Benar sebaik bergelar suami isteri, isteri ada hak ke atas suaminya. Tapi suami juga ada tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Seorang isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertuanya sama seperti keluarganya sendiri.
Puan Ezatul Marini berkongsi pesanan kepada pasangan muda. Sebagaimana dirinya dulu melalui detik alam rumah tangga ketika usia 21 tahun. Namun, itu tidak menghalangnya untuk berfikiran matang dan menerapkan nilai yang baik dalam membina hubungan menantu-mertua.
Ditakdirkan Berkahwin Pada Usia Sangat Muda
Saya ditakdirkan berkahwin pada usia yang sangat muda, sebaik memasuki 21 tahun. Muda kerana masih mentah ilmu, tidak cukup pengalaman dan banyak perkara yang saya belum mahir.
Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya keluarga mertua yang baik, penyayang dan sedia membimbing, menegur dan menerima baik buruk dan lebih kurangnya tingkah-laku saya.
Tipulah kalau kita nak kata segalanya manis belaka. Ada ketikanya berlaku juga pergeseran, prasangka dan konflik tetapi Allah mengurniakan kami rasa lembut hati dan keinginan serta kesungguhan untuk membaiki keadaan, sedia mohon maaf dan memaafkan.
Alhamdulillah! Encik K amat bijaksana dalam membimbing saya, menyalurkan kebiasaan perbincangan dan muafakat serta tolak ansur dalam melayari bahtera kehidupan berumah-tangga.
Ads
Ada pasangan diuji, isteri mendominasi kehidupan suami selepas berumah-tangga. Tidak hanya mendominasi kehidupan malah mengenakan misi “menghentikan” hubungan suami dengan keluarganya sendiri.
Seorang Isteri Yang Baik, Akan Cuba Mengasihi Keluarga Mertua
Isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertua sama seperti keluarga sendiri. Isteri yang baik akan berusaha seimbangkan hubungan suami dengan keluarganya, menghormati keluarga mertua dan berusaha untuk tidak membataskan hubungan suami dengan keluarganya sendiri serta tidak mengawal secara total sang suami hingga terbatas untuk bertindak mengikut hak dan tanggungjawabnya.
Saya tertanya-tanya, apakah sandaran dan paksi yang menunjangi sikap dan pemikiran isteri yang sebegini. Di manakah nilai adab dan nilai agama itu dalam kehidupan seorang isteri bila mana kedudukan suami itu dipandang sepele dan diletakkan di tempat terendah.
Sebagai isteri, belajarlah mendidik diri dan hati. Suami itu benar hak kita tetapi suami juga ada tanggungjawab kepada keluarganya. Dia masih ada ikatan dengan keluarga besarnya. Jangan kita jadi “gunting” yang meleraikan tali ikatan sebuah keluarga demi mengisi ego dan hasutan hati kita sendiri.
Suami pula harus bijak mengambil peranan untuk mendidik keluarganya. Sebagai pemimpin, jadilah pemimpin yang telus, adil dan berpaksikan ajaran dan tuntutan agama. Redha Allah kita cari, hak manusia kita lunasi, pasti ada ganjarannya.
Ads
Sebagai “extended family” ajarlah nilai yang baik kepada abang, kakak, adik dan anak kita untuk juga bersikap baik kepada keluarga mertuanya. Kita jangan jadi sumbu yang menyalakan api kebencian dan persengketaan dalam sistem sosial berkeluarga.
Jadilah Isteri, Suami, Ipar Dan Menantu Yang Dilimpahi Pahala
Sungguh, saya sangat beremosi kala menulis catatan ini. Jadilah isteri, suami, ipar, menantu dan anak yang dilimpahi pahala. Hindarkanlah dari sengketa yang akhirnya membenihkan luka dan dosa. Allahu Akbar!
Raihlah syurga dengan berbuat baik sesama insan. Syurga itu mahal, tanggungjawab kita adalah untuk memperjuangkan Syurga itu.
Allah itu tidak tidur, ingat itu. Allah memerhati setiap gerak-geri kita. Istighfarlah andai ada secalit bibit tingkah begitu menjadi dasar hidup kita selama ini.
Ads
Mertua dan keluarganya adalah juga keluarga kita. Ketepikan sedikit rasa terima kasih kerana keluarga yang di sana sudi menerima kita masuk ke dalam keluarga mereka.
Islam memberi panduan jelas dan lengkap tentang adab terutamanya akhlak sebagai suami, isteri, anak, menantu dan ipar. Sama-samalah kita doakan agar Allah selalu pelihara kita semua.
Astaghfirullah hal adzim!
Mingguan Wanita : Andai ego dapat dilembutkan, maka leraikanlah perasaan sedemikian. Semoga ketenangan dan bahagia dapat diperoleh kembali.
Sudah tentu bila seorang lelaki tak bekerja banyak masalah akan timbul, suami jangan buat isteri tersepit terpaksa menanggung keluarga dan suami itu juga.
Ternyata ramai yang terkesan dengan pandemik hingga hilang kerja, namun ia bukanlah alasan untuk ayah-ayah menyerah kalah untuk mencari rezeki.
Sebenarnya selain berusaha mencari kerja, lelaki juga jangan memilih dan rajin apabila mendapat pekerjaan baru apatah lelaki dalam keadaan sekarang.
Jangan pula mengambil kesempatan hingga membebankan isteri, buat dia rasa tersepit kerana pengabaian seorang suami.
Bila Lelaki Tak Bekerja
Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar, dua, tiga hari ini banyak betul terima mesej daripada isteri yang mengadu tentang suami yang tidak bekerja. Pagi tadi saya bangun tidur, tengok dah ada 1 mesej panjang dekat messenger.
Pun hal yang sama, tentang suami tak bekerja. Atau pun kerap tukar kerja. Tak sampai 1,2 bulan di tempat kerja, berhenti. Cari kerja lain punyalah susah nak dapat.
Lepas dapat kerja lain, berhenti lagi.
Bila tanya dia apa punca dia berhenti. Macam-macam jawapan. Tak sesuai dengan bos, kawan-kawan tak bagus, tempat kerja jauh, penat kena buat kerja macam-macam dan tak kurang ada yang kata tak layak kerja tu. Padahal syarikat dah terima. Sendiri pula rasa tak layak.
Banyak Masalah Timbul
Dalam kes begini ada dua keadaan pula yang saya terima.
Pertama, memang suami jenis kerap tukar kerja. Bila sampai masa tak ada kerja, rajin pula pergi keluar minum jumpa kawan-kawan. Lepaskan tekanan katanya.
Jumpa berjam-jam. Siang keluar, malam pun keluar. Mana dapat duit? Mestilah minta dekat isteri. Bala.
Kerja tidak, minta pula dekat isteri hari-hari.
Kedua, sudahlah kerja pun tak ada, sibuk nak kahwin lagi.
Ini pun banyak. Serius banyak. Pendapatan tak ada, keluarga yang sedia ada ini pun tak terjaga betul.
Duduk rumah sewa dengan adik ipar. Jadi semua bergantung ke adik ipar. Ada isteri yang terpaksa ambil keputusan hantar anak balik kampung, sebab tak ada kemampuan nak hidup sama dengan bandar. Belanja tinggi.
“Tapi puan hantarlah duit ke mak dekat kampung untuk anak-anak?” Saya tanya.
“Tak juga. Kadang-kadang kalau ada lebih. Saya tahu saya salah buat macam tu. Kesian ke mak saya. Tapi saya tak ada duit lebih. Suami memang tak ada duit. Tak bekerja langsung dah 4,5 bulan,” jawab dia.
Suami Jangan Buat Isteri Tersepit
Tak kira keadaan pertama atau kedua, dua-dua keadaan ini menyebabkan isteri tersepit. Tekanan. Antara nak terus bagi semangat ke suami atau nak minta dilepaskan.
Bila tak ada duit, banyaklah masalah timbul. Lagi teruk minta duit dekat isteri, isteri tak bagi, dimarahnya pula.
Bukan kejap kejap. Berlarutan 3 hingga 4 tahun usia perkahwinan. Itu yang saya kata isteri begini tersepit. Akhirnya kemurungan.
Jadilah Lelaki Bertanggungjawab
Kawan-kawan sekalian,
Yang lelaki. Bila kau fikir nak berumah tangga, itu adalah saat untuk kita lebih bertanggungjawab. Membina rumah tangga kau bersama-sama.
Bukan sebagai jalan untuk kau jadi raja dalam rumah. Duduk tanpa kerja. Harap ke duit isteri untuk selesaikan banyak urusan diri kau dan rumah kau.
Satu hal lagi, yang sibuk nak kahwin lagi tapi tak ada kerja ni. Kau dah kenapa bang? Tambah sumber pendapatan dengan tambah isteri, macam tu? Ya ampun.
Kalau betul pun kau tak ada kerja, carilah apa sahaja pun kerja yang kau boleh buat. Sekali pun kau terpaksa bekerja jadi tukang sapu. Asalkan kerja halal.
Jangan Memilih Kerja
Kata kunci dia, janganlah memilih kerja. Fikirkan yang lebih utama. Apakah keselesaan kita bekerja atau hakikat nak menanggung keluarga itu yang lebih dulu kita kena hadap?
Mestilah tanggungan keluarga kita dulu. Lagi-lagi kalau sudah ada anak. Semua nak kena suap makan. Belum cerita soal pakaian dan sekolah lagi.
Berusahalah wahai lelaki, wahai suami. Tak bekerja ini kau bukan seksa kewangan kau, tapi kau seksa juga emosi dan perasaan isteri.
Sampai satu masa, kau balik yang marah-marah ke isteri kau.
Ingatlah, tak selesai urusan kau sebagai suami dekat dunia ni, bermakna tak selesai juga urusan akhirat kau nanti.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Berusahalah kita semua.
Mingguan Wanita : Sudah menjadi fitrah, suami keluar bekerja dan mencari rezeki. Namun jika disebabkan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan dan suami terpaksa duduk di rumah. Apakan daya. Tetapi jangan pula ambil kesempatan.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Tak Bahagia dengan perkahwinan yang diatur keluarga membuatkan dirinya dalam diam jatuh cinta lelaki lain. Dia tahu dia berdosa namun dia tidak dapat membohongi hatinya. Ikuti luahannya.
Assalamualaikum puan. Saya berusia 30 tahun dan sudah berkahwin. Saya dan suami dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia empat tahun. Saya berkahwin dengan suami atas aturan keluarga, pada usia yang agak muda. Ketika itu saya baru saja tamat diploma dan saya akur kerana saya sendiri tidak ada kekasih pada masa itu. Keluarga saya sangat menitikberatkan soal didikan agama dan kami tidak bebas bergaul dengan bukan muhrim.
Tak Nafikan Suami Penyayang
Terus terang, rasa cinta tidak pernah wujud dalam hati saya untuk suami. Yang ada hanya rasa tanggung jawab dan secebis sayang kerana dia seorang lelaki yang sangat baik, menjaga saya dan anak lelaki kami dengan sempurna. Pendek kata, dia hampir sempurna sebagai seorang suami.
Dia pendiam orangnya dan di rumah jarang kami berbual. Hanya hal-hal penting saja kami bersembang sedangkan saya sebenarnya seorang yang suka bercakap. Suami lebih banyak membaca sama ada al-Quran atau buku-buku agama.
Berpengetahuan Agama
Pada waktu malam, dari maghrib hingga isyak, tempatnya di masjid. Kadangkala dia pulang setelah saya dan anak tidur. Hari cuti dia sering kali tiada di rumah kerana sibuk bekerja atau mengikuti aktiviti NGO.
Suami bekerja sebagai seorang akauntan dan saya pula seorang kaki tangan awam. Pendek kata, masa untuk kami berjumpa sehari-hari agak singkat. Nasib baik ada anak yang jadi teman saya. Soal cinta memang tidak boleh dipaksa. Puas selama lima tahun ini saya cuba untuk mencintainya namun gagal. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan saya ini.
Kursus
Saya mewakili jabatan dan dihantar berkursus di sebuah negeri selama seminggu. Ketika itu saya berkenalan dengan seorang lelaki yang saya namakan K saja. Dia antara pegawai yang ditugaskan untuk menyelenggarakan program tersebut. Sifat kepimpinan dan karisma sebagai seorang pemimpin cukup terserlah. Entah mengapa, hati saya berdengup kencang setiap kali memandang wajahnya. K seorang duda kematian isteri dengan tiga orang anak.
Sering kali juga kami berbual mesra apabila ada waktu terluang tetapi secara beramai-ramai. Sikapnya yang kelakar membuatkan hati saya lebih tertarik padanya. Namun saya hormati dia dan tidak pernah terlintas untuk cuba mencuri perhatiannya. Apabila kursus berakhir, kami saling bertukar nombor telefon. Tiada niat lain kerana dia juga tahu saya isteri orang. Lagipun kami para peserta saling bertukar nombor telefon di antara satu sama lain. Mana tau, mungkin perlu bekerjasama satu masa kelak.
Berhubung
Sejak kursus itu, kami saling berhubung. Kadangkala soal kerja, kadangkala dia meminta nasihat tentang tiga orang anak perempuannya itu. Saya kagum dengan dirinya yang tabah menjaga tiga anak perempuannya, dibantu oleh seorang kakaknya sejak kematian isterinya lapan tahun lalu. Sering kali dia meminta nasihat saya kerana katanya hanya perempuan yang faham tentang perempuan.
Lama-kelamaan kami semakin mesra. Pada waktu malam ketika suami ke masjid saya akan ambil masa untuk berbual dengannya di dalam telefon. Dia berada di negeri lain jadi kami tidak pernah berjumpa. Sekadar bertukar gambar pernah juga. Sering kali dia akan hantar gambar anak-anaknya dan saya juga akan menghantar gambar anak saya.
Tak Sedar Jatuh Hati
Daripada perbualan biasa, kami mula berbual soal hati. Saya sering meluahkan perasaan tentang kehidupan saya. Bukan saya tidak bahagia, tapi hidup saya seakan ‘kosong’ kerana tiada cinta antara saya dan suami. Alangkah seronoknya jika saya dapat berbual-bual mesra dengan suami seperti saya berbual dengan K.
Saya sedar saya berdosa namun bila berbual dengan K, saya rasa gembira. Kami boleh berbual tentang apa saja, termasuk soal anak-anak dan kerja. Dia sering menasihati saya dan menghiburkan hati saya bila saya rasa sedih atau tertekan dengan kerja. Suami? Tak pernah sekali pun dia ambil tahu tentang kerja saya.
Saya dalam dilema. Apakah saya perlu mengambil langkah menamatkan ikatan perkahwinan yang tiada rasa cinta ini? K pernah nyatakan hasratnya, andai jodoh saya tidak panjang bersama suami, dia sedia menerima saya dan anak saya. Namun tidak pernah sekali pun dia mendesak saya untuk berpisah dengan suami. Itu membuatkan saya bertambah sayang padanya.
Isteri Berdosa
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dihormati, Realiti dan fantasi adalah dua keadaan yang berbeza kerana realiti adalah nyata dan sedang dilalui sedangkan fantasi adalah persepsi atau harapan, anggapan serta perkara yang baru dicadangkan atau dibincangkan tetapi belum di hadapi secara nyata.
Biasanya realiti akan dihadapi sebagai rutin harian, kurang diberi perhatian, kurang difokuskan, dianggap biasa serta tidak penting dalam kehidupan.
Tak Boleh Bezakan Fantasi Dan Realiti
Fantasi pula perkara yang dibayangkan, diharapkan serta diandaikan akan berlaku mengikut kemahuan diri. Perbezaan ini telah membelenggu puan dalam puan cuba memberi justifikasi kepada diri puan untuk meneruskan fantasi puan dan meninggalkan realiti puan sekarang ini.
Realiti kehidupan puan adalah puan mempunyai suami yang penyayang, beragama, bertanggungjawab, berjawatan tetap, bergiat dengan NGO, ahli masjid dan berbagai kebaikan yang dilihat sebagai suami yang sempurna.
Jangan Anggap Jodoh Try And Error
Namun suami puan tidak banyak berkata-kata, jauh sekali untuk mengungkapkan kata-kata cinta atau memuji puan dalam masa lima tahun perkahwinan. Keadaan ini membuatkan puan merasa bosan dan cuba mencari cinta baru yang pada anggapan puan akan mewarnai kehidupan puan dengan lebih sempurna lagi. Sebelum kita berbicara lebih jauh lagi, cuba puan fahami maksud jodoh iaitu puan dipertemukan dengan seorang yang benar-benar ikhlas menerima puan sebagai isteri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan sebenarnya.
Dalam isu jodoh ini bukan perkara yang boleh dianggap sebagai “try an error” atau cuba jaya tetapi pemilihan yang abadi untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Perjanjian perkahwinan pula adalah saksi kepada Allah SWT untuk bertanggungjawab sebagai suami dan isteri dalam lafaz akad nikah yang mulia dan Allah SWT mengurniakan kasih sayang sebagai suami dan isteri.
Isu yang puan ketengahkan lagi dan tidak puas hati kerana suami puan kurang bercakap, tidak pandai bergurau, tidak beri perhatian kepada puan, tidak peduli dan hambar dalam hubungan. Perkara ini puan telah sedari sejak awal perkahwinan lagi. Ini bermaksud suami puan sememangnya mempunyai personaliti yang sebegitu.
Puan pula seorang yang sangat prihatin kepada emosi, suka dibelai, suka diberikan perhatian, suka disapa dan didengari serta suka kepada mereka yang menemani puan dalam semua tindakan. Namun semua itu puan tidak dapat dari suami, puan juga tidak menyatakan perkara ini kepada suami, puan membiarkan perkara ini menjadi rutin kehidupan puan dan suami sehingga kini ia menjadi racun dalam kehidupan rumah tangga puan.
Tak Muhasabah Diri
Antara perkara yang puan perlu muhasabah diri setakat ini adalah puan perlu tanya diri puan adakah puan benar-benar mengenali suami puan secara keseluruhannya, adakah puan berusaha untuk menyatakan apa yang puan suka dan apa yang tidak kepadanya, adakah puan cuba ajari atau “educate” suami tentang perkara-perkara yang puan perlu dan mahu suami lakukan kepada puan.
Secara keseluruhannya puan perlu tanya diri puan adilkah diri puan terus menolak suami puan untuk digantikan dengan seorang duda yang baru puan kenal dan anggap lebih baik daripada suami yang puan anggap sungguh membosankan berbanding dengan duda tersebut.
Terjerat Dengan Persepsi Sendiri
Manusia sering terjerat dengan persepsi dan perasaan sendiri kerana selalu menatang yang fantasi tetapi lupa kepada yang realiti. Selama ini suami puan telah berbakti kepada puan dan bertanggungjawab kepada puan dengan seluruh jiwa dan raganya tetapi beliau hanya tidak pandai berdrama atau tidak romantik serta tidak memahami naluri seorang wanita sepenuhnya, maka suami puan kurang bermesra dan kurang ramah berbanding duda yang baru kenali.
Dalam keadaan ini puan perlu faham bahawa lelaki menunjukkan kasih sayang dengan cara melakukan iaitu perbuatan atau tingkahlaku, lelaki juga perlu diberitahu perkara-perkara yang perempan suka dan lelaki suka kepada aktiviti yang rutin serta akan fokus kepada apap yang biasa dilakukan. Oleh itu puan perlu beritahu dan “latih” atau biasakan suami puan dengan perkara yang puan suka. Dengan cara ini suami puan akan belajar perkara baru dan boleh melayan puan dengan sempurna.
Tak Dapat Kawal Diri
Seterusnya puan perlu ada kawalan dalam diri puan agar setia dan tidak memandang kehebatan lelaki lain sebagai satu cara “pelarian” dari desakan perasaan puan. Keputusan yang dihasilkan dari keadaan ini akan membuatkan puan menyesal sepanjang hayat puan. Puan perlu faham bahawa sebelum kahwin semuanya indah tetapi selepas berkahwin segala kelemahan akan kelihatan maka waktu itu dapatlah puan pastikan bahawa duda yang menjalinkan hubungan dengan puan sememangnya sangat sesuai dengan puan atau tidak.
Puan juga perlu tegas diri dan menjaga maruah diri sebagai wanita yang taat, patuh, tidak derhara, tidak curang serta dapat mempertahankan jodoh puan yang sedang dilanda badai akibat ketidakpuasan hati puan. Puan perlu berusaha untuk menjalinkan hubungan mesra dengan suami puan serta lengkapkan keluarga puan ini dengan kasih sayang.
Jihad Pertahankan Perkahwinan
Berada dalam perkahwinan dan terus mempertahankan perkahwinan adalah satu jihad suci melawan kehendak dan hawa nafsu. Darah muda puan yang sangat dahagakan belaian manja dari seorang suami perlu dipenuhi dengan membantu suami memahami serta melakukan apa yang perlu dalam hubungan berkeluarga.
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh puan lakukan tanpa perlu curang kepada suami puan. Fokuskan kepada pembinaan kerjaya puan dan ajak suami bersama-sama atau ikuti perkembangan kerjaya suami dan kesukaan beliau agar puan dapat mengikut segala aktivitinya.
Beritahu Suami Apa Kehendak Diri
Dalam masa yang sama puan perkenalkan perkara yang puan suka dan cuba selaraskan agar puan dan suami dapat kecapi bahagia yang sebenarnya.
Meruntuhkan sebuah perkahwinan adalah perkara yang mudah tetapi kesan emosi dan segalanya akan mengancam kehidupan puan sampai bila-bila. Maka wajar puan perbaiki sedikit kelemahan perkahwinan puan sekarang kerana jika diruntuhkan yang sedia ada belum tentu yang akan datang akan menjadi kukuh. Atau mungkin juga tak setanding dengan yang sekarang. Puan perlu muhasabah diri agar tidak menyesal nanti.
Mendidik anak-anak tak kira lelaki dan perempuan ada caranya dan pendekatan yang berbeza. Mak ayah kena faham, rupanya perkara simple seperti beri sticker bintang pada anak lelaki atas sikap baiknya lebih berkesan dan boleh memberi motivasi berbanding ucapkan pujian.
Perkara ini dikongsikan oleh Penceramah GENDER INTELLIGENCE dalam memahami perbezaan keperluan dan kehendak lelaki dan perempuan, Encik Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau dikenali dengan nama Pak Utih.
Berikut perkongsian tersebut sebagai panduan mak ayah;
BUDAK LELAKI SUKA BINTANG BUKAN PUJIAN
1. Orang lelaki memang suka mempamerkan kehebatan dan pencapaiannya melalui bintang-bintang dan medal-medal. Dia rasa dikagumi. Pasukan beruniform telah membuktikan pandangan ini. Lebih banyak bintang terpamer didadanya menggambar lebih tinggi kuasanya dan pengalamannya.
2. Oleh itu, gunakan pendekatan ini untuk menarik minat anak-anak lelaki berlumba-lumba ke Tadika dan melonjak-melonjak membuat yang terbaik kerana bintang-bintang itu.
Sebaliknya budak perempuan, apabila guru puji dia, dia seronok sangat dan ingat apa yang guru sebut. Pulang ke rumah, dia cerita kepada ibunya. Esok pagi dia teruja untuk ke tadika untuk mendapat pujian lagi.
3. Contoh anugerah bintang kepada mereka:
a) Guru bertugas tunggu di pintu pagar, mana-mana pelajar yang datang awal (top 5) pagi itu, dilekatkan bintang pada bajunya.
b) Mana-mana pelajar yang menolong guru tanpa disuruh, dilekat bintang.
c) Mana-mana pelajar memberi jawapan yang baik, dilekat bintang.
d) Mana-mana pelajar yang siap tugasan dengan baik, dilekat bintang.
e) Macam-macamlah guru-guru boleh fikirkan.
4. Apabila anak itu sampai di rumah, sama ada mereka yang menceritakan bintang-bintang itu atau ibubapa proaktif yang bertanya, yakinlah inilah cara yang terbaik anak-anak itu berkomunikasi kepada ibubapanya mengenai perkembangannya di Tadika. Kalau tidak, jika tanya dia, “Tadi di Tadika buat apa?”, Jawapannya, ” Tak tau”.
5. Ibubapa pula, ambil bintang-bintang itu, tampalkan di kalender khas untuk bintang-bintang anak itu. Gunakan calendar bintang-bintang ini untuk motivasikan dia ke Tadika.
6. Semasa HARI PENYAMPAIAN HADIAH, berikan hadiah kepada pelajar yang terbanyak bintangnya untuk tahun itu.
7, Disarankan untuk anak lelaki guna bintang. Anak perempuan sticker LOVE.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang ada anak lelaki boleh cuba kaedah ini dalam memotivasikan mereka, untuk menjadi lebih baik dan lihat perubahannya nanti.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...