
Dalam jutaan ibu bekerjaya, pasti ada yang ragu-ragu dengan pengasuh anak. Berat hati atau mungkin trauma selepas membaca kisah dera dan kematian yang melibatkan penjaga anak di rumah dan taska.
Setiap kali keluar berita anak kena dera di rumah pengasuh atau taska, pastinya akan timbul kegusaran di kalangan ibu ayah yang tidak menjaga anak sendiri.
Wanita Kongsi Tanda Pengasuh Anak ‘Red Flag’

Baru-baru ini, seorang ibu yang dikenali sebagai Zulfahanani, telah berkongsi pendapatnya di Threads (@zulfahanani) berkenaan isu penderaan kanak-kanak oleh pengasuh.
Dia menegaskan penting untuk ibu ayah memilih pengasuh yang benar-benar mempunyai empati dan bukan hanya menghantar anak kerana harga murah atau tempat yang berhampiran rumah.
Wanita itu mengingatkan bahawa si kecil tidak boleh mempertahankan dirinya sendiri dan boleh terdedah kepada tindakan seseorang pengasuh yang mungkin mengalami burn out.
Perhatikan Tanda Red Flag Pengasuh & Perubahan Tingkah Laku Anak
Dia turut berkongsi red flag seorang pengasuh yang ibu ayah perlu cakna termasuk:
- Tidak membenarkan ibu ayah melawat rumah atau pusat jagaan secara mengejut.
- Sentiasa memberi alasan anak berkelakuan ‘nakal’.
- Anak tiba-tiba jadi terlalu takut tanpa sebab yang jelas.
- Terdapat lebam pada bahagian tubuh badan anak yang kurang jelas.
- Anak menangis setiap kali dihantar kepada pengasuh.
Apa yang paling penting, ibu ayah perlu percaya dengan kata hati mereka.
Dalam masa sama, Zulfahanani berkata ibu ayah perlu memerhatikan perubahan tingkah laku yang berlaku pada anak selepas dihantar kepada pengasuh.
“Anak kecil tak pandai cerita dia kena cubit, ditengking, diikat atau dihempas. Kadang perubahan perangai tu satu-satunya ‘bahasa’ yang dia mampu tunjuk,” katanya.
Di samping itu, dia turut berkongsi kesan kanak-kanak yang dimarahi dan ditengking setiap hari oleh pengasuh.
Katanya situasi ini bukan sahaja menyebabkan trauma, tetapi boleh memberi kesan kepada perkembangan emosi dan rasa selamat secara jangka panjang, khususnya buat mereka di bawah usia tiga tahun yang otaknya sedang pesat berkembang.
Pilih Rumah Pengasuh Atau Taska Ada Ciri-Ciri Keselamatan, Berdaftar Di Bawah JKM

Tambahnya lagi, ibu ayah perlu menjadi lebih cerewet ataupun picky apabila memilih pengasuh, antaranya termasuk bertanya tentang:
- Adakah kamera litar tutup (CCTV) dipasang?
- Berapa ramai kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh?
- Bagaimanakah pengasuh mendisiplinkan kanak-kanak?
- Apakah prosedur kecemasan yang dijalankan?
Dia juga berkongsi sikap yang ibu ayah boleh perhatikan apabila memilih seseorang pengasuh. Bukan sekadar pandai menguruskan kanak-kanak, tetapi juga bergantung kepada cara pengasuh bercakap, memberi respon saat menangis dan memegang si kecil.
Salah satu perkara paling penting adalah ibu ayah perlu mencari pengasuh atau taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ini kerana mereka tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak JKM, serta perlu mengikuti latihan dan kursus dalam bidang asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Jangan Judge Ibu Ayah Hantar Anak Pada Pengasuh, Tetapi Gesa Penglibatan Pihak Berkuasa
Mungkin ada yang menganggap lebih selamat sekiranya anak tidak dihantar kepada pengasuh sewaktu masih terlalu kecil, namun Zulfahanani mengingatkan bahawa sesetengah ibu ayah tiada pilihan selain kedua-duanya bekerja demi kelangsungan hidup keluarga mereka.
“Masyarakat kena berhenti judge ibu ayah bekerja, dan mula berjuang untuk sistem penjagaan anak yang lebih selamat,” katanya.
Wanita itu juga berpendapat memandangkan kes penderaan kanak-kanak telah kerap kali dilaporkan, malah sehingga menyebabkan kematian, ini bermakna ia bukanlah suatu isu terpencil.
Jadi, penting untuk masyarakat mula cakna dalam memastikan perlindungan kanak-kanak, termasuklah menggesa penglibatan berterusan daripada pihak berkuasa, antaranya:
- Pemantauan taska atau pengasuh.
- Latihan penjagaan kanak-kanak.
- Kesihatan mental pengasuh.
- Tindakan undang-undang yang lebih tegas.
Cara Kenal Pasti Lebam Pada Badan Anak Disebabkan Oleh Dera

Dia menutup perkongsiannya dengan menekankan bahawa bukan semua lebam yang terdapat pada anak disebabkan oleh terjatuh atau kemalangan lain.
“Tak semua lebam pada anak datang dari jatuh bermain. Dan itu yang paling menakutkan,” katanya.
Sebelum ini, doktor perubatan Dr Hadi Kamal, menerangkan ibu ayah boleh membezakan lebam pada badan si kecil sama ada disebabkan oleh kecederaan mahupun penderaan.
Anda mungkin berminat dengan

Bagi penderaan yang berlaku secara fizikal terhadap tubuh badan kanak-kanak, dia berkata ia kebiasaannya melibatkan bahagian tertentu termasuk:
- Pergelangan kaki hingga ke hujung jari, termasuk tapak kaki
- Pipi
- Leher
- Lengan bahagian atas
- Pergelangan tangan hingga ke hujung jari, termasuk tapak tangan
- Alat sulit
- Punggung
- Celah peha
- Peha
Dr Hadi turut berkongsi beberapa tanda lain bahawa si kecil mungkin mengalami penderaan emosi iaitu:
- Kerap mengigau atau mengalami mimpi buruk.
- Menjadi lebih clingy dengan ibu ayah.
- Kerap menangis.
- Tingkah laku impulsif.Menunjukkan tingkah laku tidak bersesuaian dengan umur seperti hisap jari dan terkencing di atas tilam.
Sebaiknya usah memandang remeh hal pengasuh, ibu ayah layak untuk memilih yang terbaik demi keselamatan anak-anak tersayang waktu keluar mencari rezeki. Usahakan sebaik mungkin dapatkan pengasuh yang berjiwa penyayang dan paling penting tidak berkira.

download sekarang!
