Kejadian yang berlaku di Bukit Mertajam ini, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya sebelum diselamatkan polis kelmarin, meninggal dunia petang semalam. Ketika ditemui mangsa mengalami kecederaan dengan kesan lebam pada kepala dan muka selain luka dan bernanah pada tangan serta kedua-dua kaki akibat didera majikannya di Taman Kota Permai. Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Mangsa yang dikenali sebagai Adelina, 21, daripada Medan, Indonesia dikatakan bekerja di negara ini hampir dua tahun, sebelum ini dirawat di Hospital Bukit Mertajam susulan kecederaannya yang agak serius.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang mengesahkan perkara tersebut berkata mangsa meninggal dunia jam 4.30 petang semalam di Hospital Bukit Mertajam.
Ads
Dua Beradik Ditahan
Susulan kejadian itu, dua beradik ditahan reman selama empat hari, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 39 dan 36 tahun bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
Sementara itu, dalam laporan sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah,Asisten Komisoner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian itu terbongkar apabila orang awam menghubungi pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam bagi memaklumkan mengenai nasib malang menimpa pembantu rumah berkenaan.
Ads
“Selepas menerima maklumat itu, pengadu pergi ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati pembantu rumah berkenaan sedang duduk di kawasan pagar luar rumah.
“Pengadu cuba berinteraksi dengan pembantu rumah itu tetapi dia dilihat dalam keadaan takut dan hanya mengangguk kepala apabila ditanya,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata,lelaki itu berjumpa dengan seorang wanita berusia 60-an dan bertanyakan mengenai perkara itu namun wanita itu mengingatkan supaya dia tidak masuk campur dalam urusan berkenaan.
Ads
Kes Disiasat Seksyen 324 Kanun Keseksaan
Katanya, tidak lama kemudian anak wanita berkenaan datang ke rumah dan membawa keluar mangsa.
“Pengadu telah menghubungi majikannya memaklumkan kejadian berkenaan sebelum mereka membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.
“Kita cuba mengambil keterangan daripada mangsa namun wanita terbabit masih lagi dalam keadaan takut dan enggan untuk berikan keterangan,” katanya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Buat para majikan yang mempunyai pembantu rumah, perlu ingat iya mereka juga merupakan seorang manusia.Janganlah melakukan perkara diluar batasan sehingga mampu mengakibatkan kecederaan secara fizikal sehingga membawa kematian.
Ibu ini, Juraini Kadir berkongsi kisah anaknya bernama Faris yang ditolak permohonan di beberapa buah sekolah, hanya kerana ada 1E dalam keputusan peperiksaan UPSR nya.
Tanpa putus asa, ibu ini usahakan bermacam cara agar anak diterima. Namun, rezeki anak tetap akhirnya ke sekolah tahfiz. Dan lihat keajaiban rezeki yang anak ini peroleh. Deep kisahnya.
Kerana UPSR 1E
12hb Mac 2019 adalah hari terakhir Abang Faris bersekolah di sini.
Hari terakhir sarung uniform sekolah
dan hari terakhir juga ibu meredah jalanraya dalam takut takut merempit hantar Abang Faris menuntut ilmu.
Berhenti sekolah.
Ya Abang Faris berhenti sekolah
Ada 1E Borang Pun Kami Tak Bagi..
Sebaik keputusan peperiksaan UPSR diperolehi, kami suami isteri menaiki motosikal ke sebuah sekolah agama di Tampin. Dalam perjalanan sekejap hujan sekejap panas akhirnya kami sampai juga.
Kerani bertanyakan keputusan UPSR Faris.
“Maaf ya, ada 1E borang pun kami tak bagi.”
“Tapi UPKK nya 7A 1B, PAJSK nya bagus,” kataku.
“Maaf ya, kami tetap tengok keputusan UPSR. PAJSK pun kami tak kira.”
Dalam hati tertanya tanya utk apa PAJSK ni kalau UPSR juga dipandang.
Untuk apa UPKK 7A 1B ni kalau keputusannya tak dijeling
Ya, untuk apa ujian J-Qaf tertera mumtaz disijilnya
Untuk apa aktif mewakili sekolah
Kalau semuanya hanya kertas yang tak berguna.
Berkuasa sungguh 1E ni. Jangankan nak mohon. Borang pun tak dapat nak pegang.
Apa yang E?
Bahasa Inggeris penulisannya E.
Kami tak patah semangat. Langkah diatur ke sekolah agama yang ke-2.
Ya dapat borangnya.
Syaratnya tiada E.
Tapi kami cuba.
Tak dapat juga.
Saya menulis surat rayuan.
Tiada balasan.
Mesej pertanyaan adakah rayuan saya diterima juga tiada balasan.
Sekadar blue tick.
Akhirnya saya hubungi sekolah.
Sekolah kata hubungi pengetua
Dan jawapannya tiada pengambilan pelajar lelaki lagi.
Sekolah agama yang ke dua pun begitu juga. Jawapan sama.
Dukacita beritanya.
Faris Termenung.. Sedih
Saya bagitau Faris, tak dapat sekolah agama.
Dia termenung. Sedih.
Itu kemahuannya.
Bersekolah di sekolah agama.
Minatnya lebih kepada agama.
Jadi saya cuba mohonkan untuk dia.
Setelah tak dapat ke mana-mana, Faris ke sekolah harian biasa.
Namun usaha saya tidak berakhir di situ saja.
Saya bertemu guru di sekolah itu.
Dengan harapan dapat mohon aliran KAA (kelas aliran agama)
Jawapan hampa.
Katanya ada ramai lagi senarai menunggu. Sedangkan saya tak buat permohonan pada mulanya.
Saya tak mohon kerana Faris berhasrat untuk tinggal di asrama sebagaimana abangnya. Oleh sebab itu saya tak mohon pun aliran KAA. Tak melalui proses temuduga dan sebagainya.
Tak mengapa.
Saya masih mengambil masa.
Mohon Pula Kelas Aliran Agama..
28hb Feb saya ke PPD.
Dilayan sangat baik di sana.
Saya bertanya bolehkah Faris memohon aliran KAA di sekolahnya.
Katanya tiada masalah kerana UPKKnya bagus. Lalu dia menghubungi pihak sekolah dan memaklumkan permohonan saya.
Saya bergegas pula ke sekolah.
Saya diminta membuat surat rayuan.
Keesokan harinya saya datang lagi bertemu pengetua bersama surat rayuan, kemudian Faris perlu melalui ujian bertulis dan hafazan.
Pagi itu juga Faris dipanggil untuk melalui ujian tersebut tanpa apa-apa persediaan.
Sehari selepas ujian, saya mesej guru yang menjalankan ujian.
Blue tick saja.
Mesej saya tidak berbalas.
Mungkin sibuk agaknya.
Bisik hati saya.
Seminggu berlalu.
Tiada jawapan.
Saya tidak sabar menunggu keputusan.
Terlalu lama dirasakan.
Lantas saya menghubungi beliau.
Katanya….
Faris tidak diterima kerana ada E.
Ya ada E.
1 je E
Itulah penulisan bahasa inggerisnya E.
Bukan bahasa Melayu,
Ya, bukan matematik,
Bukan juga sains.
Tapi E untuk bahasa inggeris penulisan.
Kerana 1 E itu dia gagal lagi untuk menempatkan diri di kelas aliran agama.
Faris Nak Masuk Tahfiz
Saya tertanya tanya.
Adakah aliran agama itu diajar dalam bahasa inggeris?
Saya sampaikan berita sedih kepada Faris.
Permohonannya di tolak.
Jawapan yang saya terima dari anak ini…
“Faris nak masuk tahfiz.”
Saya tenung wajahnya.
Tiada riak kecewa.
Tapi tegas suaranya..
Nekadkah dia?
“Ibu nak amik adik sekolah. Faris fikir dulu betul betul.”
Balik dari sekolah, saya panggil dia.
“Faris.”
“Tahfiz.”
Jawabnya pendek. Ringkas. Padat.
Ya dia nekad.
Saya hantar adiknya ke kafa, petang yg sama saya pergi ke tahfiz berdekatan. Meninjau-ninjau kalau kalau ada tempat untuk Faris.
Alhamdulillah masih ada kekosongan.
Bulanannya RM150. Akan kami usahakan. Belajar kitab dan hafazan Al Quran tetapi tiada akademik di sini. Tak mengapa. Yang penting minat dan kemahuan Faris kami sokong saja.
Ahad berikutnya kami bawa Faris ke pusat tahfiz untuk menjalani sesi temuduga lisan, hafazan,bacaan dan bertulis.
Beberapa hari penuh debaran menanti keputusan.
Alhamdulillah syukur Faris melepasi ujian.
“Faris, Faris dapat tau tahfiz tu.”
“Ye ke bu? Alhamdulillah..Alhamdulillah.” sambil dia menekup mukanya.
“Faris tak sabar nak botak bu.”
Senyum panjang dia.
Alhamdulillah..syukur.
Tak apa Faris.
Jangan bimbang jika manusia tak terima kita.
Tapi bimbanglah jika Allah tak terima kita.
Syukur Alhamdulillah. Tercapai hajat Faris nak sekolah agama. Belajar agama.
Jika Tertulis Bukan Rezeki Kita
Pagi esoknya saya bawa Faris ke pusat Tahfiz. Melihat asramanya, bertemu kawan kawan barunya.
Saya tanya.
Apa cita cita Faris? Doktor yang hafiz Al Quran ke?
“Faris nak jadi imam.”
Aamiinn ya rabbal alamin.
Nanti doakan ibu ya… doakan ayah.
Teruskan perjalanan Faris.
Susah payah akan kami usahakan.
Semoga impian Faris jadi kenyataan.
Aamiinn.
E bukan bermakna semua akan berakhir.
Moga E itu adalah satu perjuangan ke arah kemenangan.
Kita dah berusaha.
Kita dah cuba sedaya upaya.
Jika tertulis bukan rezeki kita
Tetap bukan jadi milik kita.
Tapi jika Allah dah tetapkan situ tempatnya
Tiada siapapun dapat mengubahnya.
Allah dah susun cantik perjalanan hidup Faris. Moga penghakhiran juga seindah perjalanan yang telah Allah aturkan.
Semoga di tahfiz itu menjadikan Faris lebih baik bacaan dan hafazan.
Faris memang anak baik.
Tak pernah tinggi suara dekat ibu.
Ibu redha ke atas Faris dunia akhirat.
Ya Allah,
Jagakan dia untukku
Apa saja yang ditakdirkan untuknya
Takdirkan jua dengan segala kebaikan, kesenangan dan kemudahan disepanjang kehidupan dunia akhiratnya.
Ajaibnya Rezeki Faris
Bila Faris cakap nak masuk tahfiz kami menung juga pada mulanya.
Maklumlah baru naik sekolah 3 bulan. Kami dah berhabisan perbelanjaan persekolahan dia dan 3 adik beradiknya yang lain. Yuran PIBG Faris pun kami dah siap bayar.
Bukan sedikit duit yang terpaksa dibelanjakan dengan 4 org anak. Uniform, kasut, segala buku, yuran asrama abangnya. Pendek kata berhabis untuk persekolahan anak-anak.
Tapi tak tahu mana kekuatan saya, dengan kehabisan duit simpanan dekat tangan saya nekad berhentikan persekolahan Faris setelah diterima masuk tahfiz.
Pusat Tahfiz pula maklumkan Faris diminta masuk mendaftar pada minggu itu juga. Tapi saya dan suami mohon seminggu penangguhan dengan alasan belum buat persediaan.
Bukan sedikit perbelanjaan untuk Faris. Dengan yuran pendaftaran, yuran bulanan, pembelian kitab serta pakaian , jubah, serban perlu dibeli cecah hampir seribu juga. Walhal jumlah yang lebih kurang sama kami sudah berhabis untuk dia masuk ke sekolah harian.
Tapi kan…Allah tak pernah tak sayang.
Selepas Kisah Faris Viral..
Dia tak biarkan cita-cita Faris terhenti disitu akibat masalah kewangan kami.
Setelah viral kisah Faris, seorang demi seorang hulurkan bantuan. Tanpa saya pinta, semuanya dengan niat kerana Allah. Saya menolak pada mulanya. Tapi suami kata kita jangan kufur nikmat. Ini rezeki Faris. Alhamdulillah segalanya menjadi indah.
Semua sumbangan betul-betul cukup untuk kegunaan kemasukan Faris. Tiada yang kurang. Sungguh Allah mencukupkan segala keperluannya.
Dan paling terharu seorang hamba Allah membantu menanggung yuran Faris sepanjang pengajian. Allahuakbar.. apa lagi yang hendak saya katakan. Sesungguhnya Allah membuka ruang dan jalan. Alhamdulillah syukur Ya Allah atas nikmat yang telah engkau kurniakan.
Terima kasih buat Tuan yang tidak jemu jemu bank in setiap bulan. Allah jualah saja membalas segala jasa Tuan. Pesanan saya pada Faris jangan lupa doakan Tuan dan yang lain juga.
Terima kasih pada semua yang membantu Faris sehingga ke hari ini. Terima kasih juga di atas segala doa yang terlalu banyak buat anakanda Faris.
Semoga semuanya dilimpahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik selalu, dilindungi di dunia mahupun akhirat. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas segalanya. Aamiinn.
Faris Nak Pimpin Ibu Masuk Syurga
Alhamdulillah, Tahfiz pilihan terbaik yang Faris ada. Dan sampai sekarang ibu masih ingat bila berkali ibu tanya Faris kenapa memilih tahfiz Faris senyum aje sampai Faris jawab Faris nak pimpin ibu masuk syurga.
Masa tu rezeki yang ibu nak masuk ke mulut rasa tangan tak terangkat. Airmata bertakung hebat. Nafas menjadi berat. Sungguh besar harapanmu. Terasa kerdil benar aku sebagai seorang ibu.
Dengan izin Allah syukur sekarang Faris telah dapat menghafaz beberapa juzuk. Moga Allah kurniakan ingatan hafalan Al Quran yang berkekalan. Aamiinn
MW :Indahnya kisah keputusan peperiksaan UPSR 1E Faris ini. Sesungguhnya Allah membuka jalan pada hamba-hambanya yang berusaha dan mengharap pertolonganNya.
Aktor kelahiran Gemas, Keith Foo mengakui hatinya sebak saat terbabit dalam misi kemanusiaan dan amal baru-baru ini di Negeri Sembilan.
Keith yang juga turut membintangi drama KL Gangster Underworld musim kedua yang akan bersiaran di platform WeTV bermula 10 Disember ini rasa sangat bertuah kerana
berpeluang menghulurkan bantuan bersama St John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS),.
Malah dia juga berkesempatan menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir yang melanda di sana.
Banyak Kali Sertai Misi Kemanusiaan
Bicara duta produk suplemen kesihatan Crystal C White, ini bukan misi pertama dijayakannya.
“Sudah banyak kali saya turut serta dalam misi seumpama ini. Cuma sejak menyertai SJAMNS awal tahun lalu pembabitan saya lebih kerap tertumpu di negeri berkenaan.
“Antaranya dalam program derma darah, kesedaran Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR), perkhidmatan ambulans sempena hari perayaan, pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital dan klinik.
“Yang terbaru ini saya menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga 55 ahli keluarga yang terjejas teruk akibat banjir melanda di Seremban. Hati saya tersentuh ketika itu. Ada golongan tua yang terlantar dan uzur terkesan dengan ujian itu,” katanya.
Menurut bapa tunggal kepada si comel Skylar Raymond Foo itu ada keluarga dan individu yang terjejas teruk.
“Bayangkan saat berdepan dengan pandemik, kemudian tanpa diduga air bah yang datang menguji lagi keteguhan hati mereka.
“Harta benda, kereta dan pelbagai lagi rosak teruk dek banjir hingga sukar untuk diperbaiki. Saya dimaklumkan banjir baru baru ini pada waktu malam mencecah ketinggian dua meter.
“Ada antara mereka yang tidak sedar air naik sampai paras katil. Ada yang terperangkap hingga perlu diselamatkan pihak bantuan,” sambungnya.
Sumbangan Ikhlas
Kata Keith, dia bersyukur jenama produk yang melantiknya sebagai duta itu banyak menyumbangkan derma sekali gus menyokong kerja amal ini.
“Saya bersyukur orang kuat produk itu, Leinaa dan Reena tak berkira dalam soal menderma. Sumbangan ikhlas mereka amat saya hargai.
“Tak lupa SJAMNS yang membuka ruang saya berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.
Berpeluang Pandu Van Ambulans
Difahamkan juga Keith juga berpeluang memandu ambulans saat menjayakan misi berkenaan.
“Sudah beberapa kali juga saya memandu ambulans. Malah saya juga pernah menghadiri kursus untuk membawa kenderaan itu.
“Cuma entahlah baru baru ini saya rasa agak stres kerana memikirkan tanggungjawab yang dilunaskan membantu masyarakat itu cukup besar,” akhirnya.
Melihat kemalangan yang berlaku melibatkan ahli keluarga sendiri pastinya meruntun hati. Lebih rasa ralat dihati apatah lagi jika nyawa terkorban akibat kecuaian pihak lain. Namun hanya redha dan pasrah atas segala takdir ketentuan bahawa ajal dan maut telah ditentukan oleh tuhan.
Kemalangan Maut Ragut Nyawa Anak
Seorang bapa tidak menyangka kemalangan yang dilihat ketika dalam perjalanan menghadiri satu majlis pengebumian, rupanya melibatkan anak lelakinya sendiri di Kilometer 36, Jalan Temerloh-Bahau, dekat persimpangan Sri Buntar, Triang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori.
Ketika kejadian Muhammad Faris bersama ibu, bapa dan dua adiknya yang menaiki kereta dalam perjalanan dari Felda Kemasul untuk menghadiri pengebumian saudara di Pengkalan Manggis, Temerloh.
Menceritakan tentang kemalangan itu, ibu mangsa Zanariah Aziz, 47, berkata, setibanya di lokasi kemalangan, suaminya menjerit apabila terlihat motosikal anaknya di tengah jalan.
“Ya Allah! Itu motor anak aku.Itulah yang dikatakan suami membuat kami sekeluarga terkejut dan tidak menyangka insiden meragut nyawa itu melibatkan anak kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Shah (Hoshas) Temerloh di sini semalam.
Berlumuran Darah
Serentak itu, katanya, suami dan anak perempuannya bergegas ke arah mangsa, namun pada ketika itu Muhammad Faris yang berlumuran darah akibat cedera parah di bahagian kepala sudah tidak sedar diri.
Katanya, atas faktor kesihatan, dia tidak dapat untuk turun dari kereta untuk melihat keadaan anak keduanya itu.
“Sebelum keluar dari rumah, Limi (Muhammad Faris Halimin) bersalaman dengan saya, malah sepanjang minggu lepas, dia belikan tiga biji kek sempena hari lahir abahnya, ibu saudara dan jiran sebelah rumah.
“Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan arwah tetapi apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan kami sekeluarga trauma, apa pun, saya reda,” ujarnya.
Tiada Perubahan Pelik
Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Haikal Danil Hazrul, 18, berkata, kali terakhir mereka berjumpa pada malam Jumaat lalu, namun Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.
“Kami borak macam biasa, dia tetap macam biasa dan kami berkongsi banyak perkara bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, lori dari arah Temerloh telah memasuki simpang kanan ke Triang itu tanpa memberi laluan kepada mangsa yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan pelanggaran.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hoshas untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...