Umpama mimpi apabila tragedi kepala air melibatkan ahli keluarga sendiri. Adik kepada mangsa tragedi ini akui masih terkejut dengan kejadian yang melibatkan keluarga kakaknya dan berharap semoga masih ada mangsa yang terselamat.
“Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini.”
Demikian kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada Ahad.
Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.
Mengulas lanjut, dia memberitahu mengetahui kejadian tersebut setelah tular di media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.
“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.
“Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya.
7 Anak Saudara Terlibat Dalam Tragedi
Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.
“Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.
Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.
“Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).
Ads
“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.
Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
8 Identiti Mangsa Dikenal Pasti
Sementara itu, identiti 8 individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Ahad, dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.
Ads
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad malam.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini, malam tadi.
Mayat Ditemui Orang Ramai
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di sini, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang Ahad atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.
“Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.
“Esok (Isnin) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.
Ads
Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.
“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR pada Isnin akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.
Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.
Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Isnin untuk bedah siasat. – Bernama
Tidak dapat bayangkan jika keluarga ini tidur hingga tidak sedarkan diri. Mujur nasib mereka baik, mereka anak-beranak di Penampang, Sabah ini dapat selamatkan diri daripada banjir.
Pada awalnya, sebelum tidur air belum naik ke rumah mereka. Sedang asyik tidur, lelaki ini terjaga air terkena tilam, lalu dia nekad bawa anak dan isteri yang sedang berpantang daki bukit untuk selamatkan diri.
Nekad Bawa Anak, Isteri Berpantang Daki Bukit Selamatkan Diri
Seorang lelaki terpaksa membawa isterinya yang masih berpantang dan dua anak mendaki bukit serta berteduh di pondok selepas rumah mereka di Kampung Kibabaig di sini, ditenggelami banjir.
Lovenus Gengai, 37, berkata, dia menyedari rumah mereka mula dimasuki air pada 2.30 pagi kelmarin dan mengejutkan isteri serta anak untuk bersiap.
Sebelum tidur katanya, sekitar 12.30 tengah malam, kawasan berkenaan belum banjir.
“Saya terjaga daripada tidur apabila merasakan air terkena tilam dan segera mengejutkan isteri dan anak (berusia sebulan dan lima tahun).
“Kami mula mendaki bukit kira-kira 4.30 pagi apabila air semakin naik dan berteduh di bawah pondok,” katanya yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.
Menurutnya, dia menyangka banjir akan cepat surut dan menunggu di atas bukit selama beberapa jam sebelum akhirnya menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan. Katanya, pasukan penyelamat tiba pada 2 petang untuk membawa mereka ke PPS.
Hanya Sempat Bawa 2 Pasang Pakaian
Seorang lagi mangsa banjir, Asnah Adam, 49, berkata, dia sekeluarga hanya sempat membawa dua pasang pakaian sahaja selepas rumah di Kampung Nambazan dinaiki air.
Katanya, banjir kerap berlaku di kawasan itu namun, dia tidak menyangka kejadian kelmarin terburuk sekali gus menyebabkannya tinggal sehelai sepinggang.
“Sebelum dibawa ke PPS, kami berteduh di rumah jiran yang dalam pembinaan. Terpaksa bergelap di situ semalaman memandangkan ia tidak siap lagi dan tiada tandas.
“Kucing peliharaan juga terpaksa ditinggalkan sementara di situ selepas kami berpindah ke sini (PPS),” katanya yang memberitahu kawasan rumahnya tenggelam banjir dan terpaksa menggunakan bot untuk ke sana.
MW: Semoga mangsa-mangsa banjir di Sabah dipermudahkan urusan dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.
‘Pantang maut sebelum ajal.’ Wanita ini terselamat selepas tergelincir dari tingkat 21. Dikatakan mangsa sedang menjemur pakaian di balkoni ketika kejadian ini berlaku.
Kebiasaannya jatuh dari rumah bertingkat memang jarang selamat, tetapi wanita ini insan terpilih kerana selamat dan hanya mengalami patah bahu saja.
Pantang Maut
Jatuh tingkat 21 sudah cukup untuk mengakibatkan cedera parah hingga meragut nyawa. Namun tidak bagi wanita ini.
Berpantang maut sebelum ajal, seorang wanita di Indonesia masih bernyawa apabila terjatuh dari aras 21 kediamannya .
Sebelum Ajal
Menurut Tribun News, mangsa, AN, 55, terjatuh susulan tergelincir dari balkoni di kediamannya semasa membuat kerja rumah.
“Polis Kelapa Gading menerima laporan bahawa seorang wanita jatuh dari Apartmen Gading Nias Residence Tower Emerald, Kelapa Gading di Jakarta Utara.
“Hasil siasatan mendapati, AN dikatakan tergelincir dari balkoni pangsapuri itu yang berketinggian 21 tingkat ketika sedang menjemur baju,” katanya Ketua Polis Kelapa Gading, Vokky Sagala.
Wanita Ini Terselamat
Usianya panjang, tidak seperti kebanyakan mangsa yang terjatuh dari tempat tinggi yang cedera parah pada bahagian kepala dan tulang belakang, AN selamat.
Dia difahamkan hanya mengalami patah tulang di bahagian bahu kiri gara-gara terjatuh di atas bumbung kereta jenis Toyota.
AN dikejarkan ke Hospital Sakit Gading Pluit, Jakarta Utara untuk dirawat.
“Kami sempat berhubung dengan mangsa yang menyatakan bahawa dia tergelincir ketika menjemur pakaian, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya.
Selepas Tergelincir
Ramai yang gayat apabila berada di tempat tinggi, sementelah jika terjatuh daripada tingkat atau bangunan beraras tinggi!
Ketinggian kipas siling dan langsir di rumah sudah membuatkan kita menggeletar, apatah lagi jika bangunan tinggi berpuluh tingkat. Tingkap dan balkoni pada bangunan tinggi memmpunyai potensi bahaya terjatuh.
Tahap kecederaan ini sebahagiannya bergantung pada halaju hentaman, permukaan yang mendarat, orientasi badan pada hentaman dan umur orang yang terjatuh.
Dari Tingkat 21
Menurut Perpustakaan Perubatan Nasional Institut Kesihatan Amerika Syarikat, kebanyakan kecederaan daripada tempat tinggi akan menyebabkan cedera kepala (tengkorak tertekan, lebam serebrum, pendarahan intrakranial), toraks (pulmonari), lebam, bronkus atau aorta pecah, patah tulang sternum akibat hiperfleksi dagu), kecederaan tulang belakang dan abdomen.
Awasi ahli keluarga terutamanya anak kecil, elakkan menghampiri bahagian bangunan yang mendedahkan kepada bahaya. Setiap kediaman di aras tinggi sepatutnya dilindungi jeriji untuk mengelakkan risiko kemalangan terjatuh.
Mingguan Wanita: Biarpun mangsa terselamat, namun mak ayah harus mengambil pengajaran dari kisah ini. Berwaspadalah dan berhati-hati terhadap ahli keluarga apabila berada di tempat tinggi.
Bertuahnya anak syurga. Tiada siapa yang mampu menghalangnya dan hanya DIA yang merancang segalanya. Takdir Allah dijemput di Tanah Suci dengan usia 4 tahun.
Kita yang mendengar dan melihat rasa menitis air mata, apatah lagi keluarga ini yang menerima takdir penuh reda bila anak kesayangannya pergi buat selamanya di Tanah Suci.
Viral di media sosial apabila seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia di Madinah ketika sama-sama menunaikan umrah bersama ahli keluarga.
Perkongsian ini dimaklumkan oleh bapa saudara arwah iaiatu Afiq Zulhafiz Afiq di media sosialnya dengan memuat turun beberapa keping gambar arwah.
Dikatakan kanak-kanak perempuan yang mengerjakan ibadah umrah dikhabarkan jatuh sakit sebelum meninggal dunia dipercayai akibat demam panas dan jangkitan kuman.
Nur Alesha Ammara Mohamad Amirul, 4 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Madinah dan dikebumikan di tanah perkuburan Jannatul Baqi Madinah yang terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi.
Disolatkan & Didoakan Ribuan Jemaah Di Masjid Nabawi
Bertuahnya anak syurga ini kerana telah disolatkan dan di doakan oleh ribuan jemaah di Masjid Nabawi.
Arwah Nur Alesha dimakamkan di Jannatul Baqi’, berdekatan dengan Ahli Bait Baginda Rasulullah, bahkan hanya berjarak beberapa Meter dengan Makam Baginda Rasulullah bersama sahabat Sayyidina Abu Bakar As Siddiq dan Sayyidina Umar Al Khattab
Setiap hari, ratusan bahkan ribuan umat islam akan berebut-rebut masuk ke Baqi’ untuk mendoakan ahli Baqi’.
Tiap hari Alesha akan didoakan. Tiap hari Alesha akan diziarahi jemaah yang datang dari seluruh penjuru dunia.
Kematian yang benar-benar dicemburui dan dialah anak syurga yang terpilih.
Berbahagialah dan bergembiralah di sana sayang, bermain dan berlari2lah bersama Wildan Syurga yang lain. Nantikan orang tuamu di pintu syurga ya. Insya Allah kami juga bakal menyusulmu.
Nur Alesha Ammara Binti Mohamad Amirul 4 Feb 2019 – 14 Feb 2023
Mingguan Wanita : Anak syurga yang terpilih. Beruntunglah ibu bapanya. Mungkin cukup perit untuk terima kenyataan tapi percayalah dia ‘di sana’ menanti dengan penuh bahagia.
Nak rasa sampel biskut raya? Dapatkan KUPON BISKUT RAYA PERCUMA sekarang. Klik untuk kupon percuma: http://shorturl.at/hKOS2 atau imbas QR code pada poster.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.