-Shunt di kepala sudah jadi perkara penting dalam hidup Muhamad Rais

Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.

Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.

“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”

Rais Seumur Hidup Kena Guna Shunt Sebab  Tiada Saluran Air Dalam Kepala
Zuraini korbankan kerja demi menjaga Muhamad Rais

Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42,  berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.

“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.

” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.

” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.

” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.

” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.

IKLAN

” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”

Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.

Rais Seumur Hidup Kena Guna Shunt Sebab  Tiada Saluran Air Dalam Kepala

Buang Shunt Lama Ganti Shunt Baru

Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.

“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”

IKLAN

Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.

“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan.  Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.

” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”

Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.

Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.

IKLAN

“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.

” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik  ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”

Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.

Berhenti Kerja Demi Jaga Anak

Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.

“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.

” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini  mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.

Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”

Rais Seumur Hidup Kena Guna Shunt Sebab  Tiada Saluran Air Dalam Kepala
Zuraini bersyukur anak-anak sanggup bantunya menjaga Muhamad Rais

Sumbangan Seikhlas Mungkin

Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI