
Tak payah simpan duit banyak-banyak, anak cucu ada rezeki masing-masing.
Bertahun-tahun bekerja, kita terbiasa menyimpan. Ada duit lebih, simpan. Ada rezeki lebih, fikirkan anak-anak. Bila cucu pula hadir, terdetik juga mahu meninggalkan sesuatu untuk mereka.
Tanpa sedar, usia sendiri semakin bertambah. Duit yang dikumpulkan masih terasa sayang untuk digunakan sedangkan tenaga dan kesempatan untuk menikmatinya tidak akan sentiasa sama.
Selagi tubuh masih sihat dan langkah masih kuat, tidak salah menikmati sebahagian daripada hasil titik peluh sendiri. Pergilah ke tempat yang selama ini mahu dikunjungi. Luangkan masa bersama pasangan dan keluarga. Lakukan perkara yang disukai serta perbanyakkan sedekah.
Anak cucu ada rezeki masing-masing
Itulah antara pesanan yang dikongsikan seorang individu Iman Qowiyy.
Jelasnya dalam memetik kata-kata seorang Ustaz, tidak perlu terlalu menyimpan semata-mata mahu meninggalkan semuanya kepada anak cucu. Jika ada lebihan rezeki, gunakanlah juga untuk bersedekah atau mengembara melihat ciptaan Allah.
Usia Bertambah, Tenaga Tidak Lagi Sama
Perkongsian itu turut mengingatkan Iman kepada pesanan ibunya tentang sesuatu yang sering kita terlupa ketika masih muda.
“Kadang-kadang orang beli rumah, mereka terlupa yang umur dia makin lama makin meningkat tua. Tenaga kita pun bukan semakin bertambah.”
Ketika muda, rumah dua atau tiga tingkat mungkin menjadi impian. Mahu bilik yang banyak, dapur yang cantik dan pelbagai kemudahan untuk keselesaan keluarga.
Namun apabila usia semakin meningkat, keperluan juga berubah. Rumah bertingkat mungkin tidak lagi digunakan sepenuhnya. Akhirnya bilik di tingkat bawah yang paling dekat dengan tandas menjadi pilihan. Katil yang tinggi dan mewah mungkin tidak lagi praktikal manakala dapur yang pernah diubah suai dengan belanja besar pula semakin jarang digunakan.
Apa yang sangat kita mahukan ketika muda belum tentu menjadi perkara yang paling diperlukan apabila usia semakin lanjut.

Jangan Terlalu Sayang Menggunakan Duit Sendiri
Ada yang terlalu memikirkan anak dan cucu sehingga duit sendiri pun terasa sayang mahu digunakan. Mahu bercuti, fikir berkali-kali. Mahu membeli sesuatu untuk keselesaan diri, terasa membazir. Ada lebihan rezeki, semuanya mahu disimpan untuk ditinggalkan kepada keluarga.
Sedangkan anak-anak juga sedang membina kehidupan sendiri. Mereka bekerja, berkeluarga dan mencari rezeki sebagaimana ibu bapa pernah melakukannya dahulu.
Jika berkemampuan, tidak salah menggunakan sebahagian hasil usaha untuk diri sendiri. Menikmati kehidupan bukan bermaksud perlu bermewah-mewah atau menghabiskan segala simpanan.
Selagi masih sihat dan mampu, pergilah berjalan, luangkan masa bersama orang tersayang dan lakukan perkara yang selama ini tertangguh kerana terlalu sibuk bekerja.

Anak Cucu Ada Rezeki Masing-Masing
Begitu juga dengan rumah dan harta yang mahu ditinggalkan. Kita mungkin membayangkan rumah yang dibina hari ini akan terus didiami anak-anak suatu hari nanti.
Namun mereka mungkin sudah mempunyai rumah dan kehidupan sendiri. Cita rasa juga berubah mengikut zaman. Rumah yang begitu kita sayangi hari ini belum tentu mahu didiami anak-anak 20 atau 30 tahun akan datang. Akhirnya mungkin dijual atau menjadi harta pusaka untuk dibahagikan.
Anda mungkin berminat dengan
Sebab itu antara pesanan yang cukup menarik dalam perkongsian tersebut ialah supaya mengambil jalan sederhana.
Kita sudah menghabiskan bertahun-tahun bekerja, membesarkan anak dan menyediakan yang terbaik untuk keluarga. Apabila usia semakin bertambah, tidak salah memberi sedikit ruang kepada diri sendiri untuk menikmati hasil usaha tersebut.
Jika ada rezeki lebih, bersedekahlah. Pergilah melihat dunia selagi kaki masih kuat. Nikmati masa bersama keluarga dan lakukan perkara yang memberi ketenangan serta kegembiraan.
Jangan sampai terlalu sibuk menyediakan kehidupan untuk anak cucu selepas kita tiada sehingga terlupa menikmati kehidupan yang Allah masih berikan hari ini. Anak cucu ada rezeki masing-masing.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

