Rohana Jalil kritikal di ICU, anak mohon doa kesembuhan buat ibu di penghujung Ramadan. Kesihatannya baik sebelum ini bahkan minggu lalu masih aktif membuat persembahan pentas bersama rakan sealiran.
Namun sejak semalam, penyanyi Rohana Jalil dilaporkan kritikal dan kini berada bernafas menggunakan bantuan oksigen.
Rohana Jalil Kritikal Di ICU
Memetik laporan Berita Harian, penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, kini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa diketahui penyakit, sejak semalam.
Mengesahkan berita duka itu kepada BH Online, rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman, pagi ini.
Salwa berkata, dia terkejut diberitahu juara Bintang RTM 1980 itu berada dalam kritikal di ICU sejak semalam.
Namun, katanya, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapinya memandangkan penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah alami penyakit serius sebelum ini.
“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu.
“Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.
“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.
“Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya kepada BH Online.
Anak Mohon Doa Kesembuhan Buat Ibu Di Penghujung Ramadan
Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital, kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.
Ads
“Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.
“Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.
“Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” katanya.
Ismaliza yang juga kakak kepada Tomok turut berkongsi gambar dengan Rohana Jalil dalam persembahan mereka minggu lalu di fbnya. Dirinya memohon doa kerana Rohana Jalil kini sedang bertarung nyawa di ICU
Mengulas fizikal Rohana yang semakin kurus, Salwa berkata, dia tidak mengetahui jika Rohana mempunyai penyakit, memandangkan aktif dan sentiasa cergas.
“Beberapa bulan lalu, saya dan Rohana berada di Brunei hampir sebulan.
“Saya tidak nampak Rohana alami apa-apa sakit sepanjang di sana. Saya percaya Rohana mengawal pemakanan demi menjaga kesihatan.
Ads
“Saya tidak bertanya kerana melihatnya sentiasa sihat dan cerdas, cuma fizikal kurus.
“Jadi, saya mohon kita sama-sama mendoakan Rohana kembali sembuh. Saya berhasrat melawat Rohana, cuma menunggu maklum balas anak-anaknya,” katanya.
Ketika menyanyi Rohana dilaporkan tiba-tiba tidak mampu berdiri sebelum dikejarkan ke hospital. Namun sejak semalam keadaan kesihatannya semakin membimbangkan.
Terdahulu, Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.
Sebelum itu, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu memulakan kerjayanya sebagai gadis kilang sekitar 1970-an, sebelum menukar kerjaya nyanyian apabila ditawarkan menyertai band D’ Suria dengan mengadakan persembahan di ekspo dan fun fair.
Ads
Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, Rohana mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya apabila kecundang.
Namun, Rohana tidak berputus asa dan mencuba sekali lagi nasib dalam Bintang RTM, empat tahun kemudian.
Akhirnya, Rohana dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.
Rohana muncul dengan album pertama, Rintik-Rintik Hujan, tetapi album itu tidak mendapat sambutan. Kemunculan album kedua, Masih Dalam Ingatan juga mengecewakan.
Namun, kejayaan ibu kepada tiga cahaya mata mendapat tempat ketiga Persembahan Terbaik dalam Juara Lagu TV3, mengambil alih tempat Datuk Jamal Abdillah (menerusi lagu Cinta Yang Terbiar) berjaya membawa banyak pembaharuan.
Kemunculan Rohana bersama album Rayuanku terbitan A Ali membawa tuah apabila mendapat sambutan hangat.
Selain itu, lagu sentimental duet Rohana dan To’ki, Naluri Cinta juga melonjakkan populariti Rohana pada era 1990-an.
Tidak pernah terlintas di benak fikiran gadis muda yang dahulunya menggunakan nama asal, Ester Michelle anak Peter Alli, 24 tahun, untuk menukar agama kepada agama fitrah iaitu Islam. Dia yang dijaga oleh neneknya suatu masa dahulu di Serian, Sarawak merupakan gadis berketurunan Bidayuh yang menganut agama Kristian.
Pindah ke Semenanjung
Ketika umurnya sembilan tahun, gadis ini bersama adiknya dibawa ke Kuala Lumpur untuk menetap bersama ibunya.
“Saya mengenali Islam dan banyak bercampur dengan orang Melayu setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika di sekolah khususnya, saya mula bergaul dengan orang Islam. Suatu hari, semasa kali pertukaran pelajaran antara Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam, saya masuk dalam kelas yang mengajar Pendidikan Islam secara sorok-sorok. Dari situ saya mendengar kisah-kisah para Nabi dan Allah dan ia sangat menarik hati saya untuk terus ketahui lebih banyak lagi.
“ Dari situ juga saya tahu tentang penciptaan manusia. Sejak kecil lagi, saya memang pernah terfikir tentang penciptaan manusia. Bagaimana terjadinya manusia di muka bumi ini? Tetapi setelah ustazah dalam kelas tersebut bercerita tentang nabi-nabi, saya masih merasa semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk dijadikan pelajaran dan pengajaran kerana saya menganggap cerita seperti itu macam cerita dongeng yang ada ditayangkan di televisyen dan cerita kartun yang penuh dengan fantasi.
“Ketika saya di kampung, saya tidak pernah dengar kisah nabi dan Allah. Saya hanya mengenali Jesus Christ dan itulah tuhan yang saya selalu tengok di gereja. Biasalah, kita hanya percaya dengan apa yang kita nampak. Sedangkan Allah dan nabi yang ustazah cerita itu semuanya kita tak pernah nampak dalam mana-mana buku,” ujar gadis yang kini sudah menukar namanya kepada Nur Aisyah Maisara, selepas mengucapkan syahadah pada usianya 19 tahun.
Ibu peluk Islam dulu
Hidayah pertama kali menjengah keluarga Maisara ketika usianya 13 tahun, yang mana ketika itu ibunya telah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Namun ibu Aisyah sedikit pun tidak memaksa anak-anaknya untuk turut serta sebaliknya menerapkan ajaran agama Islam secara tidak langsung di dalam kehidupan keluarganya itu.
“Semasa umur saya 13 tahun, ibu saya telah memeluk Islam. Saya dan adik tidak ikut ibu kerana bimbang akan dimarahi oleh nenek. Walaupun ibu telah bertukar agama tetapi kami sekeluarga tidak sedikit pun merasa pelik atau rasa berbeza. Masing-masing boleh menerima keadaan tersebut.
“Sekali sekala saya akan baca atau ibu akan berkongsi tentang buku agama yang telah dibaca. Banyak pengajaran yang saya dapat. Ibu tidak pernah bertanya secara terus terang kepada kami adik-beradik, adakah kami mahu ikut agama dia atau tidak kerana ibu mahu kami menilai sendiri dengan mata hati kami. Ibu juga banyak mempraktikkan cara-cara Islam mendidik anak-anak tanpa kami sedari. Ibu banyak mengajar kami tentang akhlak dalam Islam.
“Walaupun Islam itu sudah berada dalam rumah kami, tetapi ketika itu hati saya tidak merasa mahu bertukar agama kerana bagi Islam itu banyak aturannya dan saya tidak mahu bertukar agama kerana manusia. Biarlah saya melakukannya benar-benar dari hati.
Sambung Pelajaran
“Ketika saya berumur 19 tahun, saya menyambung pelajaran saya di tingkatan 6 SMK Taman Melawati. Menjadi pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM bukanlah suatu yang mudah. Tambahan lagi saya merasa rendah diri kerana kawan-kawan saya yang lain semuanya dapat menyambung pelajarannya terus ke universiti.
“ Suatu hari, saya benar-benar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sedih kerana saya rasa susahnya menjadi pelajar tingkatan 6. Saya bimbang tidak dapat menggembirakan hati ibu kerana saya adalah anak sulung dan saya perlu berjaya dalam hidup. Semasa saya sedang memikirkan perancangan saya untuk berjaya, tiba-tiba azan asar disiarkan di TV3. Saya merenung ke arah kotak televisyen tersebut dan mendengar azan serta menghayati maksud-maksudnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya tertarik dengan satu baris azan yang bermaksud, “marilah solat menuju kejayaan”. Dari situ saya terfikir, betul ke macam itu caranya jika nak berjaya? Solat? Okaylah aku kena cuba cara tu kalau nak berjaya. Mesti solat. Tapi kena masuk Islam, kena belajar Islam.
“Saya buntu apa yang perlu saya buat. Tetapi hati saya tetap mahu juga buat solat itu kerana bait-bait azan dan maksudnya itu terngiang-ngiang di fikiran saya. Lalu saya menceritakan niat saya untuk masuk Islam kepada ibu. Kebetulan ketika itu ibu mahu ke Terengganu. Jadi saya ikut ibu dan Alhamdulillahlah prosesnya berjalan lancar. Saya mengucapkan kalimah Syahadah pada tarikh lahir saya iaitu 2 Januari. Balik sahaja dari pejabat agama Kuala Terengganu itu, ibu ajar saya mandi wajib, ambil wuduk dan solat. Ibulah yang banyak membantu saya untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan cara solat. Hati saya rasa lapang tetapi saya masih berfikir tentang kehidupan yang saya perlu jalani. Hati kecil saya kata, saya mesti mencari sesuatu yang saya perlu dalam hidup,”cerita Maisara bagaimana dirinya mula tertarik dengan agama Islam.
Kehidupan berbeza
Sudah hampir lima tahun Maisara menjadi seorang Muslimah, kehidupannya kini lebih teratur dan punya garis panduan. Baginya banyak perbezaan yang dapat dilihat daripada kehidupan dahulu dan sekarang.
“Kini sudah lima tahun saya hidup sebagai orang Islam, saya merasa ada garis panduan dalam kehidupan. Saya sangat bersyukur. Apabila saya sedih, kini saya tahu saya perlu mencari siapa, mencari Allah dalam solat dan memohon kepada-Nya. Di situ saya dapat ketenangan.
“Banyak sangat perbezaan kehidupan sebagai muslimah dan kehidupan lama saya. Kalau kini, saya sudah tahu betapa berharganya maruah seorang wanita muslimah. Islam benar-benar menjaga hak-hak wanita. Dari segi akhlak mereka, harta mereka, dan keperibadian mereka. Kini penampilan saya lebih terjaga berbanding dulu. Peluang berada di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA), telah mentarbiahkan penampilan saya dan pemikiran saya. Dulu setelah mengucap kalimah syahadah, saya menutup aurat tetapi bukan menutup dengan cara yang betul, lebih kepada membungkus diri iaitu pakai tudung tetapi baju dan seluar nampak bentuk badan. Ketika itu saya rasa itulah cara tutup aurat.
“ Tapi setelah belajar, barulah saya faham pengertian menutup aurat yang betul dan mengikut syariat. Itulah perbezaan ada ilmu dan tanpa ilmu. Menutup aurat juga bukan lah dari segi penampilan luaran sahaja tetapi begitu juga dengan akhlak kita. Ustaz Ramli selalu berpesan, wanita mesti ada rasa malu. Malu itu merupakan perhiasan wanita. Malu itulah yang menjaga diri wanita daripada diganggu. Betapa besarnya kesan Islam pada diri saya kini,” tambah Maisara.
Maisara bersama rakan-rakan saudara baru
Syukur dengan kehidupan kini
Mengakui dirinya sangat bersyukur dengan kehidupan yang dijalani pada hari ini, pelajaran awal tentang Islam adalah melalui ibunya dan juga bimbingan yang diperoleh di PUSBA. Selain itu, menyertai kelas dakwah secara berterusan banyak membantu diri gadis ini untuk terus mendalami Islam dengan lebih baik.
“ Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Sedikit demi sedikit Allah memberikan kebaikan kepada kehidupan saya. Jika dulu saya sangat kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran saya ke universiti, kini Allah dah makbulkan doa saya.
“ Saya sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi,mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia. Saya tidak menyangka Allah akan memberi jalan ini kepada saya. Saya tidak pernah terlintas untuk masuk agama Islam sehinggalah saya menghayati maksud azan tentang kejayaan. Jika dulu saya benar-benar cemburu dengan kejayaan kawan-kawan saya yang lain, kini saya tidak perlu membandingkan diri saya dengan mereka. Saya percaya semuanya atas kehendak Allah. Saya tidak perlu tamak dan cemburu dengan rezeki orang lain kerana Allah telah menentukan rezeki hambanya masing-masing dengan usaha diri sendiri dan semuanya lahir dari hati yang ikhlas bukan kerana ikutan semata-mata.
Maisara turut aktif dengan program khidmat masyarakat
“Saya yakin hidayah Allah itu hanyalah pinjaman sementara. saya perlu menjaga hidayah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Allah telah banyak memberi petunjuk kepada saya, cuma saya tidak dapat menilai dengan baik. Saya bersyukur dengan pilihan saya. Saya harap saya mampu menggenggam agama Islam dengan ilmu sehingga akhir hayat. Saya harap Allah sentiasa menjaga dan melindungi saya serta keluarga kerana iman ini senipis kulit bawang yang mudah koyak dan rapuh. Inilah hikmah yang saya pelajari tentang Islam. Islam banyak mengajar saya tentang kehidupan yang sebenar.Dulu saya hidup seperti saya tidak akan mati meninggalkan dunia tetapi kini saya sedar erti tujuan sebenar hidup. Bukan hanya kerana kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Ingin berjaya dalam hidup, ingatlah Allah. Mengingati-Nya adalah dengan solat,” akhiri Maisara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelakon cantik Emma Maembong yang kini sedang sarat mengandung anak sulung mengakui dia berasa bertuah kerana diberi rezeki hamil awal.
Bersama suami tercinta.
Seperti mana yang dikongsi menerusi entri akaun Instagramnya semalam sambil memuat naik rakaman video sewaktu mendukung anak buahnya yang masih bayi ketika majlis persandingannya. Dia mendedahkan dirinya sudah hamil sejak tiga minggu selepas majlis pernikahannya.
Emma yang bernikah dengan Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari lalu, telah mengumumkan berita kehamilannya pada Julai lalu yang ketika itu sudah berusia empat bulan. Emma juga begitu gembira dengan rezeki yang diberikan oleh Allah dan dia juga tidak sangka diberikan rezeki anak awal.
“I have always wanted a family of my own. Everytime i hold a newborn baby of my sister or brother mesti akan ada butterflies in my stomach.
“Masa ni after 3weeks of my nikah i didn’t expect yg i dah pregnant and baru start rasa nausea n pening. all i really want to say is.
“Alhamdullilah. We plan, and Allah plans..indeed Allah is the best of planner.” luah Emma Maembong.
Ternyata wajah bakal ibu yang sedang sarat mengandung ini juga begitu berseri-seri.
Kami di Mingguan Wanita juga mendoakan agar urusan Emma Maembong melahirkan bayi sulung dipermudahkan serta sentiasa bahagia di samping keluarga.
Pertengahan Januari ini, anak-anak mula kembali ke sekolah. Ada keluarga dari kalangan anak-anak B40 yang begitu terkesan ekonominya dengan pandemik Covid-19. Keluarga mereka kehilangan sumber pendapatan, terjejas teruk kewangan, jadi sukar untuk anak-anak ini lalui momen kembali ke sekolah dengan ceria.
Memahami kesukaran mereka, program ‘Kembali Teguh’ diwujudkan bagi membantu anak-anak B40 yang kurang bernasib baik ini. Program ‘Kembali Teguh’ dibangunkan dengan dua komponen penting agar memberi semangat anak-anak ini memulakan hari persekolahan dengan gembira setelah sekian lama tak menjejakkan kaki ke sekolah.
Bagi merealisasikan impian anak-anak B40 ini, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Unilever Malaysia dan PINTAR Foundation (PINTAR) menjalinkan kerjasama.
Komponen Pertama
Memastikan murid-murid dilengkapi secara fizikal untuk sekolah, di mana Tesco akan menyediakan kit kembali ke sekolah yang terdiri daripada beg sekolah, pakaian seragam, kasut, stoking dan alat tulis.
Sementara, Unilever akan menyumbang baucar Tesco bernilai RM100 untuk setiap pelajar dari dana Donate to Help yang berlangsung di cawangan Tesco dari 19 November hingga 2 Disember 2020. Untuk setiap pembelian produk Unilever, gabungan melebihi RM35 dalam satu resit, RM1 akan disalurkan ke tabung ini. Dan kini diserahkan sebagai baucar kepada pelajar.
Manakala, PINTAR akan menyediakan kit Covid-19 yang terdiri daripada pelitup muka, tisu basah dan sabun tangan kepada para pelajar. Ini bagi memastikan mereka kekal selamat dan sihat semasa di sekolah.
Jenama kepakaran kebersihan Unilever, Lifebuoy, juga akan menyumbang kepada kit Covid-19 dengan menyediakan cecair sanitasi tangan 50ml.
Komponen Kedua
Program ‘Kembali Teguh’ dirancang untuk memastikan murid-murid bersedia secara mental dan emosi. Memastikan mereka bermotivasi untuk menghadiri kelas setelah tahun persekolahan yang lalu terganggu oleh wabak Covid-19.
Beberapa topik untuk bengkel merangkumi memperkasa pemikiran positif, mengembangkan kekuatan peribadi dan penetapan tujuan untuk menanamkan keyakinan, dan penyuntikan elemen kemahiran hidup melalui modul untuk menjadi pembeli yang pintar.
Program Kembali Teguh akan dimulakan pada 20 Januari 2021 dengan pengedaran kit kembali ke sekolah dan Covid-19 serta baucar, sementara bengkel akan berlangsung sepanjang suku pertama 2021. Secara kolektif, 1,000 murid B40 dari 25 sekolah Tesco Diadopsi akan mendapat manfaat daripada program ini.
Hasrat Tesco Malaysia
Menurut Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel, “Tahun lalu adalah tahun yang sangat mencabar bagi kebanyakan kita. Dan lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak dari golongan kurang mampu yang keluarganya terjejas akibat wabak Covid-19.
Dalam menghayati nilai ‘Every Little Helps Makes a Big Difference’, kami bekerjasama dengan Unilever dan PINTAR untuk memastikan bahawa anak-anak ini bukan sahaja dilengkapi secara fizikal untuk tahun persekolahan baru.
Malah, bersedia secara mental dengan mengajar mereka kemahiran yang diperlukan untuk terus bermotivasi di sekolah, dan juga petua untuk menjadi pembeli pintar.”
Sebelum ini, Tesco bekerja sama dengan Unilever dan PINTAR secara berasingan. Ternyata hasilnya sangat memberangsangkan.
“Kami percaya dengan memanfaatkan setiap kekuatan kami secara kolektif sekarang, kami dapat menghasilkan impak yang lebih besar lagi bagi anak-anak yang sangat memerlukannya.” Kata Azliza lagi.
Ini Pula Harapan Unilever Malaysia
Bagi Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever Malaysia, Jay Go, kerjasama
ini sangat sesuai dengan kepercayaan Unilever bahawa jenama dan syarikat dengan tujuan
akan terus berkembang.
”Ini adalah tahun ketiga kami bekerjasama dengan Tesco untuk tabung Unilever Donate to Help yang telah mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 untuk pelajar kurang mampu di rangkaian Sekolah Angkat Tesco di seluruh Malaysia. Dana ini membolehkan pengguna bergabung dengan kami dalam membantu anak-anak yang memerlukan melalui pembelian jenama kami di Tesco.
Selain pendidikan, fokus Unilever adalah melindungi kehidupan orang ramai sejak awal Covid-19. Lifebuoy telah menyediakan papan pembersih tangan, cecair pencuci tangan dan papan pesanan infografik ke 63 Sekolah Angkat Tesco.
Ini adalah kali keempat Lifebuoy dan Tesco bekerjasama untuk mendidik anak-anak sekolah mengenai manfaat pencucian tangan yang baik dan kebersihan yang betul, yang lebih penting lagi semasa pandemik Covid-19. Kerjasama tidak berhenti di sini. Bersama Tesco dan PINTAR, Lifebuoy akan memberikan kepentingan kebersihan tangan melalui program ‘Kembali Teguh’.”
Program Sekolah Angkat PINTAR
Sementara itu, PINTAR gembira dapat bekerjasama dengan Tesco, yang sejak 2017 mengambil 63 sekolah angkat melalui Program Sekolah Angkat PINTAR. Melalui kerjasama ini, Tesco telah membantu memperkayakan sekitar 57,000 murid-murid sekolah melalui pendidikan, kesihatan dan kesedaran pemakanan yang baik serta aktiviti hidup yang lebih mesra alam.
Menurut Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Sabri Ab Rahman, visi PINTAR Foundation adalah untuk memberi inspirasi kepada anak muda menjadi warga negara yang bertanggungjawab melalui konsep PINTAR.
”Kami berusaha untuk terus membina kerjasama dengan syarikat, badan bukan kerajaan dan kerajaan untuk meningkatkan motivasi dan kejayaan pelajar yang berprestasi rendah melalui pendidikan.
Tesco telah menjadi salah satu ahli kami yang paling aktif dan kami gembira dapat berkolaborasi lagi dengan Tesco Malaysia untuk membawa program ‘Kembali Teguh’ kepada pelajar PINTAR. Kebanyakan pelajar ini dari keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di komuniti kurang terlayani di seluruh negara dengan alat yang diperlukan untuk mulakan tahun persekolahan mereka seperti biasa yang telah kita tinggali sejak setahun yang lalu.
Tanggungjawab untuk membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, terutama dari masyarakat yang kurang mampu, adalah penting. Ketika negara dan dunia belajar berfungsi dalam norma baru, kita menyedari tidak semua orang dapat dilengkapi sepenuhnya untuk menavigasi dunia baru ini.
Kerjasama dengan syarikat korporat dan inisiatif seperti program ‘Kembali Teguh’ akan membawa banyak – memerlukan bantuan untuk menolong komuniti B40 di Malaysia.”
Ibu kepada mangsa tragedi pembunuhan pelajar Bandar Utama mendedahkan anaknya ditikam lebih 200 kali. Beliau menafikan dakwaan palsu dan menyeru agar kejadian tragis ini tidak berulang di sekolah lain.