Dugaan datang dengan pelbagai cara, pelakon dan selebriti, Ayu Raudhah juga tidak lari daripada diuji Tuhan. Katanya dia rasanya macam nak mati apabila tiba-tiba dirinya yang sihat diuji kesakitan yang dianggap luar kemampuannya.
Kehadiran anak ketiganya, Laura Zuleyka memberi seribu satu makna buat aktres dan selebriti, Ayu Raudhah dan pasangannya, Zaquan Adha kerana sejak sekian lama, mereka danbakan bayi perempuan. Sejak kelahiran bayi ketiganya, kelihatan Ayu Raudhah seakan mendiamkan diri, rupa-rupanya Januari lalu Ayu berdepan saat cemas, terasa macam nak mati. Dirinya telah mengalami apendiks lantas memerlukan dirinya untuk menjalani pembedahan dengan segera.
Tidak terhenti di situ sahaja, tak lama kemudian, Ayu turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru. Tatkala ditemui di majlis pelancaran produk serum Nell Aesthetica di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Ayu Raudhah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi peluang untuk menghirup udara dan berpeluang untuk menjaga ketiga-tiga buah hatinya yang masih kecil.
MW: Setiap wanita sering kali menyembunyikan rasa sakit daripada orang tersayang, bagaimana pula dengan Ayu Raudhah?
Ayu Raudhah: Pada mulanya, saya hanya rasa mual-mual. Bimbang juga saya mengandung lagi. Tetapi bila muntah saya makin teruk, saya minta suami hantarkan ke klinik dan doktor hanya memberi ubat angin. Balik ke rumah, sakit makin teruk lalu saja ajak suami ke hospital. Setelah melalui pemeriksaan lanjut, doktor dapat mengesan rupanya saya perlu jalani pembedahan segera kerana apendiks telah pecah. Tak terungkap perasaan saya kala itu. Patutlah sakitnya tak tertanggung.
Terasa-rasa hampir dicabut nyawa dan nak mati- Ayu Raudhah
MW: Setelah menjalani pembedahan, paru-paru anda dijangkiti kuman. Apa yang anda lakukan?
Ads
Ayu Raudhah: Seingat saya setelah jalani pembedahan segalanya akan kembali pulih, rupanya tidak. Saya diserang demam dan apabila pihak hospital melakukan pemeriksaan darah dan imbasan-X, ada jangkitan pula di paru-paru saya.
Fikiran saya terus melayang, hanya fikirkan nyawa saya yang tinggal di hujung tanduk. Saya memang lemah tak bermaya, sudah tentu saya hanya fikirkan masih sempatkah saya kerana terasa macam nak mati. Mujurlah anak-anak saya tinggalkan di bawah pemantauan ibu saya, apatah lagi yang bongsu. Mujurlah dia mampu minum susu menggunakan botol susu kerana selama ini kami tidak pernah berenggang.
Setelah 11 hari berlalu, saya dibenarkan pulang tetapi tidak lama apabila saya tidak kuat berdiri. Sekali lagi saya dirujuk ke hospital rupanya jangkitan kuman mahu hilang dari badannya, jadi perkara ini memberi kesan pada saya. Oleh itu sekali lagi saya ditahan sehingga pulih sepenuhnya.
MW: Bagaimana melunaskan bil-bil hospital yang menelan belanja ribuan ringgit?
Ads
Ayu Raudhah: Setelah saya pulih sepenuhnya saya berkongsi dengan semua peminat-peminat menerusi media sosial betapa pentingnya setiap daripada kita memiliki insurans sendiri.
Maklumlah penyakit datang tidak kira masa, mujurlah sejak awal lagi saya memang mengambil insurans. Jika tidak pening juga mahu bayar bil-bil hospital yang perlu saya bayar dalam jarak masa yang singkat. Rasa bersyukur Tuhan datangkan kesedaran itu awal pada diri saya. Bil perubatan pada zaman sekarang bukanlah murah, jadi beringatlah.
MW: Apa yang Ayu rasakan apabila diberi ujian kesakitan yang berat sebegini?
Ayu Raudhah: Sebagai wanita, isteri dan ibu, sesungguhnya hargailah setiap saat dan kesempatan yang berada di depan mata. Kesihatan atau apa sahaja yang dikurniakan pada kita adalah pinjaman semata-mata dari Allah Maha Esa. Ianya hanya pinjaman.
Ads
Allah boleh ambil nyawa dan nikmat sihat kita bila-bila dia mahu, tatkala itu duit berjuta ringgit pun tak berguna lagi. Oleh itu, jagalah kesihatan sebaiknya dan situasi saya alami baru-baru ini membuatkan diri saya terasa amat kecil dan timbul rasa insaf di hati saya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Satu hal yang sangat susah untuk saya laksanakan dengan anak-anak adalah bercuti berlama-lama dengan mereka. Sebelum impian cuti jadi nyata, banyak kerja perlu disudahkan. Dalam semua hal itu, paling penting adalah siapkan kewangan biar tak jadi kalut masa bercuti nanti.
Memandangkan tahun ini tahun serba mencabar, saya perlu extra ‘kedekut’ dengan kira-kira percutian keluarga kali ini. Dan sebenarnya, kalau bab simpanan bercuti pun memang saya yang tentukan siap-siap.
Dan kali ini percutiannya tersangatlah mencabar. Janji dengan anak-anak sudahpun dibuat. Janji bercuti itu kenalah ditunaikan. Bajet belanja pun kenalah diusahakan juga. Syukurlah, saya dah buat simpanan percutian awal-awal.
Jadi walau diuji sumber kewangan yang terhad, masih ada bajet untuk memenuhi janji bawa anak-anak bercuti. Tapi nak melancarkan lagi perjalanan itu, saya perlulah lebih sistematik dan hati-hati.
Ini salah satu cara yang dilakukan untuk membolehkan saya bercuti dengan tenang. Syukur bila praktis cara sistem sampul ini, saya tak over bajet malah boleh bawa pulang lagi lebihan duit yang tak digunakan. Bolehlah simpan untuk plan trip cuti-cuti seterusnya.
Yang mana, saya bahagikan kepada beberapa sampul dengan tanda nama khas. Perjalanan percutian saya itu cuma 2 hari iaitu hari Sabtu dan Ahad. Jadi saya bahagikan kepada sampul makan Sabtu, sampul makan Ahad, sampul shopping Sabtu, sampul shopping Ahad, sampul belanja anak-anak, sampul hotel, sampul duit minyak dan lain-lain.
Setiap sampul ini saya dah sediakn duit untuknya. Misalnya:
Sampul Hotel : RM178 (stay semalam. Saya ambil hotel bajet saja. Lagipun cuma semalaman sajakan.)
Sampul Minyak : RM240 untuk isi minyak pergi dan balik. (yang ini memang ngam-ngam)
Sampul Makan Sabtu : RM200 (sebab saya pergi dengan adik-adik. Agihkan jugalah untuk belanja adik beradik makan masa jalan-jalan tu)
Sampul Makan Ahad : RM200
Sampul Shopping Sabtu : RM200 (malam itu sempat kami ke shopping komplek. Dapatlah beli baju-baju diskaun)
Sampul Shopping Ahad : RM200 (kot-kot nak beli souvenier tuk mak abah masa on the way balik nanti)
Sampul Belanja Anak : RM150 (RM50 x 3 orang anak. Diaorang ni memang jarang dapat beli barang idaman kecuali time berjalan-jalan macam inilah baru saya layankan anak-anak)
Sampul In-case Kecemasan : RM700 (Ini cuma pegangan saja. Kalau ada berlaku kecemasna tak terjangka. Kalau tak pakai, masuk balik dalam tabungan cuti-cuti dengan anak.
Memandangkan duit dah diagihkan siap-siap. Saya ada beg khas untuk simpan sampul-sampul ini. Cuma keluarkan sampul yang diperlukan ikut hari. Misalnya hari Sabtu, cuma sampul makan Sabtu dan Shopping Sabtu yang dikeluarkan.
Selebihnya simpan. Jangan sentuh. Kita pun pandai-pandailah bajet guna duit itu ikut jumlah yang ditetapkan. Jangan curi tulang pula ya. Nanti buruk padahnya.
Setiap lebihan duit dari sampul itu, jangan dikeluarkan atau asingkan. Biarkan saja dalam itu. Simpan dan esoknya, hari Ahad guna pula sampul yang tertulis.
Bila terlebih bajet, saya tarik dari sampul in-case kecemasan itu. Itulah gunanya sampul itu. Tidaklah saya terlalu kedekut masa cuti-cuti Malaysia itu. Kata nak bergembira kan.
Bila dah habis bercuti dan dah sampai rumah. Kumpul semula sampul-sampul itu dan keluarkan duit lebihan yang ada. Campurkan dan kira balik.
Macam saya, selepas dikira semula ada kira-kira lebihan RM800++ . Bermakna tidaklah saya over bajet semasa bercuti. Malah bila dah balik, masih boleh buat simpanan untuk projek jalan-jalan seterusnya.
Moga tips ini bermanfaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak-mak tahu tak dalam barang harian yang kita pakai kat rumah ada tempoh masanya. jangan fikir ia boleh digunakn sepanjang masa. Ini ada perkongsian daripada Farra Vy,untuk pengetahuan mak-mak.
19 Barang Dalam Rumah Yang Ada Tamat Tempoh
1. Bantal – Luput antara 2-3 tahun.Apabila antal mencecah usia penggunaan selama 2-3 tahun, ia akan mula menjadi tempat pembiakan bakteria dan kuman. Secara tidak langsung ia menjadi punca utama kesihatan anda. Walau mahal mana pun bantal yang dibeli, bila sampai tamat tempohnya, sebaik-baiknya dibuang.
2. Selipar – Luput dalam masa 6 bulan sahaja. Selipar adalah habitat paling sempurna untuk fungus/kulat. Walaupun tempoh luputnya 6 bulan, saat pertama kali selipar itu menjejakkan tapaknya ke tanah, bakteria sudah mula membiak. Oleh itu pastikan selipar anda dibasuh secara kerap, serta cukup 6 bulan, ia perlu diganti baru.
3. Span Mandi
Luput Dalam Masa 2 Minggu Sahaja Bila hari-hari dah sental badan, pastilah banyak bakteria-bakteri yang disisihkan daripada badan melekat ke span tadi. Oleh itu, cara terbaik adalah untuk menukar span mandi anda 2 minggu sekali atau dengan merendamkannya kedalam air panas menggelegak bagi tujuan memusnahkan bakteria.
4. Tuala
Luput Antara 1-3 Tahun Walaupun anda membasuh tuala secara kerap, masalah bakteri tetap tidak dapat diselesaikan, oleh itu, apabila tiba masanya, maksima 3 tahun penggunaan, tukarlah pada tuala yang baru. Jangan guna pada tubuh badan tuala yang sudah relai benangnya
5. Berus Gigi
Luput Dalam Masa 3 Bulan Sahaja. Ini mesti ramai yang buat kan? Berus gigi harus diganti dalam masa 3 bulan sekali. Jika anda batuk atau selsema, apabila sudah sembuh jangan guna lagi berus gigi tersebut. Ganti yang baru. Jika tidak, penyakit yang sama akan berulang kembali kerana bakteria tadi telah berkumpul dan menguasai berus gigi anda. Berus gigi mesti dalam keadaan baik dan jangan guna sehingga menjadi kerinting.
6.Hydrogen Peroxide – Adalah fist aid antiseptic. Luput Dalam Masa 2 Bulan Sahaja Selepas anda membuka botol yang mengandungi bahan hydrogen peroxide, hanya 2 bulan saja kandungan didalamnya akan aktif. Selepas 2 bulan, cecair tersebut menjadi air biasa. Pun begitu, jika ia tidak pernah digunakan dan masih ditutup rapi, ia mampu bertahan lebih daripada tempoh1 tahun.
7. Sikat Rambut
Luput Dalam Masa 1 Tahun Sahaja Sebaiknya sikat dibasuh dengan air panas 1 minggu sekali dan diganti setiap 1 tahun.
8. Minyak Wangi
Luput Antara 3-4 Tahun. EDP mengandungi essential oil yang hanya mampu bertahan selama 3 tahun didalam bekas kedap udara. Namun bagi EDT, ia mampu bertahan selama 4 tahun.
9. Puting Bayi
Luput Dalam Masa 2-5 Minggu Sahaja Puting wajib diganti setiap 5 minggu, tidak kira keadaannya masih elok atau tidak.
10. Child Car Seat
Luput Antara 6-10 Tahun Selepas tempoh ini, struktrur car seat akan mula rosak terutama pada bahagian span. Ini bermakna ia tidak lagi selamat digunakan.
11. Bra
Luput Antara 1-2 Tahun Pun begitu, apabila struktur bra tidak lagi selesa untuk dipakai seperti bentuk asal, ia petanda anda wajib menukarnya tanpa perlu menunggu selama tempoh 1 tahun.
12. Kasut Sukan
Luput Sebaik Struktur Berubah
13. Rempah-ratus
Luput Antara 1-3 Tahun Rempah-ratus seperti kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga akan mula hilang rasa dan aroma bila disimpan lebih dari 1-3 tahun. Berbeza bagi rempah yang telah diproses menjadi serbuk, tempoh luputnya lebih cepat iaitu selama 6 bulan.
14. Tepung
Luput Dalam Masa 6-12 Bulan Apabila melebihi tempoh luput, tepung akan mula dihadiri parasit dan ulat tepung (kutu)
15. Pemadam Kebakaran
Luput Dalam Masa 15 Bulan Jika terdapat sebarang kerosakan pada pemadam seperti retak, berkarat dan klip patah, ia perlu diselenggara dengan kadar segera.
16. Penyambung Elektrik
Luput Antara 1-2 Tahun
17. Penyembur Pembasmi Kuman
Luput Dalam Masa 3 Bulan
18. Pencegah Nyamuk Luput Dalam Masa 2 Tahun
19. Power Soket- Luput Dalam Masa 4-5 Tahun Walaupun tiada tarikh luput, namun pakar menasihati agar ia diganti setiap 4-5 tahun bagi mengelakkan masalah litar pintas. Bila power soket mula keras atau sukar ditekan dan berwarna, ia wajib diganti.
Inilah mak-mak pelu ambik tahu barang apa yang ada kat rumkah. Beringat sebelum kena.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Fie atau nama penuhnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek memaklumkan dia tidak mengetahui perinsian prosiding komital yang difailkan penyanyi itu terhadapnya.