Kalau redha sekalipun suami kahwin lain tak perlu dicerita pada satu dunia, lebih baik diam dan simpan baik-baik. Bila isu ini menjadi viral, mulalah muncul cerita-cerita kurang enak. Yang mulanya memuji mula mengeji.
Sebaiknya perkara ini tak perlu diheboh apatah lagi hati wanita ini berbolak-balik. Bayangkan berkongsi baju sekali pun, hati boleh terasa. Inikan pula berkongsi suami, insan yang paling kita sayang.
Ikuti perkongsian Puan Ell F. Azman dan hadam baik-baik ya.
Viral lagi kisah poligami bila si isteri sendiri hendak tunjukkan pada dunia betapa dia okay bila suami kahwin lain.
This happened many times before. Saya sedaya-upaya tak mahu tulis isu poligami sebab sangat sensitif, and it has nothing to do with my life.
Tapi saya tak boleh tahan bila komen-komen seperti ini mula muncul :
“Hebat puan.”
“Isteri solehah.”
“Syurgalah bagimu.”
Apa sang isteri kena benarkan suami kahwin lain ke baru digelar hebat? Kemudian, apa sang isteri kena bermadu dulu ke baru digelar isteri solehah? Selepas itu, apa sang isteri kena bergembira dengan jodoh suami terus dapat masuk syurga?
Hari ini pula mula keluar cerita sebenarnya dia isteri kedua. Lalu komen-komen pun mula berubah tona. Daripada puji-pujian kepada maki-makian.
“Karma.”
“Laa kau pun ambil orang punya.”
“Dasar perempuan.”
Moral of the story. Kalau benarkan suami kahwin lain, redha sekalipun, tak perlu dicerita pada dunia. Diam-diam saja.
Lebih Baik Diam, Hati Kan Berbolak-balik
Tak perlu kita cuba tunjukkan pada dunia kita wanita terhebat, wanita terkuat. Realitinya, tidak. Kuat tidak sepanjang masa. Hati bolak-balik sentiasa. Harini mungkin suka, esok mungkin duka.
Kerana pada akhirnya kita juga akan sengsara. Bila keluar macam-macam cerita, selalunya orang perempuan juga yang kena. Jarang nak letak kesalahan pada lelaki.
Sedangkan yang selalu jadi mangsa ialah orang perempuan. Yang memendam rasa, orang perempuan.
Berbeza Redha & Pasrah
Ada beza redha dan pasrah. Macam Lisa Surihani cakap dalam Ombak Rindu. Redha itu ikhlas. Pasrah itu menyerah. Dan selalunya wanita hidup dalam pasrah dan menyerah, bukan sebab redha dan ikhlas. Bukan semua. Tapi selalunya, begitulah.
Jangan buat sesuatu hanya kerana mengharapkan pujian dari manusia, kerana itu semua sementara.
Kita hebat bukan kerana pujian dan pandangan orang lain terhadap kita. Tapi kita hebat bila kita tidak peduli apa pandangan orang terhadap kita.
MW: Sebaik mana pun mak-mak, redha macam mana sekali pun dengan pilihan suami untuk berpoligami adalah lebih baik diam. Esok, lusa kita sebagai wanita juga yang dipersalahkan jika apa-apa yang berlaku. Renung-renungkan.
Jodoh adalah rahsia Allah SWT. Tiada siapa yang tahu siapakah jodohnya sehinggalah tiba masanya. Namun, sering kali menjadi cemuhan dan bualan bila melibatkan jodoh di antara lelaki muda dengan wanita berusia. Atau gadis muda dengan lelaki yang terlalu jarak usianya.
“Dr., okey tak kalau saya terima gadis yang lebih tua daripada saya?” tanya seorang pemuda.
“Jarak umur berapa tu?”
“Jarak lima tahun Dr. Saya baru 25, dia 30. Tapi kami nekad nak kahwin. Okey tak nanti jadinya?”
“Okey ke tidak bergantung pada apa niat kamu. Apa niat kamu nak berkahwin tu?”
“Rasanya dah sampai masa. Lagipun dah sanggup pikul tanggungjawab. Errr, kawan-kawan semua dah kahwin Dr.”
Saya tertawa dengan jawapan yang hujung itu. Kalau alasan serupa itu semata-mata, bukanlah kuat untuk menempoh kehidupan yang sedikit pelik, kelak.
“Kahwin sekadar ikut-ikut ni bahaya. Tambahan lagi bakal isteri lebih tua daripada kamu. Dia mungkin lebih dulu kereput, sedang kamu masih muda belia. Macam mana tu?” Duga saya.
“Rasa-rasanya saya boleh menerima Dr. Alah, lawa-lawa sangat pun akhirnya tua juga. Yang muda pulak demand tinggi. Tak ada dua puluh ribu tak mahu kahwin, sedangkan saya ni baru bekerja, manalah ada duit.”
Saya menunjukkan isyarat bagus. Kahwinlah dengan siapa pun, tak kira sama umur atau lebih tua, yang penting niatnya kena betul. Kalau niatnya betul, insya-Allah semua masalah dapat dilalui dengan mudah.
Yang dikatakan niat yang betul itu macamana? Allah. Niatkan kerana Allah. Berkahwin kerana Allah akan menjadikan perkahwinan itu sangat berkat, moga-moga bahagia hingga ke sudah.
Macam pemuda tadi, dia hendak berkahwin dengan gadis yang lebih tua, kalau dihenyak dengan telahan, “Apalah kau ni kahwin dengan orang yang lebih tua!” jawab “Aku kahwin kerana Allah,” akan senyaplah si penemplak. Andai ada orang berani mempertikai niat serupa ini, berani sungguhlah dia untuk berdepan dengan murka Allah.
Sebenarnya berkahwin dengan wanita lebih tua ini baik sebab selalunya selain pemikiran matang, kerja juga sudah stabil. Sebaik berkahwin boleh membeli rumah, kereta dan lain-lain, berbanding berkahwin sama umur, sama-sama 22 tahun, susah juga tu untuk mengumpul harta kecuali dua-dua bekerja. Tetapi kalau suami sahaja bekerja, tinggal pula di bandar, ada sedikit susahlah.
Alasan kedua yang mesti diambil kira ialah sunnah. Ingatlah sejarah Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Khatijah. Ketika itu Nabi s.a.w tersangat muda sedangkan Khatijah berusia lanjut, janda pula. Tetapi oleh kematangan yang dimiliki oleh Khatijah menyebabkan Nabi s.a.w dapat menempuh detik kerasulan dengan baik sekali.
Moga-moga perkahwinan anda dengan gadis lebih berusia mendatangkan kehidupan yang stabil dari segi mental, emosi dan material. Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang berkahwin dengan gadis lebih tua, sesetengahnya hingga jarak 10 tahun. Kehidupan mereka terus baik sehingga hari ini. Sebab itulah, niat yang betul kena dipasak terlebih dahulu, sekiranya terlepas, masa untuk memperbetul sentiasa ada.
Alasan ketiga adalah keserasian. Jika anda sanggup mengambil gadis yang lebih tua bermakna anda seorang yang sangat boleh bertolak ansur. Memang hidup ini perlu diterima seadanya, usah terlalu rakus oleh kehendak yang muluk-muluk sebab kemahuan serupa itu selalunya terdorong oleh sifat mahu menunjuk, ego, perasan bagus dan lain-lain.
Sebaliknya apabila rela menerima seseorang seadanya dia, bermakna kita juga seorang yang lunak. Kehidupan sememangnya perlu dilalui dengan humble, barulah segala-galanya menjadi penyebab untuk rasa bahagia dengan sempurna.
Apabila kita membuat keputusan memilih sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan itu bukti kita istimewa. Namun, perlu jugalah diingat, sesuatu yang sedikit berlainan daripada kebiasaan selalunya juga akan menjadi perhatian. Bersedialah untuk berhadapan dengan apa saja, baik berupa cemuhan mahupun pujian. Orang memuji, sesetengahnya bukan jujur tetapi menyimpan sindiran tajam.
Apapun setiap orang ada pilihan tersendiri. Apapun pilihan kita, pasakkanlah dengan tiga alasan utama tadi. Apabila menghadapi masalah baik datangnya dari diri sendiri, dari pasangan mahupun keadaan sekeliling, tebat diri dengan tiga alasan berkenaan – ALLAH, Nabi s.a.w dan keserasian. Anda akan stabil dan tenang.
Usah terlalu diambil kira kata-kata manusia, andainya ia baik jadikan itu perangsang tetapi andainya tidak, jadikan itu pembakar semangat untuk lebih cemerlang. Orang bermotivasi tinggi tidak pernah lemah oleh kata-kata orang. Jangan keliru-keliru ye. Ingatlah, apapun kalau baik, ia sentiasa baik.
Rasanya, setiap mak mesti alami perkara yang sama. Kebanyakan anak memang susah nak mendengar kata mak-mak. Kadang-kadang, boleh ‘naik hantu’ mak bila anak buat tak endah. Sedangkan, ayah hanya bersuara sepatah, mengelupur anak terus buat. Mahunya, naik angin mak-mak.
Sebenarnya dalam perkara ini, anak bukan ambil ringan tentang apa yang mak-mak perkatakan. Mungkin sebab fikiran anak, mak marah macam mana sekali pun dia tetap sayang dan susah untuk ‘angkat tangan’. Kasih seorang mak.
Sedangkan, bila ‘time’ ayah, gaya dan kelakuan yang ayah tunjukkan dah buat kecut perut anak. Silap gaya, boleh dapat tali pinggang, penyakut baju atau rotan. Sebab mak-mak hanya ugut lebih tapi ayahnya akan betul-betul laksanakan. Jangan main-main.
Garang macam mana pun ayah, anak-anak tetap jadikan ayahnya sebagai idola dan super hero di hati mereka. Percayalah.
Buat ayah di luar sana, dengan keadaan zaman yang penuh dengan teknologi moden, buang seketika semua itu dan fokuslah pada anak yang memerlukan kasih sayang. Jangan terlalu ‘menghambakan diri’ pada gajet sehingga lupa peranan seorang ayah.
Ikuti perkongsian daripada Taufiq Razif tentang ruginya seorang ayah yang lebih mengutamakan telefon daripada anak-anak. Selami perasaan anak-anak dan dia membesar dan akan terus membesar. Jangan terlepas mengikuti momen indah dengan anak tersayang.
Last sekali si ayah berdehem satu kali je, semua anak jadi macam askar. Senang pula ikut kata si ayah
Si ayah tak tahu si anak idolakan dia:
Si ayah tak tahu anak anak lebih utamakan dia:
Ruginya si bapa yang utamakan handphone dan utamakan. Rugi sangat.
Dia tak tahu di sekolah si anak banyak bercerita tentang dia. Semua mengaku bapa dia lah paling hebat
Anak bukan tahu sangat ayah kerja apa. Bukan tahu sangat ayah karier ayah dia tapi bila bercerita tentang ayahnya, dengan wajah penuh bangga si anak akan bercerita
Ayah saya paling hebat dan gagah berani.
Malah, ayah saya boleh makan banyak pinggan
Rugi lah ayah yang tak luangkan masa dengan anak-anaknya sebelum anak anak mereka meningkat dewasa.
Sedarlah wahai bapa bapa di luar sana, anda adalah Superhero di mata mereka.
MW: Sebab itulah, garang ayahlah, anak-anaknya jadi ‘orang’ dan mak pula syurga di hati anak-anak.
Boleh dikatakan tugas suri rumah memang tak pernah habis. Ada sahaja yang perlu dibereskan dan diuruskan. Ditambah bila ada anak-anak, ada sahaja kerja rumah yang perlu dilakukan. Penat memang penat tapi kalau isteri yang tak lakukan siapa lagi.
Melainkan kalau suami jenis yang ringan tulang dan kesian melihat isteri bekerja tidak henti, mahulah ditolongnya. Tolong jaga anak-anak, basuh pinggan atau sapu sampah pun sudah cukup buat isteri tersenyum dan berterima kasih.
Tetapi, kalau jenis suami yang hanya balik kerja, duduk bersilang kaki sambil menonton televisyen dan datang ke meja makan apabila semua hidangan tersedia. Mahunya, isteri ‘makan hati’. Lama-kelamaan, isteri yang pendiam pun boleh jadi ‘tarzan’ sebab nak melayan anak, kemas rumah dan sebagainya.
Jadilah, suami yang bertanggungjawab dan bersatu hati dalam membantu isteri. Seperti apa yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi tentang suami, ketua keluarga yang sekali sekala ambil alih tugas isteri. Barulah tahu, penat, lelah dan keadaan emosi bila melakukannya setiap hari.
Kalian yang bernama suami. Janganlah begini.
Tidak dinafikan, bukan semua suami begini. Malah ramai saja yang bertanggungjawab. Tapi yang masih beginilah perlu dibuka mata dan hati.
Suami kawan saya ni bukanlah jahat. Baik sangat orangnya. Peramah.
Tapi itulah… mentaliti bujang masih melekat kuat.
Selepas kahwin, sepatutnya mentaliti itu dah tak boleh disimpan lagi. Dia punya anak dan isteri.
Anak isteri bukan sekadar perlukan nafkah makan dan pakai. Emosi anak dan isteri juga perlu diisi.
Baru tahu bagaimana hidup yang tepu terkepung dengan anak-anak. Sambil badan dibanting tak henti sampai penat. Kesempatan nak bersosial jarang sangat dapat.
Apatah lagi untuk berhenti sebenar berehat.
Alam perkahwinan ini memerlukan kerjasama.
Dapat isteri yang rajin, Alhamdulillah. Syukur sangat. Tapi jangan kerana itu, tenaganya dikerah sampai hilang ayu.
Kalau rasa mereka mampu melayan kalian seperti raja, layanlah mereka seperti seorang permaisuri. Diurut, dibelai, dibelanja medipedi.
Tugas jadi ketua keluarga ni tak mudah. Ketua bukan duduk bersenang di atas takhta. Tapi mata perlu sentiasa mencari tugas rumah yang belum sempurna.
Selagi isteri tak habis buat kerja, selagi itu jangan fikir nak duduk saja. Cari apa lagi tugas yang perlu dibantu selesaikan.
Jangan tunggu si isteri menyuruh itu ini. Itukan tugas ketua.
Kalau tugas itu pun dibuat si isteri, tak hairanlah gadis ayu yang kita kenal dulu bertukar watak jadi singa betina.
Jangan cerita ‘zaman mak aku dulu elok je’.
Zaman mak kita, si suami berpanas di bendang atau menebang balak.
Zaman kita, si isteri pun turun padang mencari nafkah.
Jadi, biarlah adil dan sama-sama merasa susah.
Betul tak kawan?
Ikuti sunnah Rasulullah kita Muhammad SAW. Walaupun Baginda sibuk mentadbir ummah, bekerja, berperang dan berdakwah, tapi tugas membantu isteri tetap Baginda jalankan dengan penuh komited.
Itulah sunnah yang patut kita kejarkan. Sebelum sibuk cerita pasal sunnah poligami.
MW: Jangan ikutlah sunnah dengan berkahwin empat saja.