Bukan mudah menjadi isteri dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Pengorbanan isteri sangatlah besar dalam memastikan rumah kemas, bersih sempurna dan anak-anak terurus serta terjaga. Serba serbi dilakukan dengan ikhlas demi rasa cinta dan kasihnya pada keluarga.
Namun ada masanya, isteri juga rasa stress dan sangat penat dengan urusan seharian ini. Suamilah, yang memainkan peranan penting dalam meredakan kepenatan dan stress isteri. Kadangkala perkara yang simple seperti suami urut kaki, jadi pendengar yang baik dah memadai dan besar jasanya buat isteri.
4years being housewife.
Betul. Ada masa kita okey tapi akan ada masa kita down. Teramat sangat
Ini cerita aku, yang segalanya nak perfect. Tak nak habuk, tak nak makanan bersepah, tak nak lantai toilet basah. even nampak semut seekor dalam rumah pun aku dah stress seharian. Penat kan jadi aku?
Tapi tu dulu..
Now, aku dah boleh terima semua tu. Dengan keadaan, dengan tumbesaran anak anak. Makan sepah, mainan dalam toilet bowl, coco crunch dalam laci baju dan Jet si superwing dalam gelas Teh O panas aku. Menggelegak dia disitu.
Aku perlu terima aku perlu faham situasi dan keadaan ini, aku perlu bertenang. Tak panik bila air tumpah macam dulu. Sebab husband selalu cakap “Dah tumpah, lap.. simple”. Taknak lap, tinggal situ abang buat.
Ads
But seriously not easy to be who I am now. Very cool and rilex person. Air tumpah? baju dalam almari dipunggah? wayar charging hp kena gunting? Im still cool. Benda boleh setel. Bapak dia boleh setel. Buat apa nak stress. Hahaha gurau abi.
Cipta Sesi Terapi
Tak, aku jadi rilex dan bertenang sebab aku penat seharian jaga kids, kemas rumah, sambil bisnes lagi, aku tak kisah sebab setiap malam aku ada sesi therapy yang dalam tak sedar dah 4 tahun juga kami cipta sesi therapy tu.
Ads
Selama 4 tahun ni, setiap malam sebelum tidur suami aku akan urut kaki aku. Sambil urut tu, dia akan tanya macam mana ,apa, bagaimana lalui seharian ini? Jadi pada sesi tu juga aku akan cerita A- Z aktiviti harian kami 3 beranak masa suami bekerja. Macam daily report la.
Dari cerita adik bangun tidur air liur bersepah, Elfy pandai baca Ejaan Air Asia, sampai dua dua panjat grill tunggu abi balik, lengkap aku cerita dalam report tu.
Refresh Beri Tenaga Baru
Yes.. 4 tahun sudah begitu..
Nak tahu apa aku dapat after therapy session tu? Rasa segalanya macam refresh. Very fresh untuk hadap hari esok pula.
Ads
Simple je kan? Urut kaki sambil bagitahu daily report. Tapi effect nya pada seorang housewife macam aku? Sangat effective. Sangat memberi tenaga baru. Sampai aku begitu semangat tiap hari, buat semua housewife works dengan tenang dan lengkap sebab tak sabar nak tunggu malam untuk therapy session tu.
housewife..
Tak perlu pun balik kerja bawa kek, chocolate banquet, gelang coco.. Urut kaki dan jadi pendengar yang baik pun dah memadai dan besar jasanya buat kami.
Thanks abi.
xoxo
Your Very 1st baby
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pesanan buat para suami, rajin-rajinlah buat sesi terapi urut kaki dan jadi pendengar yang baik dengar segala cerita isteri.Memang ada benarnya, ia mampu buat isteri bertambah bahagia, lebih gembira dan rasa lebih dihargai.
Mendidik dan membesarkan anak sulung begitu mencabar sekali. Dialah penghuni pertama rahim ibu, dan apabila hadir adik-adik yang lain. Anak sulung mula merasai erti tanggungjawab tanpa hatinya rela. Andai betul didikannya, anak sulung membesar jadi cahaya mata yang banyak membantu orang tuanya.
Kisah pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berkongsi kisah anak sulungnya menjentik hati ibu-ibu. Dalam kelembutan ada ketegasan, dalam ketegasan ada pujian dan teguran. Begitulah indahnya, seorang ibu yang sabar membesarkan anak perempuan sulung.
Jalan Berdua Dengan Anak Sulung
SubhanAllah.. Jalan berdua dengan anak sulung, ada orang belakang jeles (Abinya) snap gambar senyap-senyap. Anak pertama, ada orang kata yang paling manja, tapi Atikah seperti tak sempat nak manja lama, berturut adik-adiknya lahir sorang demi sorang.
Dah biasa daripada kecil tolong Umi Abi dalam menguruskan banyak perkara. Atikah (14 tahun) terpaksa cepat matang dan cekap buat banyak perkara. Tinggalkan 6 adik-adiknya untuk dijaga (bukan tempoh lama) dah jadi biasa.
Atikah juga bantu fahamkan adik-adik yang belum mengerti kenapa Umi Abi sibuk sangat, bantu pastikan rutin ibadah dan kerja harian tetap berjalan ketika Umi Abi tinggalkan beberapa hari anak-anak bersama dengan penjaga.
Selalu hati kecil saya bimbang, sungguh saya bimbang bila membaca ramai Ibu Bapa yang meluahkan kesedihan apabila tiba satu saat anak sulung berubah sikap, mula memberontak, mula rasa Ibu Ayah tidak adil dan menzaliminya dengan pelbagai tugasan, bahkan ada yang meluahkan rasa benci pada Ibu Ayah.
Allahu Allah.. saya doakan semua Ibu Ayah kuat dalam mendidik anak-anak di zaman yang sungguh mencabar ini.
Fahamkan Anak, Meminta Maaf Itu Akhlak Memuliakan Seseorang
Kesabaran, ketenangan dan kelembutan kami juga seringkali roboh saat diuji dengan kerenah dan sikap anak-anak. Jika benar kami dah melampaui batasan, kami akan merendahkan diri memohon maaf daripada anak-anak, ia tidaklah menjatuhkan maruah, bahkan kita sedang memberi kefahaman bahawa meminta maaf itu adalah satu akhlak yang akan memuliakan seseorang.
Saya sebenarnya ibu yang tegas, namun pujian dan teguran cuba diberikan seimbang pada anak-anak. Dalam kesibukan tetap cuba seimbangkan dengan aktiviti santai bersama seperti, masak-masak, main basikal, badminton, karom, tengok rancangan yang bagus, dan lain-lain.
InsyaAllah ada rezeki, saya nak kongsi tips parenting, kami bukan Ibu Ayah yang terbaik, tapi cuba jadi yang baik untuk Dunia dan Akhirat bersama. Menjadi anak kepada UAH bukan suatu yang mudah untuk anak-anak kami lalui, ada tekanan dan ujian yang kami perlu bersama dengan anak-anak hadapinya.
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kadang sebab penat dan nak cepat, mak-mak suka biarkan botol susu yang sudah diguna tak berbasuh. Kalau di rumah ada banyak botol susu spare, lagilah lama maknya biarkan botol susu tak basuh sampai keesokan harinya,
Inilah yang salah dan mak-mak yang baru beranak kecil kena tahu botol susu itulah segala tempat bakteria akan melekat kalau tidak dijaga dengan betul.
Jadi untuk selamatkan anak-anak dari peringkat awal, mak-mak kena rajin dan ikut beberapa cara ini…
1. Terus basuh, kalau malas bilas air
Ini memang kena buat! Kalau dah nampak anak habis minum susu, terus ambil botol dan goncang dengan air dulu. Lagi elok, rendam dengan air suam. Kalau pun malas sangat, pastikan bilas air. Nak basuh esok hari pun, tak kisahlah. Janji susu tak terbiar dalam botol lama sangat. Itu yang boleh berkerak!
2. Sabun khas
Nak basuh botol susu ni tak bolehlah guna pencuci pinggan mangkuk yang sedia ada. Bahaya! Mak-mak perlu sediakan cecair khas untuk mencuci botol bayi. nak jimat, cari yang murah. Janji selamat dan tak ada kesan pada bayi.
3. Leraikan satu-satu
Janganlah cuci botol anak dengan puting melekat pada bekasnya. Leraikan satu-satu dan rendam air panas.
4. Guna berus khas
Berus khas senang untuk ibu basuh bahagian dalam. Senang menghilangkan saki baki susu yang melekat. Teliti sedikit di bahagian puting susu agar ketulan susu tertanggal.
5. Garam
Sedikit sukar untuk cuci bahagian puting susu. Jadi ambil garam dan sapu di bahagian dalam puting susu. Gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Letakkan juga ke dalam botol susu yang kotor dan goncang dengan air. Ini dapat hilangkan saki baki susu dan bau masam susu.
6. Guna jarum
Basuh botol susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air mengalir. Guna jarum untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.
7. Sterilkan botol susu anak
Setiap kali selepas cuci, anda kena sterilkan botol susu anak, cara ini untuk bunuh semua bakteria yang mungkin masih ada di dalam botol susu. Rendamkan dalam air panas selama 10 minit selepas dicuci dengan pencuci khas.
8. Jangan basah
Botol yang lembap boleh undang bakteria lebih cepat, jadi seeloknya pastikan botol susu anak kering. Kalau puting susu anak dah berkerak, tukar baru! Nak cepat kering, belilah tempat letak botol susu. Apa salahnya sediakan untuk jaga kesihatan anak.
BARANG PERLU ADA BILA ANAK HISAP SUSU BOTOL
1. Berus khas cuci botol susu anak
2. Sabun pencuci botol anak.
3. Tempat keringkan botol.
Macam Mana Nak Cuci Kalau Botol Dah Berkerak
Sediakan bahan:
Gunakan air panas untuk hasil yang lebih berkesan
Sedikit garam dan beras
Caranya:
1. Masukkan beras ke dalam botol dan isi air panas.
2. Tutup botol dengan penutup dan goncang sampai kerak tak ada.
3. Bilas dengan air sampai cuci.
4. Ulang langkah yang sama untuk garam. Dan kalau nak lebih bersih, mak-mak boleh guna berus botol.
5. Untuk puting pun sama, masukkan beras dan air panas kemudian picit sampai hilang kerak.
Ok, itu sahaja tip penting buat ibu yang baru ada anak, moga bermanfaat buat semua!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...