Ibu dan anak rentung dalam kebakaran rumah, terperangkap di ruang tamu berhampiran pintu keluar. Tidak pernah terlewat sesaat dan tidak pernah tercepat walau sedetik. Ajal akan tiba pada waktunya suatu ketetapan yang telah tertulis sejak azali buat semua hambaNya.
Satu tragedi kebakaran di Taman Rathna, Butterworth pagi Rabu semalam cukup menyayat hati bila mana seorang ibu ditemui rentung bersama anak angkatnya berusia sekitar 4-5 tahun. Lebih menyedihkan, kedua-duanya ditemui di ruang tamu rumah berhampiran pintu keluar dalam rumah yang hampir terbakar keseluruhannya.
Arwah dikenali sebagai Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an serta anak angkatnya Andra ditemui di ruang tamu rumah mereka pada jam 10.59 pagi oleh pasukan bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman.
Ads
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, kejadian yang dilaporkan pada jam 9.41 pagi itu melibatkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan sekitar 85 peratus.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bersama bantuan BBP Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas tiba di lokasi pada jam 10.06 pagi sebelum melaksanakan operasi penyelamatan dan pemadaman secara ofensif serta defensif.
Ads
Seorang lagi mangsa, dipercayai anak kandung wanita berkenaan berusia lingkungan 20-an, berjaya diselamatkan walaupun cedera selepas ditemukan berhampiran pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi. Seramai 20 anggota dengan empat jentera termasuk FRT dan EMRS terlibat dalam operasi tersebut. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Kami sekeluarga hanya mampu merancang, tetapi ALLAH menentukan segalanya.”
Demikian luahan penuh sebak ahli keluarga Allahyarham Muhammad Harish Aiman Mat Zahid, 25, yang dikongsikan menerusi satu hantaran di TikTok susulan pemergian mengejut arwah yang baharu sahaja sebulan bergelar suami. Kata-kata ringkas itu mencerminkan kesedihan mendalam yang terpaksa ditanggung oleh keluarga dan isteri arwah dalam sekelip mata.
Kegembiraan yang baru dikecapi penghantar barangan itu berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuchai Lama pada 8 Disember lalu. Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba dan meragut kebahagiaan yang baru dibina oleh pasangan muda berkenaan.
Allahyarham Muhammad Harish Aiman disahkan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada keesokan harinya, 9 Disember 2025, kira-kira jam 7.11 pagi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Insiden pengantin baru maut kemalangan itu turut menarik perhatian ramai apabila rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial, khususnya di TikTok. Rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik oleh pengguna media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang rata-rata meluahkan rasa simpati dan sedih terhadap nasib arwah serta keluarganya.
Ramai juga menggesa agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Menurut ahli keluarga, Allahyarham telah melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, pada 7 November lalu dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Pahang. Pasangan itu dilihat bahagia dan sedang merancang kehidupan sebagai suami isteri.
Namun, kebahagiaan tersebut tidak berpanjangan apabila takdir memisahkan mereka terlalu awal.
Lebih menyayat hati, majlis bertandang bagi pihak lelaki yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember lalu terpaksa dibatalkan ekoran tragedi tersebut.
“Untuk majlis pihak lelaki sepatutnya pada 13 Disember, tetapi hajat arwah tidak tercapai,” tulis ahli keluarga arwah dalam hantaran berkenaan.
Difahamkan, segala persiapan perkahwinan termasuk barangan hantaran dan cenderahati majlis disediakan sendiri oleh Allahyarham Muhammad Harish Aiman dan telah pun siap sebelum kejadian menyedihkan itu berlaku.
“Hantaran semua hasil air tangan arwah sendiri. Tak sempat arwah nak merasa semua barang hantaran.
“Kad nikah pun baru siap tapi arwah tak sempat nak tengok,” luah ahli keluarga arwah lagi.
Kenyataan itu menambah lagi kesedihan ramai, apabila menyedari bahawa pengantin baru maut kemalangan ini pergi tanpa sempat menikmati kehidupan berumah tangga yang baru sahaja bermula.
Dalam masa sama, ahli keluarga Allahyarham turut merayu agar keadilan dapat ditegakkan buat arwah serta berharap individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
“Semoga kita semua doakan agar keadilan tercapai untuk arwah. Kami juga berharap pelaku tampil berani untuk memberi keterangan dan bertanggungjawab atas perbuatannya,” katanya.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan kemalangan maut yang berlaku pada 8 Disember lalu melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penularan rakaman kamera papan pemuka kejadian tersebut yang dimuat naik di TikTok dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab.
“Saya Bekerja Cari Duit Sendiri” Uqasha mendakwa dirinya bekerja keras membeli susu serta lampin pakai buang anak.
Itulah luahan dari Uqasha Senrose yang meluahkan dirinya tidak mampu lagi berdiam diri dan mendakwa suaminya, Kamal Adli gagal tunaikan tanggungjawab dalam memberikan nafkah yang mencukupi buatnya dan anak sepanjang perkahwinan mereka.
Uqasha dan Kamal sudahpun mendirikan rumah tangga selama empat tahun. Akuinya seperti mana dipetik menerusi Kosmo Online, Uqasha menyatakan dirinya terpaksa bekerja keras bagi menanggung keperluan keluarga terutama bagi membeli susu serta lampin pakai buang untuk Hawra Uqaira.
“Saya tahu macam mana culasnya dia tentang nafkah. Dia tak bagi saya nafkah (mencukupi).
“Itu (hal) yang saya tak sentuh lagi. Kalian kata kononnya dia bekerja. Netizen kata kerja nak cari nafkah untuk kau.
“Tak! Saya cari, saya bekerja cari duit saya sendiri,” ungkap Uqasha.
Uqasha turut memberitahu dirinya yang membeli kelengkapan pakaian anaknya hingga sekarang.
“Saya yang besarkan Uqaira, saya beli bajunya sampailah dia besar sekarang.
“Diapers (lampin), susu, semua saya. Walaupun sewa rumah, saya yang beli semua benda itu,” ujarnya yang turut menafikan dirinya mempunyai masalah mental.
Ustazah Marhamah Rosli pencetus #justice for zara qairina dilantik Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama. Rombakan kabinet dari Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi menyaksikan Ustazah Marhamah Rosli yang mencetuskan gelombang #justiceforzara dilantik sebagai Timbalan Menteri Agama bergandingan bersama Menteri, Dr Zulkifli Hassan.
Banyak berkongsi update terkini tentang inkues kematian pelajar tingkatan satu itu, Zara Qairina atas nasihat peguam, lantikannya sudah pasti membawa sinar baru dalam dakwah kerana beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah.
Masa yang sama, Ustazah Marhamah Rosli merupakan penceramah bebas dengan Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Negeri Sabah. Beliau juga merupakan penceramah tetap seminar motivasi Al-Quran SOUL TO SOUL selain Pengasas Jenama Soul to Soul & Mahabbah Muslimah. Keterlibatannya dalam badan kebajikan menyaksikan dirinya merupakan pengasas sekolah anak-anak asnaf – Pusat Pendidikan Bayu Raudhah Sabah.
Pernah dianugerahkan Wanita Inspirasi 2024, Ustazah Marhamah yang merupakan pemegang Ijazah Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga pernah menerima Anugerah Pembangunan Modal Insan 2024 selain terpilih Ikon Wanita Motivasi & Inspirasi 2023 (Daerah Tawau).
Dalam hantaran pagi tadi di facebooknya, Ustazah Marhamah berkongsi tentang ujian kesabaran.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan sedikit nilainya, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas Lubnan selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.