Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
Ads
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Sentiasa mendapat sokongan suami dan keluarga
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
Ads
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Ads
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Susah sangat kah nak layankan emosi keinginan seorang isteri? Bukan dia minta macam-macam pun.. cuma nak ambil gambar bersama suami tercinta saja. Lagipun, dengan cara inilah isteri akan rasa lebih bahagia dan dihargai suami.
Sebab itulah, kalau isteri Akhtar Syamir (BroOhsem) ini minta ambil gambar berdua dengannya, dia tak menolak. Diturutkan saja, asalkan isteri rasa tenang. Bila isteri tenang, hatinya senang. Nanti suami pun akan rasa bahagia sama.
Catatan suami ini ringkas saja, tapi ‘deep’ maksudnya. Bagus cara suami ini melayan emosi isterinya, Nora Azni. Jangan pula sebab nak bergambar isteri dicop mengada. Sedih sangat bunyinya tu.
Layankan Lah Kalau Isteri Nak Ambil Gambar Bersama
Kepada suami semua. Kalau isteri nak ambil gambar bersama tu layankan la. Bukannya selalu. Tak rugi pape pun.
Ini tidak, ada yang sampai nak bergaduh bila nak bergambar. Lepas tu kalau bergambar pun payahnya la nak senyum. Nak pegang lengan pun tak bagi. Inikan pula nak pegang tangan.
Kesian la kat isteri tu. Dia happy dengan kita. Dia nak abadikan waktu indah tu dengan kita. Kenapa susah sangat nak layankan keinginan dia tu? Bukan kena keluar duit bagai.
Naluri isteri ingin saat yang bahagia diingati. Bila tengok kawan – kawan bergambar ceria, sweet, cantik bersama sang suami, saya yakin fikiran isteri terus bayangkan suami dengan diri dia dalam situasi yang sama.
Sekeping Gambar Yang Boleh Menceriakan Hati Isteri
Bukan untuk menunjuk – nunjuk keluarga bahagia ke apa. Gambar bersama pasangan dan keluarga adalah satu benda yang positif. Satu gambar yang cantik boleh menceriakan hati isteri kita untuk jangka masa yang lama. Isteri yang ceria akan menjadikan keluarga yang ceria. Lagipun, berkongsi sesuatu yang positif jarang sekali akan mendatangkan kemudharatan.
Kongsilah kebahagiaan dengan semua orang asalkan dengan cara yang tidak melampau, In Shaa Allah ia akan mendatangkan kebaikan buat semua.
Suami semua, senyumlah, peganglah erat isterimu. Ceriakan wajahmu. Demi si dia. Yang mencintaimu selamanya.
Yang mana belum berpunya pula, janganlah jadikan ianya satu perkara yang negatif, cuba ambil yang positif dan tanamkan dalam hati yang suatu hari nanti, aku juga akan sebahagia ini. Be strong ok?
Apa kata korang semua kongsi gambar sweet muweet dengan pasangan korang kat komen. Kita sama – sama kongsi kebahagiaan kita.
Andai kata ada anak-anak yang tetiba terkencing dalam seluar, mak-mak patut risau dan tanya anak kenapa situasi itu berlaku. Tambah pula kalau anak itu duduk dengan orang, yang mana kita tak tahu apa berlaku waktu anak tak ada depan mata.
Haaa… paling takut kalau anak-anak itu ada terkena macam pesakit Doktor Hana ni, baru umur 6 tahun dah jadi mangsa cabul!
Allahu… rabak hati mak-mak kalau perkara ni berlaku pada anak sendiri. Apa yang patut mak ayah buat, ikuti perkongsian doktor ini.
Kes Terkencing Dalam Seluar
Satu petang tu, ada seorang ibu bawak anak perempuan datang ke klinik.
Nampak dua-dua macam sihat walafiat. Musykil jugak, sakit apa agaknya ni.
Anak dia dah 6 tahun. Comel dan montel.
Lepas tu si ibu pun mulakan bicara.
“Tadi, anak saya ni terkencing dalam seluar Dr. Dia cakap, tempat kencing dia sakit, ada anak jiran pengasuh buh jari dalam tu”
Zass.
Bagai terhiris hati saya.
Tapi depan patient, remain cool as always.
Adik cuba cerita kat Dr, tadi apa jadi?
Si adik ni senyap je. Tapi masih tersengih sengih. Mata melilau tengok sana sini.
Saya pegang dia, tanya
“Sakit ke kat tempat kencing?”
Adik angguk.
Saya sambung,
“Tadi kawan buat apa kat tempat kencing?”
Adik cakap “Dia korek”
Mak patient mencelah, “Tak taula Dr, tapi banyak kali tanya, jawapan sama jugak dia bagi. Takkan dia nak menipu, sebab duk jawab benda sama. Lagipun dah besaq ni dia tak penah terkencing dalam seluaq. Tadi tu agaknya dia tahan kencing sebab sakit. Risaulah saya Dr”
Hati ibu mana yang tak luruh, jantung mana yang tak gugur bila balik dari rumah pengasuh anak cerita “Ada kawan lelaki korek tempat kencing.”
Kisahnya, adik ni main kat rumah jiran pengasuh. Main dengan budak-budak lelaki, dia sorang je perempuan. Lepas tu anak jiran tu, budak lelaki umur lingkungan 12-13 tahun, ajak masuk bilik.
Ada ramai je lagi ahli keluarga kat ruang tamu masa kejadian tu berlaku, tapi maybe diorang ingat budak-budak ni masuk bilik nak main biasa-biasa. Rupanya ada “permainan kotor luar biasa”. Baru awal belasan tahun, tapi dah pandai mencabul. Agaknya usia macam ni korek-korek, lagi berapa tahun apa pulak yang dia buat kat anak dara orang.
Allahu rabbi.
Saya kesian.
Kesian kat adik kecil yang tak tau apa-apa tu.
Kesian kat ibunya yang penat keluar cari rezeki sampai kena tinggalkan anak pada pengasuh, tapi akhirnya ini yang terjadi.
Kesian kat budak lelaki tadi, yang mungkin tak tau benda tu salah. Mungkin dia tak pernah terima didikan sewajarnya. Mungkin dia terdedah pada benda-benda yang tak sepatutnya.
5 LANGKAH PENCEGAHAN UNTUK ELAK KEJADIAN NI BERLAKU
Apa yang kita sebagai mak ayah boleh buat untuk elakkan benda ni dari berlaku?
1. Didik Anak Sejak Kecil
Ajar anak lelaki untuk hormat perempuan.
Ajarkan anak perempuan maruah diri.
Suburkan pendidikan agama dan nilai murni sewajarnya.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk pagi petang siang malam. Sampai tak tau anak-anak buat apa kat rumah, belajar apa dengan kawan, tengok apa kat smartphone.
Be your kids’ best friend and mentor.
2. Sentuhan Selamat Dan Tak Selamat
Ajarkan anak-anak kat mana boleh pegang, kat mana tak boleh sentuh. Ingat, bukan anak perempuan je boleh jadi mangsa. Anak lelaki pun kena ajar sama.
Bagi kanak-kanak lelaki, ini private partnya: Alat sulit, punggung, bibir dan dada.
Bagi anak perempuan: Anggota kelamin, punggung, bibir dan dada.
3. Dah Kena Nak Buat Apa
Kalau ada yang sentuh juga kawasan larangan, nak buat apa? Ajarkan anak untuk jerit, lari dan adu. Jangan diam, jangan pasif.
4. Term Mesti Betul
Ajarkan anak-anak term yang betul untuk faraj dan zakar. Jangan guna “angry bird”, “bunga”, “yu”, “pepek” dan sebagainya. Ini penting sebab kalau terjadi apa-apa dan melibatkan pihak polis/mahkamah etc, keterangan yang jelas perlu diambil.
5. Mak Ayah Pun Agak-agaklah
Mak ayah jangan buat aksi-aksi “cintan-cintun” depan anak-anak. Tunjukkan kasih sayang dan kemesraan tu boleh, tapi paham-pahamlah. Aksi yang kurang sesuai jangan ditunjuk ke anak-anak. Ada budak berumur 6-7 tahun dah pandai tiru aksi ranjang “ibu ayah” dan buat bersama kawan di sekolah tadika. Nauzhubillah.
3 PERKARA YANG MAK AYAH PERLU BUAT JIKA ANAK-ANAK MENGADU DICABUL/SEUMPAMANYA:
1. Bertenang
Cuba berlagak tenang. Memang hati kita bergelora, jantung bagai nak meletup, marah, risau, sedih semua bercampur. Of course kita sangat concern, tapi jangan panik dan kalut. Kalau mak ayah tunjukkan drama, anak-anak mungkin lebih trauma.
2. Doktor
Bawa ke doktor untuk pemeriksaan. Nak tahu jika ada kecederaan yang serius. Bukan saja kecederaan di private parts, tapi doktor juga perlu address kecederaan #emosi, kemudian rujuk kepada pakar yang berkenaan jika perlu.
3. Polis
Laporkan pada pihak yang sewajarnya. Tak perlu meroyan di media sosial. Silap haribulan yang meroyan ni pulak dianggap bersalah nanti. Padahal kita di pihak yang teraniaya. Biar pihak polis yang lakukan siasatan.
Jangan diamkan walaupun ia berlaku di kalangan keluarga sendiri. Sebab kalau kita tak report, si pelaku mungkin bebas mencari dan membaham mangsa seterusnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Berapa lama dan kerap anda dan pasangan melakukan hubungan intim?’Mungkin pertanyaan ini agak sensitif bagi pasangan suami isteri. Tapi, itulah yang perlu suami isteri tahu kendalikan supaya tidak berlaku ‘kelambu dingin’. Sehingaakan boleh mencari punca pergaduhan dalam rumah tangga.
Kelambu dingin, ia boleh berlaku kepada sesetengah pasangan apabila diri rasa penat, letih, ‘mati putik’ bagi isteri dan ‘mati pucuk’ bagi suami. Keadaan inilah boleh membawa kepada hubungan intim yang tidak ‘seronok’. Kadang-kadang, bila lama berkahwin pun, hubungan intim makin kurang dan rasa dingin saja.
Dalam hal ini, hubungan intim suami isteri bukanlah diletakkan sebagai satu keutamaan tapi sebenarnya adalah kunci dalam rumah tangga. Namun, ia juga boleh menjadi salah satu masalah dan pergaduhan yang boleh sampai ke tahap perpisahan bila ada masalah ‘kelambu dingin’.
Mengupas tentang lebih lanjut ‘Kelambu Dingin ini, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Pengasas Bijak Emosi Dan Kaunselor Keluarga telah diundang dalam rancangan ‘Borak Kelamin’ untuk menceritakan tentang permasalahan dan jalan penyelesaian untuk mengembalikan kelambu dingin menjadi lebih hangat buat pasangan suami isteri.
Kebanyakan masalah ‘kelambu dingin’ berlaku kerana sikap pasangan itu sendiri. Baik suami mahupun isteri. Boleh jadi juga, masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami itu membuatkan hormon libido rendah dan seterusnya tiada keinginan untuk ‘bersama’.
Ada beberapa tanda yang biasa dialami oleh pasangan bila berlakunya ‘tiada keinginan’ bersama, contohnya suka mengasingkan diri, mugnkin sebab depresi, pengambilana ubat atau boleh jadi masalah di tempat kerja.
“Ada sesetengah tempat kerja yang mana ketua atau orang sekeliling yang bercakap ‘sensor’. Inilah yang membuarkan pasangan mula tertekan, tiada keinginan dan menjurus kepada rendahnya libido”.
Fahami Keadaan Suami Atau Isteri
Semua ini berbalik kepada suami isteri itu sendiri. Dikatakan sudut pandangan lelaki dan perempuan berbeza terutamanya dalam hubungan intim suami isteri. Biasanya:
Perempuan – Dia kena love baru make love dalam menghangatkan hubungan intim.
Lelaki – Ada make love baru ada love.
Bagi suami, bila ‘tidak dapat’, mulalah berceritakan tentang tanggungjawab dan layanan. Sebab dikatakan keperluan dan keinginan hubungan intim lelaki seperti ‘makan’. Jika tidak diberi ‘makan’, emosinya tidak stabil dan mulalah rasa cepat marah. Jadi, di sinilah tugas isteri sebagai pengurus seksual suami.
Walau bagaimanapun, dalam hal ini, suami kenalah mainkan peranan untuk uruskan emosi isteri terlebih dahulu. Jangan hanya untuk kesoronokan seorang diri, kena fikir emosi isteri sendiri yang kadang-kala menolok kerana penat, letih uruskan kerja rumah dan sebagainya.
Kembalikan Kehangatan
Apa yang boleh dikatakan, dalam hubungan intim suami isteri dan mengelakkan berlakunya kelambu dingin, jangan malu untuk berbincang dari hati ke hati. Sebabnya keperluan hubungan intim suami isteri ini berbeza.
Cari penyelesaian, pendengan yang baik dan kongsi masalah. Paling penting adalah komunikasi antara suami isteri.
Dalam episod Kelambu Dingin ini juga, Ramona Zamzam turut diundang untuk berkongsi pendapat dan mungkin masalah ini juga pernah berlaku dalam rumah tangganya.
Antara perkongsian dan komen dalam Facebook Ddan Twitter Minguan Wanita.
Bagi yang ketinggalan untuk menonton sebelum ini, saksikan siaran ulangan pada setiap Jumaat jam 12.00 tengah hari di Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 124.
Jangan lupa saksikan Borak Kelamin yang disiarkan pada setiap hari Isnin, jam 9,00 malam di Astro Ria 104 dan Ria HD 124. Episod menarik pada minggu hadapan: Janda Duda Rebutan.