
Kalah saman fitnah Ebit Lew, Caprice diarah bayar RM220,000 serta merta.
Kalah saman fitnah terhadap pendakwah bebas, Ebit Lew, penyanyi rap Caprice gagal dalam permohonannya untuk menggantung pembayaran ganti rugi sebanyak RM220,000 selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak permohonan tersebut pada Isnin.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor membuat keputusan itu dengan memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, mendepositkan wang ganti rugi berkenaan ke akaun peguam yang mewakili Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42 serta-merta.

Mahkamah turut memerintahkan penyanyi lagu Lenglui itu membayar kos sebanyak RM2,000.
Keputusan tersebut merupakan perkembangan terbaru kes saman fitnah yang melibatkan Caprice dan Ebit susulan penerbitan video bersama seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo pada September 2023.
Video Bersama Mondy Tattoo Jadi Pertikaian
Memetik laporan Sinar Harian, kes saman fitnah ini berpunca daripada rakaman podcast yang dipercayai dimuat naik Caprice pada 15 September 2023 dengan menampilkan Mondy Tattoo, seorang warga Indonesia sebagai tetamu jemputan.
Menurut Ebit selaku plaintif, kandungan rakaman itu antara lain membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy selain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Ebit mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara berniat jahat menerbitkan video tersebut tanpa mendapatkan sebarang pengesahan fakta daripada dirinya mahupun peguam.
Susulan penerbitan rakaman berkenaan, Ebit mendakwa banyak komen negatif, cacian dan makian dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice.

Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan oleh Caprice dan Mondy menyebabkan dirinya dikecam, diejek serta diaibkan.
Pada 29 September 2023, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.
Caprice Sebelum Ini Diarah Mohon Maaf
Terdahulu, pada 17 Ogos 2026, Hakim Zuhrina Mohamed Nor memerintahkan Caprice memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada Ebit kerana memfitnah pendakwah berkenaan.
Caprice turut diarahkan memadamkan tujuh kenyataan bersama Mondy Tattoo serta membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.
Anda mungkin berminat dengan
Selain itu, mahkamah melarang Caprice daripada mengeluarkan sebarang komen atau membuat kenyataan mengenai Ebit.
Dalam prosiding sama, mahkamah menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice atas alasan tidak berasas.
Bagaimanapun, permohonan Caprice untuk menggantung pembayaran ganti rugi tersebut tidak berjaya apabila mahkamah pada Isnin mengarahkan wang RM220,000 didepositkan serta-merta ke akaun peguam yang mewakili Ebit.
Dalam prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Fatin Izyan Mazlan, manakala peguam Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.

download sekarang!
