
Ternyata wanita mampu kerja lasak dalam bidang perhutanan apabila, Sarah Hannani Ahmad Fikri, 23, membuktikan kemampuannya sehingga dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Bachelor pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1.
Sarah Buktikan Wanita Mampu Kerja Lasak

Graduan Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu menerima Hadiah Live Animal Medical Centre sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya sepanjang pengajian.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, bidang perhutanan bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu, malah memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, terutama ketika menjalankan kerja lapangan dalam persekitaran hutan yang mencabar.
Menurutnya, beliau pernah berdepan persepsi bahawa wanita kurang sesuai melakukan kerja lasak, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira keadaan fizikal dan saiz badannya.
Bagaimanapun, tanggapan itu menjadi pembakar semangat untuk membuktikan bahawa kemampuan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan jantina atau fizikal semata-mata.
Raih Anugerah Graduan Terbaik

Sarah yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, beliau tidak pernah menjangkakan akan menerima anugerah berkenaan dan menyifatkannya sebagai penghargaan terhadap segala usaha serta pengorbanan sepanjang pengajian.
Namun, baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh keputusan akademik cemerlang atau menerima anugerah, sebaliknya apabila ilmu dan kehadiran seseorang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
“Kalau ditanya tentang pencapaian paling bermakna, saya rasa ia bukan sekadar anugerah yang diterima atau jawatan yang pernah disandang.
“Apabila ada rakan seperjuangan yang masih mengingati saya, mencari saya dan mempercayai saya untuk membantu mereka, bagi saya itulah pengiktirafan yang paling besar,” katanya.
Mengulas pengalamannya, Sarah berkata, pengajian dalam bidang perhutanan membuka matanya mengenai kepentingan hutan yang bukan hanya melibatkan pengurusan pokok, tetapi turut merangkumi pemuliharaan hidupan liar, kepelbagaian biologi dan keseimbangan ekosistem.

Beliau berharap ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kerjaya kelak, khususnya untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan hidupan liar dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Dalam pada itu, Sarah turut menasihatkan mahasiswa supaya berani mencuba perkara baharu, keluar daripada zon selesa dan tidak takut menghadapi cabaran bagi membina keyakinan serta mengembangkan potensi diri.
Anda mungkin berminat dengan
“Bagi saya, kejayaan sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita pergi, tetapi bagaimana kita melayan orang lain sepanjang perjalanan tersebut,” katanya.
Namun, kita perlu sedar bahawa kecemerlangan pendidikan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga keupayaan graduan menterjemahkan ilmu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia

download sekarang!
