Status hubungan pelakon, Fikry Ibrahim dan isterinya, Siti Khalizah Alihan kembali menjadi perhatian apabila mereka tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Mungkin memilih cara ini kerana lebih selesa atau ada cerita sebaliknya?
Status Hubungan Fikry Ibrahim & Siti Khalizah Alihan Jadi Tanda Tanya
Menerusi tinjauan, Fikry dan Khalizah sudah lama tidak memuat naik sebarang hantaran bersama di media sosial sekali gus menguatkan spekulasi.
Meskipun begitu, Fikry dilihat masih mengekalkan momen bersama isterinya di Instagram, manakala Khaliza tidak lagi memaparkan sebarang gambar mereka berdua.
Ads
Kali terakhir Fikry memuat naik gambar bersama Khalizah ialah pada 12 Februari tahun lalu. Setakat hari ini, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada kedua belah pihak.
Saling Tak Ikuti Instagram
Bagaimanapun, Fikry ada memuat naik sebuah hantaran di Instagram Storynya yang berlatarkan ruangan solat di sebuah masjid, semalam.
Ads
“Ya Allah, jangan biarkan hati ini terlalu mencinta dunia hingga lupa kepada-Mu. Jadikan setiap hari peluang untuk menjadi hamba yang lebih baik daripada semalam,” tulisnya di hantaran itu.
Pada April lalu, Fikry menafikan dakwaan rumah tangganya bergolak selain menegaskan komunikasi antara mereka berada dalam keadaan baik.
Ads
Terdahulu, Khaliza pernah memfailkan penceraian terhadap Fikry pada Mei tahun lalu, namun menarik semula permohonan pada Jun menerusi peguamnya, Wan Muhammad Afiq Mohd Razif.
Imani perlukan RM2000 sebulan untuk terus hidup, ibu tunggal hanya mampu buat affiliate demi anak-anak.
Setiap kali Imani menangis meminta susu, Nur Shahera Mad Nasir hanya mampu berdoa agar masih ada rezeki untuk membeli keperluan anaknya.
Sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, wanita berusia 34 tahun itu perlu menyediakan kira-kira RM2,000 setiap bulan demi memastikan bayi bongsunya yang menghidap hydrocephalus terus mendapat susu khas S26, lampin pakai buang dan segala keperluan harian.
Imani yang kini berusia empat bulan disahkan menghidap hydrocephalus iaitu keadaan apabila cecair serebrospinal berkumpul secara berlebihan di dalam otak sehingga menyebabkan tekanan meningkat, saiz kepala semakin membesar dan berisiko merosakkan tisu otak.
Selain susu khas S26, Shahera turut perlu menyediakan lampin pakai buang, tiub penyusuan, membayar sewa rumah serta keperluan harian lain yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM2,000 setiap bulan.
Dalam keadaan anak memerlukan penjagaan sepanjang masa, Shahera tidak mampu keluar bekerja seperti orang lain. Namun, dia juga tidak sanggup melihat anak-anaknya menahan lapar. Jalan yang ada hanyalah berniaga secara affiliate dari rumah sambil menjaga Imani.
Komisen 30 Sen pun diambil demi kelangsungan hidup
Ketika dihubungi Mingguan Wanita, Shahera yang menetap di Kampung Chenis, Pahi, Kuala Krai, Kelantan berkata, dia memilih menjadi affiliate kerana hanya pekerjaan itu membolehkannya menjaga Imani tanpa perlu meninggalkan rumah.
“Komisen ada yang cuma 30 sen, ada juga seringgit lebih. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur sebab itulah rezeki kami. Asalkan boleh beli susu Imani dan keperluan anak-anak, saya akan terus buat,” katanya.
Menurut Shahera, apabila Imani terlena, dia akan memulakan siaran langsung di TikTok menjual pelbagai barangan seperti tudung, pakaian dan aksesori.
“Kalau Imani terjaga atau menangis, saya akan dukung dia sekali ketika buat live. Tidur saya memang tak pernah lena sebab setiap dua hingga tiga jam saya perlu beri dia susu melalui tiub. Tapi saya anggap semua ini amanah Allah,” katanya tenang.
Berkongsi detik awal kelahiran anak bongsunya itu, Shahera berkata kelainan pada Imani hanya disedari ketika kandungannya memasuki usia 30 minggu.
“Ketika itu doktor sudah terangkan keadaan anak saya, tetapi sudah terlambat untuk berbuat apa-apa terhadap kandungan.
“Selepas Imani dilahirkan dengan berat tiga kilogram, dia terus dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU). Sebelum itu doktor beritahu hayat anak saya mungkin tak lama. Kulit kepalanya terlalu nipis dan tiada pembedahan boleh dilakukan,” katanya.
Namun di sebalik kata-kata itu, Shahera percaya Allah masih meminjamkan anaknya untuk terus berada di sisi.
“Ketika saya masuk melawat Imani di NICU, doktor minta saya peluk dan dukung dia kerana keadaannya semakin lemah. Masa itu bacaan pernafasannya sekitar 50 hingga 60.
“Lepas saya peluk, bacaan itu perlahan-lahan naik ke 80, kemudian 90. Saya anggap itu satu keajaiban daripada Allah. Sampai hari ini saya percaya Imani masih kuat sebab Allah masih beri peluang kepada dia untuk hidup.”
Selepas dibenarkan pulang ke rumah, kehidupan Shahera berubah sepenuhnya.
Imani perlu disusukan setiap dua hingga tiga jam menggunakan tiub khas. Bagi mengurangkan kos, Shahera membeli sendiri tiub penyusuan menerusi platform dalam talian.
Pada mulanya Imani menggunakan susu lain, namun doktor kemudian mencadangkan susu khas S26 yang lebih sesuai dengan keadaannya.
“Sebulan Imani perlukan empat hingga lima kotak susu. Harga sekotak lebih RM80.
“Semakin usianya membesar, dia semakin kerap tersedak susu. Ukuran lilit kepalanya juga semakin bertambah. Masa lahir dulu 45 sentimeter, sekarang sudah 61 sentimeter.
“Doktor beritahu mereka tak boleh buat apa-apa sebab kulit kepala Imani terlalu nipis,” katanya.
Belum reda diuji dengan keadaan kesihatan anak, Shahera turut berdepan kegagalan rumah tangga.
Dia yang baru selesai menjalani tempoh berpantang kini melalui tempoh edah selepas bercerai.
“Saya sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur. Selepas habis berpantang 98 hari, saya terpaksa berhenti kerja sebab tiada siapa boleh menjaga Imani.
“Sekarang saya tinggal di kampung, menyewa rumah dan pada masa sama menjaga ibu yang uzur serta hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Ayah pula sudah lama meninggal dunia.”
Anak keduanya yang kini berusia lima tahun tinggal bersamanya, manakala anak sulung berusia lapan tahun dijaga oleh seorang saudara.
Bagi Shahera, hidupnya mungkin penuh dengan ujian, namun dia percaya setiap kesusahan pasti disertai jalan keluar.
Apa yang diharapkannya bukanlah kemewahan, tetapi peluang untuk terus membeli susu, lampin dan segala keperluan yang diperlukan Imani bagi meneruskan kehidupan.
“Selagi saya ada kudrat, saya akan terus berusaha. Saya percaya Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya,” katanya penuh harapan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Shahera sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Nur Shahera Mad Nasir (CIMB Bank: 7626319273).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nama Tengku Nadine Amina Zahra menjadi perhatian ramai selepas Majlis Kesultanan Pahang mengumumkan kelahiran cucunda puteri kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Khabar gembira itu dikongsikan menerusi hantaran rasmi Majlis Kesultanan Pahang yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada keluarga diraja atas keputeraan Tengku Nadine Amina Zahra.
Bayi perempuan tersebut merupakan puteri kepada Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Puan Bendahara, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Menurut kenyataan itu, Tengku Nadine Amina Zahra dilahirkan pada jam 3.35 petang, Khamis, di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Majlis Kesultanan Pahang turut merafakkan doa agar puteri kecil itu dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT.
Selain berita kelahirannya, perkara yang turut mencuri perhatian ramai ialah maksud di sebalik nama Tengku Nadine Amina Zahra yang sarat dengan doa serta harapan.
Menurut perkongsian Majlis Kesultanan Pahang, nama Nadine membawa maksud harapan yang melambangkan keyakinan terhadap masa depan, sinar yang membawa harapan dan permulaan yang penuh rahmat.
Sementara itu, Amina bermaksud amanah, jujur, setia dan boleh dipercayai.
Nama tersebut juga mempunyai nilai yang sangat istimewa kerana merupakan nama bonda Rasulullah SAW, Sayidatina Aminah binti Wahb yang melambangkan kemuliaan akhlak, ketulusan dan keamanan.
Manakala Zahra pula membawa maksud yang berseri-seri, bercahaya, mekar dan bersinar.
Nama ini juga sinonim dengan gelaran Sayidatina Fatimah al-Zahra RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW yang menjadi simbol kesucian, kemuliaan dan cahaya iman.
Gabungan ketiga-tiga nama tersebut menjadikan Tengku Nadine Amina Zahra membawa maksud “Harapan yang diamanahkan oleh Allah, yang bersinar dengan cahaya iman.”
Ia turut membawa pengertian seorang anak yang menjadi harapan keluarga, memiliki sifat amanah serta memancarkan kemuliaan akhlak dalam kehidupan.
Dalam kenyataan sama, Majlis Kesultanan Pahang turut menitipkan doa agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar sebagai insan yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
Malah, diharapkan puteri kecil itu menjadi penyejuk mata ibu bapanya, kebanggaan keluarga serta memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Turut disertakan doa dalam bahasa Arab yang membawa maksud semoga Allah SWT memberkati bayi tersebut, menjadikannya dalam kalangan wanita solehah dan penyejuk mata buat kedua-dua ibu bapanya serta seluruh keluarga.
Ucapan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada rakyat yang turut menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada keluarga diraja Pahang.
Untuk rekod, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan telah melangsungkan istiadat perkahwinan pada 24 Oktober 2024 dalam satu majlis penuh adat istiadat diraja.
Kini, kehadiran Tengku Nadine Amina Zahra melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan tersebut serta seluruh keluarga diraja Pahang.
Pemilihan nama yang indah dan penuh makna itu turut mengundang perhatian netizen yang menyifatkan setiap nama dipilih bukan sahaja sedap didengar, malah mengandungi doa yang baik untuk masa depan seorang anak.
Semoga Tengku Nadine Amina Zahra membesar dengan sihat, dipermudahkan setiap urusan serta menjadi anak yang solehah, berbakti kepada keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Memilih pad bersalin atau tuala wanita bersalin yang sesuai mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun ia memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan kebersihan ibu sepanjang tempoh berpantang.
Selepas melahirkan bayi, tubuh wanita akan mengalami proses pemulihan termasuk pengeluaran darah nifas yang boleh berlanjutan selama beberapa minggu. Oleh sebab itu, penggunaan pad bersalin yang mempunyai daya serapan tinggi amat penting bagi mengurangkan risiko kebocoran, menjaga kebersihan serta membantu ibu bergerak dengan lebih selesa.
Berbeza dengan tuala wanita biasa, pad bersalin direka khas untuk menyerap aliran darah nifas yang lebih banyak. Ia biasanya lebih panjang, lebih lebar dan lebih tebal, selain mempunyai beberapa lapisan tambahan untuk meningkatkan tahap serapan.
Ada juga produk yang dipadankan dengan seluar dalam pakai buang bagi memberikan perlindungan tambahan, terutama ketika ibu sedang berehat atau tidur.
Jika anda masih keliru memilih produk yang sesuai, berikut empat perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum membeli tuala wanita bersalin.
Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan ialah saiz.
Sepanjang tempoh awal selepas melahirkan bayi, aliran darah nifas biasanya lebih banyak berbanding hari-hari berikutnya. Oleh itu, ibu disarankan memilih pad bersalin yang lebih besar supaya mampu memberikan perlindungan maksimum.
Pastikan saiz pad sesuai dengan bentuk badan agar tidak terlalu longgar atau terlalu ketat ketika dipakai. Pemakaian yang selesa membantu ibu bergerak dengan lebih yakin sepanjang tempoh berpantang.
Daya serapan merupakan faktor paling penting ketika memilih pad bersalin.
Produk yang mempunyai penyerapan tinggi mampu menyerap darah nifas dengan lebih baik sekali gus mengurangkan risiko kebocoran, terutama ketika ibu sedang tidur atau berehat dalam tempoh yang lama.
Maternity pad sememangnya direka khas untuk menampung aliran darah selepas bersalin yang lebih banyak berbanding haid biasa.
Oleh itu, memilih produk dengan kapasiti serapan yang tinggi akan memberikan keselesaan sepanjang hari.
Kulit di bahagian intim wanita selepas bersalin biasanya lebih sensitif. Justeru, pilih pad bersalin yang diperbuat daripada bahan lembut serta mesra kulit.
Sebaik-baiknya, elakkan produk yang mengandungi pewangi, klorin, agen peluntur, bahan tambahan pendarfluor, paraben atau lateks kerana ia berpotensi menyebabkan iritasi kepada sesetengah individu.
Produk yang bebas bahan kimia dan alergen lazimnya lebih selamat serta memberikan keselesaan optimum sepanjang tempoh pemulihan.
Sebelum membuat keputusan, luangkan sedikit masa untuk membaca ulasan pengguna.
Pengalaman ibu lain boleh membantu anda mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesuatu jenama pad bersalin.
Ada produk yang terkenal kerana daya serapan tinggi, manakala ada juga yang menjadi pilihan kerana lebih nipis, lembut dan selesa dipakai.
Jika pertama kali membeli maternity pad, anda boleh mencuba beberapa jenama berbeza bagi mengetahui produk yang paling sesuai dengan keperluan diri.
Ramai pakar turut menyarankan agar ibu menyediakan pad bersalin lebih awal sebelum tarikh jangkaan bersalin.
Dengan cara ini, ibu tidak perlu tergesa-gesa membeli keperluan selepas melahirkan bayi.
Selain maternity pad, anda juga boleh menyediakan seluar dalam pakai buang, pelapik katil kalis air serta pakaian yang longgar dan selesa bagi memudahkan proses pemulihan.
Tempoh berpantang adalah fasa penting untuk ibu mendapatkan rehat secukupnya sambil menyesuaikan diri dengan kehadiran cahaya mata.
Pemilihan pad bersalin yang tepat bukan sahaja membantu menjaga kebersihan diri, malah memberikan keselesaan sepanjang proses pemulihan selepas melahirkan bayi.
Walaupun terdapat pelbagai pilihan di pasaran, utamakan produk yang mempunyai daya serapan tinggi, diperbuat daripada bahan mesra kulit dan sesuai dengan keperluan tubuh anda.