“Semakin hampir hari pernikahan, semakin berat ujian.” Dugaan bertunang buat gadis ini apabila duit simpanan hilang dan dirinya jatuh sakit secara tiba tiba.
Ternyata apa yang dilalui gadis ini turut dilalui orang lain. Malahan ramai yang bersimpati dengannya dan memberi semangat pada gadis ini.
Semakin Hampir Hari Pernikahan
Dalam kemanisan bertunang, pasti akan ada detik-detik mencabar yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran agar hubungan cinta yang dibina dapat bertahan hingga ke alam perkahwinan.
Menerusi perkongsian seorang gadis @miss_wawa di media sosial, menceritakan pelbagai situasi yang dialaminya bersama pasangan selepas mereka mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.
Semakin Berat Ujian
Menurut gadis itu, dia mengakui semakin hampir hari pernikahan, semakin berat ujian menimpa dirinya dan pasangan, namun mereka menerima dengan penuh reda.
“Betul la ujian bertunang mesti ada. Bekas kekasih tiba-tiba WhatsApp, minta maaf dan ajak jumpa.
“Selain itu, duit simpanan untuk kahwin hilang, tak dapat diselamatkan dan yang terbaru, secara tiba-tiba saya jatuh sakit. Tapi kami tetap kuat untuk halalkan hubungan ini,” katanya.
Bagi Wawa, dia dan tunangnya tetap berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah yang timbul agar tidak menjejaskan hubungan mereka pada saat-saat akhir ini.
Sementara itu, rata-rata orang ramai turut memberi kata-kata semangat kepadanya agar terus kuat dan bertahan menghadapi dugaan bertunang.
Duit Hilang, Jatuh Sakit
“Semoga ada keajaiban selepas nikah dan hubungan kekal bahagia sampai syurga,” kata Natasha Rashdan.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan awak dan pasangan, percaya pada jodoh dan sama-sama perlu kuat,” ujar Rafidah Nor.
Ads
Selain itu, seorang pengguna lain turut berkongsi pengalamannya ketika fasa bertunang dan menghadapi situasi yang hampir sama seperti diceritakan gadis tersebut.
“Betul, dugaan bertunang sangat mencabar, masa saya dulu pernah duit hilang, kami pasrah dan sampai pasangan saya fikir nak lepaskan saya pada orang lain, tapi kami cuba untuk kuat,” kata Jasmin.
Mingguan Wanita : Benarlah dugaan bertunang sangat menguji kesabaran, ada yang selamat menghadapinya. Namun ada juga kecundang di tengah jalan. Semoga gadis ini dan tunangnya bertemu bahagia.
Majlis kahwin, waktu untuk meraikan pasangan dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan jiran di hari bahagia pengantin baru. Walaupun majlis ringkas dengan jumlah jemputan tak seberapa tapi ia sudah cukup menggembirakan.
Baik tuan rumah atau pengantin, inilah masanya untuk memperkenalkan ahli keluarga baru pada majlis kahwin. Sudah tentu, dalam meraikan sedikit sebanyak ada makan-makan.
Kalau dahulu, di kampung majlis kahwin dibuat secara gotong royong, panggil jiran-jiran untuk sama masak. Masa majlis siap ada penanggah bagai.
Keadaan sekarang mungkin berbeza, majlis kahwin dibuat melalui katering, tuan rumah hanya menempah makanan mengikut jumlah jemputan yang hadir untuk elak pembaziran.
Waima melalui katering atau bergotong royong, mesti ada suara-suara yang makanan yang disediakan tidak cukup sedangkan tetamu ada yang baru datang. Begitulah yang sering diperkatakan.
Jangan tak tahu, mungkin keadaan ini disebabkan juga oleh geng pencuri lauk (GPL). Kenapa berlaku sebegini. Secara jujurnya, ia sekadar nasihat daripada Hayat Muhamad ini untuk mereka yang termasuk dalam GPL ini. Moga bermanfaat.
Kenduri kahwin benda paling risau ialah geng pencuri lauk ( GPL ).
Modus operandi GPL ada dua:
1. Siap bawa bekas dari rumah. Tengah orang kelam kabut dia cedok lauk. Dia bungkus untuk cukup dalam 10 orang makan. Lepas tu, dia balik dulu hantar “curian”. Kemudian, dia datang balik melawa kemudian makan macam biasa.
2. Kedua dia bawa plastik @ supik rokrak. Geng supik ni dia datang awal. Bila lauk masak je, diorang serang. Kalau plastik diorang besar, mungkin cukup untuk 10 orang makan jugak.
Kemudian dia blah macam biasa.
Kalau budget tuan rumah 1000 orang, akan jadi tak cukup.
Kalau GPL ni ada 50 orang dan ambik untuk budget 10 orang makan, Budget untuk 500 orang makan dah berkurang.
Pernah berlaku majlis kahwin tak cukup hidangan sebab dapur tak dikawal rapi. GPL berleluasa.
Tuan rumah terpaksa tampung dengan laksa. Tuan rumah malu seumur hidup. Pengantin kecewa sepanjang hayat.
Kalau ada keluarga jadi ahli GPL ni, tolonglah ingatkan. Bukan sedikit majlis yang rosak kerana diorang ni.
Kalau di akhir majlis, lauk tak habis, lain ceritalah.
Dengan perkongsian ini, harapan GPL insaf dapat menyelamatkan majlis kahwin orang yang akan datang.
GPL insaflah.
Mingguan Wanita : Kalau dah habis majlis ada lauk yang lebih tiada masalah pun. Boleh bahagi-bahagi.
Bukan mudah untuk melupakan dan melalui situasi putus cinta akibat kekasih curang. Ada yang memakan masa bertahun lamanya untuk merawat hati yang luka dan kecewa.Namun atas bantuan psikologi ia boleh membantu wanita yang putus cinta untuk melipakan bekas kekasih, sekaligus mempercepatkan proses pemulihan untuk meneruskan kehidupan.
Inisiatif terbaru sebuah hotel di United Kingdom (UK) menawarkan khidmat psikologi bagi membantu para wanita mengatasi tekanan perasaan akibat putus cinta dengan pasangan yang curang.
Hotel Heartbreak menawarkan program mewah ‘Moving Beyond Betrayal’ selama tiga hari sebagai satu daripada cara untuk mempercepatkan proses pemulihan akibat putus cinta.
Lapor Daily Mail, pakar psikologi kaunseling dan pensyarah, Alice Haddon dari London melancarkan program tersebut pada tahun lalu yang ditujukan kepada wanita yang ingin mengubati hati luka akibat hubungan cinta yang sudah berakhir.
Program yang berharga 2,500 pound (RM14,189) diadakan di Barsham Barns, sebuah rumah persendirian mewah di pantai Norfolk, UK.
Katanya, program itu mengajar para wanita melupakan bekas kekasih mereka dan cara mengelakkan hubungan toksik pada masa hadapan.
Program itu diadakan pada Jumaat hingga Isnin dengan penyertaan maksimum lapan wanita.
Para tetamu juga boleh menikmati beberapa aktiviti menarik termasuk pemandangan yang menakjubkan dan pelbagai menu hidangan makanan bagi memberi inspirasi serta menyembuhkan hati yang ‘hancur’.
Sementara itu, Haddon berkata, pengalaman dari program itu sedikit sebanyak memulihkan keadaan wanita yang menderita pasca putus cinta dan meneruskan kehidupan lebih bermakna.
Mingguan Wanita:Elok juga program macam ni, sekurang-kurangnya ia membantu wanita yang dicurangi atau putus cinta untuk cepat ‘move on’ dan mulakan hidup baru.
Dayuskah seorang suami yang unboxing isteri? Trend segelintir pasangan pengantin baru ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ menjadi ikutan terutamanya di kalangan pengantin wanita bertudung baru-baru ini. Ternyata trend tersebut semakin digilai ramai dan kini mendapat kecaman dan kritikan yang hebat daripada orang ramai.
Bagi menyedarkan orang ramai tentang trend tersebut, Ustazah Asma’ Harun dan tim penyelidikanya berkongsi tentang isu ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ ini. Seperti mana yang dikongsi menerusi akaun rasmi Facebook milik Ustazah Asma’ Harun menerangkan betapa pentingnya seorang suami menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anak.
“Menurut Imam al-Munawi, sifat dayus (الديوث) merujuk kepada orang yang membiarkan kejahatan / maksiat dalam keluarganya, iaitu isteri dan kerabat terdekatnya. Dalam erti kata lain, dayus juga mudah difahami sebagai seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap isteri dan anak-anaknya.
“Mengapa penting untuk seorang suami dan ayah memiliki perasaan ‘CEMBURU’ ini? Cemburu seorang suami dan ayah adalah WAJIB bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya. Tanpa perasaan ini, seorang bapa atau suami tidak ada rasa sensitif dan ambil peduli terhadap apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya. Dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka keluar, adakah aurat mereka telah ditutup sempurna dan adakah mereka ada sifat malu dalam diri? Semuanya tak diendahkan.
Di saat seorang suami atau bapa menyedari dan mengetahui kemungkaran yang dilakukan oleh si isteri dan anak-anak, namun masih tidak menegur dan mengubahnya. Maka inilah yang dinamakan DAYUS yang sebenar.
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.
(HR Ahmad, hadis sahih)
Allahu Akbar, terkejut dan sedih rasa apabila melihat trend “Unboxing by Husband” yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin, sehingga ada yang sanggup membuka tudung.
“Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya adakah tidak ada sekelumit pun perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video ini? Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?
“Kadang disebabkan rasa teruja yang amat dalam melalui peristiwa yang sangat dinanti-nantikan, menyebabkan kita hilang pertimbangan. Mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsikan kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.
“Budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam. Bayangkan, apabila video sebegini mula tular dan semakin ramai pula pasangan pengantin baru yang ikut melakukan perkara ini, bagaimana agaknya? Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sahabat, jauhilah segala bentuk trend yang menjatuhkan maruah diri sendiri, malahan membentuk budaya yang rosak. Kita amat risau jika sudah terlalu ramai mula ikut trend yang sama, lalu akhirnya kemungkaran pun jadi suatu yang dianggap biasa. Nauzubillah.
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(Riwayat Muslim, hadis sahih)
“Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Antara adab yang penting namun sering dilupakan termasuklah tidak mendedahkan kemesraan suami isteri secara terbuka di depan khalayak umum.
“Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.
“Larangan ini bukan sahaja dalam bab berpelukan, mencium pasangan, suap menyuap, dan sebagainya, tetapi termasuk juga posting di media sosial sama ada gambar atau video suami isteri bermesraan secara intim.
“Buat adinda sekalian yang saya kasihi kerana Allah,
“Yakin dan percayalah bahawa mempamerkan momen romantis bersama pasangan untuk tontonan umum bukanlah kayu ukur sebenar kebahagiaan. Lumrah lelaki suka melihat, wanita suka dilihat.
“Namun, pesanan penting buat para suami, peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu. Jangan sampai menjadi seorang suami yang DAYUS. Dan buat kaum wanita, jangan pula biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
“Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan.
“Peranan suami dan isteri supaya saling menegur dan perbaiki akhlak sesama pasangan, bukan menjadi pendorong terhadap perkara yang mengundang murka Allah SWT.
“Saya doakan agar semua yang sudah atau bakal bergelar suami isteri diberikan hidayah dan bimbingan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Agar suami, isteri, ibu ayah dan anak-anak semuanya menjadi penyejuk mata kita.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
“Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan
“Semoga bermanfaat buat semua,” tulis Ustazah Asma’ Harun.
Mingguan Wanita: Benar tu suami tolonglah pelihara maruah isteri jangan dek kerana ikut trend maruah diabaikan.