
Biasanya perasaan anak sulung selalu diabaikan atau mungkin terlepas pandang kerana mereka sentiasa dianggap sebagai ‘yang paling matang’ dan ‘harapan keluarga’.
Di sebalik ketegasan dan sifat berdikari yang ditunjukkan, anak sulung kerap memendam beban emosi yang berat demi menjaga hati ibu bapa dan adik-beradik yang lain.
Luahan Hati Anak Sulung

Ini jelas ditunjukkan dalam satu kes yang dikongsikan seorang pengguna Threads, @aaisyahrapi, selepas menemui nota tulisan anak buahnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan masih berada di darjah dua.
Menerusi perkongsian itu, wanita berkenaan berkata dia berkongsi nota tersebut sebagai peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap perasaan anak anak, termasuk perkara yang mungkin terlepas pandang tanpa disedari.
“Saya kongsi sini sebagai kesedaran utk kita sama-sama cakna dgn anak-anak kita lepasni. Kadang kita tak sedar ada perkara yang melukai mereka,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa kanak kanak itu sudah mengetahui perkara berkenaan dan turut berasa sedih selepas membacanya. Mereka juga mengakui terdapat perkara yang mungkin terlepas daripada perhatian tanpa disengajakan.
Menerusi hantaran sama, dia turut menceritakan hubungannya yang rapat dengan anak buah tersebut, selain menyifatkan kanak kanak itu sebagai seorang yang bijak dan gemar melukis serta menulis sejak kecil.
Katanya, dia sering memeluk anak buahnya itu setiap kali pulang bercuti ke kampung, malah kanak kanak berkenaan juga gemar melukis gambar orang lidi termasuk dirinya.
Ibu Ayah Jangan Sampai Terlepas Pandang Perasaan Si Kecil

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna Threads yang turut berkongsi pandangan mengenai pentingnya memberi ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan.
Seorang pengguna, @tihahmdaud, mengingatkan agar kanak kanak berkenaan diberikan peluang untuk bercerita dan didengari tanpa perlu tergesa gesa memberikan nasihat.
“Allahuakbar… ingat pulak diari masa kecil-kecil dulu. Awak, teman dia borak dan dengarkan dia kalau dia meluah, ya. Dengar saja, just dengar,” tulisnya.
Sementara itu, @hasxyj berpendapat perasaan tersisih dalam kalangan anak boleh menjadi sesuatu yang menyedihkan buat ibu bapa apabila mereka menyedari perkara tersebut.
Pengguna lain, @bettyabas pula menyentuh kepentingan kasih sayang, sentuhan fizikal dan kelembutan dalam membantu anak berasa disayangi.
Anda mungkin berminat dengan

Turut berkongsi pengalaman ialah seorang pengguna yang menceritakan bagaimana buku lakaran arwah adiknya menjadi kenangan berharga buat keluarga selepas pemergiannya.
Dalam pada itu, nrardellaa berharap nota berkenaan dapat menjadi ruang untuk keluarga memahami perasaan kanak kanak tersebut dengan lebih baik.
Perkongsian ini menjadi peringatan bahawa anak anak juga mempunyai emosi dan cara tersendiri untuk meluahkan apa yang dirasai, walaupun mereka masih kecil dan belum mampu menjelaskan semuanya dengan kata kata.
Percayalah kadangkala, mereka tidak memerlukan jawapan yang panjang. Sebaliknya, perhatian, pelukan dan kesediaan untuk mendengar tanpa menghakimi boleh membantu mereka berasa selamat untuk berkongsi perasaan.

download sekarang!
