Pernahkah kita didatangi kucing? Ketika kita makan di restoran, atau ketika di pasar atau di mana sahaja. Malah, mungkin ada kucing yang mendatangi rumah kita. Menunggu di tepi kereta. Mempamerkan wajah sedihnya dan mengharapkan sesuatu.
Bukan belaian manja. Bukan digomol. Bukan juga ciuman. Tetapi hanya segenggam makanan. Ketahuilah, banyak keberkatan bila murah hati dengan kucing. Ikuti perkongsian daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).
Beri Pahala
Saya yakin, semua orang pernah begitu. Punya pengalaman bersama kucing. Mungkin ada yang menyukai kucing. Mungkin ada yang geli. Tidak kisahlah. Namun kucing adalah haiwan paling mudah memberi kita pahala. Mungkin juga sebaliknya. Kucing juga paling mudah menjadikan kita berdosa.
Pengalaman mengajarkan.Menyayangi haiwan seperti kucing, banyak kelebihannya. Mungkin beberapa kisah ini mampu memberikan motivasi. Mengubah persepsi. Menjadikan kita lebih cakna dengan si meow. Ya, si meow yang berdoa.
Cabutan Bertuah
Pertama. Baru-baru ini seorang kenalan berkongsi kisah. Seorang perempuan, pekerja di organisasinya memenangi cabutan bertuah hasil depositnya di sebuah bank. Ini bukan palsu. Tetapi kisah benar dan nyata. Wanita berkenaan menang wang tunai RM1 juta!
Siapa yang tidak terkejut. Namun, ada rahsia di sebalik rahsia. Wanita itu ditanya, apakah amalannya. Mana mungkin hadiah sebesar itu diterima (hakikatnya diberikan Allah SWT) begitu sahaja.
Amalan
Pasti ada sesuatu. Ia menjadi amalan tertentu. Ia membezakan dirinya dengan orang lain. Lalu jawabnya:
“Saya sangat suka dengan kucing. Jika saya menemui kucing terbiar, saya pungut. Saya sediakan sangkar di rumah yang besar. Saya rawat kucing-kucing itu. Saya berhabis RM500 sebulan.” Ujarnya.
Itulah antara amalannya. Menyantuni si meow tanpa merasa rugi. Maka, saya yakin itulah amalan rahsianya. Ia menjadi asbab atas kemenangan RM1 jutanya. Ya, siapa tahu itulah doa si kucing. Siang malam diberi makan. Diselamatkan dari disakiti manusia dan haiwan lain.
Disapa
Kedua, ini juga membuat bulu roma saya berdiri. Kisah benar seorang lelaki. Ibunya sakit di hospital. Menjelang waktu solat, dia meninggalkan ruangan. Kaki dihayun bersama wajah yang sedih. Perasaannya berbaur. Ibu sedang koma. Bergelut antara mati dan hidup. Pasrah. Segala ikhtiar sudah dilakukan. Doktor dan segala kepakaran. Hasilnya, kini terserahlah kepada Allah SWT menentukan.
Kala menuju ke musolla hospital, dia melewati jalanan. Bersama wajah yang tertunduk. Menekur jalan. Namun, ada ‘sesuatu’ yang memberi salam. “Meow…”. Itulah suaranya. Sapaan yang istimewa. Seekor kucing yang bunting tua. Meow itu nampak payah membawa perutnya yang berisi. Dengan bebola matanya yang berkaca. Minta dikasihi.
Santapan Paha Ayam
Lelaki itu terpegun. Langkahnya terhenti. Kebetulan, dia berada berdekatan kafetaria. Rasa kasihan menggayuti kalbunya. Dia membelok langkah. Mencari seketul ayam. Lalu kepada si meow yang bunting tua dihulurkan. Kemudian dia menyambung langkah. Di musolla dia menadah tangan penuh pasrah.
Kala itulah keajaiban berlaku. Si meow yang berbadan dua (malah mungkin lebih, kerana janin kucing selalunya lebih seekor), turut berdoa. Ya, doa si meow yang bunting tua. Kala paha ayam dilahap, dia membisikkan. “Ya Allah, berikanlah kebaikan kepada lelaki ini atas kebaikannya kepadaku…”
Sedar
Di katil hospital. Si ibu yang koma mulai sedar. Dia menggerakkan jari-jemari. Nafasnya mulai teratur kembali. Detak jantungnya mulai bersemangat. Tanpa sedar, itulah doa si meow yang sudah dijawab oleh Allah SWT sebentar tadi.
Ketiga, seorang lelaki dikunjungi seekor anak kucing. Masih kecil untuk berdikari. Bulunya kusam, namun masih berbaki rias comel di lentik bulu matanya. Bulunya tiga warna, hitam, putih dan kuning. Itu tandanya dia kucing betina.
Terbit rasa kasihan. Lalu kucing itu diambil dan dibawa pulang. Diberikan nama Siti. Dibelai dan dimanjakan. Layaknya kucing yang dikasihi sepenuhnya. Bulan berganti bulan. Tahun pun berubah. Siti memberikan banyak anak kepada pemiliknya. Juga doa-doa yang tidak putus. Ya, doa si meow buat tuannya.
Buka Pintu Rezeki
Tanpa duga, dari situlah mulanya. Pintu-pintu rezeki yang kian merekah. Tuannya mengalami perubahan demi perubahan. Bisa memiliki dunia yang dahulunya hanyalah angan-angan. Kereta besar. Juga rumah besar di perbukitan kota. Juga anak-anak yang mendengar kata. Melengkapkan sebuah kehidupan yang sejahtera bersama isteri yang mendamaikan jiwa.
Kini, Siti itu sudah pergi. Namun doanya pasti sudah dijawab Allah SWT. Meninggalkan kesan yang cukup besar kepada tuannya. Yang dahulu mengutipnya di pinggiran jalan. Menyelamatkannya daripada terjangan hidup.
Kesimpulannya apa? Ya, jangan berbuat jahat biar pun kepada seekor kucing. Haiwan adalah makhluk Allah SWT. Mereka juga mampu berdoa. Mereka hidup tanpa dosa. Mereka hidup dihantar Allah SWT ke dunia. Mendatangi kita.
Malah membawa rezeki yang enak-enak kepada kita. Ikan yang segar kita makan isinya. Kepala dan tulang untuk dia. Namun doanya makbul. Itulah yang perlu kita rebutkan. Wallahuallam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI