
“Nyawa ayah yang mereka ambil, hanya dibayar dengan 4 tahun penjara…
Demikian luahan kecewa Dr Suraiya Izzaty Sabari selepas dua tertuduh, Mazuan bin Hanafi dan Muhd Asyraf bin Idris yang sebelum ini didakwa membunuh bapanya, Allahyarham Sabari Baharom hanya dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada keputusan 28 Oktober lalu.
Keduanya dijatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada September 2024 di bawah pertuduhan Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Sebagai anak, ada baur-baur terkilan di hatinya namun dia harus menerima keputusan ditetapkan mahkamah.
“Nyawa ayah yang mereka ambil hanya dibayar dengan 4 tahun pemenjaraan. Allahuakbar, dah merompak ayah, mencuri simpanan Tabung Haji sejumlah RM16,000, bunuh ayah, bakar kereta ayah dan berjudi kemudian melarikan diri ke luar negara tanpa rasa bersalah. Hukumannya hanya 4 tahun penjara,” tulis Suraiya Izzaty yang juga seorang doktor gigi di media sosialnya.

Anak Sabari Baharom Luah Kecewa
Lebih membuat dirinya rasa terkilan apabila bapa kepada salah seorang ditangkap tersenyum sinis ketika berhadapan dengan bapa saudara juga kawan kepada arwah ayahnya.
” Tersenyum lebar ayah Asyraf ketika hukuman dijatuhkan. Dia sangat gembira dan tak dapat disembunyikan langsung kegembiraannya ketika dia datang menyapa pak lang dan kawan ayah. Pak cik Hasran terus membidas sapaannya dengan “kat dunia ni boleh la terlepas, di akhirat tu nak jawab macam mana?”.
Jawapannya amat mendukacitakan. Katanya “tu pandai pandai depa la nanti” sekaligus menambah rasa kecewa di hati.
Walau mengharap hukuman dijatuhkan lebih panjang bagi dua tertuduh, namun Dr Suraiya Izzaty akur kerana tiadanya bukti kukuh ditemui dalam tragedi ini.
“Tahniah, apa pun anakmu tetap pembunuh. Dia cuma terlepas hukuman dunia. Tiada saksi mata, tiada bukti, tiada jasad ayah, hanya pengakuan nonchalant. Very professional criminal indeed.
“Tapi kita semua tahu Allah Maha Melihat, Dia yang mengetahui segala sesuatu. Di akhirat nanti kau berdua tak akan diwakili peguam yang katanya berdiri di atas hak perlembagaan seseorang. Jawablah di hadapan Tuhanmu.

Tambahnya lagi, sebagai anak sulung yang menyayangi arwah bapanya namun dia harus redha dengan takdir tertulis.
“Kami yang berduka tetap berduka, tapi kami redha kerana apa jua yang kami lakukan tak akan dapat pulangkan ayah kami. Setiap satu ujian ini semoga menjadi asbab kami menjadi lebih dekat dengan Allah. Tiada yang berkuasa melainkan Dia.
“Terima kasih semua yang telah memberi sokongan mental kepada kami sepanjang tempoh perbicaraan. Terima kasih semua yang mendoakan kesejahteraan kami.

“Akhir sekali, untuk ayah. Terima kasih kerana membesarkan kami dalam pelukan kasih sayang, ayah yang sabar dengan setiap kerenah kami. Terima kasih kerana menyayangi kami sehingga hujung nyawa ayah.
“Ayah yang hanya one call away, superhero kami. Terima kasih kerana menjadikan kami manusia. Ayah yang terbaik, cinta hati kami yang pertama.
Anda mungkin berminat dengan
“Pemergian ayah meninggalkan lara yang mendalam namun kami akur bahawa perancangan Allah itu jauh lebih baik. Tiada apa lagi yang mampu kami titipkan selain doa yang berpanjangan buat insan yang paling kami sayangi ini.
“Semoga Allah SWT mengangkat darjat ayah di sisi-Nya, mengampunkan segala dosa ayah, dan semoga kita disatukan serta berjumpa lagi di syurga nanti. Al-Fatihah buat ayah. Yang merinduimu setiap waktu, anak ayah 1,” luahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

