Dayuskah seorang suami yang unboxing isteri? Trend segelintir pasangan pengantin baru ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ menjadi ikutan terutamanya di kalangan pengantin wanita bertudung baru-baru ini. Ternyata trend tersebut semakin digilai ramai dan kini mendapat kecaman dan kritikan yang hebat daripada orang ramai.
Dayuskah Seorang Suami Yang Unboxing Isteri?
Bagi menyedarkan orang ramai tentang trend tersebut, Ustazah Asma’ Harun dan tim penyelidikanya berkongsi tentang isu ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ ini. Seperti mana yang dikongsi menerusi akaun rasmi Facebook milik Ustazah Asma’ Harun menerangkan betapa pentingnya seorang suami menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anak.
“Menurut Imam al-Munawi, sifat dayus (الديوث) merujuk kepada orang yang membiarkan kejahatan / maksiat dalam keluarganya, iaitu isteri dan kerabat terdekatnya. Dalam erti kata lain, dayus juga mudah difahami sebagai seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap isteri dan anak-anaknya.
“Mengapa penting untuk seorang suami dan ayah memiliki perasaan ‘CEMBURU’ ini? Cemburu seorang suami dan ayah adalah WAJIB bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya. Tanpa perasaan ini, seorang bapa atau suami tidak ada rasa sensitif dan ambil peduli terhadap apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya. Dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka keluar, adakah aurat mereka telah ditutup sempurna dan adakah mereka ada sifat malu dalam diri? Semuanya tak diendahkan.
Di saat seorang suami atau bapa menyedari dan mengetahui kemungkaran yang dilakukan oleh si isteri dan anak-anak, namun masih tidak menegur dan mengubahnya. Maka inilah yang dinamakan DAYUS yang sebenar.
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.
(HR Ahmad, hadis sahih)
Allahu Akbar, terkejut dan sedih rasa apabila melihat trend “Unboxing by Husband” yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin, sehingga ada yang sanggup membuka tudung.
“Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya adakah tidak ada sekelumit pun perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video ini? Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?
Memulakan Kehidupan Baru Dengan Perbuatan Maksiat
“Kadang disebabkan rasa teruja yang amat dalam melalui peristiwa yang sangat dinanti-nantikan, menyebabkan kita hilang pertimbangan. Mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsikan kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.
“Budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam. Bayangkan, apabila video sebegini mula tular dan semakin ramai pula pasangan pengantin baru yang ikut melakukan perkara ini, bagaimana agaknya? Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sahabat, jauhilah segala bentuk trend yang menjatuhkan maruah diri sendiri, malahan membentuk budaya yang rosak. Kita amat risau jika sudah terlalu ramai mula ikut trend yang sama, lalu akhirnya kemungkaran pun jadi suatu yang dianggap biasa. Nauzubillah.
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(Riwayat Muslim, hadis sahih)
Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
“Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Antara adab yang penting namun sering dilupakan termasuklah tidak mendedahkan kemesraan suami isteri secara terbuka di depan khalayak umum.
“Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.
Ads
“Larangan ini bukan sahaja dalam bab berpelukan, mencium pasangan, suap menyuap, dan sebagainya, tetapi termasuk juga posting di media sosial sama ada gambar atau video suami isteri bermesraan secara intim.
Titipan Buat Pengantin, Semoga Perkahwinan Beroleh Reda Allah
“Buat adinda sekalian yang saya kasihi kerana Allah,
“Yakin dan percayalah bahawa mempamerkan momen romantis bersama pasangan untuk tontonan umum bukanlah kayu ukur sebenar kebahagiaan. Lumrah lelaki suka melihat, wanita suka dilihat.
“Namun, pesanan penting buat para suami, peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu. Jangan sampai menjadi seorang suami yang DAYUS. Dan buat kaum wanita, jangan pula biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
“Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan.
“Peranan suami dan isteri supaya saling menegur dan perbaiki akhlak sesama pasangan, bukan menjadi pendorong terhadap perkara yang mengundang murka Allah SWT.
“Saya doakan agar semua yang sudah atau bakal bergelar suami isteri diberikan hidayah dan bimbingan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Agar suami, isteri, ibu ayah dan anak-anak semuanya menjadi penyejuk mata kita.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
“Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan
“Semoga bermanfaat buat semua,” tulis Ustazah Asma’ Harun.
Mingguan Wanita: Benar tu suami tolonglah pelihara maruah isteri jangan dek kerana ikut trend maruah diabaikan.
Kipas Siling Jatuh Murid 8 Tahun Patah Jari, Ayah Terkilan Pihak Sekolah Lewat Dapatkan Rawatan Anak. Sungguh malang tidak berbau apabila seorang murid perempuan tahun dua sebuah sekolah di Selama di sini patah jari tangan kiri selepas terkena kipas siling bilik darjah yang terjatuh dalam kejadian pada pukul 10 pagi semalam.
Bawa Sendiri Anak Ke Hospital Selama
Bapa pelajar yang mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata, anaknya yang berusia lapan tahun itu telah dibawa sendiri ke Hospital Selama oleh isterinya untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu patah tulang jari tangan kiri dan terpaksa dibalut dengan simen selain cedera di bahagian dada.
“Saya telah pergi ke kelas anak saya dan mendapati kipas di dalam bilik darjah itu terlalu uzur, lama dan berkarat. Keadaan kipas itu bukan sahaja tidak selamat, malah tidak sepatutnya digunakan lagi.
“Kebetulan pula, meja anak saya betul-betul di bawah kipas, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain,” katanya di sini hari ini.
Terkilan Tindakan Pihak Sekolah
Mohd. berkata, selain anaknya, terdapat tiga murid perempuan lain yang turut cedera terkena kipas berkenaan.
Katanya, anaknya diberikan cuti sakit selama 14 hari dan kini trauma dengan kejadian itu.
“Saya terima kejadian ini sebagai satu kemalangan, namun terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang tidak terus menghantar anak saya ke hospital untuk rawatan.
“Pihak sekolah memberi alasan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan kerana kes itu merupakan kemalangan yang berlaku dalam bilik darjah.
“Saya kecewa kerana kes ini adalah kecemasan dan perlukan tindakan segera. Isteri saya yang tiba di sekolah memaklumkan tangan anak kami telah bertukar warna kuning akibat kejadian itu,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd. Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Mingguan Wanita: Semoga pihak berwajib mengambil berat tahap keselamatan peralatan dan perkakasan di sekolah. Perkara sebegini memang membimbangkan mak ayah. Malah jika berlaku sebarang kemalangan, sebaiknya pihak sekolah segera dapatkan rawatan murid berbanding ‘menunggu’ mak ayah yang menghantar sendiri ke hospital bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Mungkin ramai yang masih keliru dengan status Khunsa yang ditafsirkan sebagai individu yang memiliki dua alat kelamin serta hak-hak yang mereka boleh diperolehi. Sebenarnya dalam Islam, kekeliruan ‘insan terpilih’ ini dapat dijelaskan dari segi penentuan jantina, hak dalam perwarisan serta perkahwinan.
Berikut merupakan kupasan lanjut mengenai isu ini yang dihuraikan didalam page Sahabat Mahkamah Syariah sebagai rujukan.
Pengertian Khunsa
Khunsa berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti sebagai lembut. Kamus Dewan edisi keempat mentafsirkannya sebagai orang yang mempunyai dua alat kelamin. Fiqh Islam membahagikan khunsa kepada dua keadaan, pertama, khunsa wadih dan khunsa musykil.
Khunsa Wadih adalah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin berkenaan berfungsi.
Khunsa Musykil adalah seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana kedua-dua alat kelamin yang ada tidak nampak jelas berfungsi.
Keadaan khunsa kedua pula adalah apabila seseorang itu tidak langsung mempunyai alat kelamin, sebaliknya hanya mempunyai sekadar lubang untuk kencing.
1.Penentuan Jantina Khunsa
Dalam menentukan jantina khunsa sama ada lelaki ataupun perempuan, cendekiawan membahagikannya kepada dua hal, iaitu sebelum dan selepas baligh. Profesor di Universiti al-Qassim, Arab Saudi, Abdul Bin Mohamad Bin Ahmad al-Tayyar menggariskan, bagi golongan khunsa yang belum mencapai umur baligh, ia dapat dilihat daripada cara mereka kencing.
“Jika khunsa itu kencing dan airnya keluar daripada faraj (kemaluan) dan dia didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang perempuan.
Sekiranya dia memiliki kedua-dua alat kelamin, tetapi air kencing keluar dari zakar dan dia tidak didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai lelaki.
Pandangan ini juga dipersetujui majoriti ulama. Jantina khunsa dewasa pula dapat dikenal pasti melalui perubahan dialami, seperti tumbuh janggut, halkum dan misai bagi lelaki.
Dalam menentukan jantina perempuan pula, antara tanda yang dapat dikenal pasti seperti kedatangan haid, tumbuh buah dada dan hamil.
Namun begitu, jika tidak terdapat padanya sebarang tanda yang menunjukkan jantina, maka dapat dilihat dari segi pergaulannya.Jika dia cenderung kepada wanita, maka dia adalah lelaki dan begitulah sebaliknya.
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Sunan Al-Baihaqi meriwayatkan: Hussin Bin Kathir mendengar daripada bapanya yang menyatakan bahawa: “Aku melihat Saidina Ali dalam menentukan jantina khunsa, di mana beliau berkata: Lihatlah kepada jalan keluarnya air kencing, maka ditentukan jantinanya daripada itu.”
Dalam satu riwayat lain, Ali RA berkata: “Sekiranya air kencing itu keluar melalui zakarnya, maka dia adalah lelaki. Dan sekiranya ia keluar dari faraj (kemaluan), maka ia adalah perempuan.”
Selain itu, terdapat cara lain dalam menentukan jantina khunsa iaitu dengan mengira tulang rusuknya.
Dalam satu riwayat, menceritakan peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Saidina Ali apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa yang memiliki dua kelamin.
Dalam tempoh perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata dan selepas daripada itu, suaminya menghadiahkan seorang pembantu (jariah) untuknya.Pada masa sama, isteri berkenaan tertarik kepada pembantunya lalu menyetubuhinya sehingga pembantu berkenaan melahirkan anak.
Perkhabaran itu disampaikan kepada Saidina Ali, lalu beliau menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita itu bagi mengenal pasti jantinanya.
Idea dan pandangan Saidina Ali ini bertepatan dengan ketentuan Allah SWT yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri Nabi Adam AS dan selepas itu Saidina Ali memutuskan bahawa wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinannya dengan suaminya kerana dianggap tidak sah.
2.Hak Khunsa Dalam Perwarisan
Sekalipun khunsa tidak dinyatakan secara terperinci dalam kedua-dua sumber rujukan utama, namun Islam tidak pernah menyisihkan mereka. Hal ini jelas apabila Islam tetap memperuntukkan hak dan bahagian mereka dalam agihan harta pusaka.Namun, setiap pewarisan diterima berbeza berdasarkan jenis dan/atau keadaan khunsa itu sendiri.
Imam Abu Hanafiah berpendapat, khunsa wadih mendapat hak seperti perempuan ataupun lelaki.
Pandangan ini tidak dipersetujui Imam Malik, Abu Yusuf dan golongan syiah al-Imamiyyah, di mana mereka berpandangan khunsa wadih berhak mendapat harta pusaka secara pertengahan antara bahagian lelaki dan perempuan.
Namun begitu, Imam Abu Hanafiah membezakan bahagian golongan khunsa musykil dalam penerimaan pewarisan harta pusaka, di mana dia hanya berhak menerima bahagian dengan kadar melebihi sedikit daripada apa diperoleh perempuan ataupun lelaki.
3.Hak Khunsa Dalam perkahwinan
Walaupun khunsa mempunyai dua alat kelamin, namun ia tidak menghalangnya membina sebuah keluarga.Perkahwinan adalah fitrah dan keinginan setiap manusia termasuk golongan khunsa.
Meskipun begitu, Islam membataskan had demi menjaga maqasid syariah. Oleh itu, Islam meletakkan bahawa harus bagi seorang khunsa wadih berkahwin dengan pasangan yang berbeza jantina.
Ibn Qudamah menyatakan, jika tanda menunjukkan jantina jelas, tidak menjadi masalah baginya berkahwin.
Namun begitu, tidak bagi khunsa musykil, di mana majoriti ulama menyatakan bahawa tidak sah perkahwinan golongan ini.
Ini disebabkan jantina khunsa itu sendiri tidak mampu dikenal pasti dan mempunyai pelbagai kemungkinan sama ada dia lelaki ataupun perempuan.
Namun begitu, jika golongan khunsa musykil ini didatangi nafsu syahwat, bagaimana cara mengatasinya?
“Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: “Barang siapa di antara kamu berkemampuan, maka laksanakanlah perkahwinan kerana sesungguhnya ia mampu menjaga pandangan dan kemaluan kamu (daripada zina). Dan barang siapa yang tidak mampu, maka berpuasalah. Sesungguhnya puasa itu mampu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang.”
Bagaimanpun, sekiranya mereka tidak mampu berpuasa dan dalam keadaan seperti ini, Sheikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin, ulama kontemporari dalam bidang sains fiqh menyatakan, adalah perlu untuk mereka mendapatkan nasihat doktor serta mengambil ubat-ubatan disarankan.
Sesungguhnya larangan Islam ini bukan untuk menganiayai golongan khunsa musykil, tetapi menjaga nilai dan matlamat suci sesebuah ikatan perkahwinan.
“Oleh demikian, berdasarkan fatwa diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989, membincangkan kedudukan mak nyah dalam Islam menyatakan, seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu dilahirkan dengan dua alat kemaluan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan sesuai.”
Kecelaruan jantina bukan sesuatu yang perlu ditertawakan. Sudah tiba masanya pihak berkenaan bertindak aktif mendekati golongan ini bagi maksud dakwah.
Dakwah bukan hanya terhad kepada kuliah di masjid, tetapi turun ke gelanggang menghayati dan memahami serta merawati penyakit masyarakat yang juga adalah suatu jihad.
Perbicaraan ganguan seksual Ebit Lew, “saya rasa berdosa pada suami, layan ustaz. Pendakwah terkenal, Ebit Lew, akan dibicarakan atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah yang sudah pun bermula dua hari lalu.
Dalam perbicaraan hari ini, pengadu dalam kes ini memberitahu mahkamah bahawa dia ada menghantar mesej kepada pendakwah terkenal itu menerusi aplikasi Instagram (IG).
Perbicaraan Gangguan Seksual Ebit Lew
Pengadu yang merupakan saksi kesembilan dalam pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin turut mendedahkan isi kandungan mesej yang dihantar kepada Ebit Lew pada 14 April 2021 di IG.
Pendedahan itu dibuat susulan daripada tangkap layar gambar mesej di aplikasi WhatsApp yang dibacanya satu persatu dan diminta untuk menjelaskan maksud mesejnya ‘maaf saya sibuk’ dan ‘sudah mesej di IG’.
Antara isi kandungan mesej pengadu kepada Ebit Lew ialah pengadu sudah tidak mahu menghubungi pendakwah itu lagi tetapi tidak berasa senang hati kerana rasa berdosa dengan perbuatannya.
“Berdosa sangat pada suami sebab di belakang dia saya layan ustaz, sedihnya. Dulu tengok ustaz, mesti panggil suami tengok sama-sama, abang ikutlah macam ustaz Ebit.
“Sekarang sudah kosong, kadang tengok terbayang yang bukan-bukan. Pernah tengok beronani, memang menangis dan tidak senang hati,” katanya di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Khamis.
Katanya lagi, Ebit Lew tidak meminta maaf kepadanya kerana melakukan perkara sedemikian kepadanya.
“Mesej ini cuma nak cakap je, langsung tidak minta maaf dengan saya, sebab pernah buat yang tidak sepatutnya dengan saya, paksa saya bagi gambar macam-macam. Bodohnya saya ikut.
“Yang saya tidak sangka kenapa ustaz, saya pujuk juga hati tengok semua video, tidak apa. Ustaz orang baik tolong orang. Tapi bila dengar ceramah ka apa, memang tidak sangka sangat dah buat macam itu dengan saya.
“Saya Rasa Berdosa Pada Suami, Layan Ustaz
“Entahlah mungkin pasal saya perempuan dan tidak biasa buat macam itu jadi saya teringat-ingat dan tidak senang hati rasa sangat berdosa.
“Yang sangat sedihnya, dah bawa saya buat macam itu terus buat tidak tahu je. Tidak apa kalau minta maaf dan kita dengan haluan masing-masing.
“Saya kalau ikut sudah tidak mahu langsung mesej atau WhatsApp sebab nak elak benda yang tidak baik itu tapi nak juga luah. Nasib saya lah kan. Dapat simpan benda aib ini. Kalau orang mungkin sudah viralkan, tapi tak apa saya masih fikir lagi ustaz ini orang kenal,” katanya.
Pengadu kemudian meneruskan lagi bacaannya bahawa jika pendakwah itu meminta maaf dengannya mungkin tidak membawa kepada anggapan yang buruk.
“Tahu tak, saya rasa sangat-sangat menyesal. Kenapalah layan, kenapa kita berhubung, berWhatsApp semua. Kalau dulu idola saja, suka tengok buat kerja itu ini.
“Sekarang kalau boleh tidak mahu tengok, sedih. Kenapa idola itu bawa jadi pendosa,” katanya.
Pengadu sebelum itu diarahkan untuk menunjukkan isi kandungan telefonnya kepada mahkamah termasuk kepada barisan peguam dan tertuduh berkenaan mesej perbualan di dalam Instagram bersama seorang pemilik akaun ‘ebitlew’.
Pengadu dalam pada itu turut membaca salah satu gambar tangkap layar yang memaklumkan bahawa dia sempat membuat tangkap layar termasuk wajah pendakwah tersebut.
“Tiada maknanya ustaz. Syukur saya sempat ‘screenshot’ semua gambar termasuk yang ada muka ustaz. Entahlah, saya tidak juga jahat, tapi sebab cara ustaz buat orang sakit hati, buat macam saya ini pelacur.
“Tidak apalah supaya jadikan pengajaran, tidak nampak baik kat depan je. Kalau ikut suami memang tidak. Tapi cara ustaz ini sakitkan hati orang,” katanya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Nor Azizah Mohamad dan Analia sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh dan Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Ajal terpisah sesaat. Seorang wanita @nurulmukminah berkongsi pengalaman terselamat dari maut dalam kemalangan ngeri nahas tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 288.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara laluan Gopeng-Simpang Pulai yang meragut nyawa dua nyawa semalam.
Jelasnya, ikutkan kenderaan dipandunya mungkin terperesok di bawah treler berkenaan namun pemandu kontena telah memesongkan treler dipandu yang mengalami masalah tayar pancit sebelum melanggar treler di sebelahnya.
Mengakui masih ngeri namun bersyukur Allah masih memanjangkan nyawanya sekeluarga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mayat 6 sekeluarga hilang ditemui dalam Sungai Korok, anak sulung bergelar yatim piatu. Misteri kehilangan enam beranak, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya, Nurul...