
Isi Kandungan
ToggleAda benarnya sebagai seorang anak adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga dan menguruskan mak ayah yang dah tua. Rebutlah peluang berbakti pada mereka, selagi mana mak ayah kita masih ‘dipinjamkan’ sementara di dunia ini. Jangan hanya muncul apabila mereka telah tiada, lebih tragis apabila hanya mahu menuntut harta yang tak seberapa.
Renung-renungkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
“Tak perlu di ingatkan, sendiri kena sedar…”
Bila mak ayah kita dah tua, maka sebagai anak, kita kena jaga dan uruskan mereka.
Bukan Abang Long yang suruh, bukan Kak Ngah, tapi Rasulullah s.a.w. Setiap anak perlu berbakti kepada orang tuanya dan keredhaan Allah s.w.t bergantung kepada keredhaan orang tua kita.
Murka Allah juga bergantung kepada murka ibu bapa.
Bila masing-masing dah besar, dah berumahtangga, maka masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Sibuk dengan isteri dan anak-anak, sibuk dengan kerjaya, sibuk dengan kehidupan harian.
Takde Masa, Bagi Bantuan Wang Ringgit
Bila ada di antara adik beradik kita yang boleh menguruskan orang tua kita sama ada di kampung atau di rumahnya, maka kita yang takde masa untuk jaga mereka perlu bagi bantuan yang bagaimana…?
Wang ringgit…bagi duit.
Sumbangkan duit kepada adik beradik yang menjaga orang tua kita untuk dia gunakan membeli keperluan hariannya dan juga kelengkapan ibu bapa.
Dah la tak jaga, tak pulak kirim duit.
Takkan nak adik beradik kita tu datang minta sedekah depan umah kita.
“Abang long, boleh tak bagi duit sikit untuk angah gunakan menguruskan mak? Angah dah banyak berhabis untuk diorang sampai angah takde duit dah ni…”
Sampai macam ni baru nak sedar?
Ada Duit Atau Ada Masa
Kalau takde duit, make sure ada masa. Kalau takde masa, make sure ada duit.Kalau takde masa dan duit, maka jangan balik bila pembahagian faraid.
Sibukkan diri macam mana sibuknya kita untuk menjaga orang tua sendiri. bagi harta orang tua kat adik beradik yang menjaga mereka diakhir usia mereka tu sahaja.

Kita jangan tuntut apa-apa..boleh?
Mana boleh, harta banyak kot, ini tidak adil. Jadi, pastikan kita boleh cari jalan untuk berbakti sebagai seorang anak. Jangan lepas tangan dan jangan hanya muncul bila orang tua dah tiada.
Muncul pun sebab harta…bukan sebab nak menjaga. Ingat pesan ni.
Baca Lagi Di Sini:
Suami, Jangan Halang Isteri Berbakti Pada Orang Tuanya
“Walau Orang Tua Nak Duduk Serumah, Jangan Bebankan Mak Jaga Anak Kita…”
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat kita yang masih ada mak ayah. Ada benarnya, seharusnya tanggungjawab menjaga dan menguruskan mak ayah yang dah tua tak perlu diingatkan, sendiri kena sedar. Bertimbang rasalah. Jika tak mempunyai masa, sumbangkan wang ringgit pada anak adik beradik yang mampu menjaga untuk keperluan mereka.
Sumber: Firdaus Shakirin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dengan Kesetiaan Dan Pengorbanan Isteri, Tergamakkah Suami Pilih Berpoligami

Isi Kandungan
ToggleKata Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani ‘tidak berpoligami bukan bermaksud tidak menyokong sunnah dan berpoligami juga bukan bermaksud hidup dalam sunnah.’
Dan huraiannya dijelaskan berdasarkan kisah rumahtangganya yang diuji dengan kesusahan. Biarpun begitu, isteri tetap setia menyumbang tenaga dan kecintaannya pada suami. Jadi perlukah suami, melupakan pengorbanan hebat sang isteri?
Tak Minat Ke Berpoligami..
Sang faqir seringkali diajukan oleh sahabat-sahabat, kebanyakannya dalam bentuk gurauan, dengan soalan; “Bila hendak tambah cawangan lagi? Kalau ada 2 mudah uruskan urusan…”
Lazimnya sang faqir akan tersenyum sahaja.
Adakala ada dari kalangan sahabat begitu bersungguh untuk berpoligami dan kalimat yang sering mereka garis tebalkan adalah Sunnah, sang faqir akan soalkan semula,
“Berapa banyak sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam yang antum dah istiqomah setakat ini?”
Ada yang tersenyum siput, ada yang menjawab dengan yakin dan ada yang hanya terdiam.
Adakah sang faqir tidak berminat untuk berpoligami?
Jawapan persoalan itu sebenarnya harus hadir dalam bentuk Iman dan Empati (bukan simpati). Apabila jawapan sang faqir berikan, ada juga yang berbunyi; “Ala, jenis takut bini nie… Tak mau mengaku…”
Sang faqir hanya boleh tersenyum.
Wanita Hebat Di Sisi Seorang Suami
Izinkan sang faqir berkongsi sebuah cerita benar kisah seorang wanita hebat di sisi sang faqir, tatkala susah, tatkala senang.
Sang faqir bernikah dengan isteri sang faqir yang tiada meminta sebarang hantaran dan dengan mas kahwin sebanyak RM88.80 sahaja serta sebentuk cincin belah rotan berharga RM90.
Seawal pernikahan kami, kami diuji dengan kesusahan yang tiada tergambar bagi pasangan yang baharu menikah. Malah seawal pernikahan, yang waktu itu masih belajar, diuji akan kami dengan masalah kewangan, sehinggakan 10 sen yang bergolek masuk ke longkang dari poket, kami kejar, dek kerana tiada wang yang cukup untuk membeli makan.
Dan ketika itu, sang faqir hanya mampu menahan air mata melihat isteri sewaktu itu ALLAH hadirkan benih ke dalam rahimnya. Saat itu, wanita ini bersuara,
“Abang, jangan risau, nur ok, kita susah sama-sama. Nur selalu dengan abang. ALLAH selalu dengan kita.”
Diuji Suami Sakit, Isteri Hamil Keluar Mencari Nafkah
Kata-kata semangat ini masih segar sehingga saat ini yang diucapkan ketika sebulan sang faqir sakit terbaring sakit, tidak mampu bangun dan bekerja, malahan wanita inilah yang bekerja dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan sang faqir yang terbaring lemah. Apatah lagi dalam keadaan membawa benih di dalam rahim.
Kami diuji ALLAH dengan jiran langsung tidak mengambil tahu hal ehwal kami. Kami dipandang seumpama kucing kurap. Ketika sang faqir dalam keadaan yang lemah dengan keadaan ini, wanita ini bersuara,
“Takpe abang, biarlah orang tak pandang kita, asal kita tak buat pun benda salah, kita buat yang betul saja.”
Ketika sang faqir diuji ALLAH dengan hal keadaan semua majikan tidak mahu menerima sang faqir bekerja, wanita ini bersuara,
“Macam nie, abang jaga anak di rumah, biar Nur yang kerja, kita makan apa yang ada saja. Nanti ada rezeki, abang pula kerja. Abang sabar ye.”

Lepaskan Majlis Konvokesyen, Demi Menjaga Suami
Sewaktu sahabat lain sedang gembira menyambut majlis konvokesyen meraikan tamat zaman pengajian. Wanita ini sedang sibuk di rumah menjaga suami yang terbaring sakit walaupun pada hakikatnya dia sepatutnya berada di majlis tersebut kerana kecemerlangannya. Apabila ditanya, kenapa tak pergi ikut rombongan konvo, jawab wanita ini,
“Abang lebih penting bagi Nur, lebih penting dari segalanya. Nur nak duduk di sisi abang.”
Sewaktu sedang sarat hamil membawa Hafidz Nuruddin di dalam kandungan, dek kerana ingin mengumpul wang sendiri supaya tidak menyusahkan sang faqir apabila dirinya dalam pantang kelak, wanita ini sanggup mengambil upah membuat urutan dan bekam sehingga beberapa kali hampir pitam. Apabila dilarang, wanita ini bersuara,
“Nur kerja untuk kita semua, kita sama-sama susah, kita sama-sama senang. Apa-apa jadi kat Nur, abang guna duit Nur, jaga anak-anak kita.”
Rasulullah SAW Tak Menduakan Sayyiditina Khadijah
Jadi, dengan pengorbanan demi pengorbanan ini, adakah suatu yang baik dan elok untuk sang faqir merasakan poligami itu baik untuk sang faqir?
Sebagaimana keadaannya Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam tidak menduakan Sayyiditina Khadijah At Thohirah sewaktu dalam hayat beliau, kerana pengorbanan dan kesetiaan Sayyiditina Khadijah RadhiyALLAHu Anha, seperti itulah keadaannya sang faqir kepada isteri tersayang.
Maka, tidak berpoligami bukan bermaksud tidak menyokong sunnah dan berpoligami juga bukan bermaksud hidup dalam sunnah.
Imbangilah sesuatu keadaan dengan waras, empati dan kasih sayang.
Sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam bukan poligami semata-mata
SyukranYa Habibatiy Fadillah Nur.
Sumber/Foto : Wan Asrul Al-Kalantani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Bukan Mesin ATM, Suami Jangan Ambil Kesempatan Bab Duit Gaji

Isi Kandungan
ToggleMakin seram akhir-akhir ini apabila ada segelintir lelaki yang sengaja mencari bakal isteri yang ada kerja.. gaji bagus malah stabil kewangannya. Alasannya nak hidup senang lepas kahwin.
Lebih seram.. bila mana ada pula segelintir bakal mak pak mentua yang letakkan standard menantu perempuan perlu ada kerja bagus, pegawai kerajaan malah gaji tip top. Siap pesan ke anak lelaki, cari menantu sebegitu untuk jaminan masa depan.
Uiii… memang seram. Apa yang dikongsikan Puan Intan Dzulkefli ini benar-benar terjadi ya mak ayah. Sebab itulah kita kena tengok balik, apa sebenarnya tujuan perkahwinan itu. Adakah semata-mata kerana wang, kedudukan atau kerjaya?
Makcik Pesan Kat Anak-anak Cari Bini Yang Kerja Kerajaan
Teringat suatu ketika dulu, saya duduk di dalam satu majlis perkahwinan, kebetulan waktu itu duduk berdekatan dengan kaum wanita yang umurnya lebih kurang ibu saya.
“Apa kerjanya pengantin perempuan?” tanya seorang wanita.
“Tak pastilah cikgu ke nurse. Tapi pegawai kerajaanlah,” Jawab yang lainnya.
“Pandai cari… Bertuahlah,” ujar makcik di sebelah saya. Saya memandang wajahnya. Dia tersenyum memandang saya.
“Zaman sekarang kena pandai cari bini, kalau boleh cari yang bekerja. Lagi bagus kalau kerja kerajaan. Makcik pesan juga kat anak-anak lelaki makcik, macam nilah. Carilah cikgu ke, staff nurse ke. Untung-untung dapat duduk kuarters, elaun banyak, nak buat pinjaman senang.” Jelasnya tanpa diminta.
“Betul, kena pandai cari. Macam anak sedara saya tu, laki kerja biasa je tapi dapat beli rumah sendiri 300k tu kat bandar xx tu sebab bini dia keja staffnurse, loan senang lepas,” cerita makcik seorang lagi.
“Ya, makcik,” saya mengiyakan sahajalah.
Walau Suri Rumah, Puas Hati Dapat Jaga Anak Sendiri
“Awak kerja apa? Cikgu ke?” tanya makcik yang duduk sebelah saya.
“Saya surirumah,” balas saya ringkas. Waktu itu saya baru resign, belum start bisnes online lagi.
Allah. Nampak terus berubah riak wajah wanita itu. Senyuman kelat dilemparkan.
“Takpe… Puas hati kan dapat jaga anak sendiri.” ulasnya pendek.
Saya cuma membalas “Alhamdulillah,” sambil tersenyum nipis.
Dalam hati saya sebak. Sebak sebab bersyukur. Syukur alhamdulillah, suami dan mertua tak ada pemikiran yang ‘advance’ sebegitu. Mereka pinang dan terima kehadiran saya pun waktu saya belum habis belajar lagi waktu tu. Memang tak ada ‘apa-apa’.
Cari Isteri Kerajaan Sebab Nak ‘Tumpang’ Hasil Isteri
Pernah juga lihat komen-komen kaum lelaki tentang kriteria ‘isteri kerja kerajaan’ ni. Begitu jugalah… Senang jika duduk kuarters, senang nak buat loan, senang nak dapat backup bila tak cukup duit tengah bulan.
Baru-baru ini pula saya terbaca berita, seorang doktor wanita ditipu suaminya dengan bebanan hutang dan pinjaman peribadi hingga nilai komitmen mencecah setengah juta.
Ya Allah, banyak tu!
Rupanya, benarlah memang ada segelintir lelaki yang ada persepsi mahukan ‘isteri kerja kerajaan’ untuk ‘menumpang’ mahupun ‘mengerah’ hasil isteri.
Astaghfirullah al adzhim
Setiap Ibu Mahukan Yang Terbaik Untuk Anak-anaknya
Saya tak mahu judge makcik yang ‘berpesan’ kepada anak-anak lelakinya tentang kriteria calon isteri kerana saya tahu, setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Bukan tidak ada kes, suami pula yang berhutang keliling pinggang bagi memenuhi keinginan isteri yang bernafsu besar sedangkan isteri tidak mahu berusaha sendiri. Runtun hati mak apabila lihat anak lelakinya ‘dikerah’ sebegitu. Mungkin sebab itu mula ada pemikiran seperti yang saya ceritakan tadi.
Nak cari menantu berkerjaya. Supaya menantu tak jadi ‘hantu’ yang menyusahkan anak lelakinya.
Namun, harapnya mak-mak yang ada pemikiran sebegini jangan kecil hati, jika pihak lelaki masuk meminang anak perempuan kalian pula bertanya, “anak makcik kerja apa? Kerajaan ke swasta?”
Sedihnya.. Bila Isteri Ada Gaji Tak Lagi Jadi Penerima Nafkah
Pernah juga kenalan yang bekerjaya hebat, terlepas keluhan kepada saya,
“Kadang cemburu dengan kenalan yang housewives, suami mereka tak pernah lupa bagi duit nafkah.
Tahu tak, kadang orang perempuan yang bekerja ni, nampak macam gaji banyak kan, macam senang..
Tapi sebenarnya tak pernah ‘rasa’ pun duit suami. Dapat gaji terus bagi suami, bayar semua komitmen rumahlah, keretalah, belanja itu ini.”
Terdiam saya waktu itu. Sebab luaran kita nampak hebat sahaja kan. Allahu musta’an.
Betul… Tidak semua begitu. Namun, ianya berlaku.
Banyak berlaku kes, isteri tidak lagi menjadi penerima nafkah, bahkan dia pula yang mengepalai nafkah rumahtangga termasuk makan pakai suami! Astaghfirullah al adzhim.
Namun, ramai juga suami yang biarpun isteri berpangkat besar, mereka tak pernah culas bab nafkah. Bahkan perbelanjaan nafkah tak pernah diambil ringan, setakat kemampuannya sahajalah.

Alhamdulillah.
Ingat Ya! Isteri Bukan Mesin ATM
Kadang isteri tak berkerja pun sering dibuli juga, diabaikan bab nafkah dan sebagainya. Atau isteri yang bekerja sendiri pun ada juga yang kena ‘pow’.
JADI ISUNYA BUKAN TENTANG ISTERI BEKERJA ATAU TIDAK. MELAINKAN NIAT DAN PEMIKIRAN INDIVIDU.
Jauhilah persepsi terhadap pasangan sebagai ‘mesin atm’, atau tempat kita mengambil kesempatan semata-mata.
Sebab itulah, niat, matlamat dan pemikiran seseorang individu itu sendiri perlu diperbetulkan sejak dari sebelum nikah. Kita memandang pernikahan dan pasangan kita itu sebagai apa. Semata-mata untuk kesenangan dunia ataupun untuk sama-sama bersusah payah memikul bebanan dakwah dan rumahtangga?
Perkahwinan jika niat awalannya tidak berfokus kepada mardhatillah, mudah membuatkan kita tersasar, bahkan kadang tersungkur dalam perjalanan mengemudi bahtera perkahwinan.
Hal ini kerana, setiap perkahwinan ada pasang surut, ‘upside down’, tetapi kita ‘get back on track’ kerana muhasabah kembali niat dan matlamat perkahwinan kita. Akujanji waktu pernikahan dulu.
Innamal a’malu binniyat.
Pokok bagi sesuatu amal adalah niatnya.
Jika kita berkahwin hanya sebab mahu mengambil kesempatan terhadap pasangan, tidak ikhlas mahu sama-sama mengejar redha Allah, dikhuatiri dari awal lagi kita sudah tercicir keberkatan Tuhan.
Rahsia Pasangan Dulu-dulu Mesra Melekat
Teringat almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bercerita, orang dulu-dulu tidur kadang hanya berbantal lengan, tidur saling menyandar untuk memanaskan badan kerana selimut pun tidak ada, namun tautan hati mereka kadang lebih erat berbanding pasangan yang tidur di tilam empuk dan berpendingin hawa.
Allahuakbar.
Wahai suami, wahai isteri.
Wahai kaum lelaki, wahai kaum wanita.
Betulkanlah semula niat kita berkahwin. Baik yang mahu berkahwin ataupun yang sudah berkahwin. Sama-sama muhasabah kembali.
Sentiasa tajdid niat kita, fokus kepada matlamat kemana pernikahan kita hendak di bawa.
Ibubapa juga sama-sama muhasabah. Jangan hingga menganiaya sesiapa. Menantu kita pun adalah anak kita juga. Betulkan niat, insyaAllah ketenangan akan datang.
“Sesungguhnya setiap amalan tergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya seseorang hanya mendapatkan apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrah kepada apa yang dia tuju,” (HR Bukhari dan Muslim)
Sumber/Foto : Intan Dzulkefli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Kaedah Didik Anak Supaya Suka Belajar & Cintakan Ilmu Yang Mak Ayah Boleh Praktikkan

Isi Kandungan
ToggleSebenarnya ada kaedah tertentu yang boleh mak ayah praktikkan dalam mendidik anak agar suka belajar dan cintakan ilmu. Mak ayah perlu tahu bahawa pendidikan anak-anak yang pertama adalah bermula dirumah! Oleh itu adalah amat penting bagi mak ayah agar mempunyai ilmu dan faham kaedah yang boleh dipraktikkan untuk anak tersayang.
Berikut merupakan perkongsian ilmu daripada Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Noor Afidah Abu Bakar sebagai rujukan mak ayah.
“Menurut Harvard Center on The Developing Child (HCDC), sebanyak 1000 trillion perhubungan neural (neural connection) terbina dalam otak kanak-kanak ketika berusia 1-3 tahun.Perhubungan neural ini terbina apabila otak kanak-kanak diberikan stimulasi dengan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran”.
Otak kanak-kanak secara semulajadinya sentiasa bersedia untuk melalui proses pembelajaran. Perhubungan neural inilah yang membantu kanak-kanak untuk belajar dan menyerap maklumat melalui pengalaman yang dilalui.
Ketika usia ini kanak-kanak suka belajar kerana seronok hendak belajar. Walau bagaimanapun, menurut HCDC juga, proses pembelajaran menjadi lebih sukar apabila otak kanak-kanak tidak mendapat stimulasi yang optimum apabila mereka meningkat usia.Keseronokan dan minat kanak-kanak untuk belajar juga didapati semakin menurun terutamanya apabila kanak-kanak terpaksa melalui rangkaian ujian dan peperiksaan dari usia yang terlalu awal.
Menurut Professor Richard Ryan seorang pakar psikologi dari University of Rochester, kanak-kanak berminat untuk belajar apabila pembelajaran berlaku secara semulajadi, iaitu melalui bermain kerana bermain adalah kecenderungan semulajadi kanak-kanak.
Ibubapa boleh memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan minat dan motivasi semulajadi kanak-kanak terhadap pembelajaran.
Keinginan anak untuk ‘explore’ dan ‘discover’ boleh dipupuk melalui 6 kaedah berikut:
1) KONGSIKAN PENGETAHUAN DENGAN ANAK
- Ibubapa adalah suri teladan (role model) terbaik anak-anak. Peringkat pertama pembelajaran seorang anak adalah dengan meniru perbuatan ibubapa walaupun mereka belum faham apa yang ditiru.
- Kongsikan dengan anak apa saja ilmu yang anda pelajari atau baca sama ada sukan, masakan, isu semasa, fesyen, alam sekitar, ekonomi, politik, ataupun sains.
- Bersembanglah dengan anak dengan cara yang bersesuaian dengan usia anak. Jangan dipandang rendah keupayaan anak untuk sama-sama mendengar dan berbincang dengan ibubapa pengetahuan yang berkaitan.
- Ceritakan kenapa anda rasakan topik atau isu berkenaan menarik perhatian anda untuk dikongsi. Dengan cara ini secara tidak langsung anak akan mempelajari bahawa proses menuntut ilmu dan pengetahuan itu bukanlah untuk kanak-kanak sahaja dan tidaklah terhenti apabila tamatnya persekolahan.
2) LIMPAHI ANAK DENGAN BAHAN BACAAN
‘Iqra’ (Bacalah) – Al-Alaq
- Minat membaca menjadi faktor yang penting untuk melahirkan ‘life-long learners’. Kajian oleh Harvard University mendapati bahawa kanak-kanak yang suka membaca adalah mereka yang mudah mendapat bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, kamus dan ensaiklopedia di sekitar mereka.
- Pastikan bahan bacaan di letakkan di tempat yang mudah diambil dan berdekatan dengan anak, seperti di bilik tidur, supaya minat itu berterusan dan tidak terputus.
- Bacakan buku untuk anak kecil dan baca bersama-sama apabila mereka semakin membesar. Bincangkan dengan anak tentang kandungan buku dan tanyakan pendapat anak tentang watak dan cerita tersebut.
- Penyertaan aktif anak dalam proses membaca dan perbincangan akan menambahkan lagi minat anak untuk membaca buku dan seterusnya menimba ilmu dan pengetahuan dari pembacaan.
3) MULAKAN DENGAN MINAT SEMULAJADI ANAK
- Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Minat anak juga mungkin berbeza dari minat kita. Minat tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu dipupuk. Minat anak boleh dikesan dari kecil lagi terutamanya apabila anak sering didedahkan kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran.
- Berikan masa untuk bayi memegang, menyentuh dan merasa objek dan permainan supaya minat dapat dikesan dan terus dipupuk. Ibubapa berperanan untuk memberi sokongan dan galakan supaya minat itu berkembang melalui proses pembelajaran yang berterusan.
4) TETAPKAN BATASAN DALAM MEMBANTU
- Kajian mendapati bahawa ibubapa yang mempunyai anak yang bermotivasi tinggi untuk belajar adalah ibubapa yang tidak memberi tekanan yang melampau, tidak melakukan semua untuk anak dan tidak membuat keputusan untuk anak.
- Ibubapa ini memberi kebebasan untuk anak-anak berfikir dan memberi pendapat mereka berkaitan sesuatu perkara. Ibubapa ini memberi panduan dan sokongan untuk anak-anak dalam membuat keputusan.
- Beri peluang kepada anak kecil untuk membina binaan blok mengikut idea dan keupayaan anak, menyelesaikan ‘puzzle’ dan juga menyelesaikan latihan matematik dengan sendirinya tanpa bantuan yang melampau daripada ibubapa.Ini akan melatih anak untuk menjadi lebih kompeten dan resilien. Anak yang merasakan diri kompeten, akan lebih berminat untuk belajar dan terus mencabar diri sendiri untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya.
5) GALAKKAN ANAK BERTANYA SOALAN
“Wisdom begins with wonder”
- Anak kecil sentiasa ‘curious’ dengan persekitaran mereka. Biar anak bertanya apa saja soalan kerana pembelajaran berlaku dengan lebih efektif melalui kaedah soal jawab.
- Layanlah setiap soalan. Jika kita tidak tahu jawapannya, beritahu anak yang anda tidak tahu dan ajak anak untuk sama-sama mencari jawapannya sama ada melalui ensaiklopedia, buku ataupun internet. Wujudkan budaya mencari maklumat kerana ia akan mengujakan anak-anak.
- Ibubapa juga perlu sering bertanya soalan kepada anak untuk mencetuskan keinginan untuk mencari jawapan dan seterusnya memupuk minat untuk belajar dan menimba ilmu.Tanyakan soalan yang berbentuk konseptual seperti “Kenapa agaknya burung kembali ke sarang apabila masuk waktu senja?”. Soalan yang sebegini akan mencetuskan persoalan di dalam diri anak yang membawa kepada pencarian ilmu.
6) FOKUS PADA USAHA DAN BUKANNYA HASIL SAHAJA
- Carol Dweck, seorang pakar psikologi dari Stanford University mendapati bahawa kanak-kanak lebih bermotivasi untuk belajar apabila pujian diberikan kepada usaha yang ditunjukkan berbanding hasil yang dicapai.
- Semua anak mencapai sesuatu hasil pada kadar yang berbeza. Jika ibubapa memberi penekanan kepada hasil tanpa mempedulikan usaha, anak yang lambat mencapai sesuatu hasil akan merasakan diri tidak dihargai dan terpinggir.Ini akan mematikan minat anak untuk belajar dan berusaha. Pujilah setiap usaha anak untuk memberikan keyakinan kepada anak tersebut bahawa dia juga boleh berjaya satu hari nanti.
Sama-samalah kita wujudkan budaya cintakan ilmu dalam keluarga kita dan seterusnya melahirkan ‘lifelong learners’ dalam masyarakat.
Jadilah ibubapa yang hebat!
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sama-samalah kita berusaha menjadi mak ayah yang terbaik buat anak-anak.
Sumber:Parent Connect
Kredit Foto: nandakusumahati
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI