
Pemilik Rocky berdepan dua pertuduhan, didakwa tarik anjing hingga kesakitan & pelihara tanpa lesen.
Pemilik seekor anjing dikenali sebagai Rocky berdepan dua pertuduhan selepas didakwa menarik haiwan itu sehingga menyebabkan kesakitan serta memeliharanya tanpa lesen sah, bulan lalu.
S Roghini Devi, 42, seorang suri rumah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Pemilik Rocky Berdepan Dua Pertuduhan

Dalam kes sama di Mahkamah Sesyen, seorang penghantar barang, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjerut anjing jantan sama menggunakan tali loop sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.

Di hadapan Hakim Mujib Saroji, Roghini didakwa secara tidak munasabah telah menarik anjing sama sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.
Muhammad Shah Idham pula didakwa secara tidak munasabah telah menjerut anjing jantan berkenaan menggunakan tali loop sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan tersebut.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Julai antara jam 11 hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Memetik laporan Berita Harian, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap Muhammad Shah Idham dan Roghini serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke JPV Selangor sekali sebulan.
Muhammad Shah Idham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Roghini diwakili peguam Jeremy Vinesh Anthony, dengan masing-masing memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan minimum sebanyak RM3,500.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan masing-masing sebanyak RM6,000 dan kedua-duanya perlu melaporkan diri ke JPV Selangor sebulan sekali.
Pemilik Rocky Didakwa Bela Anjing Tanpa Lesen
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Roghini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing melebihi umur tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Anda mungkin berminat dengan
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di alamat sama pada jam 10.50 malam, 29 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Salman Al Farisi Nawawi mencadangkan jaminan RM2,000.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Jeremy memohon jaminan RM500 dengan alasan Roghini baru sahaja dikenakan jaminan RM6,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Majistret A Karthiyayini kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Sebutan semula bagi semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

