Isteri juga manusia biasa, menguruskan serba-serbi agar tampak sempurna bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi mempunyai kerjaya, kemudian menguruskan anak-anak dan rumah tangga bukanlah satu tugas yang mudah dipikul seorang diri.
Pagi sampai malam, rumah tangga diuruskan sepenuhnya isteri, jangan hairan isteri mulai berubah watak. Isteri sudah mula terbeban dan dirinya mula berubah menjadi orang lain kerana sengsara.
Selayaknya seorang suami hulurkan bantuan dan kurangkan bebanan isteri. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan hadam baik-baik ya.
Rumah Tangga Diuruskan Sepenuhnya Isteri
Rupa-rupanya senang untuk suami, sengsara bagi isteri…
Lelaki bila fikir tentang mendirikan rumah tangga, dia akan rasa seronok dan lega sebab selepas kahwin nanti, makan minumnya semua dijaga isteri, bajunya dibasuh, dilipat dan diseterika isteri, rumahnya dikemas isteri…
Dari pagi sampai malam, hidupnya diurus sepenuhnya isteri… Segala-galanya isteri yang buat…
Bila sudah berumah tangga, sudah melalui fasa-fasa semuanya diuruskan isteri, baru dia sedar yang sebenarnya senang untuk dirinya, sengsara untuk isterinya…
Dari Pagi Sampai Malam Uruskan Rumah Tangga
Isterinya yang sekarang, bukan lagi seperti perempuan yang dikenalinya sebelum berkahwin dahulu…
Isterinya selalu mengeluh dan merungut, mula sakit-sakit sana sini. Daripada pendiam jadi banyak cakap, dari peramah jadi pendiam, suka marah-marah, sudah kurang senyum, tidak lagi mesra, sudah kurang bergurau dan dah semakin jauh dari dia…
Bila dia fikir balik, bila dia muhasabah dirinya semula, baru dia sedar bahawa dia sudah banyak membebankan isterinya…
Banyak kewajipan yang sepatutnya dilakukan oleh suami, dia letak di bahu isteri…kerja-kerja yang sepatutnya dibantunya, tidak dibantu…
Kini, dia ambil alih apa yang sepatutnya dilakukan seorang suami, dia hulurkan bantuan untuk meringankan bebanan isterinya…
Dia tahu yang dia sudah banyak berdosa terhadap isterinya, dia sedar salah silapnya dalam menjadi seorang suami…sejak dia dah berubah, isterinya kini sudah kembali seperti dulu, sama masa dia mula-mula kenal dulu…
Isterinya sudah selalu senyum, selalu ketawa, dah gembira, tak lagi merungut dan mengeluh, jarang sakit-sakit lagi, semakin mesra dan dekat dengannya…
Moral of the story : Untuk kita mencari kebahagiaan dalam rumah tangga, ianya memerlukan kerjasama dan usaha dari kedua-dua belah pihak… Suami dan isteri perlu main peranan masing-masing…
MW: Sebenarnya isteri tidak pernah meminta untuk ditatang sebaliknya memadailah suami memahami apa yang dilalui isteri setiap hari. Jika suami tidak membantu sekali pun, fahamilah isteri dengan baik , ambil peduli perasaannya barulah bahagia rumah tangga.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Susahnya nak faham hati seorang suami. Bila moodnya tidak menentu, nak layan cakap pun dia buat ‘dono’ sahaja. Ini belum lagi, kalau isteri buat silap sikit, mahunya boleh mengamuk. Pening isteri memikirkan cara nak lembutkan hati suami.
Kadang-kadang, isteri susah nak meramalkan apa yang suami inginkan. Memang jauh berbeza sebelum kahwin dan selepas kahwin. Tapi rasanya tidaklah semua lelaki begitu kan!
Lebih menyedihkan, bila suami ‘naik angin’, isteri pun sama naiknya. Boleh ‘berperang’ dan menyedihkan perkara yang ‘tidak semegah’ itu boleh membawa kepada penceraian.
Sebenarnya, untuk elakkan perkara ini dan nak lembutkan hati suami dan isteri, senang sahaja, dengan amalkan zikir, terutamanya suami yang panas baran.
Insya allah dengan amalkan bacaan zikir ini, bukan sahaja dapat lembutkan hati suami tetapi hati kita juga. Perkongsian daripada Azirah Anis ini boleh membant usuami isteri di luar sana dalam menangani permasalahan ini.
“Suami saya ni panas baran, silap sikit marah, cakap sikit marah. Tak tahu dah nak buat apa puan..”
Jom saya kongsikan beberapa tip untuk handle suami yang panas baran ni.
Kenapa manusia suka marah? Sebab mereka rasa tercabar. Bukan suami je. Kita pun kalau marah akan rasa tercabar. Rasa nak mengamuk. Pokoknya, baran ni bukan pada suami sahaja tapi sebenarnya ada pada sesiapa sahaja yang tak suka di cabar.
Maka untuk orang yang macam ni lawan nya adalah dengan Diam. Ingat.. Diam bukan tanda kalah. Tapi diam adalah “perang” yang paling bagus untuk orang yang panas baran. Kalau rasa nak lawan juga, maka bukan lah suami sahaja yang baran, maka kita juga seorang yang baran. Jadi, cari tip untuk handle diri sendiri yang baran bukan orang lain.
Setiap kali selepas solat, jangan lupa hadiahkan pahala kebaikan bacaan surah Al-fatihah ni buat suami. Insya Allah kita sendiri juga akan tenang dengan bacaan ayat al quran, dan pahala nya sampai pada suami. Secara perlahan, kita akan jadi tenang dan tidak nampak baran suami tu satu masalah (Sebab insya Allah suami juga akan slowly lembut hati)
Pernah dengar sedekah boleh selesaikan banyak masalah? Sama juga sedekah kan bacaan Alfatihah. Juga satu sedekah.
Setiap pagi, minta pada Allah ya Latif lembutkan hati suami untuk apa jua perkara. Bukan sekadar lembut hati pada kita sahaja. Sebab, bagaimana layanan kita pada seseorang, begitulah layanan kita pada semua orang. Akhlak yang baik ni akan terpancar Secara semula jadi pada sesiapa pun bukan pada orang yang di pilih sahaja.
Zikir kan juga Allah ya latif sebanyak yang boleh.
Bagaimana kita nak harap kan orang lembut hati pada kita sedangkan kita juga seorang yang keras hati, baran dan suka mencari salah orang lain. Jangan pernah lupa, sikap orang terhadap kita adalah cerminan diri sendiri. Cara kita handle sikap manusia terhadap kita juga adalah cerminan diri sendiri.
Tak kisah samada al quran dibaca sendiri atau dipasang setiap hari di rumah, ayat-ayat al quran adalah mukjizat yang boleh melembutkan hati manusia.
Sejarah membuktikan bagaimana Umar Al-khattab yang pernah memusuhi Islam dan antara orang yang paling kuat menentang Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas terdengar bacaan ayat suci Alquran daripada adiknya sendiri semasa dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah.
Yang akhirnya, Umar Al-khattab menjadi khalifah kedua Islam selepas Abu bakar As Siddiq.
Jadi ingat, bebelan, kemarahan dan pergaduhan tak akan melembutkan hati manusia malah menjauhkan lagi hati manusia daripada kita.
MW: Moga ia memberi manfaat untuk pasangan suami isteri di luar sana.
Asal buka FB, banyak pulak promo dok lalu lalang. Kalau tak lap kain kayangan, periuklah, pinggan mangkuklah. Tu belum lagi, ternaik status kawan-kawan, siap bagi review ikhlas betapa bestnya guna barang idaman, hadiah diri sendiri.
Bila isteri beritahu suami hasrat hati.. suami jawab buat apa membazir, pakai saja mana ada. Dan, macam-macam jawapan kreatif keluar dari mulut suami. Sebagai isteri, kita faham lah, suami belum mampu lagi sebenarnya.
Jadi, janganlah desak suami berterusan. Isteri simpanlah duit diam-diam. Ada ketika, Tak perlu pun kongsi ‘wishlist’ pada suami. Sampai masa, bila dah cukup duit. Beli saja barang idaman sebagai hadiah untuk diri sendiri.
Ini yang dibuat sendiri oleh Ustazah Rohamiah Muda, beli hadiah periuk untuk dirinya sendiri. Malah, suami pun tak boleh kata apa, bila barang baru itu adalah barang hadiah yang isteri beli untuk diri sendiri.
“Kotak apa tu?” tanya suami sambil jarinya tunjuk ke arah kotak set periuk.
“Hadiah untuk diri sendiri,” jawab saya.
Suami terus diam. Tiada lagi soal jawab.
Sebenarnya sudah lama saya teringin membeli set periuk memasak seperti ini. Lagipun, periuk yang ada di rumah memang tidak pernah bertukar sejak awal kahwin dulu. Ada yang sudah tidak boleh digunakan lagi.
Kebetulan ketika pulang ke kampung bulan Ogos lepas, kakak saya ada bercerita tentang sahabatnya menjual set periuk.
Saya terus grab dengan memilih warna merah. Cantik juga. Harganya memang mampu milik. Jika beli satu sahaja periuk harganya pun hampir RM100. Apabila dicongak, beli terus satu set pun untung juga.
Alhamdulillah.
Elok-elok periuk sampai musim cuti sekolah. Memang berguna ketika memasak di dapur, terutama periuk yang paling besar. Anak ramai memang sangat sesuai.
Tidak salah membeli hadiah untuk diri sendiri. Jika bukan sekarang, bila lagi? Simpan duit, target apa yang nak dibeli. Janji barang itu berguna.
MW : Ramai sebenarnya isteri-isteri yang tak mahu susahkan suaminya buat cara macam ini. Lagipun, akhirnya nanti barang baru yang isteri beli itu bukan untuk orang lain. Jadi kegunaan isi rumah; suami dan anak-anak juga.
Kebiasannya apabila melibatkan kehamilan secara kembar, wanita akan dinasihatkan agar bersalin secara pembedahan caesarean berbanding normal. Namun rezeki bagi wanita ini apabila dapat melahirkan anak-anak kembarnya secara normal.
Ini dirasai Pengurus Jabatan Pusat Kecemerlangan Hospital Pakar Regency, Dr Siti Nurul Aishah Jamaludin, 34 dan pasangannya, Mohamad Iqbal Idris, 45, apabila menerima orang baharu dalam keluarganya. Bukan seorang, tetapi 3 cahaya mata sekaligus. Memang bertuah.
Kelahiran kembar tiga lelaki secara normal dipercayai yang pertama di Johor, cukup memberikan perasaan bahagia.Bayinya yang kini sudah berusia empat bulan itu dilahirkan di Hospital Pakar Regency, Bandar Seri Alam, Johor, pada 6 Julai lalu.
Dr Siti Nurul Aishah berkata, kelahiran itu hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) atau rawatan bayi tabung uji diusahakan mereka tahun lalu. Katanya, beliau sebelum ini sudah berusaha selama dua tahun untuk hamil secara semula jadi dan pernah mengalami keguguran.
Keadaan itu membuatkan beliau tidak mahu menunggu terlalu lama lagi untuk hamil kerana sedar tahap kesuburan wanita akan semakin merosot mulai usia 35 tahun.
Jadi, rawatan kesuburan adalah ikhtiar mereka untuk memiliki zuriat sendiri dan untuk itu mereka mendapatkan rawatan dengan Perunding Obstetrik dan Ginekologi hospital itu, Dr Thokha Muhammad.
“Segala-galanya berjalan dengan baik dan pada Januari lalu, saya dimaklumkan hamil kembar dua sekali gus menandakan ada perkembangan positif daripada rawatan dibuat.
“Namun, selepas imbasan kehamilan kedua, kami diberitahu yang saya sebenarnya hamil kembar tiga.
“Keadaan juga agak sukar kerana ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kami berjauhan daripada keluarga. Dengan keadaan sarat mengandungkan tiga bayi, saya sukar bergerak dan perut agak besar.
“Saya terpaksa duduk di atas kerusi roda berbanding berdiri,” katanya yang mengalami pertambahan berat badan daripada 63 kilogram (kg) kepada 93kg sepanjang kehamilannya,” katanya.
Tiga bayi mereka itu yang dinamakan Thoreeq Idris, Mateen Idris dan Hakeem Idris Mohamad Iqbal dengan berat 1.9kg, 2.2kg dan 2.6kg dilahirkan pada usia kandungan 37 minggu.
Bagi Dr Nurul Aishah dan suaminya yang bekerja sebagai Timbalan Pengurus Kanan di syarikat hartanah UMLAND, berkata kejayaan mereka dalam rawatan IVF itu diharap menjadi pemangkin kepada pasangan lain melakukan ikhtiar sama.
“Kami membelanjakan kurang RM40,000 untuk tujuan ini. Ia sangat berharga kerana kami dianugerahkan tiga cahaya mata yang begitu menenangkan jiwa, pelengkap kebahagiaan dan Insya-Allah mendidik kami sebagai ibu bapa terbaik untuk mereka.
“Syukur ia tidak terlalu susah biarpun kembar tiga dan membuatkan kami tidak cukup tangan menguruskan mereka serentak. Setakat ini kami melakukannya berdua tanpa menggajikan pembantu,” katanya.
Bercerita mengenai tiga bayinya itu, semua dihantar ke TASKA dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang dan mereka tidak menghadapi masalah kecuali perlu membiasakan diri kerana kini mempunyai tiga anak.
“Saya dimaklumkan apabila mengandung tiga anak ini ia biasanya akan dilahirkan secara pembedahan, tetapi saat akhir itu keadaan sebaliknya dan doktor meyakinkan saya mampu bersalin normal.
Alhamdulillah ia berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mampu menjadi pusat rawatan kesuburan dan kardiologi berikutan kualiti perkhidmatan kesihatan yang terdapat di negara ini.
MW: Tahniah atas kelahiran anak kembar sebagai penyeri di dalam rumah tangga. Buat pasangan yang masih lagi menanti cahaya mata, jangan putus asa, teruslah berusaha serta berdoa semoga dikurniakan zuriat suatu hari nanti. Percayalah dengan perancangan Allah sebaik-baiknya, ia tidak pernah tercepat mahupun terlewat.