
Penat macam mana pun, golongan isteri kena tahu hukum tolak nafkah batin apabila suami ajak ‘bersama’. Seperti yang dikongsi oleh seorang wanita, dia sampai terpaksa menipu disebabkan keletihan.
Hukum Isteri Tolak Nafkah Batin

Saya seorang wanita yang bekerjaya. Saya sering pulang ke rumah sehingga malam dalam keadaan tertekan dan kepenatan. Sebaik pulang ke rumah, saya sibuk menguruskan keperluan anak-anak. Disebabkan keletihan, saya sering hilang minat apabila diajak ‘bersama’ oleh suami. Malah, saya pernah berbohong mengatakan, saya sedang dalam haid untuk mengelak daripada ‘bersama’ suami. Apakah hukum perbuatan saya itu?
JAWAPAN: TANGGUNGJAWAB isteri mentaati perintah suami pada perkara yang makruf selagi dalam kerangka syarak. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.
Begitu juga, nusyuz boleh terjadi apabila isteri menolak hubungan seksual walaupun dalam bentuk memegang pada anggota yang dipilih suami.
Namun tidak dianggap nusyuz isteri menolak kerana uzur seperti wanita tengah sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid.
Ada Perempuan Terpaksa Menipu Sebab Terlalu Penat
Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil yang menunjukkan ancaman.
Ancaman yang dimaksudkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” (Riwayat al-Bukhari)

Pengajaran daripada hadis tersebut menunjukkan besarnya hak suami ke atas isterinya. Ini menjadi dalil bahawa haram bagi seorang isteri itu menolak ajakan suami mahupun berlengah-lengah atau dipaksa suaminya mengajak ke tempat tidur untuk istimta’ (berseronok) dan bersetubuh.
Menolak permintaan tersebut dianggap sebagai dosa besar disebabkan malaikat melaknatnya sehingga pagi.
Sehubungan itu, selagi tiada alasan-alasan yang boleh diterima syarak, isteri tidak boleh menggunakan apa-apa alasan mahupun helah untuk menipu suaminya. Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar.
Bagaimanapun, para suami juga harus memberi perhatian bahawa Allah SWT juga memerintahkan untuk menggauli (bermu’asyarah) isteri dengan cara yang paling baik kerana asas bagi hubungan badan suami isteri adalah bagi membina kemesraan dan bukanlah bagi melepaskan nafsu semata-mata.

Anda mungkin berminat dengan
Firman Allah SWT: “Sekiranya isteri benar-benar dalam berkeadaan haid, maka haram jika suami mengajaknya bersama. Ini kerana, salah satu perkara larangan bagi wanita didatangi haid adalah melakukan persetubuhan dengan suaminya.”
Kesimpulannya, berdasarkan hujah yang dikemukakan, haram dan berdosa besar seorang isteri menafikan hak-hak suami ke atas dirinya tanpa ada sebarang keuzuran syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.
Namun, dalam kehidupan serba moden dengan para isteri telah ramai yang turut sama keluar bekerja, di samping masih bertanggungjawab menjaga urusan rumah tangga, maka sebaiknya pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pihak. Isteri perlu menjelaskan keadaan sebenar agar suami dapat memahami tanpa perlu berbohong.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

