Dua hari lepas saya ditampar oleh seorang orang kelainan upaya. Sakitnya menikam ke jiwa. Tepat dan padu kata orang sekarang. Tapi saya bersyukur bila dia menampar saya, sekali pun bukan tepat ke muka tetapi jiwa dan membawa ke minda saya.

Dia menampar saya dengan kata-kata. Kata-kata itu pula bukan ciptaannya tetapi kata yang keluar dari mulut arwah moyangnya yang meninggal dunia pada usia 111 tahun. Pada satu kehidupan  lebih dari satu abad itu,  pasti moyangnya sudah melalui semua pengalaman dan perjalanan hidup yang bukan sedikit. Tentu banyak ilmu dan cabang sudah dilaluinya dan mungkin tidak setanding saya yang baru memasuki usia 40-an ini.

Saya kongsikan sedikit kata moyangnya…

“Kalau kita balik dari kerja dalam keadaan stres dan marah-marah, terlalu kepenatan, salin baju, mandi dan kemudian masuk tidur  itu tandanya kita tidak hidup.

Tetapi kalau sebaliknya di mana kita sangat gembira dengan pekerjaan kita, boleh bergurau senda dengan anak isteri, ada masa untuk mereka, ada masa untuk diri sendiri juga, itu barulah satu kehidupan.

IKLAN

Semua orang memerlukan pekerjaan kerana dari situ datangnya pendapatan. Saya juga sayangkan kerjaya dan suka melakukan pekerjaan ini. Menjadi wartawan memberi saya peluang mengenali ramai orang dari pelbagai peringkat. Saya pernah diberi peluang menemuramah pembesar-pembesar negara, diberi peluang menghadiri perkahwinan mewah anak Sultan Hassanal Bolkiah, yakni Sultan Brunei kini suatu masa dahulu. Saya berpeluang bertemu ramai jutawan-jutawan, hartawan bahkan Profesor untuk bidang ilmiah dan sebagainya yang mana saya yakin tidak ramai ada peluang sebaik saya ini.

Ternyata, ilmu Allah ini sangat luas. Tidak kira dengan siapa saya berbicara atau anda berbicara, ada ketika sedikit ilmu yang dia sampaikannya kesannya begitu mendalam di hati.

Sesetengah orang, menerima pandangan sesetengah orang itu dengan satu pandangan sinis. Mungkin mereka itu  orang yang berjaya dan kerana itulah mereka mudah memandang rendah kepada keupayaan orang lain. Ini banyak berlaku kerana mereka sombong dengan ilmu, sombong dengan harta bahkan mungkin sombong dengan kecantikan dan kekacakan yang Allah berikan kepada mereka.

IKLAN

Saya benar-benar beryukur kerana saya ditampar awal-awal sedangkan saya sudah mulai terbabas sedikit baru-baru ini kerana terlalu banyak kerja. Kalau tidak saya mungkin antara orang yang mati lebih awal sedangkan saya hidup. Kata-kata itu mengajar saya sedikit, bahawa kita mesti melakukan apa yang kita suka dan menyintai pekerjaan yang kita lakukan.

Ada sesetengah orang beriya-iya mengejar wang kerana beranggapan wang segalanya sampaikan tiada masa untuk dirinya sendiri dan tiada masa untuk ahli keluarga. Ada orang yang bosan dengan kerjanya dan bekerja semata-mata hendak mendapatkan gaji sahaja. Ada orang yang suka bertukar-tukar kerana kerana mudah bosan dengan apa mereka lakukan. Ada orang mengejar gaji yang agak banyak. Ada orang yang bergaduh dengan bos dan kemudian berhenti kerja kerana tak tahan.

IKLAN

Anda pula bagaimana? Adakah anda juga mungkin mati awal kerana terlalu mengejar  masa dalam kehidupan? Adakah anda sukakan pekerjaan yang anda lakukan atau anda adalah orang yang terpaksa bekerja biarpun anda tidak suka dengan pekerjaan dilakukan itu?

Rezeki sebenarnya akan lebih dirasai apabila kita menyukai apa yang kita lakukan. Keberkatan dalam kehidupan bersama keluarga dan anak-anak juga akan dirasai kalau kita sentiasa dalam rahmat Allah.

Nasihat untuk diri saya dan mungkin kepada yang membaca, biarlah kita bekerja dengan merasai keseronokan itu dari kita hidup tetapi kita tidak merasai nikmat kehidupan. Jujurnya, selepas ditampar dengan kata-kata itu, saya takut saya mereput dengan cepat di tempat kerja dan saya mungkin mati kerana terlalu banyak kerja. Adakah anda merasainya juga?

Tetapi hari ini, saya masih lagi suka dengan pekerjaan saya. Saya akui memang kerja banyak dan ada masanya saya merasai tekanan itu tetapi disebabkan suka dengan apa saya lakukan, saya anggap ianya satu kegembiraan buat saya.  Tidak kira dengan siapa kita berbicara anggapalah semua kata-kata yang baik itu satu perubahan buat diri kita. Tetapi kalau bual kosong dan tiada ilmu, anggaplah itu sekadar hiburan halwa telinga. Sampai junmpa lagi!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI