
Ibu kepada pelajar perempuan yang maut dalam tragedi pembunuhan pelajar Bandar Utama mendedahkan laporan bedah siasat menunjukkan anaknya mengalami kira-kira 200 kesan tikaman di seluruh badan.
Menurut ibu mangsa, Wong Lee Ping, maklumat itu diperoleh hasil laporan penuh yang dikeluarkan oleh pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru,” katanya ketika sidang akhbar di Nirvana Center Kuala Lumpur, Khamis.

Kesedihan Dan Penafian Ibu Mangsa
Lee Ping turut meluahkan rasa kesal terhadap penyebaran maklumat palsu di media sosial yang dianggap tidak sensitif terhadap keluarga mereka.
“Laporan yang tular di media sosial mengenai kejadian itu banyak yang tidak benar dan mengguris hati keluarga,” ujarnya.
Butiran Kejadian Pembunuhan Pelajar Bandar Utama
Beliau memaklumkan, siasatan polis mendapati suspek dipercayai melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada di dalam bilik tandas berkunci.
“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya sebak.

Penafian Terhadap Dakwaan Tidak Sahih
Dalam masa yang sama, Lee Ping menafikan dakwaan kononnya anaknya dirogol atau mengenali suspek dan berharap orang ramai berhenti menularkan maklumat tidak sahih.
“Anak saya telah menjadi mangsa dan saya harap orang ramai hentikan berkongsi berita yang tidak benar di media sosial. Anak saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan suspek,” katanya.

Harapan Agar Tragedi Tidak Berulang
Beliau turut menyeru agar tragedi seumpama ini tidak berulang di mana-mana sekolah pada masa akan datang serta menasihatkan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan supaya hadir terus ke Nirvana Center, berikutan terdapat individu tidak bertanggungjawab memalsukan kod QR pada poster penghormatan terakhir yang diedarkan.
Peribadi Dan Kejayaan Anak Mangsa
Bercerita mengenai peribadi anak bongsunya itu, Lee Ping menyifatkan mendiang sebagai pelajar cemerlang dan aktif dalam bidang sukan.

Katanya, anaknya gemar bermain bola tampar dan badminton, malah dua hari sebelum insiden berlaku, beliau sempat menyertai kejohanan badminton di ibu kota dan berjaya mendapat tempat kedua.

Latar Belakang Kes Pembunuhan Pelajar Bandar Utama
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam pelajar perempuan berumur 16 tahun hingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan hasil bedah siasat mendapati tikaman di dada dan leher menjadi punca utama kematian mangsa. Proses bedah siasat di PPUM selesai sekitar jam 10.30 malam, Rabu.
Sumber: Sinar Harian
Artikel lain: Nota Terakhir Suspek Tikam: “Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang…”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
Kematian Dahlea, Ajar Mak Ayah Ini 12 Panduan Urus Perjalanan Akhir Jenazah Anak

Mak ayah akan lalui saat paling kental dalam hidupnya semasa menguruskan perjalanan akhir jenazah anaknya sendiri.
Cuma pernahkah mak ayah ambil tahu, apa yang perlu dilakukan apabila kematian itu berada di depan mata kita? Inilah yang dikongsikan oleh Nik Irma Rita Ns, ibu yang melalui sendiri pengalaman menguruskan jenazah anak kesayangannya, Dahlea Hawraa.
Si kecil Dahlea ini seorang ‘cancer fighter’ yang mengakhiri perjuangan hidupnya kerana bone marrow transplant.

Saaf Nafas Akhir Dahlea Terhenti, Aku Tiba-tiba Jadi Kaku
Apakah pernah kita terfikir, suatu hari nanti kedua tangan ini akan menguruskan jasad tak bernyawa dan pada masa itu baru kita sedar, kita sebenarnya tak punya ilmu menguruskan jenazah?
Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia. Sibuk mencari ilmu hingga anak sudah empat lima tapi masih sibuk mengejar ilmu dunia. Kita berlumba-lumba mencari mentelaah berbagai jenis ilmu.
Untuk menjadi guru terbaik, tukang masak terbaik, penjual atau pakar motivasi terhebat, tapi satu-satunya ilmu yang nampak remeh dipandang enteng, langsung kita tak ambil peduli, iaitu ilmu pengurusan jenazah.
“Argh.. bukan nak mati esok.. Anak masih sihat what? Mak ayah alhamdulillah, sihat walafiat.” Maka kita pun membiarkan bisik hati kecil itu berlalu dengan angin yang bertiup.
Sungguh, di saat nafas akhir Dahlea terhenti, aku tiba-tiba kaku dan kelu. “Apa aku nak buat ni Ya allah..”. Mujurlah ketika itu ada nurse menenangkan kami dan dia cakap, “Tak apa kak. Kami uruskan. Untuk bawa balik. Jenazah nak bawak ke mana?”.
Maka berterusanlah segala soalan dan tanda tanya bersambung sambung lepas satu-satu. Iya lah. Dah bawak balik, lepas tu? Apa nak buat? Keliru.
Ini 12 Panduan Mak Ayah Belajar Ketika Urus Perjalanan Akhir Jenazah Anak
Maka inilah yang dapat diringkaskan, segala apa yang dapat aku pegang untuk peringatan dan rujukan masa depan.
Pertama : Dekati Jemaah Masjid/Surau, Isi Borang Ahli Khairat
Jika rumah dekat dengan masjid atau surau, bergaullah dengan ahli jemaah masjid/surau. Sekurang kurangnya bila ada kematian, mereka lah yang akan membantu dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah.
Apa lagi nak solat jenazah usai semua telah selesai dan hendak di kebumikan.
* Sedikit input yang dapat dari perkongsian sahabat, isi borang ahli khairat supaya apa-apa urusan di kemudian hari sangat mudah kerana kita merupakan anak Qariah.
Kedua : Tahu Di Mana Tanah Perkuburan Dekat Kediaman Anda
Ambil tahu tanah perkuburan yang terdekat dengan kawasan kita. Sungguh sedikit tertampar dengan diri sendiri, bila aku sendiri tak tahu di mana anak bakal dikebumikan.
Mujurlah ada ketua muslimah masjid membantu kami menguruskan urusan tanah kubur dengan satu panggilan. Ya, alhamdulillah aku kenal seorang dua orang masjid walaupun jarang sekali melangkah ke sana.
Ketiga : Simpan Siap Siap Kain Batik Lepas Tak Berjahit Dalam Rumah
Kain batik lepas / kain sarung / kain tak berjahit. Ini lah yang selalu kita dengar orang tua-tua pesan. Kena ada sekurang-kurangnya sehelai dua.
Kain itulah yang akan digunakan untuk menutup jenazah, jika jenazah di bawa pulang ke rumah sebelum urusan pengkebumian dilakukan.
Dan kain batik lepas juga diperlukan ketika urusan memandikan jenazah. Jika jenazah dewasa memang perlu sekurang-kurangnya 4-5 helai. Tak terlepas kain tuala bersih untuk urusan memandikan jenazah.
Keempat : Persediaan Rumah Dan Tempat Nak Letakkan Jenazah
Persediaan rumah dan tempat meletakkan jenazah jika dibawa pulang. Ini perkara penting dan ketika inilah ahli keluarga dan sahabat terdekat perlu memain kan peranan.
Ketika Dahlea meninggal dunia, kami memang benar-benar tidak menyangka kami akan membawa dia pulang dengan keadaan yang sudah tidak bernyawa.
Urusan kami di hospital, menyukarkan kami untuk menguruskan hal rumah. Maka ketika itu keluarga, sahabat dan jiran terdekat yang tolong kami mempersiapkan rumah.
Mengemas, dan sebuah katil kecil disediakan rapi untuk kami letakkan jenazah, usai tiba dari hospital. Jika tiada katil, tilam sudah mencukupi dengan sebiji bantal.

Kelima : Selendang Nipis Untuk Tutup Wajah Jenazah
Kain jarang / selendang nipis diperlukan untuk menutup wajah jenazah, mudah untuk tetamu yang hadir melihat arwah kali terakhir.
Masih aku ingat, terkial-kial aku mencari selendang putih nipis, namun satu pun tiada. Mujurlah, dengan bantuan orang, tudung bawal digunakan.
Keenam : Bekalan 5 – 10 Naskah Surah Yasin Dalam Rumah Kena Ada
Pastikan kita ada simpanan surah yasin sekurang-kurangnya 5-10 naskah. Letak berhampiran atau tempat yang senang untuk tetamu yang datang ambil dan membaca yasin.
Alhamdulillah, ketika itu kami memang banyak simpanan Yasin hasil dari hadiah doorgift kebanyakannya yang kami dapat dari majlis kenduri dan doa selamat.
Ketujuh : Ini Yang Patut Keluarga, Sahabat Mahupun Jiran Lakukan
Ini peranan ahli keluarga terdekat, sahabat dan jiran tetangga. Kita tahu ramai tetamu dan pengunjung yang akan datang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir.
Tuan rumah yang masih bersedih sudah pasti tidak mampu menyediakan apa-apa santapan untuk tetamu.
Jadi kalianlah harus memainkan peranan dengan niat membantu dan bersedekah, beli atau sediakan sedikit minuman dan makanan ringan untuk tetamu yang hadir.
Syukur tak terkira juga kami pada hari itu, jiran membantu membeli air kotak dan pelbagai jenis biskut, ada tetamu yang membawa buah tangan makanan dan bermacam lagi.
Tak ku lupa sahabat baik yang menempah dan membawa bihun goreng keesokan harinya untuk sarapan pagi kami dan ahli keluarga. Ya nampak kecil tapi bermakna sebenarnya. Banyaknya pahala mereka dapat hari itu.
Kelapan : Belajarlah Ilmu Pengurusan Jenazah.. Jangan Nanti-nanti
Ini yang utama. Aku ada segala ilmu tapi aku jahil dan alpa dalam menuntut ilmu menguruskan jenazah. Ya, aku tak tahu bagaimana memandikan jenazah.
Aku tak tahu macam mana hendak mengkafankan jenazah. Namun semuanya telah elok di atur oleh Allah s.w.t.
Hari itu, aku dan dibimbingi seorang ustaz, dengan kedua tangan ini juga kami berpeluang memandikan dan mengkafankan jenazah anakanda Dahlea kami.
Walaupun suami sebenarnya tahu dan belajar bagaimana untuk menguruskan jenazah, tapi untuk keadaan hari itu, dia jadi kelu tiba-tiba seakan tidak tahu mahu berbuat apa. Kami hanya menurut telunjuk kata orang lain.
Kesembilan : Kena Ambil Tahu Kos-kos Urus Jenazah
Bayaran yang kita perlu ambil tahu dalam menguruskan jenazah ialah, bayaran van jenazah, bayaran untuk penggalian lot tanah kubur( upah penggali kubur), bayaran pengurusan jenazah ( jika urusan memandikan dan mengkafankan dilakukan di masjid, ada bayaran dikenakan).
Dan baru aku tahu batu nisan dan kepok itu harganya sangat mahal. Maka dikedepan hari, aku tahu aku perlu membantu rakan-rakan yang ada kematian.
Sepuluh : Penting Ada Set Kafan Dalam Simpanan, Tak Rugi Pun Beli
Jika urusan memandikan dan mengkafankan jenazah bakal dilakukan di rumah, belilah set kafan yang ada dijual di pasaran untuk simpanan kita.
Dulu aku memandang sinis dengan benda-benda macam tu, tapi kini tidak lagi. Aku tahu ia satu keperluan. Cuma kami bernasib baik , kerana pihak masjid mampu menyediakan semua.
Sebelas : Yang Lelaki, Belajarlah Untuk Jadi Imam Solat Jenazah
Untuk lelaki, yang terbaik itu jika kalian sendiri yang menjadi imam untuk solat jenazah. Belajarlah. Bukankan itu yang terbaik? Selama mana kalian telah menjadi imam kepada keluarga kalian di sepanjang hanyat mereka, yang terbaik itu kalian sendiri yang menjadi imam di hari terakhir mereka.
Ianya memang sesuatu yang mudah utk dibicarakan namun sukar untuk dilaksanakan, bilamana suami sendiri tidak mampu untuk melafazkan kalimah keramat kerana diselubungi rasa kesedihan dan hanya mampu mengikut imam di saf kedua.
Dua Belas : Belajar Cara Nak Letak Jenazah Di Liang Lahad
Belajarlah bagaimana keadaan jenazah harus diletakkan di dalam liang lahad. Moga bila ada antara ahli keluarga kita meninggal terutama ibu bapa kita.
Diarlah kalian anak-anak lelaki yang dengan sama-sama sendiri mengusung dan memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
Sungguh hari itu, tika ayah mertua ku di dalam liang menunggu untuk menyambut arwah Dahlea, hati kecil ku berkata “how mommy wish to be inside there adik, put you for your final sleep. But i can’t.”

Ketika Tubuh Kecil Itu Tidak Bernyawa…
Kematian Dahlea Hawraa bukan satu pengakhiran buat kami, malah Dahlea mengajar kami banyak perkara tentang hidup dan mati.
Dan di saat dia telah kaku dan tidak bernyawa, dia mengajar dan memberi ruang untuk kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai ibu bapa iaitu menguruskan perjalanan terakhir dia dengan kedua tangan kami sendiri.
Tak terbayang nilai kepuasan dan betapa beruntungnya kami dapat menguruskan jenazah anak dengan tangan kami sendiri.
Aku sudah belajar. Moga bermanfaat untuk kalian.
Dahlea Hawraa, Bunga syurga.
Dia sudah penat berjuang. Dia srikandi di medan perang sendiri.
Dalam kenangan : 19 March 2017 – 5 November 2018
91 days journey of bone marrow transplant.
Acute myleoid leukemia , high risk.
Cause of death : Acute Graft Versus Host disease stage 4 (post haploid bone marrow transplant)
Sumber/Foto : Nik Irma Rita Ns
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
Rais Seumur Hidup Kena Guna Shunt Sebab Tiada Saluran Air Dalam Kepala

Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”

Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.

Buang Shunt Lama Ganti Shunt Baru
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Berhenti Kerja Demi Jaga Anak
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”

Sumbangan Seikhlas Mungkin
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
Aidil Zafuan Akui Beri Nafkah Anak-Anak Setiap Bulan Tanpa Gagal Yang Ditetapkan Mahkamah

Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, 34 yang juga bekas suami kepada pelakon Rita Rudaini akhirnya tampil mejawab tuduhan segelintir netizen yang mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anaknya selama ini.

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga berkongsi di akaun Instagram, dirinya turut mempunyai bukti pembayaran dan atas alasan tersebut, orang ramai tidak harus sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan fitnah.
Aidil Zafuan Beri Nafkah Setiap Bulan Tanpa Gagal
Untuk pengetahuan, sebelum ini Rita dan Aidil bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, September 2013.
Terdahulu pada 2017, semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan edah Rita daripada Aidil telah diputuskan.
Mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015, manakala untuk tuntutan mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.

Menerusi entri tersebut juga, Aidil menjelaskan selama ini dia dituduh tidak pernah memberi nafkah untuk dua orang anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 12 dan Airit Qaqa Arjuna, 10.
“Assalamualaikum untuk maklumat para netizen dan pengikut yang dikasihi. Saya di sini ingin membuat sedikit penjelasan.
“Untuk pengetahuan semua, kenyataan ini bukanlah untuk mengeruhkan keadaan mahu pun mencari kesalahan sesiapa Sudah cukup saya berdiam diri selama ini.
“Saya telah memberi nafkah kepada anak-anak saya pada setiap bulan tanpa gagal yang telah ditetapkan oleh mahkamah. 
“Saya ada semua bukti pembayaran ke dalam akaun. Seharusnya pihak di sebelah sana (pihak Rita Rudaini) sedia maklum bahawa nafkah telah pun diterima pada setiap bulan,” tulisnya.

Malah Aidil turut menyatakan dia berhak menyatakan setiap tanggungannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuklah pembayaran nafkah anak-anaknya.
Baca Disini Juga:
Anak-Anak Nak Bercerita, Mak Ayah Tolonglah Dengar. Jangan Sampai menyesal
“Saya Rasa Ibu Tunggal Di Luar Sana Pun Merasa Benda Yang Sama..,” Rita Rudaini
Suami Kena WAJIB Dahulukan Nafkah ISTERI Dan ANAK, Barulah Ahli Keluarga Lain


 
 

Berhati-Hati Keluarkan Kenyataan
Menerusi kapsyen di entri Instagramnya itu juga Aidil turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah, penghinaan dan cacian tanpa bukti kukuh.
“Saya harap anda semua jelas dgn penjelasan saya. Saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lagi selepas ni dan saya akan serahkan semua kepada peguam saya untuk tindakan lanjut.
“Berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata yang anda sendiri tidak pasti yg boleh menjatuhkan fitnah.
“Saya minta anda jangan comment benda yg boleh mendatangkan perbalahan saya dan mengeruhkan lagi keadaan saya dgn pihak disebelah sana. Cakap dan doa yg baik-baik sahaja.
“Banyak benda yang kita boleh fikirkan di dalam situasi yg sedang melanda kita sekarang dari kita melemparkan kata-kata yg boleh mendatangkan fitnah,”luahnya.
Semoga Dipermudahkan Segala Urusan


Sumber/Sumber Foto: Instagram Aidil Zafuan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!

 



