Semangat luar biasa itu amat-amat perlu ketika menjaga suami sakit. Sabar dan tabah pun kena tinggi melangit. Sebabnya emosi orang sakit tak sama macam orang normal. Bila-bila dia rasa mahu meronta, dia terus meluahkan tanpa memikir hati dan perasaan orang di sekelilingnya.

Tapi, itulah emosi mereka yang penjaga tak boleh nak pertikaikan. Sebabnya mereka dah tak boleh nak kawal minda dan setiap inci gerakan tubuh pada diri sendiri. Sehari dua meladeni pesakit, sabarnya masih boleh ditapis. Jika setiap hari, apa lagi kekuatan yang boleh dipesan pada penjaga melainkan SABAR DAN REDHA!.

Itulah yang dialami Puan Azura Abdullah, ibu anak 4. Apabila suami diserang strok kali ke-5, dia perlu mengambil alih tugas-tugas ketua keluarga. Syukur kerana anak-anak, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad dan Muhammad Isyraf telah dididik berdikari. Baik anak lelaki, masing-masing boleh ke dapur dan memasak sendiri. Tanpa menyusahkan ibunya. Menjaga ayah juga mereka tak kekok.

Menurutnya sebelum ini Melas Syndrome yang suami dialami tidak aktif. Jadinya sebelum ini dikira strok biasa. Masuk kali ke- 5 doktor rasa curious sebab suami masih muda, umur 44 tahun. Ujian jantung, tekanan darah, gula dalam darah dan mata hasilnya ok saja. latest bila MRI dijalankan barulah doktor temui Melas Syndrom dalam tubuh suami.

Setiap momen bersama suami dikongsi di laman facebooknya. Catatan itu mengundang simpati, ada juga kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Kerana catatan itu fahamlah kita apabila tuhan mahu menguji, ada pahala besar mengiringi mereka yang redha dan ikhlas melalui ujianNya.

Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini
Go Caf Go!

Catatan Hari Ke-24

Menjaga pesakit strok yang terlantar penatnya hanya Allah swt yang tahu. Tambahan pula jika ada elemen dimensia. Memori yang tidak menentu, pertuturan yang sukar difahami dan motorik skil yang lemah menambah lagi efek cabaran kepada caregiver pesakit kategori ini. Emosi mereka yang tidak stabil, sensitif, mahu ditemani setiap masa, bercakap tanpa henti dengan konten yang tidak relevan sangat menduga. Tiada pilihan lain, kuncinya sabar.

Makan tidak mahu, ubat tidak mahu, susu tidak mahu. Sabar. Perlu dipujuk. Itulah sahaja kuncinya, tiada yang lain.

Kadang-kadang terasa juga nak lari sekejap untuk ‘me’ time. Terjun sungai dan rendam kepala yang dah hampir beku ini, tetapi sungai di Kampung Surau ni setakat betis saja ?.

Walaubagaimanapun semua itu terubat apabila setiap hari saya dapat melihat progres kecil suami yang amat positif.

IKLAN

Day 24 – alhamdulillah, syukur ya Rabb. Suami saya sudah boleh duduk dengan kemas (dengan bantuan), sebelum ini tiada balancing – duduk sekejap terbalik. Sudah boleh memegang cawan dan minum sendiri menggunakan tangan kiri. Sudah boleh memegang makanan saiz kecil seperti kuih dan menyuapnya sendiri. Sudah mula ada sedikit fokus dan minat pada siaran tv. Memori sedikit demi sedikit datang kembali. Siang tadi Tuan Sharuzi dari KL datang menziarah dan suami masih ingat beliau serta rancak bercerita tentang pengajian beliau di bawah arwah Tuan Lukman.

Terima kasih tidak terhingga di atas kiriman doa dan sokongan kalian para sahabat budiman. Inilah kunci besar progres suami saya. Doa ikhlas kalian yang tiada pertalian darah dengan saya dan suami ?.

Buat rakan caregiver kepada suami masing-masing..penatkan? Ya, hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Makin mencabar apabila semua kepenatan itu melibatkan kos yang tinggi. Saya percaya Allah swt pilih kita kerana kita mampu mengharunginya. Kita diberi peluang dan tiket mudah untuk ke sana dikala orang lain bersusah payah cuba menjana pahala. Allah swt sediakan di depan mata, di dalam rumah kita sendiri. Ketika di wad HUSM seorang jururawat yang baru kehilangan anaknya datang memberi semangat kepada saya. Seorang kakak yang punya suami pengidap kanser tahap 4 juga sempat titipkan kata semangat dan terbaru seorang isteri yang kematian suami secara mengejut meninggalkan nota betapa bertuahnya saya dapat menjaga suami manakala beliau ditinggalkan secara tiba-tiba.

Ini kali kelima saya mengharungi saat sukar suami sakit. Kali ini lebih mencabar kerana efek dimensia. Waktu ini jugalah emosi kita sebagai caregiver berada pada tahap paling rapuh kerana seluruh fokus keluarga terdekat hanya pada tubuh yang sakit. Tidak dapat tidak kita perlu tanganinya dengan baik. Isu-isu yang tidak membawa faedah seperti terasa hati dengan rakan-rakan, ipar duai yang tidak cakna delete terus. Usah dibiar ianya singgah diminda. Kita ada banyak lagi prioriti untuk digenggam seperti anak-anak dan mencari rezeki. Simpan ruang dihati dan minda kita untuk perkara berfaedah dan mereka yang ada masa untuk kita. Semua ini jika dilayan hanya membazirkan ‘bateri’ kita sendiri dan ruang menjana dosa serta perbalahan. Jalan terus, usah jemu berdoa dan berserahlah bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi.

Terima kasih sekali lagi buat semua rakan pembaca yang tidak jemu memberi semangat kepada saya. Kalian antara sumber kekuatan saya.

Abe Mohd Hadzrami, you are a real fighter. Waiting for you to walk again Abe.

Amin ya rabbal alamin.

Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini
Kunjungan Abe Mat

Catatan Hari Ke-22

Semalam lebih kurang jam 9.30 malam ada sepasang suami isteri datang ke rumah menaiki motosikal.

IKLAN

Jarang saya menerima tetamu bermotosikal di waktu malam kerana rumah saya jauh di hujung jalan tidak berturap dan tiada lampu jalan.

Rupanya Kak Ha dan Abe Mat yang datang. Suami isteri yang pernah NGO Wargakilang bantu dengan mesin uli, oven, deep fryer dan sealer dalam menambah baik bisnes kecil (mini popia goreng, mini karipap, buat feozen juga) mereka. Siap bawa buah tangan. Terima kasih Kak Ha & Abe Mat ?.

Tidak lupa menyelitkan kata-kata semangat buat saya. Kerdilnya saya rasakan menerima kata-kata peransang dari Kak Ha yang mempunyai masalah buah pinggang dan Abe Mat yang pernah patah kedua kakinya ketika bekerja di kilang kayu serta mempunyai penyakit batu karang. Abe Mat yang ceria orangnya tidak henti berpesan, “Redho kuncinya Zura. Baru kita happy dan tak rasa penat.”

InsyaAllah Kak Ha & Abe Mat.

Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini
Hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi.

Catatan Hari Ke-15

Abe, hari ni Zura nak shave Abe. Lama dah tak buat,” sapa saya kepada suami di suatu pagi lebih kurang sebulan yang lalu.

IKLAN

Takpalah. Abe buat sendiri. Abe buat sat saja. Kan kita nak keluaq satgi,” jawab suami dengan pelat Kedah campur Kelantannya.

Saya hanya membalas dengan mimik mulut muncung tanda kurang puas hati.

Dalam masa yang sama terdetik di hati saya apakah ini petandanya saya tidak berpeluang lagi selepas ini. Suami saya jarang sekali menolak untuk dimanjakan. Beliau juga suka sekali sambil beliau menonton tv saya ‘facialkan’ wajahnya.

Ah! Gangguan syaiton saja ni.’ Saya cuba menenangkan hati.

Dan hari ini merupakan hari ke 15 suami tidak lagi peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Gerak hati seorang isteri benar lagi buat sekelian kalinya. Saya amat takut setiap kali terdetik sesuatu di hati kerana jarang sekali ianya salah ?.

Penglihatan suami kabur teruk, hanya bersandarkan suara yang biasa didengar. Tubuh lemah dari pinggang ke bawah, perlu memakai lampin pakai buang. Memori dan percakapan keliru, sekejap ok dan sekejap tidak ok.

Ya, hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi. Saya dapat shave janggut dan misai beliau tanpa sebarang bantahan dan reaksi serta usik-mengusik.

Appreciate life as it happens.
Moments will soon pass and we will wish we had treasured them more.

Sumber/Foto: FB Azura Abdullah via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI