Ads

Kejayaan Tawan Spantik 7,027 Meter Bertukar Tragedi, Dr Asma Mushtaq Meninggal Dunia Dalam Perjalanan Turun

Dr Asma Mushtaq

Berjaya tawan puncak Spantik 7027 meter, Dr Asma Musthtaq meninggal ketika turun gunung.

Dr Asma Mushtaq berjaya menawan Puncak Spantik setinggi 7,027 meter. Satu pencapaian yang sepatutnya menjadi antara detik paling membanggakan dalam hidupnya. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila perjalanan turun pendaki wanita Pakistan berusia 34 tahun itu bertukar menjadi tragedi.

Ketika berada pada ketinggian kira-kira 6,400 meter, Asma mengalami kecemasan perubatan serius berkaitan altitud tinggi. Dua pemandu yang bersamanya berusaha memberikan bantuan dalam keadaan ekstrem namun doktor O&G yang berkhidmat di United Kingdom itu akhirnya meninggal dunia pada 20 Ogos 2026.

Lebih memilukan, jasadnya tidak dapat dibawa turun serta-merta akibat salji lebat. Cuaca buruk dan kedudukannya pada altitud melebihi 6,000 meter menyukarkan operasi. Beberapa percubaan awal terpaksa dihentikan sebelum sekumpulan pendaki tempatan mempertaruhkan nyawa untuk membawa Asma pulang selepas jasadnya terbiar di pergunungan lebih dari 10 hari.

Di sebalik tragedi itu, siapakah sebenarnya Dr Asma Mushtaq? Doktor yang menjalani kehidupan luar biasa antara dunia perubatan dan kecintaannya terhadap pergunungan.

Dr Asma Mushtaq
Dr Asma Mushtaq bukan asing dengan dunia pendakian dan pernah menyertai beberapa ekspedisi pergunungan sebelum mencabar Puncak Spantik setinggi 7,027 meter.

Siapa Dr Asma Mushtaq?

Berasal dari Lahore, Pakistan, Asma sebenarnya seorang doktor Obstetrik dan Ginekologi (O&G) yang membina kerjaya di United Kingdom.

Beliau berkhidmat di Birmingham Heartlands Hospital di bawah University Hospitals Birmingham NHS Foundation Trust (UHB). Kerjayanya banyak tertumpu kepada penjagaan wanita, ibu dan bayi.

Dr Asma Mushtaq
Dr Asma Mushtaq, 34, merupakan seorang doktor yang berkhidmat dalam bidang obstetrik dan ginekologi (O&G) di United Kingdom.

Pemergian Asma turut dirasai rakan-rakan sekerjanya. Pengarah Perubatan Perkhidmatan Kesihatan Wanita UHB, Dr Emma Stansfield, mengenangnya sebagai seorang doktor muda yang dihormati dan komited terhadap penjagaan pesakit.

Namun di luar rutin hospital, Asma mempunyai satu lagi kecintaan besar dalam hidupnya iaitu pendakian gunung.

Beliau aktif sebagai pengembara, vlogger dan pendaki serta sering mendokumentasikan pengembaraannya menerusi media sosialnya iaitu instagram @drasma.explores.

Ads

Asma bukan pendaki biasa. Antara pencapaiannya ialah pendakian musim sejuk Musa ka Musallah setinggi 4,076 meter dan Gondogoro Peak setinggi 5,585 meter selain mempunyai pengalaman ekspedisi di Rupal dan Arandu.

Malah pada 2024, beliau pernah mencari penajaan bagi merealisasikan satu lagi impian besar dalam hidupnya untuk menawan K2, gunung kedua tertinggi di dunia.

BERJAYA TAWAN SPANTIK, TRAGEDI KETIKA TURUN

Pada Ogos lalu, Asma menyertai ekspedisi lima pendaki wanita Pakistan untuk menawan Spantik atau turut dikenali sebagai Golden Peak di Banjaran Karakoram, Gilgit-Baltistan.

Bersama empat pendaki lain iaitu Zoni Aslam, Zaba Shigri, Shama dan Sohana, Asma akhirnya berjaya sampai ke puncak gunung setinggi 7,027 meter itu.

Menurut Alpine Club of Pakistan (ACP), Asma berada dalam keadaan baik ketika tiba di puncak.

Namun cabaran pendakian belum berakhir.

Ads
Dr Asma Mushtaq
Dr Asma Mushtaq, 34, merupakan seorang doktor yang berkhidmat dalam bidang obstetrik dan ginekologi (O&G) di United Kingdom.

Ketika turun pada ketinggian sekitar 6,400 meter, keadaan kesihatannya merosot apabila beliau mengalami kecemasan perubatan serius berkaitan altitud tinggi. Pemandu gunung yang bersamanya berusaha membantu namun Asma akhirnya meninggal dunia.

Beberapa laporan awal mengaitkan kematiannya dengan penyakit altitud tinggi. Bagaimanapun, ACP memaklumkan keadaan sebenar yang membawa kepada kematiannya perlu disiasat termasuk respons pihak yang mengendalikan ekspedisi tersebut.

SUKARELAWAN PERTARUH NYAWA BAWA ASMA PULANG

Selepas kematiannya, usaha membawa pulang jasad Asma menjadi satu lagi cabaran besar.

Salji lebat, angin kencang dan keadaan muka bumi menyebabkan beberapa percubaan menuju ke lokasi jasad berhampiran Kem 3 terpaksa dihentikan.

Sekumpulan pendaki altitud tinggi dari Shigar kemudian tampil menjalankan misi darat yang menurut ACP dibiayai sendiri oleh mereka.

Ads

Pasukan berkenaan memulakan pencarian sekitar pukul 3 pagi. Selepas hampir lapan jam mengharungi keadaan ekstrem, mereka akhirnya berjaya menemukan jasad Asma berhampiran Kem 3 pada ketinggian kira-kira 6,250 meter.

Anda mungkin berminat dengan

Dr Asma Mushtaq
Operasi membawa turun jasad dari altitud melebihi 6,000 meter berdepan risiko tinggi susulan keadaan muka bumi, salji tebal dan cuaca yang tidak menentu.

Misi itu bukan tanpa risiko. Operasi membawa turun jasad dari altitud melebihi 6,000 meter dianggap antara tugas paling berbahaya dalam dunia pendakian kerana pasukan penyelamat sendiri terdedah kepada kekurangan oksigen, cuaca tidak menentu serta risiko kemalangan.

Namun mereka berjaya membawa Asma turun secara berperingkat sehingga ke kem pangkalan.

20 HARI KEMUDIAN, ASMA AKHIRNYA PULANG

Cuaca buruk menyebabkan proses membawa pulang jasad Asma mengambil masa lebih lama. Selepas keadaan mengizinkan, jasadnya diterbangkan menggunakan helikopter ke Skardu sebelum dibawa pulang ke Lahore.

Pada 8 September 2026, 20 hari selepas meninggal dunia di Spantik, Dr Asma Mushtaq akhirnya disemadikan di tanah kelahirannya.

Dr Asma Mushtaq
Kejayaan Dr Asma Mushtaq menawan Puncak Spantik setinggi 7,027 meter bertukar tragedi apabila beliau meninggal dunia dalam perjalanan turun.

Kisahnya menjadi peringatan bahawa dalam dunia pendakian ekstrem, kejayaan sampai ke puncak hanyalah separuh daripada sebuah perjalanan. Pendaki masih perlu berdepan perjalanan turun ketika tubuh sudah keletihan, bekalan oksigen semakin tipis dan cuaca boleh berubah pada bila-bila masa.

Bagi mereka yang mengenalinya, Asma meninggalkan lebih daripada kisah sebuah tragedi di gunung.

Beliau seorang doktor yang mendedikasikan kerjayanya untuk menjaga wanita dan keluarga, tetapi dalam masa sama berani mengejar kecintaan serta impiannya sendiri.

Spantik setinggi 7,027 meter akhirnya berjaya ditawannya. Ia juga menjadi puncak terakhir dalam perjalanan hidup Dr Asma Mushtaq.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

Mangsa Nahas Helikopter

Mangsa Nahas Helikopter Dikenal Pasti, Barangan Peribadi & Tempat Duduk Bantu...

Sampai ajalnya, terkini polis mengesahkan identiti semua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang.