Duit yang diberikan suami selalunya isteri akan gunakan untuk beli keperluan diri. Lebih-lebih bila dirinya tak bekerja. Duti poket yang diberikan suami itulah diharapkan.

Selain itu, duit itu juga akan diketepikan dalam diam untuk tujuan kecemasan. Tapi, apakah duit poket itu dikira nafkah? Topik yang saya pilih kali ini adalah persoalan biasa dah pernah bincang tapi tetap terus dipersoalkan.

Nafkah Zahir Bukan Sekadar Duit

Sebelum saya berikan jawapan, saya nak ingatkan para pembaca tentang konsep nafkah zahir yang ditetapkan oleh syarak sebagai amanah dan tanggungjawab suami kepada isteri atau isteri-isterinya dan anak-anaknya.

Syarak menetapkan, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Beri Duit Ikut Kemampuan Suami

Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami.

Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.

Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.

IKLAN

Dalil yang saya kemukakan merupakan antara dalil-dalil kukuh berkaitan nafkah. Jelasnya, tiada ayat atau hadis yang menjelaskan seorang suami wajib memberikan wang poket kepada isteri.

Duit Poket Diberi Suami… Apakah Termasuk Nafkah Isteri?Yang Wajib Ditunaikan

Kewajipan yang perlu ditunaikan ialah memberikan makan minum yang cukup, pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selesa dan pelbagai keperluan asas lain yang sesuai dengan keadaan isteri dan anak-anak dan paling penting, tidak melanggar tuntutan syarak.

Jelasnya, jika suami telah menjalankan segala kewajipan memberi nafkah yang patut dan wajar seperti yang diterangkan sebelum ini, maka si suami tidak perlu memberikan wang poket kepada isterinya lagi. Ya lah! Segala telah tersedia, kenapa masih perlukan wang poket lagi?

Oppss! Nanti dulu, itu hukum asal. Sesuai dengan persekitaran dunia kini, menepati maksud hadis riwayat Imam Ahmad: “Kamu lebih tahu tentang dunia kamu.”, (Ingat ya! Kewajaran menggunakan hadis ini bukan bererti Islam tidak syumul atau sempurna tetapi sebagai satu tanggungjawab kepada Mukmin kini untuk terus mendaulatkan agama Islam), maka terdapat ketetapan yang memperuntukkan, dalam keadaan tertentu, suami yang tidak memberikan wang poket kepada isterinya boleh disabitkan sebagai telah melakukan keganasan terhadap isterinya.

IKLAN

Baca artikel lain di sini:

Isteri Bekerja Kurangkan Beban, BUKAN Ambil Alih Bebanan SUAMI! Nafkah Tetap WAJIB Bagi

ISTERI Sekarang Sanggup Ditinggalkan Tanpa NAFKAH, Demi Anak, Harapkan SUAMI Berubah

Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram

IKLAN

Tiga Keadaan Keganasan Kewangan

Keganasan ini termasuk di bawah keganasan kewangan yang boleh berlaku dalam tiga keadaan:

1. Melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri.
2. Menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri.
3. Tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan

Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana suri rumah sepenuh masa yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan sampingan yang boleh memberikan sumber pendapatan; tidak berniaga kecil-kecilan, tidak menjalankan perniagaan MLM, tidak mengasuh anak-anak jiran atau secara mudahnya, wanita suri rumah ini tidak akan mempunyai wang jika tidak diberikan oleh suaminya; maka wanita sebegini merupakan mereka yang perlu menerima wang poket daripada suaminya. Wang yang perlu diberikan bukan untuk dibelanjakan sewenangnya tetapi untuk simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan.

Sebaliknya, jika anda berdepan dengan suami yang kedekut, bakhil atau terlalu berkira, bukan saja susah nak dapatkan wang poket tetapi keperluan pun selalu sesak sedangkan suami anda mampu, Islam membenarkan isteri mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami tetapi hanya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.

Diriwayatkan, Hindun bin Utbah bin Rabiah pernah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” – hadis riwayat al-Bukhari. Ulama berpendapat, ‘dengan cara yang makruf’ bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami.

Bagi wanita yang bekerja pula, anda tak perlu dapat wang poket kerana anda punya pendapatan sendiri dan boleh digunakan dahulu tika waktu kecemasan, kemudian tuntutlah semula daripada suami.

Sumber: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI