Semakin jauh hubungan dalam rumahtangga bukan sebab perempuan ketiga tetapi sebab handphone.
Nauzubillah.
Tetapi realitinya itulah, demi sesuap nasi katanya. Maka kena pegang handphone 24 jam. Anak-anak pun tengok dan kesannya boleh mak ayah teka tak?
Dalam situasi ini bukan nak salahkan golongan suami sahaja, tetapi daripada contoh yang dikongsikan saudara Firdaus Shakirinini macam itu lah yang berlaku. Cuba fikir dan renungkan kejap.
Makin Jauh Sebab Handphone
Zaman sekarang ni, tak perlu orang ketiga untuk meretakkan atau merenggangkan hubungan suami isteri, cukup dengan benda yang ada di hujung jari kita tu.
Handphone.
Telefon yang kita pegang selalu tu, banyak isteri di luar sana yang “di duakan” suami dengan benda tu.
Ads
Isteri sambut suami balik kerja, tapi suami masuk umah sambil mengadap handphone. Duduk kat ruang tamu, mata tengok handphone. Mandi, solat, kemudian pegang handphone. Waktu makan, handphone dibawa ke meja, tangan kanan makan, tangan kiri pegang handphone.
“Abang, kerja ok tak hari ni?”
‘OK’ tapi mata masih kat hadphone. Isteri mulanya datang nak bersembang, tapi terus blah sebab mood nak bersembang hilang. Suami tak layan, jawab sepatah-patah.
Suami sibuk dengan handphone.
Ads
Ajak isteri keluar makan, sampai je kedai, tangan pegang handphone. Ajak isteri pergi melancong, jalan-jalan, sampai je kat destinasi, tangan pegang handphone. Ajak anak main kat playground, sampai je sana, tangan pegang handphone. Ajak isteri bershopping, beli barang dapur, tapi sambil tolak troli pun pegang handphone.
Handphone… handphone… handphone!
Jadi Jarang Berkomunikasi
Banyak rumahtangga yang hilang “serinya” disebabkan handphone. Hubungan yang dekat menjadi jauh. Masing-masing kurang berhubung, jarang berkomunikasi antara satu sama lain. Gelak tawa pun dah semakin tiada dalam rumah tu.
Tolong sedar sebelum terlambat. Handphone ni nothing, media sosial ni nothing, up to date or ketinggalan ke belakang untuk benda yang viral juga nothing. Ssemua itu adalah perkara yang kita tak perlu risaukan.
Yang kita perlu bagi perhatian, yang perlu kita risaukan ialah hubungan kita dengan pasangan, hubungan kita dengan anak-anak, hala tuju rumahtangga kita dan haluan hidup kita.
Untuk apa kita berkahwin, apa tujuan perkahwinan itu. Untuk apa kita jadi suami, apa fungsi seorang suami. Untuk apa kita jadi ayah, apa fungsi seorang ayah.
Ingat balik tujuan hidup kita, apa dan siapa yang kita nak jadi. Adakah kita sanggup kehilangan anak bini hanya disebabkan handphone?
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Anak-anak seharusnya digalakkan untuk menunaikan solat di masjid sejak dari kecil, agar jiwa mereka subur dan dekat untuk mencintai rumah Allah ini. Mak ayah juga pastinya tahu dan bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka, bersih daripada najis mahupun segala kekotoran sebelum datang ke masjid. Ini kerana kebersihan diri dan tempat solat merupakan salah satu syarat sah sembahyang.
Namun terkilannya, terdapat segelintir jemaah masjid mempunyai persepsi dan merasakan anak-anak tidak sesuai solat di masjid serta dianggap ‘kotor’ kerana tidak tahu menjaga kebersihan diri.
Situasi ini dialami dan dikongsikan oleh Puan Syahidah Mardhiah Azmisendiri, yang rasa cukup terkilan apabila anak-anaknya dihalau daripada menunaikan solat didalam masjid kerana dianggap ‘kotor’. Menurut wanita ini, beliau datang ke masjid bersama 4 orang anak angkat( yang merupakan anak jiran) selain 2 orang anak sendiri yang berumur 2 dan 5 tahun.
“Semalam saya kena halau masa nak solat dengan anak-anak 5 orang di masjid. Sedih saya. Masa saya nak pilih telekung untuk anak-anak, ada makcik tak bagi ambil. Dia kata anak-anak saya tak bersih. Dia beri 2 helai je telekung yang dah memang kotor. Lepas saya ambil dia kata, “Haa, dah pergi solat luar. Budak-budak tak bersih.”
“Saya terkejut. Menggigil tangan nak marah. Lepas dia kata tu, saya keluar masjid. Saya duk luar 2 minit. Saja nak redakan emosi. Lepas tu saya masuk balik.”
“Saya pergi dekat makcik tu. Saya kata, “Makcik, anak-anak saya tak kotor. Sampai hati makcik cakap gitu dekat anak-anak saya. Yang saya bawak ni semua anak-anak pondok, makcik. Bersih hati mereka. Saya dari Pasir Puteh. Jauh saya datang. Saya singgah solat masjid ni kejap je.”
Makcik tu kata, “Budak-budak ni lepas main pastu datang masjid. Tu yang kotor. Pastu nak solat.”
“Allahuakbar. Anak-anak saya 6 orang ni baru je saya mandikan sebelum keluar rumah pukul 7.30 petang tadi. Sebelum masuk masjid, saya basuh kencing anak-anak 5 orang ni dengan tangan saya sendiri. Saya pantau diorang ambik wudhuk. Sedih saya orang kata anak saya macam ni.”
“Lepastu saya bukak tudung saya. Saya pakaikan dekat anak yang paling besar 8 tahun. Saya kata, “haa pakai ni. Tudung ciksya tak kotor pun. Boleh pakai solat. Awak pun tak kotor, sayang. Ok semua jom kita solat. Yang takde telekung pun ikut ciksya.”
“Saya imamkan 5 orang anak saya. Ada pakai seluar pendek, ada yang tudung pun tak pakai. Anak saya yang umur 8 tahun jawab bila ada orang tanya, “Takpe tak sempurna pun asalkan solat. Kan ciksya?”
“Dia ulang balik ayat saya kata pada dia masa solat Asar tadi. Saya sedang pindah rumah. Saya bawak semua anak-anak 6 orang. Semua barang duk dalam kotak lagi. Nak cari telekung pun tak tahu kotak mana satu. Saya solat dengan pakaian saya. Anak-anak saya pakaikan tudung saya. Kepala tutup kaki togel.Saya kata takpelah asalkan solat.”
“Lepas solat, saya masih lagi sedih. Saya doa moga Allah hilangkan kesedihan saya. Moga Allah beri kefahaman pada makcik tersebut. Moga Allah berikan saya dan anak-anak kesabaran untuk menghadapi ujian ini.”
“Masa tu ada ustaz tengah mengajar. Sambil sangkut telekung, sambil dengar. Ustaz kata, kita yang asyik datang masjid ni, jangan duk rasa diri tu dah hebat ye. Allah tak jamin lagi orang datang masjid ni masuk syurga.”
“Hmm rugilah kamu, makcik. Tak dapat apa. Ustaz mengajar kat depan, makcik mengajar kat belakang.”
“Dalam perjalanan pulang, saya tanya suami saya, “apa ye perasaan orang yang baru nak berubah, dia baru nak dekat-dekat dengan masjid, lepas tu jumpa makcik bawang yang macam tadi tu?”
Suami saya kata, “orang macam ni lah sebenarnya yang buatkan orang muda taknak pergi masjid. Kita baru nak kenal masjid, kena pulak macam tu. Sudah tentulah orang tu makin jauh dan duk asyik rasa diri tak layak nak jadi baik. Lepastu selama-lamanya dia lalai. Berdosa orang macam ni”.
Begitulah kita hidup di dunia ini tak terlepas dari ujian. Orang yang hidupnya rajin beribadah, dia diuji dengan penyakit hati. Merasakan diri sudah dijamin syurga. Manakala kita yang masih lalai ini, diuji pula dengan rasa tak layak nak jadi baik. Duk rasa diri dah pun dijamin neraka.
Kita ni kalau tak mampu nak tarik orang dekat dengan agama, jangan pulak kita jadi penyebab orang makin jauh dari agama. Cukuplah berdiam diri kalau tiada apa yang baik untuk diperkata, dan tunjukkan akhlak yang mulia walaupun kita ni penuh aib dan dosa.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Anak-anak seharusnya digalakkan mendekati rumah allah ini dan rajin solat di masjid. Ubah persepsi bahawa masjid selayaknya hanya untuk orang dewasa.
Ada yang telah menjalin hubungan senyap-senyap sejak di bangku sekolah tetapi ada pula yang memulakannya hanya selepas berkerjaya.
Bagaimana dengan anda? Memanglah orang kata jodoh itu ditentukan Allah SWT tetapi seandainya diberi pilihan, apakah anda sanggup terima jodoh yang pernah menjadi rakan bergumpal di sekolah rendah dahulu?
Sudah tentu itu semua ada pro dan kontranya dan itulah yang akan saya kongsi ini.
Kata orang cinta pertama adalah cinta yang kekal sampai bila-bila. Itu cinta paling bermakna.
Bayangkan sekiranya cinta pertama itu bermula dari bangku sekolah dan semakin kuat sehingga ke jinjang pelamin?
Cinta itu mempunyai fasa-fasanya sendiri. Di bangku sekolah orang panggil cinta monyet. Kemudian cinta remaja. Apabila sudah dimuktamadkan dengan rumah tangga, itulah cinta firdaus.
Cinta yang membawa syurga itu ke dalam rumah sendiri. Apakah yang lebih indah daripada itu, betul tak?
Ada orang berkenalan hanya tiga hari dan terus berkahwin. Malah ada orang kata bagus, tetapi bagi wanita perkahwinan itu hanya sekali.
Siapakah orang itu yang hanya baru tiga hari lepas hadir dalam hidup anda?
Adakah selamat untuk anda menerima dia selepas ini sehingga ke akhir hayat? Bagaimana pula jika anda telah mengenali dia sejak di bangku sekolah lagi?
Selama ini anda tidak bercinta dengan dia tetapi lebih kepada hubungan sebagai rakan baik di sekolah. Anda kenal hati budi dia dalam kapasiti yang lebih jujur.
Dia boleh menegur dan anda pula boleh tidak bersetuju dengan pendapat dia. Takdirnya setelah dewasa dan lebih matang barulah hubungan itu berubah kepada yang lebih serius.
Bukankah itu membuatkan anda lebih mengenali dia? Bukankah ini bermakna adalah lebih selamat anda menerima dia sebagai jodoh anda?
1. Apabila anda sudah mengenali dia, maka adalah lebih mudah untuk anda menjadi diri sendiri. Sebenarnya ini sangat penting kerana lelaki paling tidak suka dengan perempuan yang berpura-pura.
2. Ini tidaklah bermakna anda boleh menengking dia sesuka hati kerana anda bersikap jujur menunjukkan kemarahan. Maksud saya ialah anda menyedari kelemahan dan mengharapkan suami memahami kelemahan anda itu sementara anda memperbaikinya.
Adakah cinta yang bermula sejak dari bangku sekolah itu adalah jaminan yang rumah tangga anda pasti bahagia? Sekarang kita lihat beberapa situasi yang mungkin ramai terlepas pandang.
√ Secara realitinya anda dan pasangan anda itu adalah dua individu yang berbeza. Setiap orang bertanggungjawab kepada diri sendiri.
√ Walaupun anda melalui era bersama di bangku sekolah hingga dewasa tetapi itu tidak bermakna dia berubah menjadi lebih baik seperti anda.
Contohnya, cara anda berfikir dan bercakap dengan dia semasa usia 12 tahun dahulu tentu tidak sama apabila di usia 27 tahun.
Anda mengharapkan dia berfikir sebagai lelaki matang yang berusia 27 dan bukan sebagai remaja ‘hore-hore’ berusia 27 tahun.
√ Semakin lama anda mengenalinya maka semakin banyak kelemahan atau sikapnya yang anda ketahui.
√ Ada yang anda suka tetapi banyak yang anda tidak suka. Adakah dia berusaha memperbaiki kelemahan atau sikapnya yang anda tidak suka itu?
√ Alhamdulillah jika dia mengambil langkah memperbaikinya tetapi bagaimana jika itu tidak berlaku? Keadaan ini boleh menjadi faktor yang melebarkan jarak emosi antara suami-isteri.
Sesuatu yang telah lama dikenali maka akan semakin hilang misterinya.
Anda kenal dia sejak sekolah menengah. Semua cerita hidupnya telah anda ketahui. Kecuali anda dan suami cukup kreatif, ada risiko kebosanan akan cepat melanda.
1. Nasihat percuma daripada saya ialah jangan ulang cerita yang sama dengan ayat yang sama lebih daripada dua hari. Hakikatnya perjalanan rumah tangga itu adalah sangat jauh.
2. Suami dan isteri perlu bijak memberikan warna, bentuk dan haruman terkini untuk rumah tangga masing-masing.
3. Tidak kira sama ada suami atau bakal suami anda itu adalah kekasih sejak di sekolah, cabaran sebenar adalah komitmen dalam rumah tangga itu sendiri.
Faktor bila, di mana atau bagaimana dia anda kenali sebelum ini sebenarnya tidak penting.
Memilih pasangan itu hanyalah separuh daripada cabaran untuk perkahwinan itu menuju Jannah yang dihajatkan.
Penulis :Dr Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation, Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dengan duit jualan kuih-muih yang dihantar di gerai, Normala bt Mohd Isa, membesarkan anak-anaknya. Kini wanita berusia 59 tahun ini mampu menarik nafas lega kerana ketiga-tiga anaknya telah mendapat pendidikan sempurna sekali gus memiliki kerjaya impian masing-masing.
Normala tidak pernah menyangka bahawa diri akan bergelar ibu tunggal ketika anak-anaknya masih lagi kecil. Ketika suaminya meninggal dunia, anak sulungnya berusia 10 tahun. Suaminya meninggal dunia ketika berusia 39 tahun manakala Normala pada ketika itu berusia 37 tahun.
Suaminya Haji Harudin Mohd Hussin meninggal dunia setelah penyakit yang dihidapi tidak dapat disembuhkan lagi. Betapa hebatnya dugaan yang dihadapi oleh Normala yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya seorang suri rumah.
“ Saya tidak bersedia dengan pemergian suami. Semasa suami meninggal, saya rasakan seperti tidak ada tempat untuk bergantung lagi. Apa yang boleh saya buat untuk menanggung anak-anak. Persoalan tersebut sentiasa bermain di fikiran ketika itu.
“ Semasa hidup, suami seorang anggota Polis. Selepas dia meninggal dunia, saya hanya dapat pencen suami lebih kurang RM200 sebulan. Sudah pasti pencen itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan saya dan anak-anak maka saya perlu cari duit lain untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.
“ Terus terang, saya tidak berpendidikan tinggi. Saya risau, bagaimana saya mahu cari kerja tanpa sebarang kelulusan? Kemudian saya bertanya pada kawan-kawan apa yang boleh saya buat. Daripada situ, saya mendapat idea untuk membuat dan menjual kuih-muih. Saya buat kuih dan hantar pada penjual yang menjual di gerai di hadapan kawasan perumahan tempat tinggal kami.
“ Setiap pagi saya akan bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat kuih-muih untuk dijual. Antara kuih-muih yang saya buat adalah karipap, kuih cara, kuih cara berlauk, kuih kaswi, tepung bungkus dan kuih lapis. Kuih-muih yang rumit pembuatannya akan saya buat pada sebelah malam lagi. Saya buat kuih-muih itu seorang diri saja,” ujar Normala panjang lebar.
Jelas wanita berusia 59 tahun ini lagi, sebenarnya dia tidak pandai membuat kuih-muih. Namun dia memberanikan diri untuk bertanya pada kawan-kawan bagaimana cara membuat kuih-muih. Daripada beberapa kali percubaan akhirnya menjadi juga kuih-muihnya.
“ Setiap yang Allah bagi itu ada hikmahnya. Itu yang saya pegang. Saya buat kuih-muih untuk dijual sejak tahun 1997 sehinggalah anak sulung saya bekerja pada tahun 2013. Selepas itu anak-anak tidak lagi membenarkan saya membuat kuih-muih. Mereka pula yang memberi wang untuk menyara saya. Saya bersyukur dengan pemberian mereka,” tambah Normala.
Bergelar ibu tunggal satu kenyataan yang pahit untuk diterima. Oleh itu sudah pasti untuk bangun daripada kesedihan memang agak sukar untuk dilakukan. Bagi Normala, dia bergantung pada semangat yang tinggi untuk bangkit daripada kesedihan.
“ Saya berserah segala-galanya pada Allah. Saya sering bangun pada malam hari untuk buat apa sahaja yang patut seperti membaca al-Quran dan solat tahajud.
“ Saya tidak ada perasaan murung pada awal bergelar ibu tunggal kerana dalam hati hanya ada semangat untuk membela anak-anak. Apabila tengok muka mereka, saya rasa semangat semakin berkobar-kobar untuk membesarkan mereka,” ulas Normala lagi.
Tanpa suami, di bahu Normala jugalah tempat anak-anak mengharap kasih dan bimbingan. Normala bersyukur kerana anak-anaknya ikut cakap. Dia juga tegas dalam mendidik mereka.
“ Saya tidak mengikut sangat kehendak anak-anak. Apa yang anak-anak hendak mereka tidak akan dapat dengan mudah kerana saya tidak ada duit seperti ibu bapa lain. Kalau mereka hendak sesuatu mereka perlu belajar pandai-pandai. Kelak apabila mereka sudah besar barulah boleh mereka dapatkan sendiri apa sahaja yang mereka mahu.
“ Saya memang tegas, tidak manjakan anak-anak. Ketika anak-anak membesar, saya selalu kawal pergerakan mereka. Kerja sekolah mesti disiapkan dengan baik. Bab agama terutamanya solat lima waktu memang saya tekankan. Apa yang saya buat ini semuanya untuk masa hadapan mereka,” kongsi Normala lagi tentang cara mendidik anak-anak.
Normala bersyukur dengan pencapaian anak-anaknya. Anak sulungnya Mohd Hafizal kini bergelar doktor gigi dan bakal menyambung pelajaran di luar negara tidak lama lagi. Anak keduanya Nur Hanim seorang eksekutif akaun. Manakala anak ketiganya Nur Hidayu bekerja di sebuah universiti tempatan.
“ Kejayaan anak-anak ini, selain hasil usaha mereka sendiri, saya boleh katakan ia adalah berkat doa seorang ibu juga. Saya masih ingat lagi setiap kali anak-anak akan menghadapi peperiksaan, mereka akan telefon dan beritahu saya. Masa itu mereka semua duduk di asrama.
“ Apa yang saya buat setiap kali masa mereka tengah periksa itu adalah saya baca surah Yassin dan solat hajat. Mungkin Allah telah mengabulkan permintaan saya ketika itu,” tambahnya lagi.
Normala bahagia dengan kehidupannya kini. Dia tidak lagi menjual kuih-muih. Ini bermakna kini masanya lebih banyak digunakan untuk melakukan perkara yang bermanfaat. Antara aktiviti yang diikutinya adalah belajar kelas fardu Ain dan belajar mengaji.
Kini Normala menggunakan ilmu yang ada untuk mengajar mengaji kepada kanak-kanak yang tinggal di Flat Sri Sabah tempat tinggalnya.
Setiap hari pukul ada dua sesi mengajar dilakukan. Ramai ibu bapa menghantar anak-anak belajar mengaji dengannya.
“ Saya tidak boleh tengok permintaan mereka kerana ini ilmu yang Allah beri pada saya. Cuma saya perlu pandai membahagikan masa. Saya minat mengaji sebab itu saya jadi cikgu mengaji. Saya jadi tenang jadi cikgu mengaji kerana masa saya itu digunakan dengan penuh bermanfaat.
“ Jika tidak ada kelas mengaji saya akan ikut juga program Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras. Sebelum ini saya pernah jadi bendahari persatuan tersebut. Seronok juga dapat menyertai persatuan sebegini kerana kita boleh bertemu dengan ibu-ibu tunggal lain,” akhirnya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tular kisah seorang lelaki rebah di rukun Yamani ketika tawaf wada, tulis anaknya: "Abah saya, Hamdan Ahmad meninggal hari ini di depan Kaabah di Mekah. Masa tengah buat tawaf Wada’. Allahu akbar. Speechless."