Sebelum ini, BroOhsem, Akhtar Syamir pernah berkongsi bagaimana dia sebagai suami dengan rela hati memberi kad debit bank kepada isteri. Kali ini, suami ini berkongsi pula simpanan yang disiapkan khas untuk isteri sepanjang PKP ini.
Kerana, dia tahu yang isterinya suka menyimpan RM5, RM20. Demi nak menggembirakan hati isteri.. Akhtar pun sama-sama ‘support’ minat isteri itu. Kadang-kadang segaja tukarkan duit kepada RM5. Nanti bolehlah beri pada isteri.
Eh! Ada Duit RM5 La..
“Baby, ada 2 ringgit tak? Nak bayar ikan pekasam nanti, RM12 je. Sayang order dengan kawan.” Tanya isteri saya Nora Azni semalam.
“Ambil dalam dompet I“, jawab saya ringkas.
“Eh, ade duit 5 ringgit la.”
“Ambillah, memang I tukarkan kat mamak pagi tadi, I tahu U kumpul duit 5 ringgit”
“Tapi I kumpul duit RM20 jugak”
“Ambillah, ade sekeping tu, simpan elok-elok”
“2 ringgit ni I ambil jugak tau, nak bayar ikan pekasam”
“Ye, ambillah. Rasa macam kena rompak dah ni. Hahahaha..”
Itulah yang berlaku semalam. Dalam hati saya bersyukur kerana dapat beri isteri saya simpan.
Sejak PKP bermula dan kerajaan umumkan dapat penangguhan bayaran ansuran rumah dan kereta, saya mula bahagikan 3 duit gaji saya.
Asalnya saya rancang untuk fokus pada bayar balik hutang jahat seperti hutang kad kredit. Tetapi saya ambil keputusan untuk bahagi 3. 1 bahagian untuk bayar hutang jahat. 1 bahagian untuk kegunaan saya, bayar bil dan keperluan rumah. 1 bahagian lagi untuk isteri.
Ads
Niatkan Nak Belikan Isteri Emas
Bila buat macam ni, bukan sahaja isteri saya yang rasa seronok, tapi saya yang rasa lagi seronok. Hidup saya rasa lebih gembira, rezeki alhamdulillah semakin ada. Hati saya pun lebih tenang.
Lepas tu saya perasan dia ada simpan duit RM5 dari awal tahun lagi. Sengaja saya tukarkan RM5 bila ada kesempatan semasa keluar kerja atau pulang dari kerja. Selalu saya yang akan ingatkan supaya ambil RM5 dalam dompet.
Sasaran saya ialah RM550 dalam masa 6 bulan lagi. Saya nak belikan dia emas untuk dia pakai dan simpan. Ini tak campur simpanan RM5 dan RM20 dia lagi.
Saya perasan. Semakin banyak saya beri padanya, semakin banyak saya dilimpahi rezeki.
Sekarang, setiap kali keluar ke kedai, saya akan sengaja bayar dengan duit besar supaya ada kebarangkalian akan dapat RM5.
Janganlah kedekut dengan isteri. Percayalah, didalam rezeki kita, ada rezeki isteri juga. Kalau kita menahan-nahan nafkah isteri, rezeki kita juga akan tertahan-tahan.
Ramai yang ingat, nafkah isteri itu hanya menyediakan makan dan tempat tinggal sahaja. Salah tu. Itu adalah tanggungjawab. Nafkah ini ialah duit untuk menjadi hak multak isteri. Terpulang kepada dia nak buat apa. Jangan pula kita dah beri dan mengharapkan dia beli barang dapur dengan duit itu pula. Salah jugak tu.
Semoga dapat mencetus idea dan merungkai kekeliruan. Siapa geng simpan RM5.
MW : Bagus kiranya suami faham dan sokong minat isteri dalam bab menyimpan duit ini. Makin berbunga-bungalah hati isteri dilimpahi rasa bahagia dalam rumah tangga.
*Artikel diterbitkan dengan keizinan penulis, Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi : http://t.me/broohsemfans , BroOhsem
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Reunion adalah majlis perjumpaan semula, terutamanya di kalangan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah. Memang bagus kerana dapat mengeratkan kembali silaturahim yang berpuluh tahun terputus. Namun yang tak best, bila ada suami/isteri orang yang curang dengan pasangan mereka selepas kembali bertemu kekasih lama!
Begitulah yang terjadi kepada lelaki ini. Dia mengaku, rumah tangganya musnah akibat majlis reunion yang dihadiri. Lebih mengejutkan, bukan dia saja yang curang, bahkan isterinya (ketika itu) juga curang! Ikuti pengakuannya pada Mingguan Wanita.
Setiap pasangan pasti menginginkan bahtera rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa. Namun tidak sedikit pasangan yang terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah. Penyebabnya pelbagai. Ada yang kerana sudah tiada persefahaman lain, masalah kewangan dan banyak juga akibat salah seorang curang. Untuk kes Fauzan dan Farhana, mereka sama-sama curang!
“Korang berdua memang sepadan. Nama pun lebih kurang sama sebutan. Tahniah. Moga kekal ke jannah,” terngiang kata-kata ucapan di awal perkahwinan dahulu. Ramai yang memuji akan pasangan Fauzan dan Farhana yang cukup sepadan.
Fauzan bekerja sebagai Pengurus Bank manakala Farhana seorang pendidik. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 14 tahun yang tinggal di asrama. Kesibukan masing-masing tidak pernah menghalang untuk mereka hidup bahagia.
Bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Kedah. Fauzan senior dua tahun daripada Farhana dan merupakan abang angkat Farhana ketika di sekolah. Ketika memasuki universiti yang sama di Australia, hubungan mereka semakin rapat. Hidup di rantau orang membuatkan Fauzan sering membantu Farhana di sana. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin sekembali ke Malaysia.
Kalau hendak diikutkan, mereka tidaklah sampai tahap bercinta kerana masih terluka dengan pengalaman cinta ketika di sekolah menengah. Farhana pernah bercinta selama tiga tahun dengan rakan sekelasnya dan Fauzan pula pernah bercinta selama dua tahun dengan rakan setingkatan.
Hubungan dengan pasangan masing-masing terputus setelah mereka menyambung pelajaran ke Australia. Namun atas rasa sayang dan keakraban yang terjalin, mereka berasakan diri mereka serasi untuk hidup bersama lantas mengambil keputusan untuk berkahwin. Bagi mereka, cinta boleh dipupuk selepas kahwin..
Sering kali Fauzan dengar tentang kisah rumah tangga yang hancur setelah menghadiri majlis reunion dengan rakan sekolah. Malah, dia pernah bincangkan perkara itu dengan Farhana.
Namun mereka yakin dengan hati masing-masing yang tidak akan berubah. Tambahan pula, usia perkahwinan yang mencecah 15 tahun membuatkan mereka rasa rumah tangga mereka sudah cukup stabil dan kukuh untuk menghadapi apa juga dugaan. Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit cabaran yang diterima apatah lagi keduanya berparas rupa menarik walau pun sudah mencecah usia lewat 30-an. Namun semuanya dapat ditepis dengan sebaiknya.
Undangan untuk majlis perjumpaan rakan sekolah menengah diterima. Fauzan dan Farhana bersetuju untuk turut serta. Masing-masing ingin berjumpa rakan lama. Siapa sangka, majlis itulah yang men jadi punca segala-galanya.
Fauzan terjumpa dengan bekas kekasihnya yang masih lagi kekal single walau pun usia semakin lanjut. Kini mempunyai perniagaan sendiri. Farhana juga bersua kembali dengan bekas kekasihnya yang kini duda dengan seorang cahaya mata. Ketika itu, salam ukhuwah dihulur tanpa ada apa-apa niat.
Bahkan, Fauzan dan Farhana turut memperkenalkan pasangan mereka kepada bekas-bekas kekasih mereka. Kebetulan mereka berempat saling mengenali sebagai senior-junior.
Disangka pertemuan itu hanya terhenti sekadar itu. Dalam diam, Fauzan dan Farhana masih berhubungan dengan bekas kekasih masing-masing. Fauzan membantu bekas kekasihnya itu mendapatkan pinjaman untuk membesarkan perniagaannya. Farhana pula sentiasa menjadi tempat untuk bekas kekasihnya bertanyakan tentang pelajaran anak tunggalnya memandangkan Farhana seorang guru.
Benar kata orang, jangan sesekali menyediakan lorong ke arah jalan yang kita tidak mahu. Apabila jalan terbentang luas, godaan demi godaan akan muncul. Perasaan sayang muncul kembali. Namun, Fauzan dan Farhana sedaya upaya menyembunyikan kecurangan masing-masing. Pandai makan, pandai simpan.
Hampir tiga bulan berlalu, Fauzan dan Farhana semakin berani untuk berjumpa dengan kekasih mereka. Sudah pasti, tanpa pengetahuan masing-masing. Kesibukan kerja Fauzan membuatkan dia mencuri masa berjumpa dengan kekasihnya selepas waktu kerja, dengan alasan OT. Farhana pula, sebaik pulang dari mengajar, boleh mencuri ruang untuk keluar bertemu janji. Anak-anak tiada di rumah membuatkan mereka berdua punya banyak waktu terluang.
Namun, perkara yang tidak elok lambat laun akan terbongkar jua. Fauzan dapat menghidu kecurangan Farhana dan begitu juga sebaliknya. Ketika itu tiada rasa marah kerana sedar kesalahan dan kecurangan masing-masing. Akhirnya, Fauzan dan Farhana memilih untuk berpisah secara baik. Penjagaan anak-anak juga dikongsi bersama.
Kini Fauzan telah berkahwin dengan kekasih lamanya dan begitu juga Farhana. Walau pun pahit namun masing-masing tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana segala-galanya berpunca daripada diri mereka sendiri. Atau mungkin juga, cinta mereka terhadap kekasih lama mereka lebih mendalam berbanding cinta antara mereka. Ya, perkahwinan mereka dahulu bukan berlandaskan cinta sepenuhnya. Apa pun segala-galanya telah ditakdirkan.
Setiap daripada kita inginkan rumah tangga yang bahagia dan diberkati. Namun tidak semua bernasib baik. Indahnya sesebuah rumah tangga pabila masing-masing tahu dan jalankan tanggungjawab masing-masing.
Jika sebaliknya, maka pincanglah rumah tangga yang dibina. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan apa kesannya jika rumah tangga tidak lagi seindah yang diimpi:
Perkahwinan adalah sesuatu yang indah… Indah bagi mereka yang menjalankan tanggungjawab masing-masing… Indah bagi mereka yang melaksanakan kewajipan masing-masing… Indah bagi mereka yang memahami tugas masing-masing…
Buat tiga perkara ini, iaitu tanggungjawab, kewajipan dan tugas masing-masing dalam perkahwinan tersebut, maka perkahwinan itu adalah sebuah nikmat untuk mereka syukuri…
Pincang salah satunya, maka perkahwinan mereka adalah sebuah ujian… Ujian kekuatan, ujian kesabaran, ujian ketabahan, ujian kesetiaan, ujian air mata dan sebagainya… Mereka diuji dengan pasangan yang tidak bertanggungjawab, tidak melaksanakan kewajipan dan tugas yang Allah SWT sudah amanahkan pada bahu mereka…
Cara Allah SWT “menegur” pasangan sebegini ialah dengan memberikannya musibah yang berbentuk seperti bala…
Rezeki sempit, hutang keliling pinggang, gaji tidak naik, urusan harian menjadi sukar, hati tak tenteram, selalu jatuh sakit, harta benda asyik rosak, ada saja perkara yang berlaku dalam kehidupan hariannya yang membuatkan kehidupan tak bahagia dan tenang seperti orang lain…
Bala yang dihantar Allah SWT ini adalah satu bentuk teguran untuk menyedarkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan dalam alam perkahwinan itu yang mana ianya telah menyebabkan berlakunya penganiayaan atau kezaliman pada pasangan…
Buat baik dalam perkahwinan, kita dapat nikmat… Buat sebaliknya dalam perkahwinan, maka tunggulah “teguran” Allah SWT dalam bentuk musibah untuk diri kita…
Pilihan di tangan anda…
MW: Jika mak, ayah inginkan perkahwinan diberkati, berbuat baiklah pada pasangan dan tunaikan tanggungjawab sebaiknya. Barulah rumah tangga aman dan bahagia. Insyallah.
Derma organ demi menyelamatkan nyawa insan lain yang memerlukan, kisah pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, tular dek kerana kebaikan hamba Allah ini pergi secara tiba-tiba selepas diserang jantung.