Rata-rata anak-anak yang masih kecil minum susu formula di samping makanan lain termasuklah nasi, sayur, mi, ayam dan makanan-makanan lain. Kebanyakan mak-mak berasa lega apabila anaknya minum susu setiap tetapi tidak makan makanan yang dimasak kerana bagi mereka anak telah mendapat zat yang mencukupi.
Tidak dinafikan susu formula memang elok diminum setiap hari sehingga anak besar. Tetapi ianya tidak boleh berlebihan hingga tidak ambil real food langsung. Lebih buruk apabila terdapat anak-anak yang makan banyak dan dalam masa yang sama turut minum berbotol susu. Perkara ini akan memudaratkan kesihatan anak.
Semalam terbaca kisah seorang ibu yang diuji kehilangan anak dan dia nyatakan anaknya overdose susu formula.
Innalillahiwainnailaihirojiun.
Daripada Allah kita datang, kepada Dia kita kembali.
Salam takziah untuk ibu bapa ini.
Saya teringin nak sentuh tentang kuantiti susu yang diberi kerana katanya sehari dia akan bagi susu 10 hingga 20 botol sehari.
Banyak sangat itu untuk kanak kanak.
Kena faham di dalam susu formula, ada kandungan gula juga. Bukanlah gula putih biasa. Ianya bertujuan memberi tenaga.
Sebab itu, jika bayi sudah berumur 6 bulan ke atas, kita ajar dia makan the real foods. Nasi, buah, sayur dan kita sarankan untuk kurangkan kuantiti susu.
Ads
Lepas setahun, sehari bagi 2,3,4 kali sudah ok.
Susu ni memang seeloknya kita ambil setiap hari sehingga ke akhir usia kerana ianya membantu menguatkan tulang.
Bayi dan kanak kanak perlukan lebih kerana mereka perlukan kalsium untuk pembesaran tubuh badan dan tulang masih membesar, meninggi.
Berpada-pada
Janganlah sehingga 10 botol sehari.
Bila bagi susu, dia akan kenyang.
Bila kenyang, dia takmau makan the real foods.
Kena makan real foods sebab kita perlukan zat zat lain yang penting untuk badan kita macam karbohidrat, protein, serat, vitamin, iron dan lain-lain.
Ada juga yang minum 10 botol tapi masih makan real foods dengan banyaknya juga.
Pun bahaya.
Boleh jadi obesiti dan dapat kencing manis.
Jangan tak tahu ya.
Kadar obesiti di kalangan bayi dan kanak kanak semakin lama semakin meningkat.
Kasihan mereka.
Mereka tidak tahu apa apa.
Ibu bapalah yang memberi mereka makan.
Ads
Ibu bapa yang bos.
Bukan anak anak.
Jadi, jika mereka minta, ibu bapa boleh katakan dengan elok atau fikir cara terbaik untuk tak mengikut segala kemahuan anak-anak.
Kan?
Sebab itu juga, jika kanak-kanak yang tertidur malam tanpa berus gigi, botol susu di mulut sehingga pagi, mudah mendapat masalah gigi rosak atau karies gigi.
Lebih Berhati-hati
Maka, berhati hatilah ya!
Untuk kes arwah ini tadi, saya rasa lebih kepada terlebih gula. Mungkin sudah ada kencing manis dan paras gula terlampau tinggi.
Bila ada kencing manis dan gula tak terkawal, ianya boleh menyebabkan keadaan seperti dka, hhs dan masalah lain lagi. Simptom untuk setiap ini adalah seperti perut tak selesa, cirit birit, muntah, kurang aktif, air kencing jadi kurang.
Jika bayi anda nampak tidak sihat, tolonglah terus bawa ke hospital ya. Dapatkan rawatan segera. Tolonglah jangan bertanya lagi petua atau cara rawatan di media sosial.
Ads
Ingat, masa adalah oksigen.
Makin lambat dirawat, makin teruk fungsi organ. Kasihan mereka. Masih kecil, nak mengadu pun tak tahu lagi.
Even kita yang dewasa pun perlu kawal tahap gula kita, apatah lagi mereka.
Moga kita dan anak anak kita diberi kesihatan yang baik dan dikurnia ilmu yang bermanfaat♥️
Pstt : Janganlah seronok sangat jika anak-anak terlampau chubby kerana risiko mereka mendapat kencing manis lebih tinggi✌🏻
Dr. Erna Nadia
Kata kunci dalam hidup kita : bersederhana.
Dalam apa jua.
MW: Semoga mak-mak di luar sana lebih berhati-hati dalam mengawal pemakanan anak-anak terutamanya dalam pengambilan susu formula setiap hari. Susu formula tidak salah tetapi pengambilannya harus dikawal agar kesihatan anak terjaga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua perkara yang isteri kongsi akan difahamkan oleh suami sebagaimana yang isteri bayangkan. Mereka berfikir lain daripada wanita, sebab itu kena tahu beza otak lelaki dan perempuan. Kalau isteri tak belajar konflik rumah tangga akan berpanjangan. Ikuti perkongsian DrRizal Abu Bakar tentang bagaimana nak fahamkan dan bezakan otak lelaki dan perempuan ini.
Beza Otak Lelaki Dan Perempuan
Petang tadi dikunjungi pelajar perempuan. Beri kad kahwin. Katanya ibunya beri. Pelajar ini baru tahun 3 pengajian. Ada setahun lagi. Kenduri bulan Julai ini.
Pelajar bijak. Ada masa depan yang cerah. Dalam kelas tumpuan tinggi. Dari riak wajah dan dari bahasa pertuturan aku menduga sesuatu.
“Pilihan ayah ke?” soalku.
“Ye”, jawabnya pendek. Ada kuntuman senyum di bibir. Bukan senyuman gembira.
Ku soal lagi. “Orang sama kampung?” “Ye,” jawabnya sambil mengangguk. Masih berikan jawapan pendek.
“Tak pernah berbual kan?” soalku lagi. Jawapannya juga ringkas. “Ye.” Tidak selesa rupanya.
“Dah belajar pasal perbezaan otak lelaki dan otak perempuan.” Soalku lagi. Banyak soalan yang bermain fikirku ketika itu. Dari riak bahasa badan dan intonasi suara, ku tahu dia kurang selesa.
“Tak belajar lagi.” Jawabnya masih pendek.
Aku mengangguk. “Kena tahu. Penting.” Balasku. Mematikan perbualan.
Otak lelaki dan perempuan diciptakan denga sedikit perbezaan. Fizikalnya nampak sama. Cara bekerjanya ada beza.
Otak perempuan bahagian memproses bahasa dan bertuturnya berada pada kedua-dua bahagian kiri dan kanan.
Otak lelaki pula tertumpu pada bahagian kanan. Menjadikan lelaki kurang berbicara. Perempuan tuturnya lebih.
3 Perkara Yang Orang Perempuan Tak Suka, Tapi Pada Lelaki Itu Biasa
Ada tiga perkara yang tidak digemari oleh orang perempuan. Perkara ini gemar dilakukan oleh lelaki. Otaknya telah di”wiring” sebegitu.
1. Lelaki Suka Beri Solusi
Bila perempuan bercerita, dia mahu didengari. Bukan mencari solusi. Lelaki pula dengan “visual-spatial” yang aktif (berbanding perempuan) akan menanggap cerita yang disampaikan memerlukan solusi.
Lelaki akan memotong cakap. Berikan solusi. Yang perempuan terpinga-pinga sakit hati. Andai tak tahu, pasti ada ada dua hati yang disakiti.
Bahagian visual spatial yang aktif menyebabkan lelaki lebih tertumpu pada big picture. Bukan detail. Nampak hutan bukan pokok.
2. Lelaki Sukar Tanya Arah
Andai sesat. Sukar menemui tempat yang dituju. Lelaki sukar berhenti bertanya arah.
Ribuan tahun, lelaki lebih dikenali sebagai pengembara. Pelayar yang cekap. Sebabnya. Visual spatialnya lebih aktif. Faktor inilah juga menidakkan lelaki bertanya arah andai sesat.
Andai tersesat jalan. Minta sahaja En suami berhentikan kereta sebentar. Cikpuan yang turun bertanya arah. Usah ditanya arah pada perempuan. Nanti lagi sesat jadinya.
3. Lelaki Lebih Banyak Kentut
Ya lelaki secara puratanya melepaskan1.5-2.5 liter gas sehari. Anggarannya lepasan bom ini ialah 12 sehari. Cukup untuk mengisi belon kecil. (tidak terpakai untuk pengamal brain-based diet).
Bercakap semasa makan boleh menjadi penyebabnya. Bila mengeteh atau mengopi, teh dan kopinya sikit. Boraknya lebih. Perempuan pun gebang kuat semasa makan. Punca kepada angin terperangkap dalam usus kecil. Natijahnya, akan jadi pengeluar gas seperti lelaki juga.
Gas ini 50-60% adalah nitrogen. 30-40% adalah karbon dioksida. Selebihnya ialah methane penyebab kepada lombong arang batu meletup.
Jika faham bagaimana otak lelaki dan perempuan berfungsi, perkara jadi mudah. Tak perlu rebut-ribut. Terima seadanya. Andai mahu faham kena belajar. Untuk keharmonian rumah tangga kita juga. Jangan tunggu.
Sumber/Foto: Facebook Page DrRizal Abu Bakar
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kita selalu menyangka kehidupan orang lain lebih baik daripada kehidupan kita, betul tak? Sebaik sahaja kita keluar rumah otak kita mula memikir tentang semua yang kita lihat.
Nampak nyonya memandu kereta baru kita berkata dalam hati, ‘Tentu nyonya itu banyak duit. Tatkala aku sedang pokai dia boleh pandu kereta baru.’
Belum lagi melihat kehidupan orang yang memang betul-betul kaya. Lalu di hadapan rumah mereka pun, kita berasa amat kecil dan langsung tak bertuah.
Kita sentiasa memikirkan orang yang tinggal dalam rumah besar seperti itu sedang bahagia. Kita juga yang masih tidak beruntung, terpaksa tinggal dalam rumah sewa.
Tatkala kita bersama-sama orang ramai yang sama taraf dengan kita pun, kita tetap merasakan mereka semua serba cukup, berbanding kita yang tidak pernah cukup-cukup.
Apakah masalahnya dengan diri kita? Masalahnya kerana kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Sedang sebenarnya orang lain itu pula percaya kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka.
Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu berasa cukup (qanaah).
Mari semak tiga fasa kehidupan yang mungkin telah kita lalui atau bakal lalui atau sedang lalui. Kita perbetulkan mana-mana yang sempat untuk diperbetul.
Semak Fasa Demi Fasa Ini
Fasa Pertama
Ketika kita dalam umur remaja. Pada waktu itu kita ada masa yang cukup banyak campur tenaga yang bukan kepalang cemerlang, tetapi kita tidak punya harta.
Lihatlah para remaja hari ini yang kerap menghabiskan masa tidak tentu hala, pada usia kita yang telah melaluinya kita melihat betapa ruginya mereka itu.
Andainya kita dikembalikan pada usia mereka, kita akan gunakan sepenuh masa dan tenaga untuk berbuat perkara-perkara berfaedah.
Fasa Bekerja
Tetapi fasa itu sudah terlalu, dan sekarang kita dalam fasa bekerja. Kita memang ada pekerjaan yang hendak dilakukan.
Hari-hari kita bangkit awal pagi untuk bekerja lalu mendapat pendapatan daripadanya. Kita memiliki harta dan tenaga tetapi kita sudah tidak mempunyai masa.
Masa kita habis di tempat kerja, selebihnya menguruskan rumahtangga, menjaga anak-anak serta berkhidmat kepada pasangan.
Fasa ini adalah fasa ramai orang kandas dalam peribadahan. Ramai yang terlalu tertumpu pada pekerjaan hingga tidak sempat hendak solat, memperuntukkan masa untuk mendaftar haji, apalagi pergi ke masjid untuk belajar agama.
Masanya terpenuh semata-mata untuk kerja dan keluarga. Memang oleh kerja bukti kita bertenaga dan berharta, tetapi sudah tidak punya masa.
Fasa Usia Emas
Fasa ketiga adalah fasa usia emas di mana pada fasa ini kita memiliki harta dan masa tetapi sudah tidak punya tenaga.
Ramai orang pada usia persaraan hanya menghabiskan masanya di rumah menonton TV dan tidak berbuat apa-apa. Hartanya banyak, masanya juga banyak tetapi sudah ketiadaan tenaga.
Andai sewaktu muda pada fasa pertama dan kedua tidak pernah membiasakan diri dengan kerja-kerja keagamaan, boleh jadi pada usia ini pun demikian.
Lainlah, secara tiba-tiba timbul kesedaran untuk berubah, menggunakan sedikit usia yang tinggal itu untuk berbakti kepada ALLAH.
Fasa Keempat; Antara Sakit Dan Fasa Ketiga
Tahukah anda apa pula fasa keempat? Fasa keempat adalah seandainya kita sakit pada fasa ketiga. Dan biasanya begitulah.
Pada usia persaraan memang macam-macam penyakit akan mula bangkit. Kerana apa? Kerana kita terlalu ‘melemakkan’ diri berehat sepanjang hari dengan menonton TV dan makan tidak berhenti.
Pada fasa ini kita akan amat-amat menyesali semua yang telah dilalui. Kalaulah pada usia remaja kita penuhkan hidup dengan aktiviti berfaedah.
Tentu pada usia pekerjaan kita lebih terpantau, lalu pada fasa ketiga kita menikmati hasilnya – kesihatan (lantaran tidak pernah terlibat dengan pengambilan bahan- bahan berbahaya);
– qanaah (lantaran telah memahamkan diri terhadap berasa cukup, syukur lagi redha);
– bahagia (kerana kita cukup memotivasikan diri dengan pelbagai kaedah membahagiakan diri selari dengan cabaran semasa).
Pada fasa apa pun anda berada sekarang ini, sebenarnya belumlah terlalu terlewat untuk berbuat sesuatu. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk berubah.
Motivasi terbaik adalah bertindak walau satu tindakan berbanding unjuran hebat tetapi hanya berada dalam fikiran. Mari jadi orang cemerlang untuk dunia kita, sementara kita masih diberi kesempatan untuk memperolehnya, tanpa sekali-kali melupakan untung nasib kita di akhirat pula nanti.
Penulis : HM Tuah Iskandar al-Haj, kolumnis ruangan Motivasi majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Diuji Rumah Tangga Musnah Di Tengah Jalan
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Alasan Sibuk Belajar
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Diuji Hadirnya Cinta Baru
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Diuji Suami Berkahwin Lagi
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Ibarat Roda
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Buat Analisis Dulu
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Ada Kekuatan
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai seorang wanita pada realitinya banyak pengorbanan yang perlu dilalui termasuklah dalam mengharungi dunia percintaan. Begitu juga dengan watak Radwa yang mengajar kita bahawa...