Poligami Manis Bagi Suami, Pahit Bagi Isteri Bila Suami Acah-Acah Mampu!

Poligami sentiasa menjadi polemik, pihak yang pro dan kontra saling menunjuk hebat dengan segala dalil dari pelbagai kitab rujukan.

Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/DatoMurshidDiRajaDr/

isteri Cuba Faham Dan Terima

Isteri cuba menghadam apa yang difahami suami tentang poligami, dia ternganga mendengar kawan-kawan suami memperlekehkan dirinya sebagai wanita jahil yang tak faham sunah poligami.

Dia wanita yang baru kenal agama, baru pandai menghadam satu dua hadis, baru lurus lidahnya membaca al-Fatihah tiba-tiba dipaksa untuk menerima dalil seolah-olah poligami itu wajib, sesiapa tidak menerima maka dia sesat!

Poligami Manis Bagi Suami, Pahit Bagi Isteri Bila Suami Acah-Acah Mampu!

Poligami Dijadikan Indah Pandangan Dtutupi Kepahitan

Mengapakah tuduh isteri menolak sunah? Padahal isteri mengakui poligami adalah syariat Allah begitu juga monogami, tiada siapa menolak sunah. Berhati-hatilah dalam isu poligami, jangan berbangga dan riak tayangkan kemampuan kerana ia satu ujian! Bagaimanakah Iblis membelit dalam isu poligami?

Tiada siapa yang menafikan nikmat tertinggi bagi lelaki adalah berhubungan intim, apa-apa pun kononnya niat suci kerana Allah itu semua datang selepas niat pertama diperoleh. Oleh itu lelaki cuba memanipulasi untuk niat berahinya. Ia tidak salah, asalkan suami memahami cara mendapatkan kenikmatan itu mesti ikut syarak.

IKLAN

Tak Layak Poligami Tapi….

Sudahlah badan ada penyakit, harta tidak banyak, anak isteri yang pertama pun tak selesai hal nafkah, tiba-tiba boleh pukul isteri tua yang menolak dipoligami, kononnya nusyuz?

Tengoklah betapa belitan iblis itu sudah kemas di leher si suami; iblis  mempengaruhi dirinya untuk memaksa isteri. Iblis kata semuanya manis, tidak ada yang pahit dalam bermadu. Buktinya orang-orang soleh zaman Nabi s.a.w boleh buat, kenapa aku tidak?

Bandingkan Dengan Isteri Rasulullah Dan Sahabat 

Dia tak tanya, siapakah orang soleh zaman Nabi itu? Apakah kesabaran dirinya boleh disamakan dengan mereka, imannya boleh dinaiktarafkan seperti mereka, ilmunya setanding dengan mereka? Apakah isterinya ada kekuatan sepertimana isteri para sahabat? Apakah amal ibadah isterinya cukup untuk menampung kebocoran hati akibat cemburu buta?

Jika seorang ummul mukminin semulia Aisyah RA berasa cemburu sehinggakan membuat pakatan untuk menjatuhkan isteri-isteri Nabi yang lain, apakah boleh bagi isteri kamu menghadapi kecemburuan itu dengan iman senipis bawang, ilmu secetek air longkang kekeringan, akhlak serapuh ranting kayu bila dibakar api cemburu?

IKLAN

Memang hakikatnya poligami indah, tapi pelakunya yang memburukkan wajah poligami ini disebabkan dia tidak layak memikul bebannya.

Ujian Bertubi-Tubi Buat Isteri

Wahai isteri, semangat yang tinggi mahu menerima sunah sebagai jalan hidupmu tidaklah cukup tanpa mujahadah kerana akan ada suara-suara yang cuba melunturkan niatmu dari jalan Allah.

Mereka akan berkata: “Setelah berpoligami, baru kau tahu rasa remuknya hati bila disakiti! Senang saja nak cakap move on. Macam mana nak kikis kerak benci, dendam dalam hati? Menangislah selagi kau boleh berasa tenang, takkan hilang bayang-bayang kecemburuan kau selagi belum bercerai! Akan datang wanita-wanita yang cuba mencari-cari kelemahan suami dan diri kamu. Mereka berkata: “Awak tak cemburukah, madu dapat lebih, anak daralah kan? Malam-malam awak boleh tidurkah kalau suami giliran di sana? Apa rasa bila suami marahkan awak, sedangkan isteri muda dipuja-puji?

IKLAN

Cemburu Isteri Bila Poligami

Setaat-taat wanita beriman, terlontar juga kata-kata nak mati bila dapat tahu suami berkahwin lain. Tak percaya? Bukankah ia perkataan yang dilafazkan ummul mukminin Aisyah yang cemburu kepada madunya?

Diriwayatkan daripada Aisyah, dia berkata: Rasulullah s.a.w apabila hendak melakukan perjalanan, baginda mencabut undi untuk isteri-isterinya. Keluarlah nama Aisyah dan Hafsah untuk bermusafir bersama Rasulullah s.a.w. Suatu malam baginda keluar bersembang-sembang bersama Aisyah sambil berjalan-jalan. Hafsah berkata kepada Aisyah: Mahukah kamu malam ini menunggang untaku dan aku menunggang untamu supaya kamu boleh melihatku dan aku boleh melihatmu? Aisyah berkata: Baiklah. Kemudian Aisyah menunggang unta milik Hafsah dan Hafsah menunggang unta Aisyah. Kemudian datanglah Rasulullah kepada unta milik Aisyah yang dinaiki Hafsah, mengucapkan salam kepadanya dan berjalan bersama sampai keduanya turun kembali. Tiba-tiba Aisyah merasa kehilangan Rasulullah s.a.w dan cemburu. Ketika mereka turun berhenti, Aisyah menendang-nendang kakinya ke rumput izkir yang harum baunya sambil berkata: Wahai Tuhanku, semoga ada kala jengking atau ular yang menggigitku sedangkan aku tidak dapat mengatakan apa-apa kepada Rasul-Mu.” (Hadis riwayat Muslim)

Boleh Bawa Mudarat

Cinta itu boleh memudaratkan jika manusia tidak dapat mengawal perasaan. Kegilaan seseorang disebabkan cemburu boleh mendatangkan bahaya jika akal dan perasaannya kalah dalam belitan iblis. Bukan mudah berpoligami, hanya mereka yang sabar dan tebal iman mungkin boleh selamat. Ya mungkin kerana ramai yang bergantung pada kekuatan iman akhirnya gagal juga.

Oleh itu segala pergantungan hendaknya dikembalikan kepada kuasa-Nya, qada dan qadar-Nya semata! Apakah anda masih mahu riak menayangkan poligami, bukankah ia ujian mengapa mahu dibangga-banggakan? Sepertimana nasihat Rasulullah kepada Aisyah apabila diserang cemburu, takutlah kamu kepada Allah wahai Aisyah!

https://www.mingguanwanita.my/poligami-tak-mudah-isteri-yang-ada-sekarang-kau-kena-jaga-sungguh/

https://www.mingguanwanita.my/kisah-poligami-tak-nak-bermadu-bukan-alasan-untuk-cerai/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI