan Adek dah meninggal tak dapat nak main mainan ni lagi..”
Hati mama mana yang tak runtun mendengar keluhan-keluhan kecil itu. Mama hanya mampu jelaskan, “Adek ada semua mainan ni kat syurga sayang, Adek seronok kat sana. Adek ada.. tapi abang je tak nampak dia. Macam Upin Ipin yang kecil tu…”
Abang dah semakin matang, dia mula faham erti kematian. Mula mengerti harus melepaskan Adek kesayangan bagaikan kembarnya yang tak akan pernah kembali lagi.
Ads
Mama Dedikasikan Untuk Ibu-Ibu ‘Malaikat Kecil’ Yang Berada Di Syurga
Sebenarnya post ini mama dedikasikan khas pada ibu-ibu kepada ‘malaikat kecil’ yang telah berada di syurga. Nak balas puluhan inbox satu persatu memang mama tak mampu tapi mama harap coretan ini mampu memberi semangat pada ibu yang Allah uji ini.
Sebenarnya, kita diuji dengan KESABARAN YANG MAHA AGUNG. Allah kurniakan kita satu NALURI KEIBUAN yang kasih sayangnya tiada tandingan. Namun kenapa Allah ambil ‘buah hati’ kita itu setelah diberi Nya peluang sebentar untuk benar-benar menyayanginya?
Dikala dia sudah petah berkata-kata.. berlari-lari riang.. bermain gembira.. celotehnya yang comel dan keletah yang menghiburkan hati kita semua. Disaat dia sudah pandai meluahkan “cayangg mama!” sambil merangkul leher dan mencium pipi kita.
Apa sebenarnya yang Allah ingin tunjukkan pada kita dikala “ibu-ibu bertopengkan syaitan” membuang zuriatnya di longkang, tangki najis dan sungai, dicurah dgn air panas tanpa ada perasaan seperti apa yang kita rasa.
Kita Sebenarnya Ibu Yang Bertuah
Kita ‘dipilih’ untuk menjadi ibu yang kehilangan ‘separuh dari nyawa’ nya di dunia ini dengan meletakkan ia di alam yang kekal abadi menanti kita di sana. Tak semua ibu berpeluang merasainya. Tapi Allah pilih kita.
Allah uji kita dengan kesabaran teragung ini menanti detik dan saat pertemuan semula antara syurga dan neraka itu dengan satu jaminan yang hebat bagi ibu yang mithali, beramal soleh, dan bersabar dengan penantian yang kita sendiri tidak dapat bayangkan bila, bagaimana dan di mana.
Ia adalah seperti satu ‘hadiah/surprise’ dari si anak kecil yang kita sayangi itu namun terpisah di dunia yang sementara ini. Memang tak mudah, memang sakit pilu dan pedih rasanya. Bagaikan tercabut nyawa saat dilepaskan dari dakapan kita. Tapi itulah nilai sebuah SYURGA.
Ads
Yang tersangat mahal harganya. Kesabaran teragung seorang ibu itulah galang gantinya. Jadilah ibu yang redha.. tenang..dan sabar. Tak salah menangisi pemergian si kecil kerana air mata itu adalah rahmat kurniaan Allah namun bukanlah dengan meratapinya.
Ayat-ayat Cinta Terakhir Untuk Putera Mama
Sentiasa dalam ingatan mama, ayat-ayat cinta terakhir yang mama perdengarkan pada telinga putera mama sebelum kalimah syahadah yang ‘melepaskan’ dia pergi dengan tenang setelah 12 hari bertarung antara hidup dan mati untuk kembali pada mama atau pada PenciptaNya.
“Adek.. mama sayang dedek.. mama tau dedek kuat.. dedek nak balik pada mama.. tapi kalau Allah nak jaga Adek… mama izinkan Adek pergi sayang.. mama halalkan segalanya untuk Adek. Halalkan air susu mama yang mengalir dalam darah Adek.
“Adek anak soleh tak pernah susahkan mama. Allah sayang Adek. Kalau Adek kuat lagi, balik pada mama sayang.. tapi kalau Allah nak ambil Adek.. mama redha sayang. Tunggu mama kat sana..”
Suatu ayat yang membuatkan Malaikat Izrail tenang dan bersedia menarik roh keluar dari jasad si kecil itu dengan cara yang paling lembut. Setelah 12 hari ia menanti, beberapa detik setelah kucupan terakhir abg Rayyan pada dahinya, dia pergi dengan begitu tenang. Bibir merahnya mengukir senyuman terindah hadiah buat ibunya… buat kali terakhir..
Buat Ibu- Ibu Yang Allah Kasihi Ini
Percayalah.. dia sentiasa ada di sisi bersama dengan kita. Mungkin kita ‘tak nampak’.. tapi percayalah.. sentiasa redha, sentiasa mencuba menjadi ibu mithali, isteri solehah dan ibu yang layak untuk ‘malaikat kecil’ itu nantikan di sana.
Kerana pemergian dia, sebenarnya anugerah terindah hadiah dari Allah. Dan mama yakin semua ibu yang telah merasai perpisahan ini, kematian itu adalah sesuatu yang tidak lagi menakutkan dengan melengkapkan diri dengan amal-amal soleh, insyaAllah.
Tunggu Mama Di Syurga Sayang Senyumlah wahai ibu..
“Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musiabah mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada Allah jua kami kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi petunjuk”
(Surah Al Baqarah, ayat 156-157)
Gambar Nadia berbaju kuning : Kenangan selfie bersama arwah Adek Ryfael, Aidilfitri 2013. Beginilah mama bayangkan Adek sentiasa ada di sisi mama sampai saat ini.
Dan selepas 9 bulan anak keduanya itu pergi, Allah hantarkan pengganti, Putera Rayhan Ryfael. Kata Nadia, anak bongsunya ini sebiji macam abang Ryfaelnya.
Ikatan adik beradik, ibarat air yang dicincang takkan putus. Endang Kartini Azmi disahkan alami kanser payu dara dan seterusnya kanser hati. Kata kakaknya, Endang Suryati Azmi, 44, adiknya itu insan yang disayangi ramai. Demi kasih, mereka adik beradik bergilir menjaga saudara kandung yang sakit di wad hospital.
Adiknya, Endang Kartini bertahan dengan sakit kansernya ini dengan sangat menakjubkan. Namun, apabila sudah sampai tarikhnya Allah panggil pulang, berangkatlah roh itu pulang ke kampung akhirat.
Catatan ini kisah setahun yang lalu. Setiap kali menjelas Ramadhan, memori ini kembali menjelma di ruang fikiran Endang Suryati. Lagi-lagi, dialah kakak terakhir yang menyaksikan hayat adiknya diambil Ilahi.
Kak Ya, Boleh Tak Malam Ni Jaga Kak Tini
Kisah ini tak pernah luput dalam fikiran.
Kami bergilir gilir jaga arwah adikku yang kedua (Endang Kartini) termasuk mak kerana wad itu tidak dibenarkan lelaki jaga (suami kepada arwah).
Aku sebagai anak sulung mengambil tempat pertama di malam pertama kemudian diikuti oleh adinda yang lain. Selepas adikku yang keempat ( Endang Haryanty) jaga pada malam ketiga tibalah giliran ibuku pada hari tersebut 5/6/17. Mak nampak letih kerana berjaga juga di siang hari bulan puasa pula.
Tanggal 5 Jun 2017
Jam menunjukkan pukul 5 petang. Satu panggilan telefon dari adikku yang ketiga (Endang Suhainom).
“Kak Ya, boleh tak malam ni jaga Kak Tini sebab mak letih sangat.”
Aku dengan pantas membalas “Ok je.”
Aku terus beritahu suami nak guna kereta sebab nak jaga adik di hospital Penang, suami tak pernah halang kalau ianya melibatkan keluargaku. Malam itu aku drive sorang terus ke Penang. Jam menunjukkan pukul 11 malam, aku sampai di hospital LGL.
Di hospital semua ahli keluargaku ada di sana termasuk sahabat karib arwah adik Rosemaya Ishak. Bila je aku sampai dalam bilik arwah masa tu, aku dah nampak lain wajah adikku. Aku berpelukkan dengan Maya. Aku berkata kenapa sampai jadi begini. Kami sama-sama menangis.
Selepas semua pulang tinggal lah aku dan arwah adik je malam tu. Mungkin Allah nak beri aku kesempatan bersama adikku di saat saat akhir hidupnya.
Aku genggam tangannya sambil berbual walaupun aku tahu dia tak akan jawab apa yang aku tanya. Airmataku tak henti henti mengalir.
Tak Henti Ajar Adik Mengucap ‘Allah’
Jam menunjukkan pukul 3 pagi aku mula baca yassin berkali kali hingga ke subuh di telinganya. Selepas subuh aku kena suapkan ubat padanya, tapi arwah menolak tak mahu menelan lagi. Air liur mengalir. Aku mengambil keputusan mengajar dia mengucap berkali-kali sehinggalah aku sendiri puashati yang arwah dapat menyebut “Allah.”
Jam menunjuk pukul 7 pagi, nurse datang untuk periksa macam biasa. Aku beritahu oksigen paip tu kecil sangat, arwah susah nak bernafas. Mereka cuba tukar paip, tapi adik terus menarik paip tu. Tanganku digenggam erat. Nurse memberitahu supaya aku tunggu di luar sekejap. Tiba tiba aku mendengar jeritan yang kuat dri mulut arwah memanggilku “KAK YA” dengan jelas.
Aku terus bergegas masuk ke dalam tirai terus cium arwah sambil berkata “Kak Ya tak pi mana mana, Kak Ya ada sini dengan cheq.” Barulah dia diam, aku terus menerus mengajar dia mengucap tanpa henti.
Staf nurse kata pada aku, “Lebih baik panggil keluarga terdekat, bawa arwah pulang supaya dia pergi dengan perlahan-lahan. Dia dah semakin lemah.”
Aku tak faham, mungkin kepala masa tu tengah blur. Aku telefon mak, suami arwah untuk datang segera ke hospital.
Tiba tiba nafas adikku disentak, tubuhnya basah berpeluh dan matanya menutup perlahan lahan. Aku dah mula nampak urat timbul di seluruh badan. Wajahnya berubah seketika.
Aku masih tak dapat terima lagi yang adikku dah tiada. Setelah suami arwah sampai, beliau beritahu “Ya, Tini dah tak ada”
Terasa memusing kepala ni, tapi aku cuba bertahan sehinggalah mak sampai aku rebah tak sedarkan diri ketika itu.
Bacaan Yassin Penuhi Ruang Bilik Wad
Bila sedar dah ramai memenuhi ruang bilik sambil semua baca yassin sementara pihak hospital menguruskan jenazah.
Aku diberi kesempatan kali kedua menyaksikan saat akhir hayat keluargaku. Selepas arwah bapa 17 tahun lalu, tahun lepas Allah beri peluang padaku sekali lagi bersama adikku Kartini Azmi Azahar disaat akhir hayatnya.
Peristiwa itu tak dapat aku lupakan, aku bersyukur diberi sedikit kekuatan dan peluang di saat akhir dan dapat mengajar adik mengucap.
Dia bidadari syurga, aku menyaksikan nyawanya ditarik dengan mudah tak menyeksakan. Allahuakbar bahagianya adindaku kerana 3 anak syurganya sedang menanti di pintu syurga. Beruntungnya adikku.
Al Fatihah. 6/6/17 dia pergi jua. Segala deritanya dah berakhir kini dia menikmati kehidupan yang kekal abadi. Ya Allah tempatkan adindaku di syurgamu yang tertinggi. Aamiin.
Innalillahiwainnailaihirojiun… empat sekeluarga dijemput Illahi di hari yang mulia dirempuh treler bawa muatan beras. Antara yang maut adalah seorang bayi, Zayyan Nazreel Zainuddin bersama bapa, Zainuddin Anuar, 30; ibu, Raizuamira Daud, 31; dan kakaknya yang belum dikenal pasti identiti. Mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar isteri untuk berpantang di kampung. Kejadian berlaku di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Balai Polis Paloh, Gua Musang, 7.15 pagi semalam.
Perjalanan sekeluarga pulang ke kampung di Pasir Mas untuk menghantar isteri pantang bersalin bertukar tragedi apabila bertembung dengan sebuah treler muatan beras yang memasuki laluan bertentangan selepas terbabas.
Dalam kemalangan tersebut kereta Proton Wira yang dinaiki 4 sekeluarga itu diseret dan dihempap treler terbabit ke empat-empat mereka dipercayai maut termasuk bayi mereka berusia 10 hari mengikut rekod perubatan bayi terbabit yang dijumpai ditempat kemalangan.
Dari Cerita Ibu Mangsa
Rahmah, 75, adalah ibu kepada Raizuamira Daud berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu bertolak pada jam 11 malam semalam cuba menghubunginya, namun dia tidak dapat menjawab panggilan itu kerana tertekan butan letak.
“Kali terakhir saya berbual dengan arwah pada hari dia melahirkan anak (16 September) di Kajang Permai Medical Center (KPMC) . Arwah memaklumkan mereka akan pulang berpatang di rumah dalam masa dua hari.
“Arwah juga sempat pesan supaya menyimpan kelapa dan mencari dua kambing untuk persediaan majlis Aqiqah sebaik mereka pulang nanti.
“Namun, saya dimaklumkan anak keempat, Rokiah Daud, 49, mereka tidak dapat pulang kerana bayi arwah mengalami penyakit kuning dan perlu menerima rawatan di KPMC. Mereka tangguhkan ke hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Sementara itu, Rokiah berkata, kali terakhir arwah yang bekerja sebagai penyelia kantin Kolej Vokasional Sepang pulang ke kampung adalah pada cuti sekolah Mei lalu, selama seminggu.
“Arwah seorang yang periang dan banyak cakap berbanding suaminya. Saya sempat memasak tiga kuih seperti onde-onde, butir nangka dan puteri manis untuk arwah kerana dia mengindam,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.30 pagi ini membabitkan sebuah treler bermuatan beras dan sebuah kenderaan jenis Proton Wira.
Semoga roh empat beranak ini dicucuri rahmat mereka pergi di pagi jumaat yang mulia sungguh tragis cara permergian mereka namun Allah lebih sayang kan mereka.
Al fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahu tragis sungguh melihat keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang putus tangan kiri selepas baju dipakainya terbelit pada rim tayar motosikal yang sedang bergerak di Kampung Binjai Bongkok, Marang.Dalam kejadian 9.30 malam tadi, mangsa dikatakan memakai baju sejuk bersaiz agak besar, menyebabkan bahagian baju itu tersangkut pada tayar motosikal berkenaan.
Sumber berkata, kejadian menyebabkan tangan mangsa tertarik ke dalam rim tayar motosikal sebelum dia terjatuh daripada motosikal ditunggangi ahli keluarganya sehingga tangannya terputus.Gambar yang viral di laman sosial menunjukkan kanak-kanak berkenaan kelihatan tenang dan masih mampu duduk di lokasi kejadian sementara menunggu bantuan.Kanak-kanak berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu oleh keluarganya untuk menerima rawatan.
Nak Tangan Palsu
Menerusi laporan terkini Harian Metro pula, soalan pertama Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, sejurus tersedar daripada bilik pembedahan pula,
“Aboh, bila kakak nok pakai tangan palsu?”.
Bapa mangsa, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, Khumaira yang membahasakan dirinya sebagai kakak bertanyakan soalan itu sebaik membuka matanya apabila sedar selepas keluar daripada bilik pembedahan pagi tadi.Katanya, dia terkejut apabila Khumaira menanyakan soalan berkenaan dalam usianya yang masih muda dan seakan-seakan sudah menerima hakikat bahawa tangannya tidak dapat diselamatkan.
“Apabila kakak mengajukan soalan begitu, saya terkejut bagaimana dia boleh tahu mengenai perkara itu (tangan tidak dapat diselamatkan), namun saya dan isteri cuba memberi semangat kepadanya supaya jangan putus asa,” katanya
Sementara itu, kakak saudara murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek, Marang itu, Noor Aina Hananie Rozali, 18, ketika menceritakan insiden malang itu berkata, sebelum kejadian dia mengajak Khumaira menemaninya ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk mengambil cop pengesahan borang biasiswa bagi menyambung pelajarannya di kolej.
“Khumaira duduk di belakang dan adik bongsunya berusia dua tahun duduk di tengah.
“Saya hanya mula menyedari kejadian apabila motosikal tiba-tiba bergerak perlahan dan ada suara mengadu sakit di belakang.
“Apabila saya berpaling, Khumaira sudah berada di atas jalan, jadi saya memberhentikan motosikal sambil memegang adiknya yang masih di belakang,” katanya.
Pakai Baju Sejuk Milik Ibu
Khumaira disifatkan sebagai kanak-kanak luar biasa apabila langsung tidak menangis sepanjang kejadian itu sebelum dibantu penduduk kampung yang kemudian menghantarnya ke klinik berdekatan.Ibunya, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, baju sejuk dipakai Khumaira ketika kejadian adalah miliknya dan itulah kali pertama mangsa menggunakannya.
“Kakak tak pernah memakai baju sejuk itu tapi pada malam tadi dia ambil untuk mengikut kakak saudaranya menaiki motosikal ke rumah tok penghulu.
“Sebaik mengetahui kejadian itu, saya bergegas ke lokasi dan menemani Khumaira untuk ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke HSNZ untuk pembedahan menyambung tangannya.
“Bagaimanapun, sebaik pembedahan selesai, kami sekeluarga dimaklumkan tangan Khumaira gagal disambung kerana keadaannya yang sudah hancur,” katanya sayu.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat adik Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli semoga cepat sembuh.Buat mak ayah, semoga lebih berhati-hati dengan keselamatan anak-anak.
Naim Daniel mengaku tidak bersalah kes amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 17 tahun. Penyanyi dan pelakon Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah...