Kebelakangan ini, isu berkaitan bayi yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh hebat diperkatakan. Ya Allah, sedihnya. Sebagai seorang ibu, sedikit sebanyak saya turut merasakan perasaan itu. Tak dapat nak bayangkan beban kesedihan yang ditanggung oleh ibu bapa dan keluarga mangsa.

Di pihak ibu, kerisauan tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Hendak meninggalkan bayi yang masih kecil untuk dijaga oleh orang lain bukan satu keputusan yang mudah. Nak tak nak, itu saja jalan yang ada demi untuk mencari rezeki.

Kadangkala orang memang senang nak bercakap itu dan ini. Tapi yang menghadapinya saja yang merasai. Setiap ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak. Demi kelangsungan hidup, ibu terpaksa bekerja untuk mencari rezeki. Kalau diberikan pilihan, tanyalah pada mereka, pasti mereka memilih untuk duduk di rumah dan menjaga sendiri anak-anak. Tapi, apa pilihan yang ada andai mereka perlu membantu mencari rezeki untuk keluarga? inilah dilema yang sering dihadapi oleh mak-mak yang bekerja.

IKLAN

Semua Mak Berhasrat Nak Jaga Sendiri Anak-anak, Tapi Tak Semua Mampu…

Jadi, masyarakat jangan memandang serong pada ibu-ibu yang bekerja. Bukan cuba lari daripada tanggungjawab menjaga dan mengasuh anak-anak dengan tangan sendiri. Tapi, ada kepentingan lain perlu diutamakan demi hidup yang lebih selesa untuk keluarga. Bersyukurlah pada ibu-ibu yang mampu berhenti kerja dan menjaga anak sendiri. Ramai ibu yang mencemburui mereka ini.

IKLAN

Walau apa pun, ibu bapa perlu teliti dan cerewet dalam memilih pengasuh dan pusat jagaan untuk menempatkan anak-anak. Jangan asal boleh saja. Masih ramai pengasuh yang menjaga anak-anak jagaan lebih baik daripada ibu sendiri hingga anak jagaan mereka cukup rapat dan sayangkan mereka umpama ibu mereka.

Sikap peribadi individu berbeza-beza dan itu yang perlu diberi perhatian. Jika dilihat pengasuh itu seolah-olah mementingkan duit saja, lebih baik abaikan saja niat untuk menghantar anak untuk dijaganya. Tapi percayalah, masih ramai pengasuh di luar sana yang ikhlas menjaga anak-anak jagaan mereka.

IKLAN

Pengalaman saya sendiri, pernah menghantar anak ke pusat jagaan berhampiran rumah. Hanya sempat tiga hari saja. Mana taknya, setiap hari kami akan bekalkan 10 keping lampin pakai buang kerana anak kuat menyusu dan kerap kencing dalam jumlah yang agak banyak. Jadi memang kena kerap tukar. Awal-awal kami dah pesan kerana kulit anak memang sensitif. Hari-hari lampin pakai buang itu habis digunakan kata penjaga. Jadi kami anggap memang mereka salin lampin pakai buang anak dengan kerap.

Masuk hari ketiga, saya terkejut bila lihat bahagian punggung dan ‘private part’ anak penuh ruam yang kami syak puncanya kerana lampin tak ditukar walau pun dia sudah lama kencing/berak. Sedih bila lihat anak menangis menahan sakit dan pedih ketika hendak basuh selepas buang air besar. Hari yang sama juga, puting susu botol anak tertukar dengan puting susu yang sudah berkeladak hitam!

Mungkin ramai yang cakap kami cerewet, tapi bila lihat muka anak, rasa tak sampai hati nak ‘pejam mata’ lihat layanan yang dia terima. Sebagai ibu bapa, wajib untuk mencari yang terbaik untuk anak-anak kita kan?

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI