
Ibu Redah Asap Tebal Selamatkan Anak Sebelum Tingkap Bilik Meletup Dalam Kebakaran Rumah
Naluri seorang ibu nyata mengatasi segala ketakutan apabila seorang wanita nekad meredah asap tebal demi menyelamatkan anak bongsunya dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Padang Mawar, Kok Mak, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, Siti Nur Farhana Keaw, 38, berdepan detik mencemaskan apabila mendapati rumahnya sedang terbakar sebaik tiba di kediaman bersama dua anaknya menaiki motosikal.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat api sudah marak di bahagian dalam rumah sebelum menyedari anak bongsunya yang berusia tujuh tahun masih berada di dalam bilik tidur.
Tanpa berfikir panjang, dia terus masuk ke dalam rumah walaupun keadaan ketika itu dipenuhi asap tebal.
“Saya masuk tengok dalam bilik dah penuh asap. Saya buka tingkap dan masuk mencari anak saya. Memang saya tak nampak apa dah, cuma gagau-gagau sampai dapat tangan anak saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lebih mendebarkan, hanya beberapa minit selepas berjaya keluar menyelamatkan anaknya melalui tingkap, tingkap bilik tersebut dilaporkan meletup akibat bahang api yang semakin marak.
“Saya terus bawa dia keluar ikut tingkap. Dalam lima minit selepas kami keluar, tingkap bilik itu terus meletup,” katanya lagi.
Naluri Ibu Mengatasi Ketakutan

Kisah keberanian wanita itu nyata menyentuh hati ramai kerana sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi memastikan anaknya selamat dalam insiden kebakaran rumah tersebut.
Dalam situasi panik dan dipenuhi asap tebal, Siti Nur Farhana mengakui dia langsung tidak memikirkan keselamatan diri sendiri ketika masuk ke dalam rumah.
Apa yang bermain di fikirannya ketika itu hanyalah mahu menyelamatkan anaknya yang masih tidur di dalam bilik.
Namun dalam usaha menyelamatkan diri, dia dan anaknya turut mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika keluar melalui tingkap rumah berkenaan.
Walaupun berjaya menyelamatkan anak, semua barangan termasuk dokumen penting gagal diselamatkan kerana api merebak terlalu pantas.
“Kad pengenalan, beg dan barang lain semua tak sempat ambil. Dalam sekelip mata saja habis terbakar,” katanya dalam keadaan sedih.
Rumah Musnah Hampir 90 Peratus

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar, PBK I Marziadi Mahmud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran rumah tersebut pada jam 6.01 petang.
Susulan itu, anggota bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman api.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan dua aliran hos dan empat pancutan air daripada tangki jentera untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Keadaan api yang marak menyebabkan sebahagian besar rumah gagal diselamatkan.
Setakat ini, punca sebenar kebakaran rumah tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa termasuk jumlah kerugian dialami keluarga berkenaan.
Ramai Tersentuh Dengan Pengorbanan Seorang Ibu
Kisah keberanian Siti Nur Farhana mula mendapat perhatian ramai selepas video dan gambar kejadian tular di media sosial.
Anda mungkin berminat dengan
Ramai netizen meluahkan rasa sebak melihat pengorbanan seorang ibu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan anak dalam situasi cemas.
Tidak kurang juga yang memuji tindakan pantas wanita itu kerana kemungkinan besar nyawa anaknya tidak dapat diselamatkan jika dia terlambat beberapa minit.
Hakikatnya, naluri seorang ibu sering kali membuatkan mereka menjadi luar biasa ketika anak berada dalam bahaya.
Dalam banyak kejadian kebakaran rumah, antara perkara paling menyedihkan ialah kehilangan tempat berteduh dan segala harta benda yang dikumpul bertahun-tahun.
Namun bagi ibu ini, apa yang paling penting adalah keselamatan anak-anaknya.
Tragedi tersebut juga menjadi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan rumah berada dalam keadaan baik termasuk penggunaan elektrik dan laluan kecemasan.
Dalam masa sama, ramai turut berharap keluarga ini diberikan kekuatan untuk melalui ujian berat selepas kediaman mereka musnah hampir sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
Sumber: Buletin TV3
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

