
Keindahan warisan Melayu tidak seharusnya terhenti sebagai khazanah masa lalu. Sebaliknya, seni tradisional boleh terus diraikan apabila diberi nafas baharu menerusi kreativiti dan rekaan yang sesuai dengan gaya hidup masa kini.
Itulah pendekatan yang diketengahkan menerusi kolaborasi jenama tempatan EMYALY bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, yang mengangkat keunikan batik Terengganu dalam koleksi fesyen kontemporari.

Menerusi kolaborasi EMYALY x Noraniza Idris, empat rekaan eksklusif diperkenalkan dengan tema Warisan, Seni dan Kemewahan. Koleksi ini menggabungkan elemen tradisional dan moden, sekali gus memperlihatkan potensi batik Terengganu untuk digayakan dalam pelbagai acara dan suasana.
Menariknya, koleksi ini bukan hanya tertumpu kepada busana wanita, malah turut menawarkan pilihan buat lelaki yang ingin tampil segak dengan motif batik berinspirasikan pakaian warisan Melayu.
Baca artikel: Kebaya Selangor Diangkat Melalui Heritage Fashion Week 2026, Warisan Kelingkan Tarik Minat Generasi Muda
4 Rekaan Eksklusif EMYALY x Noraniza Idris
Setiap rekaan membawa karakter tersendiri dengan sentuhan warisan yang disesuaikan mengikut gaya kontemporari.
1. Salam Kaut: Sentuhan klasik dengan perincian batik asli

Salam Kaut mengetengahkan busana klasik yang dihiasi batik asli serta perincian poket di bahagian hadapan.
Rekaan ini ditawarkan pada harga RM489 dan menjadi antara pilihan buat mereka yang menggemari gaya tradisional dengan sentuhan lebih segar.
2. Sinara: Potongan moden dengan gaya longgar
Bagi penggemar gaya santai, Sinara tampil dengan motif batik dan potongan moden berkonsepkan klasik.
Rekaan longgar atau baggy ini ditawarkan pada harga RM280 hingga RM320, bergantung pada saiz.
3. Dikir Puteri: Gabungan elegan dan selesa

Dikir Puteri pula menampilkan padanan baju bersama seluar palazzo yang memberikan penampilan lebih santai tetapi tetap elegan.
Dengan harga RM480, rekaan ini sesuai untuk mereka yang ingin menggabungkan elemen tradisional dalam gaya pemakaian kontemporari.
4. Hati Kama: Kardigan batik versatil

Melengkapkan koleksi ialah Hati Kama, kardigan batik yang direka untuk gaya pemakaian lebih versatil.
Ia ditawarkan pada harga RM299 dan boleh menjadi pilihan buat penggemar busana yang ingin menyuntik elemen batik dalam penampilan harian.
Batik Asli Buatan Tangan Jadi Tarikan Utama
Antara keistimewaan koleksi ini ialah penekanan terhadap penggunaan batik asli buatan tangan, khususnya batik Terengganu yang dikenali melalui seni, motif dan mutu pengerjaannya.
Anda mungkin berminat dengan
Bagi pengasas EMYALY, Emy Mohd. Ali, batik bukan sekadar corak yang menghiasi fabrik, sebaliknya membawa nilai seni dan warisan yang perlu terus dihargai.
“Bagi Emyaly, batik bukan sekadar corak. Batik ialah craftsmanship. Batik ialah warisan. Batik ialah jiwa,” kata Emy.
EMYALY yang diasaskan oleh anak jati Terengganu itu turut menyatakan komitmen untuk terus mengangkat seni batik tempatan menerusi rekaan yang lebih segar, eksklusif dan relevan dengan gaya hidup masa kini.
“Kami tidak mengejar trend. Kami mengangkat warisan.
“Kami tidak sekadar mereka busana untuk musim ini, tetapi mencipta karya yang diharapkan terus dihargai jauh melampaui sebuah musim dan generasi,” tambahnya.
Warisan Melayu Tidak Pernah Ketinggalan Zaman
Berteraskan falsafah Where Heritage Becomes Couture, EMYALY mahu mempersembahkan keindahan batik dalam bentuk yang lebih moden tanpa menghilangkan identiti serta keaslian warisannya.
Kolaborasi ini juga memperlihatkan bagaimana batik Terengganu boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk busana, daripada rekaan klasik hingga potongan yang lebih santai dan kontemporari.
Buat Noraniza Idris, kecintaan terhadap warisan Melayu bukan perkara baharu. Penyanyi yang sinonim dengan irama tradisional itu turut dikenali dengan usaha mengangkat seni dan budaya Melayu menerusi muzik serta penampilan.
Majlis pelancaran koleksi kolaborasi EMYALY x Noraniza Idris sebelum ini telah disempurnakan oleh Che Puan Hezeita Mohd Hafidz.
Lebih daripada sekadar koleksi fesyen, usaha mengangkat batik Terengganu ini menjadi satu lagi ruang untuk seni warisan tempatan terus dikenali, dihargai dan disesuaikan dengan cita rasa generasi masa kini.
Baca juga artikel: 7 Jenama Baju Nikah Ready-to-Wear Untuk Bakal Pengantin

download sekarang!
