
Bersambung kisah tragedi Kem Hobart, ini naluri seorang ibu. Ada rasa sesuatu dalam dirinya sewaktu anak datang rumah. Cuma si ibu tidak menyangka kepulangan anak lelakinya ke rumah pada malam sebelum kejadian menjadi pertemuan terakhir selepas anggota tentera itu maut dalam letupan ketika Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun.
Tragedi Kem Hobart

“Semasa dia keluar ke tempat kerja, saya melihat keretanya sehingga hilang dari pandangan. Kebiasaannya saya tidak begitu, tetapi pagi itu tiba-tiba saya berasa sangat sayang kepadanya,” luahnya.
Fatimah Ismail, 78, berkata, arwah anaknya, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pulang ke rumah keluarga di Kampung Tupah, Merbok, kira-kira jam 11.30 malam sebelum kejadian.
“Arwah balik ke rumah malam sebelum kejadian dan dia makan nasi serta lauk gulai ikan yang mak cik masak dengan penuh berselera.
“Masa tu mak cik baru nak tidur dan dia pula baru sampai rumah. Bila mak cik tanya kenapa balik, dia kata baru selesai kerja di Gurun dan saja nak jenguk mak cik, pak cik serta adiknya sedangkan dia baru balik tiga hari lepas,” katanya ketika ditemui semalam.
Sempat Makan Nasi Mak Masak Penuh Selera Sebelum ‘Pergi’ Buat Selama-lamanya

Fatimah berkata, ketika bangun menunaikan solat Subuh, dia sempat bertanya kepada arwah sama ada akan pergi bekerja dan anaknya itu ada meminta untuk mengejutkannya.
Katanya, ketika mengejutkan arwah pagi itu, dia sempat memegang badan anaknya yang terasa sangat sejuk sebelum menyediakan kopi panas untuk diminum.
“Selepas minum, arwah salam dan cium mak cik sebelum berpesan supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke kem di Gurun.
“Kebiasaannya kalau dia hendak bergerak dari rumah, mak cik tengok biasa saja, tetapi semalam mak cik tunggu sampai keretanya hilang daripada pandangan. Tak tahu kenapa, mak cik rasa sayang sangat dekat dia dan berat hati hendak lepaskan dia,” katanya.
Mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu, Fatimah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu daripada isteri arwah yang menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Katanya, menantunya meminta dia supaya bersabar dan memaklumkan bahawa arwah sudah tiada,
“Arwah anak ketiga dari lima beradik. Dia sangat menghormati dan sayang kepada ibu bapa dan keluarganya.
“Arwah tidak pernah melawan atau membalas kata-kata apabila ditegurnya, sebaliknya hanya mendengar dan berdiam diri. Dia juga sayang pada adik-beradik yang lain terutamanya adik bongsunya (Norazrul Fitri, 32),” katanya.
Cerita Daripada Pihak Adik
Sementara itu, adik bongsu arwah, Norazrul Fitri, 32, berkata, abangnya seorang yang tegas tetapi baik dan gemar bersembang, namun banyak berdiam diri ketika berada di rumah malam sebelum kejadian.
Anda mungkin berminat dengan

“Saya tak sangka itu kali terakhir saya jumpa abang,” katanya.
Untuk info, allahyarham Norazmi meninggalkan dua orang anak, Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun, kira-kira jam 10.57 pagi, semalam.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

