Suamiku Bukan Lelaki Curang, Dia Cuma ADHD

Share

Izinkan saya mulakan dengan memberitahu, manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu. Kisahnya bermula begini.

Anda berkahwin dengan pasangan yang sangat anda cintai. Setelah beberapa bulan hidup
bersama, anda merasa ada sesuatu yang tidak kena. Bukan dia curang atau tidak jujur tetapi perkara lain.

Suami anda itu berperangai pelik. Dia seperti terperangkap dalam dunia sendiri.  tidak memandang anda bila bercakap tapi sibuk memandang ke arah lain.

Dia tidak fokus apabila membuat sesuatu kerja. Ada sahaja yang menarik perhatiannya.

Petang semalam anda minta dia membersihkan rumah tetapi selepas dua jam anda lihat dia sibuk dengan hal lain.

Anda nasihat dia jangan memandu laju tetapi minggu depan dia kata mahu meneroka gua di Sarawak.

Dia boleh berjanji dan mungkir janji dalam masa yang hampir sama. Memang masa bercinta dengannya anda sudah nampak dan rasa perkara ini tetapi anda tidak sangka serius macam itu.

 

Rupanya Suamiku ADHD, Isteri Tak Lagi Bahagia

Kesudahannya anda mengalami tekanan perasaan dan rumah tangga jadi huru-hara. Suatu hari anda terbaca berkenaan satu masalah psikologi yang dikenali ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder).

Semua tanda-tanda ADHD yang saya sebut sebelum ini ada padanya. Patutlah anda selalu tersinggung dan tertekan dengan sikapnya.

Sekarang barulah anda faham kenapa dia berperangai begitu. Anda rasa sangat bersalah kerana sudah terlalu salah sangka selama ini. Semua itu bukan sengaja dia lakukan.

Dan sekarang anda mahu tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus hidup bahagia bersama dengannya.

Pertama Sekali, Terima Hakikat

Anda mesti menerima hakikat bahawa mereka yang dikurniakan ADHD adalah berbeza
dengan orang lain.

Memahami dan menerima hakikat ini adalah kunci kepada perjalanan panjang anda untuk hidup bersamanya.

Kedua, Jangan Ambil Hati

Selepas ini jangan terlalu ambil hati tentang sikapnya yang begitu. Orang yang dikurniakan ADHD memang ada masalah untuk fokus dalam tempoh lama.

Mereka sukar menumpu perhatian pada satu-satu perkara. Kalau dia jenis pengemas, maka senyum dan bertabahlah.

Jangan terlalu mengharap yang dia akan mengekalkan kekemasan rumah yang baru anda kemaskan. Dia ada banyak idea untuk mengalih barang yang baru anda kemas itu.

Jika anda marah-marah pun tidak banyak yang akan berubah. Bersabar dan berdoalah banyak-banyak supaya anda boleh terus bersabar.

Ketiga, Cari Jalan Untuk Menyerap Sikapnya

Sikap dan perangai penghidap ADHD pasti sangat mencabar kepada sesiapa yang mahu hidup dengan mereka.

Sekiranya anda menyayangi suami yang ada ADHD maka carilah jalan untuk menyerap sikapnya itu.

Contoh jika dia selalu tidak ingat apa yang anda minta dia beli di kedai maka buatkan senarai.

Jika anda tidak mahu dia ada idea untuk ke tempat lain, maka telefon dia supaya pulang segera kerana anda perlu apa yang baru dibeli itu.

 

Keempat, Anggaplah Geram Itu Medan Tambah Pahala

Dalam keadaan ini perasaan geram dan marah pasti akan mencabar tahap kesabaran anda.

Jangan jadikan itu sebagai sesuatu yang anda tidak boleh lalui. Lihat itu sebagai peluang baik untuk anda membuat pahala.

Ingat, bahawa suami anda itu bukan curang seperti yang anda takut selama ini.

Dia bukan sakit terlantar yang memerlukan perhatian anda 25 jam sehari 8 hari seminggu! Dia hanya ada ADHD. Itu sahaja.

Tidak ada masalah dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Anda mungkin geram dengan suami kerana kesan ADHD itu tetapi bayangkan betapa dia keliru dan marah pada diri sendiri kerana menyusahkan anda.

Oleh itu adalah sangat penting anda duduk berbincang dengan suami tentang perkara itu.

Kelima, Beritahu Suami.. Kerana Dia Takkan Tahu Apa Anda Rasa

Jangan buat andaian sendiri tentang dirinya atau mengharapkan yang dia tahu sendiri apa yang anda rasa.

Beritahu dia tentang apa yang anda lalui. Dengar juga apa yang dia mahu anda faham tentang dirinya.

Perbincangan hati ke hati akan mencerahkan kefahaman tentang had dan keupayaan toleransi anda. Sudah tentu sebagai manusia biasa anda mempunyai had tolak-ansur sendiri.

Namun dalam kebanyakan masa anda tidak perlu berfikir sejauh itu.

Keenam, Latih Diri Jadi Positif

Latih fikiran supaya sentiasa positif. Dia hanya ada ADHD. Dia bukan curang kerana perempuan lain. Setiap malam dia pasti balik ke rumah. Tidak ada masalah bukan?

Jadi, apa yang kecoh sangat?

Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita

IKLAN