Keluarga Asnaf kedua yang mendapat perhatian majalah Mingguan Wanita dan Impiana dalam program CSR Raya adalah keluarga Rosnani binti Aris. Kehidupan wanita berusia 34 tahun ini memang sangat memeritkan setelah Farimzaimi bin Zakaria, suami yang disayangi tidak mampu bergerak sebaik disahkan menghidap penyakit kanser limfoma sejak tiga tahun yang lalu.
Rosnani dan Farimzaimi memiliki dua orang anak. Siti Balkis berusia 11 tahun manakala Mohd Faris berusia 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal menyewa di sebuah rumah kecil di Kg Baru Nelayan, Sungai Besar, Selangor sejak Farimzaimi sakit. Sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Alor Setar, Kedah selama lima tahun.
Keputusan berpindah ke Sungai Besar dibuat kerana inilah kampung halaman Rosnani. Di sini juga tempat tinggal ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Berpindah ke Sungai Besar turut memudahkan dia membawa suaminya berulang-alik ke Hospital Ampang, Selangor bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser limfomanya.
“Saya dan suami mengambil keputusan menyewa rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya yang juga bukan orang senang. Emak perlu menjaga ayah yang menghidap penyakit Parkinson. Jadi, kami menyewa rumah yang berhampiran dengan keluarga saya. Mudahlah jika saya mahu meminta sebarang bantuan jika terjadi perkara yang tidak diingini,” ceritanya.
Mengimbas semula kisah penyakit kanser yang dihidapi oleh suaminya, Rosnani menjelaskan segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.
“Suatu hari, selepas suami balik dari kerja, dia mengadu sakit belakang. Rasa sakit itu kemudiannya turun ke kakinya. Dia pergi ke klinik tetapi doktor tidak dapat mengesyaki sebarang masalah. Dia hanya diberi vitamin, namun, rasa sakit yang dialami tidak juga berkurangan.
“Apabila ayah saya mendapat tahu suami saya sakit, dia meminta saya membawa suami berubat di kampung (Sungai Besar). Saya ikutkan kata ayah dan bawa suami pulang. Selepas berubat kampung tidak ada sebarang kesan, saya kemudiannya membawa suami ke hospital Selayang.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit suami. Saya kemudiannya bawa suami ke Hospital Sungai Buloh. Di sana doktor telah melakukan pembedahan pada bahagian tulang belakang suami. Barulah doktor dapat mengesan suami menghidap kanser Limfoma,” cerita lebih lanjut tentang kesakitan suaminya.
Keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada Rosnani
Demi Suami Dan Anak-anak
Betapa terkejutnya Rosnani apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap kanser Limfoma. Berikutan dengan pengesahan doktor itu, suaminya kemudian telah dirujuk ke Hospital Ampang. Selama sebulan dia menemani suami menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Ampang.
Sepanjang dia menjaga suami, anak-anaknya dijaga oleh keluarga di Sungai Besar. Selepas suami dibenarkan keluar dari hospital, Rosnani perlu membawa suami melakukan rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ingat lagi betapa susahnya kami berulang-alik ke hospital agar suami dapat menjalani rawatan kemoterapi. Suami buat kemoterapi selama enam kali. Selepas habis kemoterapi, saya telah menghantar suami ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan radioterapi selama sebulan.
” Habis radioterapi, doktor membenarkan suami balik ke rumah. Doktor sahkan suami sudah tidak ada apa. Cuma kaki dia tidak boleh berjalan. Dari tulang T7 sampai paras kaki, memang tidak ada rasa. Kalau cucuk atau apa sahaja, suami tidak dapat rasa.
Ads
“Sedih juga dengan keadaan suami ketika itu. Tetapi rasa sedih itu saya simpan kerana memikirkan tentang dua orang anak kami. Mereka juga perlukan saya dan ayah mereka. Terpaksalah saya mulakan hidup baru.
“Kini hidup saya adalah untuk suami dan anak-anak. Tanggungjawab itu berat kerana perlu membawa suami berulang-alik ke hospital. Pada masa yang sama membawa anak-anak pergi dan balik ke sekolah.
“Saya masih muda dan boleh bekerja tetapi tidak boleh melakukannya kerana jika saya bekerja siapa yang akan membawa dan mengambil anak pergi dan balik sekolah. Siapa pula hendak menjaga suami kerana dia tidak boleh mengawal berak dan kencingnya.
“Dua hari sekali saya akan masuk ubat pada suami agar dia boleh berak. Suami pula akan kencing melalui tiub. Manakala setiap dua minggu sekali jururawat dari Klinik Sungai Besar akan datang ke rumah bagi menukarkan kepada tiub baru,” katanya dengan nada sedih.
Pengorbanan Rosnani yang masih muda menjaga suami berusia 45 tahun ini tidak boleh dipandang remeh. Tidak semua wanita bergelar isteri yang mampu melakukannya. Jelas Rosnani, walaupun suaminya sakit, dia sesekali tidak akan meninggalkan suaminya itu.
“Pernah juga suami meminta supaya saya tinggalkan dia kerana kesakitan yang dia alami. Namun sesekali tidak akan saya tinggalkan dia. Selagi saya mampu, saya boleh jaga suami. Sementara dia masih ada saya akan bela dia. Selagi kudrat saya ada, saya akan jaga dia,” ujar Rosnani dengan penuh bersemangat.
Pesan Rosnani lagi, kepada wanita yang mempunyai suami yang sakit seperti suaminya ini, jagalah suami mereka.
Ads
“Jagalah suami kita kerana itulah syurga kita,” tambahnya.
Anak-anak masih kecil, tetapi mereka faham penderitaan keluarga
Tidak Mampu Balas Pengorbanan Isteri
Farimzaimi rasa bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Rosnani. Tatkala dirinya berasa sedih, isterinya banyak memberi kata-kata semangat.
“Saya masih ingat lagi, ketika berada di wad, memang saya mudah ‘down’. Ketika emosi saya tidak stabil, pernah juga saya kata kepada isteri agar tinggalkan saya. Tetapi isteri tidak mengendahkan kata-kata saya itu.
“Sebab itu seringkali juga saya ambil masa ketika berseorangan untuk fikirkan kembali apa yang berlaku pada diri saya. Saya juga jadikan pengalaman, ketika tinggal di wad dan bertemu dengan pakar-pakar motivasi telah membuatkan saya mendapat suntikan moral untuk diri kembali bersemangat.
“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sanggup tolong saya walau saya dalam keadaan sebegini. Allah Maha Berkuasa dan Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Pengorbanan isteri saya itu tidak dapat saya ungkapkan. Demi menjaga saya, isteri terpaksa meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh keluarganya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Tiga Tahun Tidak Membeli-belah
Seronok Rosnani dan anak-anak membeli-belah di Econsave Alam Jaya
Rosnani tidak bekerja. Sebab itu dia amat bersyukur kerana mendapat bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pusat Zakat memberi bantuan kewangan sebanyak RM400. Manakala JKM memberi bantuan sebanyak RM350. Dengan wang tersebut saya gunakan untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
Ads
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada adik-adik saya untuk duit belanja anak-anak di sekolah. Kadang-kadang timbul rasa malu kerana terpakssa pinjam duit daripada adik beradik. Apabila timbul rasa segan itu, anak-anak saya tidak bersekolah,” luah Rosnani, sebagai ibu dia banyak berkorban untuk anak-anak. Dia sanggup tidak makan asalkan anak-anak dapat makan.
“Saya tidak kisah keperluan saya sendiri. Apa yang penting suami sihat. Walaupun kakinya tidak dapat berjalan, yang penting tangannya masih sihat. Anak-anak juga perlukan saya. Saya pernah rasa terbeban dengan tanggungjawab ini tetapi setelah saya fikir sedalam-dalamnya, saya terima takdir Allah ini. Anak-anak penguat semangat saya. Kegembiraan mereka buat saya hati saya gembira,” luahnya lagi.
Seharian Bersama Rosnani dan anak-anaknya, penulis dapat melihat sedikit perubahan pada wajah mereka apabila dibawa membeli-belah di Econsave sementara menunggu rumah mereka menjalani proses make over oleh majalah Impiana.
Dalam program CSR Raya Mingguan Wanita, Rosnani telah diberi baucar bernilai RM1300 tajaan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd. Baucar ini ibarat rezeki terpijak buat keluarga ini. Akui Rosnani, sudah tiga tahun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke pasar raya untuk membeli-belah dengan jumlah yang agak besar.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucar bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Sejak suami sakit, kami tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Syukur sangat dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini. Anak-anak pun seronok kerana mereka tidak perlu melihat tanda harga apabila membeli barang-barang yang mereka berkenan pada hari ini,” katanya dengan gembira dan penuh kesyukuran.
Terima kasih Mamyhome make over ruang tamu rumah Rosnani
Video membeli-belah di Econsave Bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Hulurkan Sumbangan
Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berkunjung ke alamat no 3, Lorong 1, Kg Baru Nelayan, Sg Besar, 43500, Selangor atau menghubungi nombor telefon 0172803572 atau masukkan sumbangan ke nombor akaun BSN 10123-29-00018893-8 Rosnani Binti Aris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kejadian kemalangan yang berlaku penghujung Disember 2016 melibatkan lima beranak meragut nyawa ibu dan ayah. Tragedi itu juga menyebabkan tiga anak perempuan arwah cedera parah.
Allahyarham Ridzuan Abdul Rajak, 33 dan Intan Maizura Aidul Badri, 34 meninggalkan anak-anaknya, Mia Dhelisya Ridzuan, 6 Ayra Batrisya, 4 dan Rania Elysya, 2 selepas kenderaan yang dipandu kemalangan membabitkan empat buah kereta dan empat buah lori.
Ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sebaik selesai mengadakan majlis kenduri arwah ayah Intan di Taiping, Perak.
Dalam perjalanan balik itulah, mereka berhajat singgah ke rumah dua orang adik beradik Intan di Slim River.
Sayang hajat tak kesampaian, bila mana kenderaan mereka terbabit kemalangan. Sampaikan kesesakannya berlanjutan lebih 14 kilometer. Kejadian berlaku di kilometer 371.9 berhampiran susur keluar Slim River arah Selatan sekitar 3.30 petang.
Kemalangan berpunca dari sebuah lori dari arah Selatan menghala ke Utara yang hilang kawalan. Lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain
Buka Facebook Nampak Nama Kakak Dan Abang Ipar Kemalangan Maut
Mingguan Wanita menghubungi, abang Intan, Khairil Izham Abdul badri, 39 untuk mendapatkan cerita di sebalik kejadian.
“Masa kejadian, saya bekerja di Slim River. Adik lelaki saya yang buka butik pengantin MySanding di Slim River pun masih bekerja di butiknya.
“Kenduri arwah ayah ini tak dirancang dan Intan buat secara tiba-tiba. Memandangkan kami bekerja, tak dapatlah kami balik. Hari yang sama juga, intan ada telefon adik lelaki yang dia nak singgah lepas selesai kenduri di Taiping.
“Mereka bertolak jam 1 ke 2 petang. Ikutkan dalam jam 4 dah sampai rumah kami. Tapi mereka tak juga sampai. Adik lelaki saya hairanlah. Kenapa lama sangat. Dia cuma fikir, mungkin sangkut dalam kesesakan di lebuh raya.”
Butik pengantin adik lelaki Intan ini berada dekat dengan lebuh raya. Kalau jenguk menerusi tingkap, memang boleh nampak pergerakan kenderaan di atas lebuh raya.
Adik lelakinya perasan ada kesesakan teruk. Agaknya tentulah ada kemalangan. Tapi dia tak tahu yang mangsa kemalangan itu adalah adik perempuannya sendiri.
“Hari itu saya ada di studio. Tak jauh dari butik pengantin itu. Berehat setelah habis bekerja.”
Bila dah jam 6 petang, adik lelakinya tutup kedai dan pulang ke rumah. Tapi dia tak sedap hati. Dia telefon kakaknya, Intan tapi tak berjawab.
“Sangka adik lelaki saya mungkin bateri telefon Intan dah habis.”
Kejutan Buat Kami
Ketika jam 7 malam, isteri adik lelakinya buka Facebook. Tiba-tiba dia terbaca berita kemalangan besar melibatkan lapan buah kenderaan.
Mulanya dia tak perasan lagi. Tapi lepas baca detail barulah dia nampak nama Intan, suaminya dan kereta Exora. Segera dia beritahu suaminya.
“Ini adik aku!” Tanpa fikir panjang, adik lelaki saya terus telefon saya. Tapi saya pula tak jawab.
Dia terus ke studio. “Saya ingat lagi dia kata, ‘Am.. Intan punya famili dah accident Am. Meninggal Am.”
“Saya terkejut. Tanya mana dia tahu berita tu. Dia kata dia nampak di Facebook. Terus dia tunjuk berita tu dekat saya.”
“Kami segera ke Hospital Slim River untuk mengesahkan betulkah itu Intan. Hospital pula tak jauh dari butik pengantin adik lelaki saya. Sebaik sampai, kami tanya kakitangan hospital. Dan mereka beritahu jenazah Intan suaminya ada di bilik mayat.”
Tom dan Ain, ibu dan adik perempuan kepada arwah Intan Maizura menggalas tanggungjawab menjaga dan membesarkan anak-anaknya.
Bateri Kong, Polis Tak Dapat Nak Maklum Segera
Waktu itu, pihak polis pun tak dapat nak maklumkan pada keluarga Intan. Memandangkan telefon Intan rosak. Mereka tak tahu nak cari siapa kecuali pergi ke alamat rumah di Taiping.
Mereka bersyukur sebab kami datang hospital. Selepas sahkan yang meninggal dunia itu adik perempuan mereka, Khairil rasa begitu berat hati mahu maklumkan pada ibunya di Taiping.
“Rupanya situasi di rumah pun sama. Emak minta adik bongsu kami, Ain telefon Intan. Nak tahu sama ada Intan dah selamat atau belum sampai ke KL.
“Ain cuba hubungi Intan tapi tak dapat. Masa yang sama, adik saya duduk depan TV. Dia nampak berita itu dan perasan nama yang disebut sama dengan nama kakak dan abang iparnya.
“Adik saya beritahu emak yang dia nampak nama Intan dan suaminya Iwan keluar dalam berita. Mereka kemalangan.
“Emak macam tak nak percaya. Dalam masa beberapa minit saya pula telefon emak. Ain yang jawab. Saya beritahu berita yang sama. Emak masih tak boleh terima.
Selepas kejadian itu, semua ahli keluarga bergegas ke Slim River. Demi memudahkan ahli keluarga untuk melawat, jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Balun dekat Slim River.
“Slim River itu dah tengah-tengah perjalanan antara KL dan Taiping.”
Ain Azmona dan suaminya redha dan bersyukur diberi peluang menjaga anak-anak buah yang bergelar yatim piatu.
Tom masih rasa sedih bila mengenangkan kisah duka anak perempuannya Intan Maizura.
Wajah terkini Mia, Ayra dan Rania.
Mama Datang, Pesan Jaga Diri Elok-elok
Biarpun peristiwa itu dah setahun berlaku, tiga orang anak buahnya masih tak mengerti apa yang mereka lalui. Selepas kemalangan, anak-anak ini dijaga neneknya, Tom Binti Dan, 71 dan adik perempuan bongsu, Ain Azmona dan suami di Taiping.
Kebetulan adik bongsunya itu masih belum dikurniakan cahaya mata setelah lama berkahwin. Adik bongsu dan adik iparnya sanggup menjaga ketiga-tiga anak buah mereka.
“Ini perancangan Tuhan. Kini keadaan anak-anak buah saya lebih baik selepas kemalangan itu. Saya pernah bertanya pada Mia sama ada dia sedar ketika kemalangan berlaku.
“Mia kata dia sedar dan dapat melihat mama dan papanya. Tetapi dia tak boleh buat apa-apa kerana tak larat dan penat. Baru-baru ini saya balik ke kampung. Saya tanya keadaan dia.
“Kata emak, kadang-kadang Mia menangis. Pernah emak tanya kenapa. Jawabnya, mama datang dan pesan dia jaga diri elok-elok. Selepas ini mama tidak boleh datang lagi sebab mama jauh.
“Nanti kalau ada duit simpanan itu berjimat. Bila saya tanya, kata Mia, dia bermimpi. Mungkin kerana rindukan arwah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perasaan cemburu di sertai dengan rasa amarah yang melampau boleh mengakibatkan tindakan diluar batas. Apabila kepercayaan dan rasa cinta dikhianati didalam hubungan rumahtangga boleh mengundang padah. Nasib malang bagi wanita ini apabila mati ditangan suami sendiri.
Cemburu dipercayai menjadi motif utama seorang petani mengelar isterinya menggunakan pisau di rumah pasangan itu di Kampung Bedup Longgok, Serian, tengah hari semalam.Suspek berusia 38 tahun itu bagaimanapun cuba menyembunyikan perbuatannya dengan datang ke Balai Polis Serian pada 1.35 tengah hari dan memaklumkan isterinya berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah.
Sumber berkata, siasatan lanjut polis di rumah pasangan itu bagaimanapun menemui beberapa unsur mencurigakan selain kenyataan yang diberikan suspek tidak konsisten.
Mempunyai Hubungan Sulit
Menurutnya, hasil siasatan lanjut tidak menolak kemungkinan suspek mengelar isterinya akibat cemburu kerana mangsa kononnya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Polis tidak menolak kemungkinan cemburu sebagai motif utama kejadian selain keterangan yang diberikan suspek juga tidak konsisten dan terdapat unsur mencurigakan menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong sayur di dapur yang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher isterinya sehingga mati selain tiada sebarang kehilangan barang berharga yang boleh dikaitkan dengan kejadian samun,” katanya.
Difahamkan, anak perempuan pasangan itu kini dijaga jirannya buat sementara waktu sebelum polis mendapat perintah mahkamah dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Samarahan membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap suspek bermula hari ini sehingga 17 Februari depan.
Majistret Dayang Roseling Awang Mahdini membenarkan permohonan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ditemui Berlumuran Darah
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.
Katanya, suami mangsa mendakwa menemui wanita itu dalam keadaan sedemikian selepas pulang daripada mengambil anak perempuan mereka berusia lapan tahun dari sekolah.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati suri rumah warga Indonesia berusia 36 tahun itu mati akibat dikelar,” katanya.
Tengok gambar 5 sekeluarga ini buat mak-mak pun rasa teruja nak ada foto simpanan yang seumpama sama kan? Sebenarnya tak susah pun nak dapatkan gambar keluarga yang cantik macam ini. Syaratnya ikut tip yang dikongsikan ini.
Ketika cuti Tahun Baru Cina, Dina Syukrah Zakaria, suami dan anak-anak decide bercuit ke Pantai Persis Cermin, Sky Mirror Pantai Sasaran di Kuala Selangor.
Menariknya, Puan Dina kongsikan panduan berguna untuk mak ayah yang plan nak bawa anak-anak ke sana.
“Cuti Chinese New year tahun ni teringin nak pergi holiday bawa anak-anak. Memandangkan semua tempat full dan traffic jam sana sini, saya google tempat-tempat best sekitar Selangor.
“Bila nampak Sky Mirror Sasaran, hanya terletak di Kuala Selangor, 40 minit drive jer dari rumah di Saujana Utama Sg. Buloh, terus google detail pasal tempat ni.
3 Sebab Buat Teruja Nak Pergi
1. Nampak gambar-gambar yang cantik-cantik seolah-olah dalam studio atau kanvas putih yang sangat cantik.
2. Jadi teruja nak pergi. Terus contact Mr Dyven, dari Sky Mirror Travel & Tour Sdn Bhd untuk book tempat.
3. Dia kata next date available is 17hb, means keesokan hari. Kalau tak, lepas tu 20hb onwards pula available. Cepat-cepat bayar untuk booking slot yang 17hb punya.
Cara Nak Dapatkan Gambar Cantik Lepas Booking Slot Di Sky Mirror
1. Nak Selamat Stay Di Hotel Terdekat
Kami stay 2 malam kat sana. Malam sebelum bertolak ke Sky Mirror dan malam selepas sebab dengan anak-anak.
Memang takut terlambat sampai ke jetty, so to be safe kami stay kat hotel VI boutique.
Terletak dalam 3 minit perjalanan menaiki kereta ke jetty Sky Mirror harga RM142/nite untuk standard king bed room.
Paling best hotel ni ada swimming pool. “Sukalah anak-anak boleh mandi-manda skali kat situ.
Kami ambil 2 malam sebab next day pergi Bukit Melawati pula jalan-jalan tengok monkey.
2. Kena Tahu Harga Pakej Dan Apa Yang Ditawarkan
Okay berbalik kepada cerita Sky Mirror. Harga tiket adalah per pax:
RM80 untuk dewasa
RM60 untuk kanak-kanak
Dan ada additional 20% discount untuk OKU child.
Total saya bayar untuk pakej ni RM328.
Pakej termasuk semua perjalanan pergi balik naik bot dan semua gambar-gambar cantik yang ada kat sana.
Team Sky Mirror Travel & Tour yang akan ambilkan. And they give you all photos in softcopy without any additional charges.
Semua props yang ada pun mereka bawa eskali. Paling best they are so professional siap posing apa pun mereka suggest sebab tengah-tengah tanah lapang kadang kita kekeringan idea.
3. Pastikan Pukul 8 Pagi Dah Ada Dekat Jeti, Ini Sebabnya..
Kena ingat juga tak boleh berlama-lama kat sana nanti pukul 1 tengahari air akan pasang semula dan semua kena balik ke jeti tepat pada masa.
Okay, sedikit fakta tentang Sky Mirror. Tempat ni hanya akan jadi satu padang hamparan yang sangat luas pada satu-satu waktu tertentu, iaitu pada masa air surut.
So kalau nak pergi make sure pagi-pagi pukul 8 dah tunggu dekat jeti.
4. Anda Akan Naik Bot Laju.. Get Ready!
Perjalanan akan ambil masa 45 minit menaiki bot laju untuk sampai ke Sky Mirror. Kita ada masa lebih kurang sejam lebih untuk ambil gambar kat sana. Nanti nak balik naik bot ambil masa lagi 45 minit.
Waktu kat sana, memang sangat kagum dengan ciptaan Allah. Terasa tenang tengok hamparan luas saujana mata memandang.
Dikatakan hanya ada 3 Sky Mirror di dunia, 1 di Bolivia, South America, 1 juga di luar negara dan satu lagi ada di bumi kita Malaysia.
5. Waktu Atas Bot Laju Simpan Phone Ya, Atau Guna Cara Ini
Sepanjang naik bot, kalau bernasib baik boleh tengok kapal kargo besar sebab laluan dekat Sky Mirror tu pun adalah laluan kapal antarabangsa.
Boleh tahan gelodak air laut bila kapal baru lepas lalu. Memang thrill juga la waktu nak redah gelombang tu, tapi alhamdulillah tekong bot pun memang sangat pro mengemudi bot.
Waktu balik boleh nampak nelayan tempatan kutip kerang sepanjang sungai. Boleh nampak burung-burung udan terbang di atas lautan luas mencari rezeki.
Tapi tak sempat snap pic burung atau nelayan sebab waktu bot tengah laju, kami dinasihatkan simpan phone takut tercampak ke laut.
advisable kalau korang nak pergi, prepare waterproof casing so boleh sangkut kat leher, kalau terlepas selamat sikit.
Bila sampai semula ke jetty, memang sangat puas sebab dapat pengalaman baru.
Explore Pula Kelip-kelip Waktu Malam
Sebelum ni selalu jalan-jalan stay saja dekat hotel tapi this time explore something new.
Malam pula kami naik bot tengok firefly. Yang ni tak termasuk dalam pakej tadi.
Untuk firefly price dia:
RM15 dewasa
RM10 kanak-kanak.
First time dalam hidup tengok firefly yang sangat banyak dekat habitat dia sendiri.
Berkelipan pada pokok-pokok dan jumlahnya sangat banyak. Macam dalam cerita Upin Ipin tu. Saya rasa kali terakhir saya tengok kelip-kelip masa kecil dulu zaman sekolah rendah.
Cuma gambar untuk kelip-kelip pula tak ada sebab kami dinasihatkan agar tak guna flash dan tak boleh bising.
Jadi hanya mampu share pengalaman tanpa ada gambar.
Untuk Yang Ada Anak Kecil Tak Digalakkan, Melainkan..
Tapi pengalaman naik bot waktu malam, memang agak menakutkan. Waktu tengah-tengah menyusuri sungai untuk tengok kelip-kelip, gelombang air sungai buat kami kecut perut juga.
Kalau orang ajak pergi tengok lagi sekali sumpah tak nak pergi lagi. Haha.
Untuk yang ada anak-anak memang saya tak galakkan Tapi untuk yang sukakan cabaran boleh lah cuba.
Sewaktu menyusuri sungai tu juga, ada satu tempat kita boleh nampak burung-burung udan/burung putih tido pada pokok. Memang penuh pokok tu dengan burung-burung.
Sayangnya tak boleh nak snap gambar. Tapi pengalaman meredah kegelapan malam untuk mengagumi ciptaanNya saya kira satu pengalaman berharga.
Kalau rasa sharing ni membantu dan baik boleh share supaya orang lain pun boleh ke sana. Seriously memang berbaloi lagipun masih ramai yang belum tahu kewujudan tempat ni.
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...