reunion jerat cinta lama kembali berputik

Rumah tangga hancur dek kerana cinta kembali berputik selepas menghadiri majlis reunion bukan lagi perkara asing. Sudah acap kali kita dengar. Tapi, apa puncanya hingga masing-masing yang sudah pun berkeluarga masih sanggup berlaku curang demi cinta lama? ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding undang-undang Keluarga Islam, yang juga merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Waspadalah dengan majlis reunion sekolah, ia boleh membuka pintu fitnah asmara yang tertunda! Berkumpul dengan kawan-kawan lama dalam aplikasi sosial juga membawa impak negatif apabila kebebasan mengatasi akhlak dan adab.

Mencari cinta lama seakan-akan perkara biasa yang kerap dialami pasangan yang sudah berkahwin. Suami izin isteri bergaul, begitu juga isteri tak cemburu bila suami sibuk berkawan. Akhirnya ramai yang telah terjerat oleh dosa lama yang diberi nafas baru. Peliknya bila yang kuat iman pun terhanyut sama, yang dikenali alim lagi berilmu tak tertahan juga bila sudah berhadapan dengan fitnah pergaulan beza jantina.

Punca

Apakah mereka kesepian, kehausan kasih sayang, dahagakan perhatian, kurang sentuhan oleh pasangan sendiri hingga cinta lama kembali berputik? Tidak juga, ada yang tidak sengaja pada mulanya, akhirnya ketagih, lupa dunia! Lupa keluarga!

Apakah penyebab seorang wanita dan lelaki dewasa yang sudah berkahwin, beranak-pinak, berkecukupan jasmani dan rohani mudah dikalahkan oleh nafsu? Bagaimana mahu menghilangkan ketagihan cinta ini dan langkah apa yang perlu diambil untuk menutup semua pintu kecurangan hati?

Reunion… Jerat Cinta Lama kembali Berputik!

IKLAN

1.Tutup pintu hati

Jerat cinta lama tak akan kekal jika kita berani menamatkannya secepat yang mungkin. Tetapi tidak cukup menutup pintu hati tanpa membukanya kepada yang lebih mulia untuk dilayan cintanya. Tutup pintu untuk maksiat dan buka hati untuk bertaubat, carilah cinta Allah yang hilang. Dulu kita pernah berada pada tahap iman yang tinggi, mungkin ibadah telah sampai pada khusyuk yang sempurna dan hati cukup kenyang dengan ilmu agama dan akhlak mulia, kemudian berlalulah masa di mana kelalaian itu datang dan syaitan kembali menghembuskan syahwat yang mengalahkan iman.

Cuba fokuskan hati mencari cinta lama yang kudus, cinta yang hadir sewaktu solat dengan deraian air mata yang pernah tumpah suatu ketika dahulu. Cinta yang pernah datang bersama hidayah dari ilmu yang kita dengar dalam ceramah, diskusi, seminar, atau nasihat seorang kawan yang tak sengaja kita baca dalam status facebooknya. Cinta yang kita rasa melalui kisah pilu kemiskinan dan bencana yang dialami orang lain, cinta yang pernah kita miliki saat mulut tak berhenti berzikir dan hati sibuk memikirkan tentang rencana Allah pada diri, anak-anak serta suami. Cinta sebegini terlalu mahal untuk dilepaskan, ikatlah sentiasa dalam hati dan kekalkannya sampai mati. Apabila hati telah dikunci dengan cinta Ilahi tiada peluang sesiapapun menduduki.

IKLAN

2.Jaga masa, jaga amal

Setiap detik itu menentukan syurga neraka kita, begitulah nilaian yang akan diterima di akhirat. Boleh jadi disebabkan satu detik maksiat telah memberatkan timbangan dosa kita sedetik lebih daripada timbangan pahala. Semua dihitung dengan begitu halusnya sebagaimana hati yang diciptakan penuh sensitiviti seharusnya kita lebih peka dengan dosa dan pahala.

Rasulullah s.a.w bersabda: ” Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta saja, kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka dan dia masuk neraka. Ada di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga dan dia masuk syurga.” – (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

IKLAN

Tiada siapa yang tahu kesudahan dirinya, masihkah mahu bermain api cinta dan hangus segala amalnya disebabkan pengakhiran hidup yang penuh maksiat? Ibadah yang dulu dikumpulkan semakin menipis disebabkan masanya dihabiskan untuk berbual dalam talian cinta. Dahulu tahajud sujud kepada Allah tapi kini asyik melayan fantasi dengan suami atau isteri orang lain. Tak ingat pada nafas yang akan dihembuskan buat kali terakhir!

3.Keluarkan toksin daripada akal fikiran dan hati

Mahukah kita memakan daging yang sudah busuk, tentu akal kita akan berkata ia memudaratkan jasad kemudian hati terus menolaknya. Begitu juga zina dan maksiat dan perbuatan-perbuatan yang menjurus ke arahnya baik yang kecil atau besar, yang halus atau yang terang, sengaja atau tidak sengaja, semua itu mesti dibenci sebagaimana kita membenci benda-benda kotor yang memudaratkan badan. Benda kotor atau sampah itu umpama dosa-dosa yang dilakukan mata, telinga, mulut, kaki, tangan, perut, akhirnya akal dan hati menjadi penentu.

Apabila kita pandai memilih makanan yang baik dan halal tentulah tubuh badan selamat dari penyakit. Tetapi jika mulut suka berkata lucah dan memfitnah, kaki tangan membantu melakukan kejahatan, akal dan hati telah dicemari toksin dosa yang tak dapat dibersihkan, mampukah kita hidup menghirup nafas iman pada akhirnya? Cinta bukan untuk dinafikan tapi dijadikan petunjuk arah, apakah syurga atau neraka yang kita petakan dalam minda dan jiwa!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI