
Baru-baru ini penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima mengibaratkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memberi ‘hadiah’ istimewa kepada karyawan seni apabila beliau hadir ditemani bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada majlis Seniman Semeja yang dianjurkan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, seminggu sebelum tokoh kesayangan ramai itu pulang ke hadrat Ilahi.
Pemergian ‘Ibu Negara’

Erma yang cukup terkesan dengan pemergian sosok digelar ‘Ibu Negara’ itu masih teringat detik manis bersama Allahyarham Dr Siti Hasmah dan Dr Mahathir pada majlis meraikan ulang tahun kelahiran mereka dan pertemuan dengan anak seni itu.
“Seminggu lalu, kami meraikan beliau. Hari ini (kelmarin), kami berkumpul dalam majlis ini untuk melepaskan beliau pergi. Memang saya tidak tahu hendak kata apa.
“Mungkin sudah ditakdirkan Allah bahawa kami terima hadiah yang paling istimewa. Seminggu sebelum beliau pergi, seolah-olah itu satu pemberian yang sangat besar untuk kami sebagai orang seni,” katanya.
Bagi mengenang jasa dan mendoakan Allahyarham, Erma bersama adiknya yang juga pelakon, Datin Seri Umie Aida menganjurkan majlis khatam al-Quran, bacaan yasin dan tahlil yang dihadiri kira-kira 100 individu termasuk rakan selebriti dan penggiat industri kreatif.
Erma Fatima Anggap Tun Dr Siti Hasmah Tinggalkan ‘Hadiah’ Istimewa

Erma berkata, kesempatan meluangkan masa bersama Allahyarham Dr Siti Hasmah pada majlis Seniman Semeja, cukup memberi kesan kepada hatinya dan tetamu.
Erma berkongsi berpeluang membantu menguruskan Allahyarham Dr Siti Hasmah termasuk menolak kerusi roda, menjaga makan minum serta mengiringinya sehingga pulang.
“Pada majlis itu, arwah juga sempat bermain biola kerana itu adalah kegemarannya. Beliau berusaha untuk bermain dan menghiburkan kami.
“Bukan kami yang menghiburkan beliau, tetapi sebaliknya arwah mahu melakukan sesuatu untuk kami. Arwah mahu bermain biola dan selepas selesai bermain, air matanya mengalir,” katanya.
Mengimbau kehadiran tetamu pada majlis itu, Erma percaya mereka yang hadir didorong rasa kasih dan penghargaan terhadap Allahyarham Dr Siti Hasmah serta Dr Mahathir.
“Lebih kurang 100 orang hadir, malah mungkin lebih. Saya percaya mereka yang hadir adalah orang yang sayangkan mereka, selain mengenang perjuangan beliau untuk kami, rakyat Malaysia.
“Bagi saya, Dr Siti Hasmah adalah seorang yang mempunyai jiwa seni sejak kecil. Ketika kecil, bapanya paksa beliau bermain biola. Bapanya memang mahu semua anaknya bermain piano, biola dan sebagainya.
“Kemudian, ketika di sekolah, beliau turut terbabit dalam bidang seni. Ketika di universiti pula, arwah aktif dalam kegiatan seni dan sukan. Sebab itu beliau pernah gagal dalam satu subjek sehingga Tun Siti Hasmah terpaksa menyekatnya,” katanya yang menyifatkan arwah Dr Siti Hasmah sebagai insan dekat dengan masyarakat termasuk anak seni.
Bacaan Tahlil Untuk Arwah Tun

Sementara itu, Erma berkata, majlis khatam al-Quran, bacaan yasin dan tahlil yang dianjurkan menjadi ruang buat mereka yang pernah mengenali Allahyarham Dr Siti Hasmah untuk bersama-sama mengenang sosok yang banyak berjasa kepada rakyat Malaysia, khususnya warga seni.
Erma berkata, Allahyarham Dr Siti Hasmah memiliki sifat yang sentiasa merendah diri apabila sentiasa melayani semua orang tanpa mengira kedudukan.
Kongsi Erma, Dr Siti Hasmah sering mengambil masa untuk bersalaman dan berinteraksi dengan seramai mungkin tetamu pada sesuatu majlis.
Anda mungkin berminat dengan
“Pada masa sama, beliau juga mempunyai sifat mahu penuhi kehendak semua orang. Kita selalu nampak apabila arwah menghadiri sesuatu majlis, beliau sering tertinggal di belakang.
“Sebabnya, kalau ada 1,000 orang, arwah mahu bersalaman dengan semua 1,000 orang. Kalau boleh, arwah mahu bercakap dengan setiap seorang.
“Jadi, bagi kami yang berada dalam bidang seni, apabila kami jemput arwah sejak dahulu, kalau beliau tidak mempunyai urusan dan ada kelapangan, arwah akan datang. Beliau akan berusaha untuk hadir,” katanya.
Sekadar info, allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin lalu. Allahyarham Dr Siti Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.

download sekarang!
